UCAPAN
Yang Berhormat
Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib
bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof
Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi
Selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR)
Sempena
Majlis Pelancaran
“The Brunei Darussalam Road Safety Strategic Plan 2025”
Pada
Isnin 28 Disember 2020/ 13 Jamadilawal 1442
Bertempat
Di Dewan Amar Pahlawan
Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi
Bismillahir Rahmanir Rahim,
Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamin Wassalatu Wassalamu ‘Ala-Asyarafil Anbiya’e Wal Mursalin Saidina Muhammadin Wa’ala Alihi Wasahbihi Ajma’in
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh, selamat pagi pada semua dan salam sejahtera
Yang Mulia Awang Haji Hairul Daud bin Haji Abdul Karim, Timbalan Setiausaha Tetap (Infokumunikasi) Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Selaku Pengerusi Majlis Pagi ini
Yang Mulia Awang Mohd Amir Hairil bin Haji Mahmud, Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri
Yang Mulia Ahli-ahli Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR), Wakil-wakil Ahli
Yang Mulia semua Jemputan Khas para Hadirin hadirat dan rakan-rakan media yang saya hormati sekalian.
1. Alhamdulillah, Majlis pelancaran Pelan Strategik Keselamatan Jalanraya 2025 pada pagi ini merupakan satu milestone yang penting dalam perkembangan keselamatan jalan raya di negara ini. Pelan Strategik ini merupakan kesinambungan dan pengemaskinian ke atas Blueprint Decade of Action For Road Safety 2011-2020 Brunei Darussalam. Penyediaan pelan ini mengambilkira pandangan dan perbincangan di dalam beberapa siri mesyuarat dan bengkel yang melibatkan semua pihak yang berkepentingan. Ringkasnya, inisiatif ini adalah bukan sahaja pencapaian MKKJR bahkan ianya merupakan satu pencapaian ‘whole of nation’.
2. Alhamdulillah dengan izin Allah Subahanahu Wata’ala jua dan berkat usaha sepadu yang berterusan oleh semua pihak-pihak berkenaan secara ‘Whole of Nation’ di Negara Brunei Darussalam, kemalangan jalan raya secara am telahpun memperlihatkan tren penurunan sebanyak 55% iaitu daripada 29 fataliti pada tahun 2017 kepada 13 fataliti pada tahun 2019 dan seterusnya menurun lagi ke 11 fataliti setakat November 2020. Sama-samalah kita semua terus berusaha dan berdoa semoga tren penurunan ini akan berterusan dengan hasrat tujuan kita mencapai kearah sifar fataliti bagi kemalangan jalanraya di Negara Brunei Darussalam.
Hadirin dan hadirat sekalian,
3. Pelan strategik ini disediakan dengan beberapa hasil strategik meliputi keselamatan untuk semua pengguna jalan raya, budaya keselamatan, piawaan dan infrastruktur. Beberapa strategic pillars telah dikenalpasti termasuk penguatkuasaan undang-undang yang lebih efektif; rangka perundangan dan peraturan yang lebih mantap; pengukuhan governance dan kepimpinan; data collection yang efektif dan penggunaan teknologi.
4. Pelan ini mengandungi 160 inisiatif yang mana 48 inisiatif daripadanya disasarkan untuk dilaksanakan dalam tempoh lima tahun akan datang. Adalah diharapkan pelan ini akan dapat memenuhi aspirasi dan jangkaan orang ramai bagi mewujudkan persekitaran keselamatan jalan raya dan pemanduan yang lebih selamat dan kondusif di negara ini.
5. Ingin saya kongsikan, dalam penyediaan pelan strategik ini, salah satu perbincangan hangat adalah mengenai visi Pelan Strategik ini. Akhirnya, persetujuan dan kesepakatan telahpun dicapai untuk memilih visi ‘Zero road accident fatalities’ ataupun sifar kehilangan nyawa kemalangan jalan raya.
6. Adalah disedari sasaran sifar ini bukan mudah untuk dicapai. Akan tetapi, kita juga menyedari, dan perlu menyedari, setiap nyawa pengguna jalan raya adalah sangat berharga dan tidak ternilai. Sebarang kehilangan nyawa bahkan sebarang kemalangan jalan raya mempunyai impak yang besar dan jangka panjang kepada mangsa, keluarga dan juga masyarakat.
7. Kesimpulannya, kita boleh bercakap dan menyediakan pelan, perancangan dan berbagai inisiatif, tetapi kita juga perlu sedar impak dan mengambil berat kesan walau satu pun kehilangan nyawa akibat kemalangan jalan raya. Oleh itu, sasaran sifar ini, walaupun bukan mudah untuk dicapai, ianya amat penting dijadikan panduan dan hasrat kita semua.
8. Oleh yang demikian, bagi memudahkan lagi orang ramai untuk memahami dan mengetahui lagi usaha-usaha dan inisiatif-inisiatif MKKJR kearah visi ‘Zero road accident fatalities’, sukacita saya mengongsikan bahawa Pelan Strategik ini akan dimuatnaik dan dapat dilayari di laman web rasmi MKKJR di www.mkkjr.gov.bn selepas saja pelancarannya pagi ini.
9. Hadirin dan hadirat sekalian, dalam mensejajarkan usaha-usaha kearah sasaran tersebut, izinkan saya disini mengongsikan empat (4) perkembangan terkini berhubungan dengan inisiatif dasar pengangkutan di Negara Brunei Darussalam.
