Sign In
Mobirise Web Builder
Rabu, 13 Januari 2021 - Ucapan Alu-aluan Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi di sesi Muzakarah bersama Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara bagi Tahun 2021

Ucapan Alu-aluan
Yang Berhormat
Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib Bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohamad Yusof,
Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi

Di Sesi Muzakarah
Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi

Bersama

Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara Bagi Tahun 2021

Hari Rabu, 29 Jamadilawal 1442 bersamaan 13 Januari 2021
Bilik Mesyuarat Al-Mahabbah,
Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi 



Bismillahir Rahmanir Rahim,

Alhamdulillahi Rabbil 'Alamin Wassalatu Wassalamu 'Ala-Asyarafil Anbiya'e Wal Mursalin Saidina Muhammadin Wa'ala Alihi Wasahbihi Ajma'in

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh, selamat pagi dan salam sejahtera.

Yang Berhormat Awang Iswandy bin Ahmad selaku Ketua Rombongan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara ke Majlis Muzakarah diantara Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) dan Ahli-Ahli Yang Berhormat Majlis Mesyuarat Negara bagi sesi muzakarah pada tahun 2021.

Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara,

Rakan-rakan disini,

Yang Mulia Awang Nazri bin Haji Mohammad Yusof,

Setiausaha Tetap, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC);

dan rakan-rakan yang lain,

1.     Alhamdulillah, peramba/kaola/saya mewakili seluruh warga Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) Negara Brunei Darussalam, sangat berbesar hati mengalu - alukan kehadiran Ahli - Ahli Yang Berhormat sekalian ke Kementerian ini.

2.     Dan kita semua sudah sedia maklum bahawa sebelum Sesi Muzakarah pada hari ini, Ahli - Ahli Yang Berhormat sekalian telah mengadakan lawatan-lawatan ke Pusat Kebangsaan E-Kerajaan (EGNC), Jabatan Pengangkutan Darat (JPD), Jabatan Perkhidmatan Pos (JPP) dan juga agensi utama di sektor telekomunikasi iaitu Syarikat UNN Sdn Bhd pada penghujung tahun lepas ini, antaralainnya. Alhamdulillah, peramba/kaola/saya juga turut difahamkan bahawa dari sesi-sesi lawatan tersebut, Ahli - Ahli Yang Berhormat sekalian telah diberikan penerangan dan tinjauan  mengenai pencapaian-pencapaian dalam sektor pengangkutan dan juga sektor infokomunikasi melalui Jabatan-Jabatan dan agensi-agensi tersebut.

3.     Seperti yang Ahli - Ahli Yang Berhormat sekalian sedia maklum, sesi permesyuaratan Majlis Mesyuarat Negara pada tahun lepas iaitu bagi bulan Mac tahun 2020 telahpun diadakan dalam suasana yang berbeza dan pada tempoh yang sangat singkat memandangkan pandemik COVID-19 yang pada masa itu baru melanda Negara. Walaubagaimanapun, dengan izin Allah Subhanahu Wata'ala jua serta berkat kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, negara melalui langkah-langkah yang diambil khususnya Kementerian Kesihatan telahpun berjaya menyekat penularan wabak ini dan kita telahpun sehingga kini, berjaya menyekatnya berbanding negara-negara lain di rantau ini, mudahan ia akan berterusan. Dalam waktu yang sama, Alhamdullillah Kementerian ini telah membuat beberapa pencapaian dalam perkembangan dan kemajuan dari segi dasar, projek- projek pengangkutan dan infokomunikasi serta beberapa pembaharuan oleh Kementerian MTIC di sepanjang tahun 2020.

4.     Antara pencapaian utama MTIC adalah pelancaran tiga (3) Pelan Strategik yang berperanan signifikan bagi mencapai Wawasan Negara Brunei Darussalam 2035, iaitu:

  • Pertama - Pelan Strategik MTIC 2025 bagi Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) yang telah dilancarkan pada 16hb April 2020;
  • Kedua - Pelan Induk Ekonomi Digital (Digital Economy Masterplan) 2025 di bawah Majlis Ekonomi Digital, yang telah dilancarkan pada 4hb Jun 2020; dan
  • Ketiga - Baru-baru ini, pelancaran Pelan Strategik Keselamatan Jalan Raya bagi Negara Brunei Darussalam 2025 (Brunei Darussalam Road Safety Strategic Plan 2025) pada 28hb Disember 2020.

