Sign In
Mobirise Web Builder
Sembah Alu-Aluan Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Mustappa Bin Haji Sirat, Menteri Perhubungan, Pengerusi Bersama Majlis Perasmian Majlis Ilmu 2016 di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, pada Hari Selasa, 23 Ogos 2016

Assalamu'alaikum Warahmatullaahi taala Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Raheem.

Alhamdulillahi rabbil 'alameen wassalatu wassalamu 'ala ashrafil anbiiya e-wal murssalin, Sayyidina Muhammadin wa 'ala aalihi wasahbihi ajma'een.

Rabbi Syarahli Sadri wa-yasirrli amri, Wahlul uqdatam millisani yaf-qahu- qauilli.

Mengadap Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.


Ampun beribu-ribu ampun,

Dengan terlebih dahulu merafakkan syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala, hamba Kebawah Duli Tuan Patik, selaku Pengerusi Bersama, dan mewakili Ahli-Ahli Jawatankuasa Majlis Ilmu 2016, dengan amat sukacita menjunjung kasih setinggi-tingginya atas kurnia perkenan Kebawah Duli Tuan Patik berangkat bercemar duli ke Majlis Perasmian Majlis Ilmu 2016, sempena Puja Usia Kebawah Duli Tuan Patik yang ke-70 tahun.

Komitmen padu yang berterusan untuk memartabatkan ilmu sebagai asas hala tuju pembangunan adalah antara mercutanda kepimpinan Kebawah Duli Tuan Patik kearah kesejahteraan Negara.

Rakyat dan penduduk di Negara ini terus diperkaya dengan ilmu pengetahuan demi kesinambungan bangsa yang berteraskan syi'ar Islam, budaya keBruneian Melayu, dan berpayung dibawah tampuk Kerajaan Kebawah Duli Tuan Patik.

Alhamdulillah, hampir lima puluh tahun pemerintahan Kebawah Duli Tuan Patik, Negara sudah melihat para ilmuan dan generasi cendekiawan serta penubuhan institusi-institusi pengajian tinggi dan forum-forum antarabangsa sebagai landasan percambahan fikiran.   

Atas dasar inilah juga abis hamba Kebawah Duli Tuan Patik, daripada Kementerian Perhubungan, merasa bangga mendapat kehormatan untuk mengungkayahkan Majlis Ilmu pada tahun ini, disamping  memberikan pencerahan mengenai aspek-aspek pengangkutan dan ICT.

Abis hamba Kebawah Duli Tuan Patik, juga amat menjunjung kasih setinggi-tingginya atas perkenan Kebawah Duli Tuan Patik mengurniakan titah Perasmian Majlis Ilmu 2016 yang membawa tema "Menjana Perhubungan Berkat dan Selamat Pemangkin Kesejahteraan Ummah".

Tema ini mengetengahkan nilai 'Perhubungan' sebagai urat nadi pembangunan dan  ketamadunan manusia.

Sejak kemerdekaan, sebagai ahli komuniti antarabangsa, Negara Brunei Darussalam telah menjalin hubungan kerjasama dan mengukuhkan pertalian antara rakyat atau people to people contact bertujuan untuk meraih faedah bersama.

Dalam suasana yang semakin global, Negara tidak dapat memencilkan diri melainkan untuk terus mengekalkan perhubungan dan melipat gandakan usaha kearah mempertingkatkan sistem perhubungan yang canggih lagi reliable.

Kearah ini, Negara Brunei Darussalam terus mengambil pendekatan untuk memanfaatkan pertalian hubungan atau connectivity sebagai asas destinasi pasaran, pelaburan, pendidikan, diplomasi dan meluaskan lagi syi'ar Islam diperingkat serantau dan antarabangsa.

Kemajuan sistem perhubungan yang merangkumi pengangkutan dan ICT telah melonjak lebih jauh kehadapan, mencalak ketamaddunan dengan kelancaran pergerakan manusia, barangan, perkhidmatan dan maklumat yang membawa berbagai peluang dan juga cabaran.


Ampun beribu ampun, disembahkan bahawa Majlis Ilmu 2016 bertujuan untuk mencapai beberapa konsensus. Antaranya ialah :

1.                Pertama - Pentingnya perhubungan yang berkah dan selamat dalam mencapai kestabilan dan keharmonian demi pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan, merapatkan jurang sosial.

2.                Kedua - Kewajiban dalam konteks Maqasid Syari'ah, untuk menyediakan satu sistem perhubungan yang efisyen yang bersendikan connectivity dan reliability;
 3.                Ketiga - Melahirkan masyarakat yang berasaskan kepada ilmu atau knowledge based society melalui ICT.


Ampun Beribu-ribu Ampun,

Sebelum berundur diri, hamba Kebawah Duli Tuan Patik dan seluruh ahli-ahli Jawatankuasa Majlis Ilmu 2016, sekali lagi dengan sukacita menyembahkan setinggi-tinggi penghargaan dan menjunjung kasih diatas keberangkatan Kebawah Duli Tuan Patik ke Majlis Perasmian Majlis Ilmu 2016 pada pagi ini.

Hamba Kebawah Duli Tuan Patik seterusnya menjunjung perkenan menyembahkan menjunjung kasih di atas keberangkatan Paduka-Paduka Anakanda dan Paduka-Paduka Adinda Kebawah Duli Tuan Patik:

1.       Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah,  

Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri;

2.      Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah;

3.      Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah;

4.      Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Malik; dan

5.      Yang Teramat  Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Mateen.

Hamba Kebawah Duli Tuan Patik juga seterusnya menjunjung perkenan menyembahkan dan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diatas keberangkatan / kehadiran Pengiran-Pengiran Cheteria, Menteri-Menteri Kabinet, Dief dief yang terhormat, Timbalan-Timbalan Menteri, ketua-ketua-ketua perwakilan dari negara-negara sahabat pegawai pegawai kanan dan semua yang hadir.  

Setinggi-tinggi penghargaan juga diucapkan kepada Yang Berhormat penceramah khas, penceramah dari luar negara dan ahli-ahli simposium yang berkesudian untuk mengongsikan buah fikiran mereka, serta semua pihak-pihak yang bertugas dan yang terlibat secara sukarela dalam memberikan bantuan dan kerjasama yang ikhlas bagi menjayakan Majlis berkat ini.

Pada mengakhiri Sembah Alu-aluan ini, hamba Kebawah Duli Tuan Patik, dengan rendah diri menyembahkan berbanyak-banyak menjunjung ampun sekiranya terdapat sorok langkah yang kurang manis  dan sebarang kekurangan di dalam Majlis ini.

Sekian. Wabillahit Taufiq Walhidayah Wassalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Junjung anugeraha.

Attachments
Speeches