UCAPAN
Yang Berhormat
Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin
Pehin Orang Kaya Seri Setia
Dato Paduka Haji Mohammad Yusof
Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi
Selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya
(MKKJR)
Sempena
Majlis Sempena Hari Memperingati Mangsa-Mangsa Lalu Lintas
Jalan Raya Sedunia Tahun 2020
(World Day of Remembrance For Road Traffic Victims 2020)
Pada
Hari Sabtu, 28hb November 2020
Bertempat
Dewan Amar Pahlawan
Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi
Bismillahir Rahmanir Rahim,
Alhamdulillahi Rabbil 'Alamin Wassalatu Wassalamu 'Ala-Asyarafil Anbiya'e Wal Mursalin Saidina Muhammadin Wa'ala Alihi Wasahbihi Ajma'in
Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara yang Peramba/Kaola/Saya hormati sekalian,
Yang Mulia Setiausaha Tetap-Setiausaha Tetap,
Yang Mulia Ahli-Ahli Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR)
Yang Mulia Para Perwakilan dari pihak swasta Ketua-ketua Jabatan, Pegawai-pegawai kanan Dan akhir sekali,
Yang Mulia rakan-rakan dari pihak media yang hadir disini,
Assalamu'alaikum warahmatullahi Wabarakatuh, dan selamat pagi.
- Alhamdulillah syukur kita kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana diatas limpah, rahmat dan izinNya jua, kita dapat sama-sama berkumpul di Majlis Sempena Hari Memperingati Mangsa- mangsa Lalu Lintas Jalan Raya Sedunia Tahun 2020 pada pagi ini.
Seperti yang dianjurkan oleh Persatuan Kesihatan
Sedunia (WHO), Hari Memperingati Mangsa- Mangsa Lalu Lintas memberi pengkhususan bukan sahaja kepada mereka yang telah menjadi mangsa kemalangan tetapi juga kepada semua pihak yang terlibat dalam sama-sama menangani fenomena ini - dan ini termasuk ahli keluarga mereka, pihak- pihak berkepentingan antara lainnya seperti pakar- pakar dan pegawai perubatan, pakar-pakar dan pegawai penyelidikan, agensi-agensi
penguatkuasaan dan penyelamat sebagai contoh.
- Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya Brunei Darussalam (MKKJR) sekali lagi menganjurkan sambutan pada tahun ini dengan usaha-usaha bersepadu bersama pihak-pihak berkepentingan yang lain.
- Dalam sama-sama mensejajarkan usaha-usaha tersebut, izinkan peramba/saya mengongsikan empat (4) perkembangan terkini, empat (4) perkara.
Alhamdulillah, mula-mula sekali perkara pertama
yang ingin peramba/saya kongsikan sini adalah mengenai aplikasi mudah alih TransportBN ataupun TransportBN Mobile Apps dan semenjak aplikasi mudah alih ini diperkenalkan pada bulan September 2019 tahun lepas, statistik menunjukkan sehingga 21 November tahun ini 2020, sejumlah 41,600 pendaftaran bagi aplikasi ini telah dimuat turun melalui telefon pintar, telefon bimbit (smart phones) pengguna masing-masing. Perkembangan ini sedikit sebanyak memberikan gambaran penggunaan perkhidmatan-
perkhidmatan pengangkutan darat khusunya antara lainnya secara atas talian yang semakin meningkat dan berpotensi untuk peningkatan seterusnya, Inshaa Allah.
- Dan pada waktu yang sama, perkhidmatan melalui cara biasa ke kaunter masih terus disediakan kepada sesetengah pengguna yang kurang celik IT bagi kemudahan dan keselesaan mereka.
- Seterusnya perkara ke-2 - Alhamdullillah, MKKJR dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Pengangkutan iaitu CfTR, yang berpusat di Universiti Teknologi Brunei (UTB) telahpun berjaya membina sebuah sistem database bernama RADED atau 'Road Accident Data Development and Enhancement' yang berfungsi untuk mengumpul butir-butir kemalangan yang terjadi di Negara Brunei Darussalam .
- Pihak-pihak yang berkepentingan boleh mendapat 'akses' kepada sistem RADED ini secara 'real-time'. Dan dengan demikian, maklumat dapat dikemaskini dengan segera, tepat dan berselaras.
