Ucapan oleh
Yang Berhormat Awang Abdul Mutalib
bin Pehin Orang Kaya Seri Setia
Dato Paduka Haji Mohammad Yusof
Menteri Perhubungan
untuk
Majlis Perasmian Projek Memperkasa Masyarakat Berdayatahan Menuju Wawasan 2035 dan Majlis Pelancaran Kempen Berhemah di Jalan Raya
Pada: Hari Ahad
25 Ramadhan 1439 / 10hb Jun 2018, 10:30 pagi
Bertempat
Centrepoint Hotel, Gadong
Alhamdullilahi Rabbil `Alameen Wasaalatu Wassalaamu `Ala Asyrafil Ambiae Walmursaleen, Sayidina Muhammadin Wa’alaa Aalihiee Wasahbihee Ajama’een.
Yang Mulia Awang Haji Muhammad Suhaimi bin Haji Ibrahim, Presiden Persatuan Bulan Sabit Merah,
Negara Brunei Darussalam
Yang Mulia, Awang Haji Mohd Hilhamd bin Haji Johari, Pengerusi Majlis
Yang Mulia, Presiden Kehormat Sepanjang Hayat, Datin Hajah Dayang Siti Hajar bin POKSS DP Haji Mohd Yussof
Yang Mulia Awang Haji Azhar bin Haji Ahmad,
Setiausaha Tetap, Kementerian Perhubungan
Yang Mulia Dr. Awang Haji Supry bin Haji Awang Ladi
Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Perhubungan
Para hadirin dan hadirat, ahli-ahli Persatuan Bulan Sabit Merah dan rakan-rakan media yang saya hormati sekalian,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan selamat pagi.
1. Alhamdullilah, saya sangat berbesar hati untuk menghadiri Majlis Perasmian Projek Memperkasa Masyarakat Berdayatahan Menuju Wawasan 2035 dan Majlis Pelancaran Kempen Berhemah di Jalan Raya, yang dianjurkan oleh Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam.
2. Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam di atas inisiatif ini.
3. Majlis yang kita hadiri pada pagi ini menggambarkan usaha bersepadu diantara pihak Kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan dalam memberi penekanan keatas perkara-perkara yang menjadi kepentingan kepada Kerajaan dan orang ramai. Usaha ini adalah sesuatu yang sangat dialu-alukan dan dihargai.
4. Sebagai sebuah pertubuhan yang sudah bertapak sejak 70 tahun lalu, penglibatan Persatuan Bulan Sabit Merah adalah tidak asing lagi dengan Kementerian Perhubungan. Sebagai contoh pada tahun 2012, persatuan ini telah bekerjasama dengan Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) dalam program Road Safety Pledging yang membawa 5 penekanan iaitu penggunaan tali pinggang keledar, memandu tidak melebihi had laju, tidak menggunakan telefon bimbit semasa memandu, menggunakan lorong pejalan kaki dan tidak mengekori kereta di hadapan dengan rapat (Tailgaiting).
Para hadirin dan hadirat sekalian,
5. Saya difahamkan Persatuan ini melalui Program Memperkasa Masyarakat Berdayatahan Menuju Wawasan 2035 ini akan mengambil 4 langkah utama sebagai inisiatif yang akan melibatkan pelbagai agensi berkaitan iaitu:
(i) Keselamatan dalam Masyarakat
(ii) Keselamatan di Jalanraya
(iii) Keselamatan di Sekolah; dan
(iv) Membudayakan Keselamatan dalam Masyarakat
Ini adalah menyokong dan pendekatan ‘Whole of Nation’ yang menekankan penglibatan bersepadu di antara pihak Kerajaan, swasta, NGOs dan masyarakat bagi mencapai impak dan kemajuan yang luas, berdayatahan dan mendalam.
6. Dalam sektor perhubungan, dengan perkembangan era digital, perhubungan pantas dan penggunaan media sosial yang tinggi pada masa ini, adalah penting bagi kita membina ketahanan diri (atau resilience) dalam menghadapi cabaran yang boleh mempengaruhi pemikiran dan gaya hidup kita.
7. Dalam hubungan ini, masyarakat, khususnya para belia adalah penting untuk dilengkapi dengan ilmu, kemahiran dan nilai jati diri yang kukuh berlandaskan falsafah Melayu Islam Beraja (MIB).
8. Ini termasuk jua tabiat seperti menggunakan telefon bimbit, tidak memakai tali pinggang keledar semasa memandu, memandu melebihi had laju dan memandu dibawah pengaruh alkohol yang boleh menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya. Sikap-sikap ini perlu dielakkan sama sekali.
