Sign In
Mobirise Web Builder
Teks Ucapan Yang Berhormat Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof, Menteri Perhubungan Di Majlis Sambutan Hari Kajicuaca Sedunia 2018 Pada hari Sabtu, 24 Mac 2018

Teks Ucapan

 

Yang Berhormat Awang Abdul Mutalib

bin Pehin Orang Kaya Seri Setia

Dato Paduka Haji Mohammad Yusof

Menteri Perhubungan

 

Di Majlis Sambutan Hari Kajicuaca Sedunia 2018

 

Pada hari Sabtu,

6 Rejab 1439 bersamaan dengan 24 Mac 2018

Jam 8:30pagi

 

Bertempat di

Dewan Amar Pahlawan,

Kementerian Perhubungan

 

Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdullilahi Rabbil `Alameen Wasaalatu Wassalaamu `Ala Asyrafil Ambiae Walmursaleen, Sayidina Muhammadin Wa'alaa Aalihiee Wasahbihee Ajama'een.

 

Yang Mulia

Awang Muhamad Husaini bin Aji

Pemangku Pengarah Kajicuaca Selaku Pengerusi Majlis

 

Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara yang hadir

 

Yang Mulia

Awang Haji Azhar bin Haji Ahmad

Setiausaha Tetap, Kementerian Perhubungan

 

Yang Mulia

Dr. Awang Haji Supry bin Haji Awang Ladi

Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Perhubungan


Yang Mulia Ketua-Ketua Jabatan, Pengarah-Pengarah dan Jemputan Khas, rakan-rakan dari Media, Swasta dan Sukarelawan serta para hadirin hadirat yang dihormati sekalian.

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan selamat pagi,

 

1.           Alhamdullilah, bersyukur kita kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan taufik, hidayah dan limpah kurnia-Nya jua kita dapat meraikan Majlis Sambutan Hari Kajicuaca Sedunia Tahun 2018 pada pagi ini.


2.           Pertama sekali, saya ingin mengucapkan syabas kepada Jabatan Kajicuaca Negara Brunei Darussalam atas inisiatif mengadakan Sambutan Hari Kajicuaca Sedunia pada tahun ini. Dengan tema 'Weather-Ready, Climate-Smart" atau Siap Siaga Cuaca Bijak Iklim, inisiatif ini menggambarkan antara usaha berterusan Jabatan Kajicuaca untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman awam mengenai peranan kajicuaca dalam kehidupan harian kita.

 

Hadirin dan hadirat yang di hormati sekalian,

 

3.           Saya juga ingin mendahului ucapan ini dengan memanjatkan kesyukuran kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana Negara Brunei Darussalam, Alhamdullillah, dilindungi dari kejadian bencana alam berimpak tinggi yang kita lihat berlaku di beberapa buah negara, baik di rantau yang terdekat mahupun yang jauh.

 

4.           Walaupun sedemikian, saya melihat adalah penting Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam untuk sentiasa bersiap siaga  proaktif dalam menyediakan maklumat ramalan cuaca harian mahupun ramalan iklim jangka panjang dan seterusnya menyampaikannya kepada agensi-agensi berwajib serta pengguna.

 

5.           Peranan dan khidmat sebeginilah yang dapat memupuk kesiap siagaan masyarakat dalam menghadapi keadaan cuaca.  Seterusnya, para pengguna akan dapat mengambil langkah bijak dalam menghadapi dan menangani sebarang risiko berkaitan dengan cuaca, iklim dan air.

6.            Dalam hal ini, saya difahamkan bahawa Jabatan Kajicuaca telah dan sedang mempertingkatkan lagi keupayaannya dalam membuat pencerapan cuaca dan pelaksanaan sistem amaran cuaca awal atau early warning systems.   Langkah ini adalah sangat bertepatan dengan hala tuju dan tumpuan Kementerian Perhubungan iaitu, memperkemaskan pelaksanaan dasar yang menyumbang kepada keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

 7.            Bagi mendokong tumpuan ini, Jabatan Kajicuaca telahpun diperuntukkan dibawah Kemajuan Negara untuk melaksanakan projek bagi penggantian Sistem Pencerapan Cuaca di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei iaitu projek (Airport Automatic Weather Observation System – AWOS). Sistem ini adalah untuk kegunaan operasi dan keselamatan penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.  Saya percaya dengan pelaksanaan projek ini nanti, In shaa Allah, akan meningkatkan aspek keselamatan penerbangan awam di Negara ini, selaras dengan piawaian yang ditetapkan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa.