5.     Insya Allah, objektif dan matlamat-matlamat dari pelan-pelan ini akan dimanfaatkan dan juga akan sentiasa direbiu sebagai "living document" bagi memastikan ianya seiring dengan perubahan masa serta sentiasa dikemaskinikan untuk sejajar dengan hasrat dan aspirasi Negara ke arah menuju kepada sebuah Smart Nation.

6.     Dalam mencapai hasrat dan aspirasi ke arah Smart Nation ini, di bawah Pelan Induk Ekonomi Digital 2025 terdapat beberapa projek utama yang difokuskan bagi mencetus proses transformasi digital iaitu, antaralainnya adalah:

  • Satu - National Information Hub, sebagai platform perkongsian maklumat dengan lebih mudah;
  • Kedua - Digital ID, sebagai satu wadah bagi membolehkan orang ramai mengakses perkhidmatan Kerajaan pada bila-bila masa; dan
  • Ketiga - Digital Payment Hub, yang akan meningkatkan peluang bagi perniagaan untuk menerima bayaran secara digital dan memudahkan orang ramai membuat pembayaran melalui smart devices masing- masing.

7.     Disebalik pandemik COVID-19 ini, proses transformasi digital telah dipercepatkan, ataupun accelerated, bukan sahaja sebagai kemudahan tetapi sebagai menjadi keperluan asasi (neccessity) bagi menjalankan kehidupan seharian. Ini termasuk penggunaan AI (artificial intelligence) dalam pemantauan seperti penggunaan aplikasi BruHealth antaralainnya, memanfaatkan pendidikan secara virtual iaitu e-Learning serta penggunaan aplikasi mudah alih dalam mempertingkatkan efisiensi perkhidmatan- perkhidmatan, antaralainnya seperti TransportBN.

8.     Dalam urustadbir kerajaan khususnya, rebiu telahpun dibuat kepada struktur organisasi MTIC dengan mengambilkira penyerapan Pusat E- Kerajaan (EGNC) dan bahagian Overall Government CIO (OGCIO) di Jabatan Perdana Menteri dan Bahagian Digital Nation di bawah Kementerian Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) sebelum ini, dan Perindustrian pada ketika itu, pada 26hb September 2019 dan juga penyerapan Bahagian Sains, Teknologi dan Inovasi serta Majlis Penyelidikan Brunei (Brunei Research Council) pada 5hb Disember 2019 di bawah MTIC mak peranan MTIC juga semakin meluas dengan penubuhan dan pengoperasian sebuah agensi baru Cyber Security Brunei (CSB) pada 1hb Ogos 2020.

9.    Dalam bidang e-learning, AITI telah juga turut memainkan peranannya dalam mengungkayahkan inisiatif Donation Drive bagi komputer, komputer riba dan tablet yang telah bermula pada 13 April sehingga 14 Mei 2020 tahun lepasyang bertempat di IBTE Saiful Rijal, Jalan Muara dan IBTE Jefri Bolkiah, Kuala Belait. Sehubungan dengan ini, tenaga kerja sementara seramai sepuluh (10) orang telah diambil bagi memberi bantuan teknikal kepada AITI di dalam melaksanakan kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan peralatan komputer yang mana akan digunakan untuk menyokong pembelajaran secara dalam talian bagi Kementerian Pendidikan. Dan setakat ini, sebanyak 1,482 komputer telah diterima daripada syarikat-syarikat tempatan dan juga daripada orang ramai dan telah didermakan kepada Kementerian Pendidikan bagi membantu murid- murid belajar di dalam talian.

10. Begitu juga dengan memudahcara revolusi digital dalam perdagangan dan perusahan dimana AITI dan Darussalam Enterprise (DARe) telah melancarkan www.ekadaibrunei.bn sejak 1hb April 2020 tahun lepas, sebuah portal direktori dalam talian yang menyediakan pautan laman sesawang (atau website link) ke platform-platform eDagang iaitu eCommerce platforms dimana penyedia-penyedia perkhidmatan penghantaran dan logistik, serta laman sesawang rasmi Satu Kampung Satu Produk (1K1P). Portal ini bertujuan untuk memberi kemudahan kepada orang ramai untuk membeli pelbagai keperluan secara dalam talian dan portal ini juga membolehkan Pengusaha-pengusaha Mikro, Kecil dan Sederhana untuk memilih platform eDagang yang dapat menempatkan produk dan perkhidmatan mereka dalam talian sebagai saluran alternatif untuk para pelanggan dan sehingga Disember 2020, seramai 46 vendor telah menyertai eKadaiBrunei.bn.

