Sign In
Mobirise Web Builder
Majlis Sambutan Hari Maritim Sedunia

TEKS UCAPAN 

Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia Awang Haji Abu Bakar bin Haji Apong
Menteri Perhubungan 

Cruise Ship Centre, Pelabuhan Muara 
Khamis, 29 Zulkaedah 1429 Bersamaan 27 November 2008

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Selawat serta salam ke atas Junjungan Besar kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam serta Kaum Kerabat dan Sahabat-Sahabat Baginda yang taat hingga ke akhir zaman.

Yang Mulia, Pengerusi Majlis Awang Haji Omar bin Haji Sirat, Pemangku Pengarah Laut

Yang Mulia, Dato Paduka Haji Mohd Yussof bin Haji Abd Hamid, Timbalan Menteri Perhubungan;

Yang Mulia, Awang Haji Alaihuddin Bin Pehin Orang Kaya Digadong Seri Lela Dato Seri Utama Haji Awang Mohd Taha, Setiausaha Tetap, Kementerian Perhubungan;

Yang Mulia Dato Paduka Haji Abd Majid bin Mangarsah, Setiausaha Tetap Kementerian Pertahanan

Yang Mulia, Awang Abdul Mutalib Bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd Yusof, Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Perhubungan;

Yang Dimuliakan, Pehin Orang Kaya Pendekar Alam Haji Awang Asrin bin Haji Sabtu, Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis

Yang Mulia, Pengarah Urusan Syarikat Minyak Brunei Shell Sendirian Berhad

Ketua-Ketua Jabatan dan Timbalan-Timbalan Ketua Jabatan;

Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan;

Pemilik dan Pengusaha kapal-kapal;

Jemputan-jemputan khas serta para hadirin sekalian.

Alhamdullilah, Kita bersyukur Kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala yang dengan izinNya jua kita dapat meraikan Sambutan Hari Maritim Sedunia (IMO Day ) pada pagi ini, bersama-sama dengan negara-negara ahli Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO).

Pada tahun 2008 ini genaplah 60 tahun Pertubuhan Maritim Antarabangsa memperingati penerimaan ”IMO Convention” di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Tempoh waktu ini membuktikan tujuan Pertubuhan Maritim Antarabangsa sebagai ”specialized agency” kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dengan peranan utamanya untuk menyediakan jentera bagi kerjasama di antara Kerajaan-Kerajaan dalam bidang pengawalseliaan peraturan dan amalan Kerajaan yang berkaitan dengan aspek teknikal dan semua perkara yang melibatkan perkapalan adalah masih relevan.

Malah IMO juga merupakan badan antarabangsa yang menggalakkan dan memudah cara pengambilan secara umum amalan piawaian yang terbaik dalam perkara yang berkaitan dengan keselamatan, efisiensi navigasi, pencegahan dan pengawalan pencemaran maritim dari kapal-kapal serta mengendalikan perkara yang berkaitan dengan pentadbiran dan perundangan.

Tema  Sambutan Hari Maritim Sedunia bagi tahun 2008 iaitu ”60 YEARS IN THE SERVICE OF SHIPPING” adalah bertepatan dengan masanya.  Ia menggambarkan pentingnya peranan Pertubuhan Maritim Antarabangsa hari ini yang semakin mencabar disebabkan kehendak yang semakin “diverse”, dan sentiasa berkembang dan menempuhi perubahan serta keadaan yang tidak dapat diduga termasuk ancaman keganasan.

Bidang perkapalan merupakan salah satu pekerjaan yang terdedah kepada bahaya. Kita telah menyaksikan keadaan bencana yang menimpa beberapa jenis kapal seperti, Titanic, Torrey Canyon, Exxon Valdez, Estonia, Erika, Prestige dan yang paling terbaru kejadian ke atas kapal Princess of the Stars dan kejadian-kejadian lain seperti penculikan kapal Sirius Star di perairan Somalia. Kejadian-kejadian ini melibatkan banyak korban jiwa dan kehilangan harta benda yang begitu besar.