 

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian,

 

8.            Memang diakui bahawa maklumat kajicuaca yang tepat dan disampaikan secara meluas akan mendokong aktiviti di pelbagai sektor ekonomi.  Apa yang lebih penting lagi, ianya menjurus kepada keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.

 

9.           Untuk memupuk dan membudayakan mindset bijak iklim atau 'weather-smart', memerlukan sokongan padu pelbagai pihak dan lapisan masyarakat.  Dalam hal ini, sebagai pengguna secara amnya, kita perlu peka kepada perubahan cuaca dan seterusnya dapat memanfaatkan maklumat cuaca untuk keselamatan dan kesejahteraan bersama. 
 

10.         Di sini saya ingin menekankan bahawa adalah penting untuk kita mendapatkan maklumat cuaca dari sumber-sumber yang sahih dan diperakui, iaitu daripada Jabatan Kajicuaca Negara Brunei Darussalam.  Dalam hal ini, Jabatan Kajicuaca aktif memberikan maklumat cuaca dengan mengeluarkan lebih dari 360,000 ramalan cuaca awam dan 23,000 ramalan cuaca penerbangan dalam setahun.  Manakala pada tahun 2017, sejumlah 338 amaran cuaca berkod warna telah dikeluarkan oleh Pusat Ramalan Cuaca.

11.        Saya juga difahamkan bahawa sepanjang tahun 2017, Jabatan Kajicuaca memberi maklumbalas ke atas lima (5) maklumat kajicuaca yang bukan rasmi dan tidak berasas seperti ditularkan di Media Sosial. 

12.        Dengan adanya jumlah penggunaan Media Sosial yang tinggi di Negara ini, langkah Jabatan Kajicuaca dalam pemberigaan maklumat cuaca yang rasmi dan sahih melalui Media Sosial adalah sangat dialu-alukan sebagai satu kaedah penyampaian maklumat yang berkesan.

13.        Saya berharap Jabatan Kajicuaca akan terus mempelbagaikan usaha untuk meningkatkan kepekaan orang ramai terhadap apa jua khidmat dan produk kajicuaca yang dihasilkan.

14.        Saya juga turut mengalu-alukan sokongan padu dan kerjasama daripada pelbagai pihak khususnya para sukarelawan dan pertubuhan-pertubuhan bukan Kerajaan, pihak peramal cuaca dan pengagihan amaran, pihak media, dan agensi-agensi menangani bencana.  Sekaligus dengan harapan kerjasama ini akan dapat membentuk sistem amaran awal yang lebih mantap, berkesan, cekap dan menyeluruh.

 

Hadirin dan hadirat yang di hormati sekalian,

 

15.        Saya dimaklumkan majlis pagi ini akan diselajurkan jua dengan pelancaran National Weather Briefing, seperti yang disebutkan oleh Pengersi Majlis tadi, yang antaralainnya bertujuan untuk memberikan satu wadah bagi interaksi antara Jabatan Kajicuaca dan para pengguna.


16.        Saya percaya bahawa pengenalan National Weather Briefing ini akan menjurus kearah sistem amaran awal yang mudah difahami dan lebih memudahcara pihak-pihak berkepentingan seperti petani, nelayan, dan lain-lain pengamal bidang profesional, dengan keperluan kajicuaca mereka.

17.        Akhirnya, saya sekali lagi mengucapkan syabas dan tahniah kepada Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam di atas pelancaran National Weather Briefing pada hari ini. Saya seterusnya berharap agar Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam akan maju jaya dan terus berinovasi dalam memberikan perkhidmatan kajicuaca kepada pengguna dan masyarakat.  

18.        Terima kasih juga kepada semua ahli jawatankuasa kerja atas usaha biskita semua menjayakan majlis dan aktiviti bagi Sambutan Hari Kajicuaca Sedunia pada tahun ini.

 

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Attachments
Speeches