1. Negara Brunei Darussalam dan Negara-negara ahli Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) memperingati Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Bermaklumat Sedunia (WTISD) pada 17 Mei setiap tahun. Tahun ini menandakan Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Bermaklumat yang ke-50. Tema pada tahun ini adalah “Merapatkan Jurang Penyeragaman” atau “Bridging the Standardisation Gap” yang telahpun dipilih untuk menonjolkan jurang-jurang dalam piawaian ICT. Pemilihan tema ini sememangnya bersesuaian dan bertepatan dengan masanya, terutama sekali dengan kemunculan teknologi-teknologi baharu masakini.
2. ITU berhasrat untuk memudahcara penyertaan berkesan dikalangan Negara-negara membangun dalam proses penyediaan piawaian-piawaian ITU, untuk menyebarkan maklumat mengenai piawaian-piawaian yang sedia ada dan juga untuk membantu Negara-negara membangun dalam perlaksanaan piawaian-piawaian tersebut. Kesemua Negara perlu berupaya untuk menentukan piawaian yang bersesuaian kepada keperluan pembangunan masing-masing, terutama sekali bagi kemajuan ekonomi dan inovasi teknologi.
3. Penyeragaman piawaian membolehkan sistem-sistem atau peralatan berlainan untuk berinteroperasi atau berhubung antara sesamanya. Maka ianya merupakan antara komponen asas untuk menyediakan perkhidmatan ICT sedunia yang ‘accessible’ pada harga berpatutan dengan teknologi terkini. Piawaian juga memberikan pengguna pilihan meluas mengenai spesifikasi dan produk-produk ICT. Ianya juga membolehkan industri untuk lebih berdaya saing dalam pasaran disamping membantu meningkatkan fungsi Kerajaan melalui pemudahcaraan kerjasama agensi-agensi berkaitan dan pertukaran maklumat secara konsisten. Misalnya semasa kejadian bencana, adalah penting bagi agensi-agensi Kerajaan, para penyelamat, para doktor dan pihak-pihak berkenaan yang lain untuk dapat berhubungan menggunakan teknologi yang berinteroperasi.
4. Dengan penekanan yang semakin meningkat kearah “Smart Nation”, Negara Brunei Darussalam perlu menyediakan diri dalam kemunculan Revolusi Industri Ke-4 (4th IR), termasuk bagi teknologi 5G. 5G membolehkan pengumpulan data yang segera daripada mesin dan peralatan berlainan dengan lebih berkesan. 5G juga mempunyai kapasiti bagi menangani pelbagai aplikasi permintaan tinggi secara sekaligus seperti “autonomous vehicles”, “Internet of Things (IoT)” dan pelbagai rangkaian sensor seluruh Negara. Walaubagaimanapun, tanpa piawaian, sensor dan peralatan ini mungkin tidak akan berupaya untuk berinteroperasi dengan sebaiknya, dan akan menjejaskan perlaksanaan strategi-strategi dan program-program kearah merealisasikan ekonomi digital dan Smart Nation.
5. Alhamdulillah, Negara Brunei Darussalam kini mempunyai konektiviti tinggi dalam sektor ICT. Penembusan jalurlebar mudah alih dikalangan penduduk telahpun mencapai 130 bagi setiap 100 penduduk pada tahun 2018. Data ini mencerminkan penggunan jalurlebar mudah alih yang tinggi oleh penduduk Negara ini. Ianya juga bermakna adanya kesediaan yang tinggi dikalangan pengguna di Negara Brunei Darussalam untuk menerima dan menggunapakai perkhidmatan dan teknologi baru. Ini merupakan satu trend yang menggalakkan dan selaras dengan dasar penstrukturan semula industri ICT yang berjalan pada masa ini. In shaa Allah, para pengguna di Negara Brunei Darussalam boleh menjangkakan akses yang lebih meluas kepada berbagai perkhidmatan ICT dengan kelajuan yang lebih tinggi dan harga yang lebih berdaya saing.
6. Dengan trend terkini ini serta kemunculan teknologi 5G, adalah sangat penting bagi Negara Brunei Darussalam untuk terus membangun rangka kerja piawaiannya yang pada masa ini masih dalam peringkat awal penyediaannya. Untuk membangun keupayaan piawaian optima dan merapatkan jurang penyeragaman bagi Negara Brunei Darussalam, adalah sangat penting bagi industri di seluruh Negara untuk mengakui piawaian ICT sebagai rujukan utama dalam menerima pakai dan mengimpot peralatan dan teknologi terkini. Dalam pada itu, satu rangkakerja penyeragaman kebangsaan bagi peralatan dan teknologi ICT memainkan peranan utama dalam transformasi digital ekonomi dan masyarakat umum Negara Brunei Darussalam.
7. Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) Negara Brunei Darussalam melalui AITI telahpun melaksanakan inisiatif-inisiatif kearah menjana pemahaman yang lebih mendalam antara pihak-pihak yang berkepentingan mengenai piawaian dan teknologi-teknologi baharu yang muncul. Ini termasuk kolaborasi bersama ITU dalam penyediaan “Brunei Darussalam 5G Market Readiness Report 2018”. Laporan ini telahpun menilai kesediaan Negara Brunei Darussalam untuk menyokong perlaksanaan rangkaian 5G akan datang berasaskan kepada tandaaras antarabangsa dan input daripada pihak-pihak berkepentingan yang berkaitan dalam sektor ICT.
8. Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, kita telahpun melihat inisiatif-inisiatif berkolaborasi yang berterusan diantara Negara Brunei Darussalam, melalui MTIC dan AITI, bersama dengan ITU yang bertujuan untuk membekalkan industri dan pihak-pihak berkepentingan dengan pemahaman yang lebih mendalam mengenai kemunculan teknologi-teknologi baharu. Hasil atau “deliverable” signifikan daripada inisiatif-insiaitif ini bukan sahaja dalam bentuk pengetahuan yang diperolehi daripada pakar-pakar tetapi juga dalam bentuk pembentukan satu pendekatan yang lebih selaras dan holistik merentasi pelbagai sektor ekonomi dalam usahasama mencapai objektif-objektif Wawasan Brunei 2035.