Sembah Alu-Aluan Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof Menteri Perhubungan Pada Hari Khamis, 18hb Zulhijjah 1439 / 30hb Ogos 2018 Semasa Majlis Anugerah BICTA 2018 Bertempat di Dewan Persidangan Utama Pusat Persidangan Antarabangsa |
Bismillah Hirrahma Nirrahim
Alhamdullilahi Rabbil `Alameen Wasaalatu Wassalaamu `Ala Asyrafil Ambiae Walmursaleen, Saidina Muhammadin Wa'alaa Aalihiee Wasahbihee Ajama'een.
Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh
1. Mengadap Kehadapan Majlis Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, selaku Penaung Diraja BICTA.
2. Alhamdulillah, dengan penuh rasa kesyukuran kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala, dengan izin dan rahmatNya jua, Majlis Anugerah Teknologi Info-komunikasi Brunei atau Brunei ICT Awards (BICTA) 2018 dapat dilangsungkan pada hari ini.
3. Hamba Duli Tuanku, mewakili keseluruhan Ahli-ahli Jawatankuasa Pandu dan Jawatankuasa Kerja BICTA 2018, dengan penuh hormat dan takzim menyembahkan setinggi-tinggi menjunjung kasih di atas keberangkatan Duli Tuanku sebagai Tetamu Kehormat bagi majlis BICTA 2018 ini.
4. Hamba Duli Tuanku berkeyakinan bahawa keberangkatan Duli Tuanku dan seterusnya berkenan menyempurnakan pengurniaan hadiah-hadiah dan Anugerah Penaung Diraja (Royal Patron Award) pada pagi ini, menjadi sumber motivasi yang tinggi kepada para penggiat industri ICT tempatan dan para belia untuk terus meningkatkan semangat daya saing, kemahiran dan innovasi.
Beribu ampun,
5. Alhamdulillah, pada tahun ini, BICTA dapat dilaksanakan hasil kerjasama padu diantara Kementerian Perhubungan, Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-komunikasi (AITI) dan Infocom Federation of Brunei (IFB).
6. BICTA 2018 mempertandingkan tiga kategori, iaitu Kategori Industri ICT, Kategori Projek Pengajian Tinggi dan Kategori Projek Sekolah. Dengan kategori yang dibukakan ini, BICTA 2018 terus mendapat sambutan yang positif. Pada tahun ini, hampir 50 peratus (%) dari penyertaan yang diterima adalah untuk kategori Projek Pengajian Tinggi yang banyak mengetengahkan penglibatan dari kalangan belia.
7. Alhamdulillah, penyertaan yang konsisten ini menunjukkan semangat para belia pada menjunjung tinggi titah Paduka Ayahanda Duli Tuanku, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, sempena Sambutan Hari Belia Kebangsaan ke-13 pada tahun ini. Titah Baginda, antaralainnya, menggalakkan bagi para belia untuk lebih kreatif lagi memperkasa diri masing-masing.
8. Dengan objektif untuk menggalakkan innovasi dan sebagai penanda aras pada perkembangan produk ICT tempatan, BICTA adalah landasan yang bertepatan bagi penggiat industri dan pelajar untuk memperkembangkan hasil daya cipta, kreativiti dan innovasi.
9. Selaras dengan objektif ini, pemenang tempat pertama dan kedua bagi kategori Industri ICT dan Projek Pengajian Tinggi akan menerima hadiah wang tunai dalam bentuk 'grant' yang bertujuan untuk memajukan produk yang dihasilkan. Manakala bagi pemenang kategori yang lain, akan menerima hadiah trofi, sijil dan wang tunai. Pemenang BICTA juga berpeluang untuk mewakili Negara ke Asia Pacific ICT Alliance Awards (APICTA) yang akan diadakan di Guangzhou, Republik Rakyat China pada bulan Oktober 2018 nanti.
10. Berbeza dari tahun-tahun sebelum ini BICTA 2018 memperkenalkan elemen baharu iaitu BICTA Plus. Melalui beberapa sesi bengkel dan seminar, peserta BICTA yang terpilih dibimbing untuk lebih memantapkan persediaan dalam menghadapi persaingan di peringkat seterusnya.
Beribu ampun,
11. Sebelum hamba Duli Tuanku menjunjung anugeraha berundur diri, hamba Duli Tuanku dengan penuh hormat dan takzim menyembahkan setinggi-tinggi menjunjung kasih diatas keberangkatan Duli Tuanku ke Majlis Anugerah BICTA 2018 pada pagi ini.
12. Hamba Duli Tuanku menjunjung sabda perkenan untuk merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat atas sumbangan buah fikiran dan komitmen bagi menjayakan BICTA 2018. Hanya Allah Subhanahu Wataa'ala sahaja yang dapat membalasnya.
13. Hamba Duli Tuanku juga seterusnya menjunjung perkenan untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diatas keberangkatan dan kehadiran Timbalan-Timbalan Menteri, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, ketua-ketua perwakilan dari negara-negara sahabat, pegawai-pegawai kanan dan semua yang hadir.
14. Pada mengakhiri sembah alu-aluan ini, hamba Duli Tuanku dengan penuh hormat dan takzim menyembahkan berbanyak-banyak menjunjung ampun sekiranya terdapat sebarang suruk langkah dan tutur kata yang kurang manis dalam sembah alu-aluan hamba Duli Tuanku dan dalam majlis pada pagi ini.
Sekian Wabillahi Taufik Wal Hidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Hamba Duli Tuanku menjunjung anugeraha.