Menyedari akan hakikat ini, sokongan dan persetujuan bagi rangka piawaian antarabangsa ”International Standards” diujudkan untuk mengawal tahap keselamatan seperti kualiti kapal, reka betuk, had-had muatan, kemahiran krew dan sekuriti perkapalan yang boleh digunakan, diiktiraf dan menjadi satu kemestian untuk diterima oleh semua pihak yang berkenaan.

Piawaian ini telah dijadikan satu ketetapan dan kemestian dengan mengambil kira akan keadaan sekeliling perkapalan yang perlu diamalkan secara keseluruhan bagi membentuk industri hari ini. “IMO conventions” (50 kesemuanya) mempunyai beratus kumpulan undang-undang dan peraturan, garis pandu dan sokongan, meliputi setiap aspek dalam industri maritim, dari mula reka bentuk, pembinaan, kelengkapan dan operasi kapal sehingga latihan krew atau pelaut.

Banyak IMO treaties utama seperti SOLAS, the Tonnage and Load Lines Conventions, the Collision Regulations, the STCW Convention and Annexes I and II of MAPOL) telah pun di’ratified’ oleh negara ahli dan secara collective bertanggungjawab melebihi 98 peratus dari world’s fleet.

Dengan luasnya rangkaian peraturan global yang diperkembangkan oleh IMO untuk digunakan sejak beberapa tahun lalu, sudah setentunya kita merasa penuh yakin bahawa perkapalan hari ini adalah merupakan mode pengangkutan yang terjamin dan  selamat, bersih, mesra alam sekitar dan paling efisien tenaga, sekiranya semua undang-undang dan peraturan-peraturan ini diikuti dan dipatuhi.

Dalam konteks Negara Brunei Darussalam kita mempunyai  kepentingan dalam industri Maritim. Kebanyakan sumber ekonomi negara terletak di kawasan Maritim menyumbang lebih dari 95% kepada GDP Negara, seperti Hydro Carbon, (Oil dan Gas), perikanan dan aktiviti perkapalan. Kita berharap sambutan Hari Maritim Sedunia ini akan dapat meningkatkan kesedaran orang ramai untuk memelihara, menghargai dan meningkatkan pemedulian terhadap pentingnya menjaga keselamatan, sekuriti dan alam persekitaran Maritim.

Sejak Negara Brunei Darussalam menjadi ahli kepada Pertubuhan Maritim Antarabangsa pada 31hb Disember 1984, kita telah menandatangani 18Instruments IMO.

Negara Brunei Darussalam telah menjalani pelbagai proses perubahan dan pembaharuan untuk menyesuaikan dengan kehendak dan keperluan antarabangsa. Ini telah dapat meletakkan Negara Brunei Darussalam dalam senarai “White List” bagi memenuhi kehendak IMO - Standards of Training, Certification and Watch keeping (STCW). Bahagian Peperiksaan & Persijilan Jabatan Laut telah pun mendapat pengiktirafan ISO 9001:2000 daripada Lloyds Register. Di bawah IMO-STCW, Negara Brunei Darussalam juga telah menandatangani MoU dengan 13 buah Pentadbiran Maritim (Australia, Canada, Croatia, India, Indonesia, Ireland, Malaysia, New Zealand, Pakistan, Philippines, Singapore, United Kingdom & Vietnam).

Dari segi tenaga manusia, Negara Brunei Darussalam kini sudah mempunyai pegawai-pegawai dan kakitangan yang mempunyai kelulusan dan kemahiran khusus dalam bidang Maritim ini. Kita akan terus berusaha meningkatkan kapasiti tenaga manusia dalam bidang maritim dan bagi membolehkan lebih ramai lagi staf mendapatkan kelulusan tertinggi di seberang laut.

Sesuai dengan Dasar Kerajaan ke arah menjaga dan meningkatkan kepentingan industri Maritim negara ini, kita perlu mempunyai peraturan dan piawaian yang seimbang dan selaras dengan peraturan dan piawaian antarabangsa bagi menjaga kepentingan kapal-kapal ”Foreign going Vessel” pendaftaran Negara Brunei bagi pengangkutan sumber utama Negara dan juga perkhidmatan kapal-kapal penumpang perjalanan  Near Coastal Voyage dengan negara jiran.