- Sistem ini merupakan hasil reka daripada graduan- graduan tempatan Brunei sendiri dari Universiti Teknologi Brunei. Dalam hal ini, kita sama-sama berharap ianya Inshaa Allah akan turut menyumbang kepada penyediaan bagi memperolehi peluang-peluang pekerjaan bagi anak-anak tempatan kita di Negara Brunei Darussalam.
- Projek yang dibiayai oleh MKKJR ini telah pun memasuki fasa percubaan (go-live, trial period) semenjak 1 Julai 2020 tahun ini dan Inshaa Allah akan digunakan sepenuhnya mulai Januari 2021 ini nanti.
- Adalah di harapkan nanti, setelah butiran data kemalangan telah cukup dikumpul, satu "data analytics" boleh di buat untuk mengenalpasti faktor-faktor penyebab-penyebab kemalangan jalan raya.
- Ketiga - Sejak kebelakangan ini, isu keselamatan jalan raya dan sektor pengangkutan darat telah mendapat perhatian yang sangat serius di peringkat tertinggi, pihak Kerajaan dan juga swasta kerana melibatkan kesejahteraan dan keselamatan pengguna jalan raya. Antara isu terkini ini ialah perihal kenderaan terbakar dimana sehingga 19hb November 2020, statistik kenderaan terbakar telah mencatatkan 78 kes yang melibatkan sebanyak 83 buah kenderaan; berbanding dengan 80 kes yang melibatkan 84 kenderaan pada bulan November 2019 tahun lepas. Peramba/saya sangat-sangat menyarankan supaya kerjasama padu secara berterusan diantara agensi-agensi yang berkenaan akan dapat sama-sama berhasil menangani dan mengurangkan kes-kes kenderaan terbakar ini.
- Dalam hal sedemikian, sama-samalah kita khususnya Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan juga MKKJR, menjunjung tinggi titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar' Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena keberangkatan Baginda ke Kementerian ini pada 21hb Oktober 2020 yang lepas mengenai keperihatinan Baginda mengenai isu keselamatan bagi sektor pengangkutan yang semakin merisaukan.
- Perkara ini hendaklah diberikan perhatian yang serius. Penekanan juga telah diberikan terhadap isu kenderaan terbakar yangmana punca fenomena tersebut hendaklah semestinya dikaji sedalam- dalamnya dan dikenalpasti mengapa boleh berlakunya dan ianya menular di negara ini.
- Ke empat dan akhir sekali ialah bagi memantapkan lagi pengurusan dan pelaksanaan inisiatif-inisiatif yang dirancang secara sistematik, terarah dan rapi, MKKJR telah mengorak langkah dengan menggantikan Blueprint Decade of Action For Road Safety 2011 hingga 2020 kepada satu deraf The Brunei Darussalam Road Safety Strategic Plan 2025, yang kini sedang dalam pengemaskinian.
- Inshaa Allah, dengan pelan strategik yang baharu ini nanti, Majlis ini akan sedaya upaya berusaha untuk memenuhi aspirasi dan jangkaan orang ramai bagi mewujudkan persekitaran keselamatan jalan raya dan pemanduan yang lebih berhemah, selamat dan kondusif.
- Perkara ini turut terkandung didalam Brunei Declaration on Road Safety 2020 yang telah di luluskan semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Pengangkutan ASEAN ke 26 kali melalui video conference pada 24 hingga 25hb November baru- baru ini. Dokumen berkenaan antaralainnya menyokong komitmen, sokongan dan kerjasama negara-negara ahli ASEAN bagi mengurangkan mangsa kemalangan jalan raya sebanyak 50 peratus dari tahun 2020 hinggalah tahun 2030, InshaaAllah.
- Dalam kesempatan ini, saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ahli-ahli dan Duta-duta MKKJR atas sokongan dan komitmen mereka dalam melaksanakan dan menjayakan pelaksanaan inisiatif ini nanti kearah meningkatkan keselamatan jalan raya. Begitu juga, Badan-badan Bukan Kerajaan yakni NGOs yang sentiasa turut memainkan peranan penting dalam menjana tenaga dan kefahaman yang mendalam mengenai keselamatan jalan raya secara umumnya.
- Tidak lupa juga, peramba/saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada Jawatankuasa- jawatankuasa yang terlibat bagi menjayakan Majlis hari ini.
- Mudah-mudahan usaha yang dijalankan ini mendapat keberkatan dari Allah Subahanahu Wata'ala jua.
- Sekian, Wabillahi Taufik Wal Hidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.