Sign In
Mobirise Web Builder
Sembah Alu-Aluan Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof Menteri Perhubungan selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya 2018

Sembah Alu-Aluan

 

Yang Berhormat

 Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib

bin Pehin Orang Kaya Seri Setia

Dato Paduka Haji Mohammad Yusof

Menteri Perhubungan

Selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya

 

Pada

 

Hari Sabtu, 23hb Rabiulawal 1440 /

1hb Disember 2018

 

Semasa

 

Majlis Pelancaran Minggu Keselamatan Jalan Raya Sempena Hari Memperingati Mangsa-mangsa Lalu Lintas Jalan Raya Sedunia 2018

 

Bertempat di

 

Indera Kayangan Ballroom

Empire Hotel and Country Club,  Jerudong

 

 

 

 

 

 

1.              Mengadap Kehadapan Majlis Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna binti Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Ambassador-at-large, di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, selaku Penaung Diraja Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR).

 

2.              Alhamdulillah, segala puji-pujian kepada Allah Subhanahu Wata'ala jua kerana dengan izin dan rahmatNya, Majlis Pelancaran Minggu Keselamatan Jalan Raya sempena Hari Memperingati Mangsa-mangsa Lalu Lintas Jalan Raya Sedunia bagi tahun 2018 dapat dilangsungkan pada hari ini.

 

3.              Hamba Tuanku mewakili MKKJR, peserta Minggu Keselamatan Jalan Raya serta keseluruhan Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja, dengan penuh hormat dan takzim menyembahkan setinggi-tinggi menjunjung kasih di atas keberangkatan Tuanku sebagai Tetamu Kehormat bagi majlis ini.  

 

4.              Sesungguhnya, keberangkatan Tuanku ini dan seterusnya berkenan untuk melancarkan Minggu Keselamatan Jalan Raya dan mengurniakan sabda, menggambarkan keprihatinan dan sokongan Tuanku dalam usaha meningkatkan keselamatan jalan raya di Negara ini.

 

 

Beribu ampun,

 

5.              Pada tahun 2011, Tuanku telah berkenan berangkat melancarkan "Blueprint Decade of Action for Road Safety 2011 – 2020". 

 

6.              Majlis pada pagi ini menggambarkan usaha berterusan Negara Brunei Darussalam dalam mengangkat kepentingan isu keselamatan jalan raya.  Ini termasuk pelaksanaan inisiatif-inisiatif bagi mendokong pelan-pelan tindakan yang dikenalpasti didalam Blueprint berkenaan. 

 

7.              Kearah ini, MKKJR terus aktif mengorak langkah dengan perubahan dalam keahlian dan pendekatannya. 

 

8.              Alhamdulillah, sejak bulan Mac 2018, keahlian MKKJR telah dikemaskini dengan pengerusinya yang diangkat ke peringkat Menteri. 

 

9.              Selain itu, MKKJR juga dimantapkan keahliannya yang terdiri daripada beberapa agensi Kerajaan diperingkat Setiausaha Tetap, sektor swasta, institusi pendidikan dan tiga orang Duta, iaitu Ambassadors MKKJR bagi mendokong usaha pemberigaan yang berterusan.

 

10.         Dalam hal ini, MKKJR telah menubuhkan empat kumpulan tindakan yang saling melengkapi dalam pelaksanaan inisiatif masing-masing.  Kumpulan-kumpulan tindakan ini adalah:-

 

i.              Pertama, Kumpulan Tindakan Media dan Pemberigaan;

 

ii.            Kedua, Kumpulan Tindakan Teknikal dan Infrastruktur;

 

iii.           Ketiga, Kumpulan Tindakan Undang-undang dan Penguatkuasaan; dan

 

iv.          Keempat, Kumpulan Tindakan Penyelidikan  dan Perkembangan.  

 

11.         Melalui pendekatan ini, perkongsian maklumat, penyelarasan data dan sumber-sumber dapat dimanfaatkan dan diselaraskan dengan sebaiknya, dalam merangka inisiatif baharu, mahupun juga dalam menghadapi cabaran yang sedia ada.

 

Beribu ampun, 

 

12.         Pada tahun ini, terdapat pembaharuan yang dilaksanakan oleh MKKJR dengan sokongan padu pelbagai agensi untuk menyambut Hari Memperingati Mangsa-mangsa Lalu Lintas Jalan Raya Sedunia. 

 

13.         Permuafakatan ini menggambarkan komitmen dan kefahaman kukuh bahawa keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab bersama.

 

14.         Dengan tema Jalan Raya Mempunyai Cerita atau Roads Have Stories, sambutan pada tahun ini, mengetengahkan pelbagai aktiviti yang diusahakan oleh agensi-agensi Kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan.

 

15.         Selain dari aktiviti-aktiviti keugamaan seperti yang selazimnya diungkayahkan, satu pameran menampilkan pelbagai inisiatif dalam mendokong keselamatan jalan raya juga diadakan.

 

16.         Turut berjalan sepanjang minggu ini adalah program-program pemberigaan, sesi latihan dan taklimat serta aktiviti riadah bagi menggalakkan penglibatan yang meluas dari semua lapisan masyarakat.

 

17.         Pada tahun ini, buat julung kalinya diadakan Penyampaian Anugerah Penghargaan kepada Penyumbang Utama Program Keselamatan Jalan Raya 2018. 

 

18.         Anugerah ini bertujuan untuk memberi pengiktirafan kepada pihak-pihak yang sentiasa memberikan sokongan kuat kepada program keselamatan jalan raya.

 

 

 

Beribu ampun,

 

19.         Sebelum hamba Tuanku menjunjung anugeraha berundur diri, hamba Tuanku dengan penuh hormat dan takzim menyembahkan setinggi-tinggi menjunjung kasih diatas keberangkatan Tuanku ke Majlis Pelancaran Minggu Keselamatan Jalan Raya sempena Hari Memperingati Mangsa-mangsa Lalu Lintas Jalan Raya Sedunia bagi tahun 2018.

 

20.          Hamba Tuanku menjunjung sabda perkenan untuk merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat atas sumbangan buah fikiran dan komitmen bagi menjayakan Minggu Keselamatan Jalan Raya.

 

21.         Hamba Tuanku juga seterusnya menjunjung perkenan untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diatas kehadiran Timbalan Menteri, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat, ketua-ketua perwakilan dari negara-negara sahabat, Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap, pegawai-pegawai kanan dan semua yang hadir.  

 

22.         Pada mengakhiri sembah alu-aluan ini, hamba Tuanku dengan penuh hormat dan takzim menyembahkan berbanyak-banyak menjunjung ampun sekiranya terdapat sebarang suruk langkah dan tutur kata yang kurang manis dalam sembah alu-aluan hamba Tuanku dan dalam majlis pada pagi ini.

 

Sekian Wabillahi Taufik Wal Hidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

Hamba Tuanku menjunjung anugeraha.

 

 

 

 


Attachments
Speeches