Sign In
Mobirise Web Builder
Mukaddimah Yang Berhormat Menteri Perhubungan Dibawah Tajuk Jabatan Kementerian Perhubungan Bagi Persidangan Majlis Mesyuarat Negara Dari Musim Permesyuaratan Yang Keempat Belas Tahun 2018 Pada Isnin 19 Mac 2018

MUKADDIMAH

YANG BERHORMAT MENTERI PERHUBUNGAN

DIBAWAH TAJUK JABATAN KEMENTERIAN PERHUBUNGAN

BAGI PERSIDANGAN MAJLIS MESYUARAT NEGARA DARI MUSIM PERMESYUARATAN YANG KEEMPAT BELAS TAHUN 2018

PADA ISNIN 19 MAC 2018

 

Terima kasih Yang Berhormat Pehin Pengerusi,

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Yang Berhormat Pehin Pengerusi,

1.             Terlebih dahulu kaola bagi pihak seluruh warga Kementerian Perhubungan termasuk jabatan-jabatan dibawahnya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas peruntukan yang disokong untuk disediakan kepada Kementerian Perhubungan dan Jabatan-Jabatan dibawahnya bagi Perbelanjaan Tahun Kewangan 2018/2019 sebanyak  B$54,880,500.00 (Lima Puluh Empat Juta, Lapan Ratus Lapan Puluh Ribu dan Lima Ratus Ringgit Brunei).  

 

2.             Selain itu, antara projek besar dibawah perbelanjaan kemajuan bagi tahun 2018/2019 adalah Projek Sistem Pengangkutan Awam yang dijangka akan memakan belanja sebanyak $15 Juta Ringgit Brunei.  Projek ini selaras dengan strategi Pelan Induk Pengangkutan Darat yang antaralainnya, adalah untuk memastikan mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian dan mengukuhkan lagi urustadbir sektor pengangkutan awam.

 

3.             Peruntukan kewangan ini adalah amanah dan tanggungjawab yang diberikan kepada Kementerian Perhubungan bagi pembangunan dan kemajuan sektor perhubungan dan pengangkutan.

 

Yang Berhormat Pehin Pengerusi,

 

4.             Kaola ingin mengongsikan secara ringkas mengenai beberapa inisiatif utama Kementerian Perhubungan yang telah dilaksanakan; perkembangan dan perancangan serta hala tuju bagi Tahun Kewangan 2018/2019.

 

5.             Alhamdulillah, sepanjang Tahun Kewangan 2017/2018, Kementerian Perhubungan telah melaksanakan beberapa inisiatif dalam memperkemaskan dasar, urustadbir dan proses yang dijalankan.  Pelaksanaan inisiatif-inisiatif ini telah dapat menyumbang kepada penjimatan peruntukan, memudahcara orang ramai dan perniagaan serta meningkatkan tahap produktiviti.  Ini adalah seperti yang ditekankan didalam Pelan Strategik Kementerian Perhubungan 2008 - 2017. 

 

6.             Sehubungan ini, Kementerian Perhubungan akan memastikan adanya kesinambungan dasar dalam perancangan bagi tahun yang akan datang ini.  Pada masa yang sama, beberapa kajian semula akan dijalankan bagi memantapkan pelaksanaan dasar dan tujuan-tujuan. Kementerian Perhubungan juga akan terus mengenalpasti perkhidmatan yang lebih cost-effective untuk diberikan oleh sektor swasta yang sekaligus akan dapat mengurangkan beban perbelanjaan di pihak Kerajaan.

  1.   Antara dasar yang dimaksudkan adalah:-
    1. Pertama, pengkorporatan dan penswastaan;
    2. Kedua, mengkomersialkan perkhidmatan yang sebelum ini dijalankan oleh Jabatan-Jabatan dibawah Kementerian Perhubungan; dan
    3. Ketiga, memudahcara urusan orang ramai dan penglibatan sektor swasta.

 

8.             Bagi dasar penswastaan dan pengkorporatan, satu perkembangan utama dalam sektor pengangkutan adalah penswastaan terminal kontena Pelabuhan Muara pada 21hb Februari 2017 tahun lepas, dan pengkorporatan Jabatan Pelabuhan-Pelabuhan dan Jabatan Laut menjadi Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan (PBMP) bermula pada 28hb September 2017.