10. Pertama sekali, pada bulan Ogos tahun ini, satu projek rintis (pilot project) telahpun dilancarkan untuk menggantikan “speed warning devices” (SWDs) dibawah Peraturan Lalu Lintas Jalan Raya 2002 iaitu (Motor Vehicle: speed warning device) dengan teknologi In-Vehicle Monitoring System (IVMS) yang menggunakan teknologi Global Positioning System iaitu (GPS).
11. Projek rintis yang bertujuan untuk meningkatkan keselamatan jalan raya terutama sekali bagi kenderaan komersial, kenderaan berat dan kenderaan pengangkutan awam melalui pemantauan kelajuan kenderaan, Inshaa Allah akan selesai tempohnya pada bulan Februari 2021, tahun depan, dan penganalisaan keatas dapatan-dapatannya akan dijalankan bagi pertimbangan untuk pelaksanaan inisiatif ini secara sepenuhnya nanti.
12. Perkara kedua yang ingin saya kongsikan adalah mengenai perkembangan kenderaan elektrik atau Electric Vehicles (EV). Alhamdullillah kebenaran telah diberikan bagi pelaksanaan satu Projek rintis bagi Kenderaan Letrik (EV) yang Inshaa Allah mulai pada Suku Pertama tahun 2021 dan akan dijalankan selama 2 tahun. Projek rintis ini adalah selaras dengan ‘The Brunei Darussalam National Climate Change Policy’ ataupun (BNCCP) yang akan melakar jalan kearah kedayatahan negara dalam perubahan cuaca dan emisi karbon rendah.
13. Seperti jua Pelan Strategik Keselamatan Jalan Raya Brunei Darussalam ini, Dasar Perubahan Cuaca Kebangsaan ini turut menjurus dan berpandukan kepada prinsip mencapai Wawasan 2035 dan mempromosikan sekuriti, kedayatahanan dan kemakmuran ekonomi melalui pendekatan karbon yang rendah dalam memelihara persekitaran dan kedayatahanannya.
14. Dalam melaksanakan keperluan perundangan yang meliputi isu teknikal, harga dan infrastruktur, pihak-pihak berkepentingan yang lain seperti pengedar kenderaan (car dealers) akan turut melaksanakan promosi mengenai kenderaan letrik bagi meluaskan dan meningkatkan pemberigaannya. Inshaa Allah dalam masa lima tahun dari pelancaran Pelan Strategik EV yang disasarkan pada 2021 nanti, penetapan dasar dan penyediaan infra pengecasan, antaralainnya, akan disasarkan untuk dilaksanakan.
15. Seterusnya perkara ketiga yang ingin saya kongsikan yang berkaitan dengan usaha MKKJR dalam menangani isu-isu keselamatan jalan raya adalah mengenai isu plat lesen kenderaan yang kabur yang sudah menjadi isu yang semakin berleluasa di negara ini.
16. Alhamdullillah, sukacita saya mengongsikan disini bahawa bagi membantu orang ramai, Jabatan Pengangkutan Darat telahpun mengambil langkah-langkah bagi memastikan kualiti plet lesen tidak terjejas dengan menawarkan potongan harga kepada orang ramai bagi menggantikan Nombor Plat Pendaftaran Kenderaan yang telah pudar yang dibekalkan oleh syarikat yang ditentukan bagi tempoh selama tiga (3) bulan mulai 1 Januari hingga 31 Mac 2021.
17. Disamping itu juga, JPD telah menubuhkan satu kumpulan tindakan bagi membuat kajian mengenai Nombor Plat Pendaftaran Kenderaan yang pudar dan seterusnya akan menjalankan ujian-ujian teknikal bagi memastikan Nombor Plat Pendaftaran Kenderaan adalah berkualiti dan memenuhi spesifikasi.
18. Akhir sekali, perkara keempat yang ingin saya kongsikan adalah perkembangan terkini mengenai Sistem Road Accident Data Development and Enhancement (RADED) iaitu yang turut dipamerkan di lobi Kementerian ini dan yang telah dikongsikan oleh Pengerusi Majlis sebentar tadi.
19. Sebagai perkembangan yang positif dalam membantu pengumpulan dan penganalisaan data kemalangan yang telah melalui fasa percubaan (go-live, trial period) semenjak 1 Julai 2020, Insha Allah penggunaan sepenuhnya yang disasarkan perlaksanaanya mulai 1 Januari 2021 diharapkan akan dapat mempercepatkan sebarang keputusan yang perlu diambil oleh pihak-pihak yang berkepentingan.
20. Akhir kata, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kesemua pihak yang terlibat diatas sokongan dan komitmen mereka dalam sentiasa melaksanakan, menjayakan dan memberigakan usaha-usaha kearah sama-sama meningkatkan keselamatan jalan raya. Terima kasih juga diucapkan kepada Badan-badan Bukan Kerajaan iaitu (NGOs) yang sentiasa turut memainkan peranan penting dalam menjana tenaga dan kefahaman yang mendalam mengenai keselamatan jalan raya.
21. Tidak lupa juga, saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada Jawatankuasa Penganjur yang terlibat dalam menjayakan Majlis pada pagi ini. Mudah-mudahan usaha yang dijalankan ini mendapat keberkatan dari Allah Subahanahu Wata’ala jua, ameen Ya Rabbal ‘Alameen.
Sekian,
Wabillahi Taufik Wal Hidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.