Sehubungan dengan itu, Alhamdulillah, Kementerian Perhubungan melalui Jabatan Laut sukacita merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pejabat Peguam Negara atas kerjasama pihak Peguam Negara dalam menggubal beberapa Perintah dan Peraturan yang berhubung kait dengan kepentingan Maritim. Setakat ini sebanyak 4 Perintah dan 23 peraturan di bawahnya telah pun mendapat kurnia titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan sudah pun mula berkuat kuasa.

Antara lainnya adalah Perintah mengenai:-

  1. Maritime Offences (Ships and Fixed Platforms) Order, 2007
  2. Prevention of Pollution of the Sea Order, 2005 
  3. Merchant Shipping Order, 2002
  4. Ports Act (Amendment) Order, 2002

dan 23 Peraturan-Peraturan mengenai Merchant Shipping.

Perintah dan Peraturan ini menekankan terhadap kepentingan menjaga tahap keselamatan sekuriti sesebuah kapal dan penjagaan persekitaran Maritim dan juga  mengenai tatacara teknikal serta hak-hak yang berkaitan dengan kepentingan krew,  tanggungjawab majikan, pemilik serta nakhoda di dalam kapal. (Safety, crew matters and Environment). Apa yang penting ialah bahawa Perintah dan Peraturan itu telah menentukan kuasa Jabatan Laut dalam menjalankan Perintah dan Peraturan ini dan memberi kuasa kepada Pengarah Laut untuk mengenakan tindakan denda kepada mana-mana pihak yang melanggar Perintah dan Peraturan berkenaan.

Dengan berkuat kuasanya Peraturan dan Perintah ini, saya ingin menyarankan kepada setiap pemilik, pengusaha, nakhoda atau krew kapal atau bot pendaftaran dan Pelesenan Negara Brunei Darussalam dan juga yang menggunakan perairan Negara Brunei Darussalam supaya sentiasa mematuhi keperluan dan kehendak yang ditentukan di dalam Perintah dan Peraturan berkenaan dalam usaha ke arah meningkatkan tahap keselamatan dan penjagaan alam persekitaran Maritim di negara ini dan antarabangsa.

Alhamdulillah, dari segi infrastruktur dalam industri maritim, Terminal Feri Penumpang yang baharu telah pun mula beroperasi sejak 17 Oktober 2008. Sementara Terminal Feri Kenderaan Serasa yang merupakan salah satu rancangan dalam bidang pengangkutan BIMP-EAGA akan dapat digunakan sebaik-baik sahaja urusan teknikal dengan ahli BIMP-EAGA dapat diselesaikan.

Berkaitan dengan bertambahnya kemudahan ini, saya ingin menekankan bahawa aspek keselamatan dan sekuriti adalah aspek penting dalam industri pengangkutan tidak terkecuali pengangkutan maritim.  Dalam hubungan ini selaras dengan wujudnya Undang-Undang dan Peraturan yang berkaitan dengan maritim, maka Kementerian Perhubungan akan mengambil langkah serius bagi memastikan bahawa Undang-Undang dan Peraturan ini diikuti dan dipatuhi oleh semua yang berkenaan. Sehubungan ini, Kementerian Perhubungan sedang merancang untuk menjadikan Tahun 2009 sebagai Tahun Keselamatan bagi Industri Pengangkutan yang bertujuan untuk meningkatkan tahap keselamatan di kalangan pekerja, pengusaha, pengguna dan orang ramai di semua jabatan-jabatan di Kementerian Perhubungan yang berurusan langsung dengan pengangkutan.

Akhirnya, saya sekali lagi mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada ahli-ahli Jawatankuasa serta agensi-agensi kerajaan yang turut terlibat dalam menjayakan majlis ini dan juga dalam latihan menangani tumpahan minyak pada hari ini, sama-sama kita berdoa semoga usaha ini akan diberkati oleh Allah Subhanahu Wata’ala jua dan mengurniakan balasan serta ganjaran yang setimpal.

Dengan mendahulukan kalimat Bismillahir Rahmanir Rahim, saya sukacita merasmikan Sambutan Hari Maritim Sedunia tahun 2008 pada hari ini.

Sekian, Wabillahi Taufik Wal Hidayah Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.​

Attachments
Speeches