 

9.             Penubuhan PBMP ini dan penswastaan terminal kontena berkenaan telah membawa perubahan positif kepada tahap kualiti perkhidmatan di Pelabuhan Muara pada tahun 2017 berbanding tahun 2016.  Perubahan ini digambarkan antaranya:

 

  1. Pertama, peningkatan sebanyak 37% kepada produktiviti pengendalian kontena dari kapal;
  2. Dan kedua pengurangan  sebanyak 48% keatas masa pengangkutan kontena keluar masuk dari kawasan terminal atau digelar (Haulier Turnaround Time) iaitu dari 60 minit pada tahun 2016 kepada hanya 30.8 minit pada tahun 2017.

 

Dengan peningkatan kualiti perkhidmatan diatas, ia diharap akan dapat menarik lebih banyak lagi aktiviti perkapalan di Negara ini.

 

10.         Selain itu, penswastaan terminal kontena ini telah membukakan peluang pekerjaan dalam bidang perkapalan kepada anak-anak tempatan.  Sejak mengambil alih pengendalian terminal kontena Muara, Syarikat Muara Port Company Sdn Bhd (MPC), kini mempunyai 163 orang tenaga kerja, yang 87% daripadanya, iaitu 141 orang, adalah terdiri daripada anak-anak tempatan.

 

11.         Seterusnya, dengan penswastaan terminal kontena Muara ini, ianya dapat mengurangkan kos pembiayaan yang perlu diperuntukkan oleh Kerajaan untuk tujuan pemeliharaan dan operasi di terminal kontena Muara, iaitu sebanyak $8.6 Juta Ringgit Brunei setahun.

 

12.         Untuk lebih memudahcara orang ramai, perkhidmatan pemeriksaan kenderaan yang sebelum ini dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Darat, kini juga dapat diberikan oleh syarikat-syarikat swasta yang berperanan sebagai Stesyen Pemeriksaan Kenderaan atau (Vehicle Inspection Stations) di Daerah Brunei Muara. 

 

13.         Kementerian Perhubungan, melalui Jabatan Pengangkutan Darat sedang mengusahakan bagi Stesyen Pemeriksaan Kenderaan ini untuk dilaratkan ke daerah-daerah lain.

 

Langkah ini bukan sahaja memberikan kemudahan dan pilihan kepada orang ramai, malah ianya telah dapat menjimatkan perbelanjaan Kerajaan sebanyak $850,000.00 (Lapan Ratus Lima Puluh Ribu Ringgit Brunei) setahun, dan pada waktu yang sama membuka peluang penyertaan swasta dalam memberikan kemudahan pilihan perkhidmatan kepada orang ramai.  

 

14.         Prosedur di Jabatan-Jabatan juga diperbaiki dengan tujuan memudahcara penglibatan sektor swasta.  Sebagai contoh, ialah pengisian ruang-ruang yang boleh disewakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei sejak terminalnya dimodenkan pada tahun 2014. Kadar pengisian ruang-ruang yang boleh disewakan telah menunjukkan peningkatan yang konsisten dari setahun ke setahun. 

 

15.         Setakat ini, dianggarkan hampir 80% daripada ruang yang boleh disewakan telah diisi oleh penyewa yang terdiri daripada syarikat-syarikat tempatan dan luar negara. Inisiatif ini telah meningkatkan kemudahan dan keselesaan pengunjung serta penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei di mana syarikat-syarikat runcit (retail) dan tempat-tempat makan yang beroperasi telah mengambil seramai 342 pekerja yang mana 73% adalah terdiri dari anak-anak tempatan.

 

16.         Dalam sektor ICT, melalui kawalseliaan Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi (AITI), Alhamdullillah kadar liputan dan penggunaan perkhidmatan telefon bimbit menunjukkan satu perkembangan positif dengan adanya usaha berterusan dari syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan, iaitu DST Communications dan Progresif Cellular.  