9. Saya ingin mengongsikan bahawa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan 1.25 juta kehilangan nyawa setiap tahun akibat kemalangan jalan raya. WHO juga menyatakan bahawa risiko kemalangan terjadi meningkat sebanyak 4 kali ganda apabila menggunakan telefon bimbit semasa memandu. Tabiat ini masih berleluasa di kalangan pemandu di negara ini.
10. Kajian yang dibuat oleh Pusat Penyelidikan Pengangkutan UTB ke atas 4 batang jalan raya utama sahaja menunjukkan sekurang-kurangnya 2 dari 10 orang pemandu menggunakan telefon bimbit semasa memandu. Saya berpendapat nisbah ini belum menggambarkan keadaan yang sebenarnya.
11. Hasil dari operasi yang dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Darat, pada bulan April dan Mei tahun ini sahaja, 10 orang pemandu telah dikenakan kompaun setiap seorang sebanyak $200.00 dan 12 mata demerit SiKAP atau Sistem Keselamatan Amalan Pemandu, atas kesalahan ini.
12. Begitu juga dengan tabiat tidak memakai tali pinggang keledar semasa memandu adalah juga salah satu nilai jati diri yang perlu diperbaiki. Perlu kita ketahui bahawa menurut satu kajiselidik yang telah dibuat oleh WHO, pemakaian tali pinggang keledar semasa kejadian kemalangan boleh mengurangkan risiko nahas sebanyak 40 ke 50 peratus bagi pemandu dan penumpang di hadapan dalam kenderaan. Manakala bagi penumpang di belakang (rear seat passengers) pengurangan sebanyak 25 peratus.
13. Tabiat ini juga masih berleluasa di kalangan pemandu di negara ini. Ini terbukti dimana daripada operasi Jabatan Pengangkutan Darat padal bulan April dan Mei tahun ini, sekurang-kurangnya 17 pemandu setiap seorang dikenakan kompaun $150 dan 9 mata demerit SiKAP. Ini adalah menjadi isu dan sangat – sangat diambil concern oleh kita semua.
14. Lebih membimbangkan jua adalah tabiat memandu dibawah pengaruh alkohol. Pada tahun ini sahaja, dua kes kemalangan kehilangan nyawa telah direkodkan akibat memandu dibawah pengaruh alkohol. Salah satu daripada kes yang menyayat hati dan patut diambil perhatian serius ialah apabila mangsa yang terkorban bukanlah pemandu berkenaan tetapi seorang belia yang nahas kemalangan berpunca dari pemandu yang dibawah pengaruh alcohol.
Hadirin dan hadirat sekalian,
15. Disinilah saya percaya program ini sangat sesuai dan tepat untuk mendokong kedayatahanan masyarakat terutama sekali belia selaras dengan Wawasan 2035.
16. Saya percaya perlaksanaan program termasuk Kempen Berhemah di Jalan Raya yang juga akan dilancarkan pada pagi ini dapat memberi manfaat berpanjangan, khususnya dalam membudayakan kesedaran keselamatan diri dan menanamkan amalan memandu yang berhemah dikalangan para pengguna jalan raya.
17. Alhamdulillah, saya juga turut dimaklumkan bahawa program ini mendapat sambutan positif dikalangan para ahli Persatuan dan nanti akan dilaratkan juga untuk penyertaan masyarakat awam.
18. Dalam hal ini, selaku Pengerusi MKKJR, saya sangat mengalu-alukan penyertaan masyarakat awam dalam program ini.
19. Saya juga ingin menyeru pihak-pihak NGO yang lain untuk mengadakan inisiatif masing-masing ke arah kesejahteraan dan keselamatan masyarakat.
20. Semoga dengan program ini dan apajua yang diusahakan akan mendapat keredhaan Allah Subhanahu Wata’ala, serta dapat membentuk masyarakat dan belia yang bertanggungjawab, berhemah dan berdisiplin untuk kesejahteraan kita semua.
Hadirin dan hadirat sekalian,
21. Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Presiden Kehormat Sepanjang Hayat dan ahli-ahli Persatuan Bulan Sabit Merah atas lantikan dan tauliahan kenaikan pangkat yang wajar dicontohi dan dihargai.
22. Terima kasih juga kepada Persatuan Bulan Sabit Merah kerana mengundang saya untuk melancarkan majlis pada pagi ini.
23. Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah Assalamualaikum Warahmahtullahi Wabarakatuh.