 

17.         Terdapat peningkatan dalam infrastruktur menara telekomunikasi, dimana dalam perkembangan terkini, usaha berterusan ini  telah dapat memberikan kadar liputan perkhidmatan telefon bimbit kepada 341 buah kampong, dari sejumlah 432 buah kampong ataupun hampir 80% daripada semua Kampong-kampong di seluruh Negara. Ini termasuklah penyediaan liputan bagi keperluan para pengguna di kawasan sekitar Lebuhraya Lumut-Telisai, dengan adanya menara yang sudah mula beroperasi baru-baru ini.

 

18.         Dalam pada itu, Kementerian Perhubungan dan AITI menyedari masih ada ruang yang perlu diperbaiki, khususnya dimana ada masih beberapa buah kampong lagi yang mempunyai masalah liputan perkhidmatan telefon bimbit. Kerjasama dan perundingan bersama pihak-pihak yang berkenaan akan digiatkan bagi memastikan liputan perkhidmatan telefon bimbit dapat diperolehi untuk kegunaan penduduk di kampong-kampong berkenaan.

 

19.         Dalam bidang pembangunan kapasiti ICT, pihak AITI juga telah menjalankan program Celik ICT yang mendapat sambutan yang baik, termasuk dikalangan Majlis Perundingan Kampong, khususnya bagi mendokong inisiatif 1 Kampong 1 Produk (1K1P). Program ini melibatkan peserta seramai 85 orang dari 50 Majlis Perundingan Kampong di seluruh negara dan AITI akan meningkatkan lagi pemberigaan program ini secara berterusan bagi menarik lebih banyak penglibatan dari orang ramai yang berminat.

 

 

Yang Berhormat Pehin Pengerusi,

20.         Untuk memastikan kesinambungan kepada pelaksanaan dasar-dasar utama dibawah Pelan Strategik 2008-2017, Kementerian Perhubungan kini sedang memperkemaskan Pelan Strategik 2018 – 2023. 

 

21.         Dalam terus mengorak langkah menuju Wawasan 2035, Kementerian Perhubungan terus melaksanakan dasar dan tujuannya dengan berteraskan kepada pendekatan 'Whole of Nation'.  Keperluan ini termasuk membuat penyusunan semula struktur industri, mengemaskini perundangan dan peraturan serta memantapkan lagi pelaksanaan peruntukan-peruntukan dibawah bidang kuasa Kementerian Perhubungan dan Jabatan-Jabatan dibawahnya.  

 

22.         Sehubungan ini, beberapa keutamaan dan tumpuan telah dikenalpasti sebagai hala tuju Kementerian Perhubungan, iaitu:-

 

a.   Pertama, Memperkemaskan dasar dan tujuan yang berkaitan dengan penyediaan perkhidmatan-perkhidmatan kepada orang ramai. Ini termasuk usaha merapatkan jurang digital khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman; dasar keatas peningkatan pengangkutan awam; dan terkini yang diberi keutamaan adalah sasaran bagi Pengkorporatan Jabatan Perkhidmatan Pos. Cadangan pengkopratan Jabatan ini adalah disasarkan bagi menyahut cabaran-cabaran dan peluang-peluang yang ada di era Ekonomi Digital pada masa ini.

 

b.   Kedua, Memperkemaskan pelaksanaan dasar yang menyumbang kepada keselamatan dan kesejahteraan rakyat.  Beberapa bidang telah dikenalpasti untuk diutamakan dibawah hala tuju ini, seperti keselamatan di jalan raya, pengangkutan air dan udara yang memerlukan perhatian serius dan komitmen padu dari pihak Kerajaan, sektor swasta, pertubuhan bukan Kerajaan serta masyarakat, secara amnya.  

 

Bagi mendokong keutamaan ini, antara contoh yang ingin kaola kongsikan disini adalah mengenai usaha Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) yang terus mengorak langkah dalam menekankan kepentingan isu keselamatan jalan raya dengan adanya sokongan padu secara kerjasama dan kolaborasi dari pelbagai pihak yang berkepentingan.

 

MKKJR juga giat mengadakan kerjasama dengan Kementerian Hal Ehwal Ugama dalam menanai negara zikir melalui penglibatan anak-anak sekolah dalam acara dan aktiviti keugamaan secara berterusan sepanjang tahun .

 

Turut terkandung dibawah dasar ini adalah bidang ICT, khususnya dalam menggalakkan penggunaan teknologi ICT secara positif dan berkesan.  Ini adalah mengambilkira jua kepelbagaian jenis isu kandungan (content) yang bersumber dari pelbagai wadah ICT.

 

Selain itu, dasar kearah keselamatan dan kesejahteraan ini juga merangkumi penyebaran maklumat kajicuaca yang cepat dan tepat bagi keperluan orang ramai secara umumnya.

 

c.              Ketiga, Memantapkan penguatkuasaan dan pelaksanaan Akta serta Peraturan Jabatan dan Agensi bagi memastikan keselamatan dan kepentingan pengguna adalah terpelihara.  Antara usaha berterusan adalah penekanan keatas peranan PBMP dalam menguatkuasakan dan mempromosikan pemakaian jaket keselamatan dikalangan pengguna-pengguna di perairan-perairan Brunei. 

 

d.              Keempat, Memantapkan lagi usaha kearah peningkatan sumbangan sektor perhubungan dan pengangkutan kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).  

 

Pada tahun 2016, sumbangan sektor pengangkutan adalah sebanyak 1.88% dan sektor perhubungan menyumbang sebanyak 1.69% kepada keseluruhan KDNK Negara.

 

Bagi sektor perhubungan, sasaran Kementerian ini adalah meningkatkan sumbangannya kepada 3% dan sektor pengangkutan kepada 5% menjelang tahun 2035.  Sehubungan ini, usaha akan dipertingkatkan melalui aktiviti penjanaan hasil, memudahcara perkhidmatan baru dan mengkaji semula peluang perniagaan yang ada.  

 

e.   Kelima, Memantapkan pemantauan keatas pelaksanaan semua inisiatif dengan menggunakan kaedah Penunjuk Prestasi Utama (KPIs).  Bagi memastikan inisiatif yang dirancang adalah menjurus kepada pencapaian matlamat Wawasan 2035, Kementerian sedang  memantapkan lagi kaedah Data Analytics bagi memperkesankan lagi penyediaan dasar dan pelaksanaannya.

 

f.      Keenam, Menggiatkan usaha untuk meningkatkan hasil Kerajaan.  Antara usaha Kementerian ini adalah dengan menubuhkan Taskforce Tunggakan Hasil dan Pembayaran pada bulan Disember 2017 dan sebuah Unit Kawalan Credit pada bulan Januari 2018.  Alhamdulillah setakat ini, usaha ini telah menunjukkan perkembangan dimana sejumlah hampir $5.7 Juta Ringgit Brunei hasil yang tertunggak telah berjaya dikutip.

 

g.   Ketujuh, Usaha kearah mengurangkan perbelanjaan.  Dalam pengurusan peruntukan yang terkawal, langkah kearah mengurangkan perbelanjaan akan terus dipertingkatkan.  Antaranya adalah dari segi penjimatan penggunaan tenaga elektrik.  Sebagai contoh, Jabatan Penerbangan Awam telah dapat membuat penjimatan hampir $284,000.00 (Dua Ratus Lapan Puluh Empat Ribu Ringgit Brunei) bagi sepanjang tahun 2017.

 

h.   Dan Kelapan, Memudahcara perniagaan dan perhubungan industri dengan mengukuhkan kerjasama dengan pihak-pihak yang berkepentingan.  Kementerian ini secara berterusan mengadakan sesi-sesi bermesyuarah bersama berbagai pihak berkepentingan, khususnya di peringkat akar umbi bagi memastikan apa jua penyediaan dan pelaksanaan dasar-dasar awam atau public policies Kementerian ini adalah di buat dengan lebih terperinci dan teratur.

 

Sekianlah sahaja yang dapat kaola sampaikan mengenai beberapa perkembangan dan hala tuju Kementerian Perhubungan.  Kaola percaya dengan kerjasama dan sokongan Ahli-Ahli Yang Berhormat yang lain, Insya Allah, mudah-mudahan usaha Kementerian Perhubungan akan membuahkan hasil dan impak yang dihasratkan, khususnya kearah Menjayakan Wawasan Negara.  

Sekian. Wabillahitaufiq Wal hidayah Wassalamualaikum Warrahmatullahi Wabarakatuh,

Attachments
Speeches