11. Sehubungan dengan e-dagang jua, AITI juga turut mengungkayahkan program untuk mendidik dan menggalakkan peniaga kecil-kecilan untuk melakukan transaksi jual beli secara dalam talian. Program ini sebelumnya hanya dibukakan kepada warga emas. Bengkel tersebut dilaksanakan mulai 24 Ogos 2020 hingga 25 November 2020 dimana seramai 86 orang telah ikut serta dalam program ini dan 35 orang peserta telah menunjukkan peningkatan dan pemahaman dalam eDagang. Para peserta kini dapat menggunakan aplikasi mudah alih eDagang antaralainnya seperti Heydomo, Gomamam dan Ta-Pow dan membuat transaksi.

12. Alhamdulillah, dalam memudahcara perjalanan pengiriman barangan ini juga, Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui beberapa agensi berkepentingan termasuk Jabatan Perkhidmatan Pos telah memberi bantuan kepada orang ramai bagi bantuan pengambilan bungkusan di Pos Miri dan Pos Limbang yang mengalami pengambilan semasa penularan Wabak Covid-19 dan ini telahpun dibuat pada bulan April/Mei 2020 dan telah diserahkan kepada wakil-wakil atau "runners" bagi pengagihan secara selamat.

13. Menyentuh sektor Telekomunikasi, sehingga bulan Julai 2020, kita juga turut melihat peningkatan kehendak (demand) para pengguna bagi fixed broadband yang meningkat sebanyak 32% dan bandwidth utilization yang meningkat sebanyak 52%. Dengan keupayaan ini jugalah perkhidmatan- perkhidmatan secara online seperti pembaharuan lesen kenderaan dan lesen memandu antaralainnya secara dalam talian juga telah memperlihatkan peningkatakan oleh para pelanggan, iaitu pembaharuan lesen memandu pada tahun 2019 sejumlah 1,133 pada tahun itu, pembaharuan berbanding 9,157 pembaharuan pada tahun 2020 yang merupakan peningkatan hampir 9 kali ganda. Sementara pembaharuan lesen kenderaan pada tahun 2019 sebanyak 8,913 telahpun meningkat 3 kali ganda kepada sebanyak 24,169 pembaharuan pada tahun 2020.

14. Peningkatan ini telahpun dimudahcara selanjutnya dengan keupayaan menawarkan Perkhidmatan-perkhimatan permohonan membaharui lesen memandu dan lesen kenderaan yang kini boleh dibuat melalui pilihan- pilihan iaitu dengan menghubungi nombor Perkhidmatan Talian Darussalam 123 atau menghantar e-mel kepada info@123.com.bn atau secara dalam talian (online) melalui aplikasi mudah alih TransportBN dan melalui laman sesawang rasmi kerajaan www.gov.bn.

15. Dan manakala pada 24hb Januari 2020 adalah sebagai tarikh rasmi bagi peniadaan CMSL (cellular mobile subscriber license) fee atau lesen tahunan telefon bimbit sebanyak B$25.00 setiap tahun dan jua Go Live Date bagi syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi iaitu Datastream Digital Sdn. Bhd. (DST), Imagine Sdn Bhd dan Progresif Sdn Bhd. Penstrukturan semula dan penambahbaikan ini adalah bagi mendorong ke arah pemberian perkhidmatan kepada orang ramai yang reliable, accessible dan affordable.

16. Negara Brunei Darussalam juga turut membuat persediaan bagi mendapatkan liputan 5G. Projek rintis 5G yang akan dijalankan ke beberapa lokasi yang telah dikenalpasti telah pun mendapat limpah kurnia perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Insya Allah, akan dilaksanakan pada suku pertama tahun 2021 ini.

17. Dari aspek data peribadi (personal data), AITI sedang menyediakan satu undang-undang dan sedang merancang rangkakerja bagi urustadbir "Personal Data Protection". Penyediaan undang-undang dan rangkakerja ini adalah sangat penting bagi menjaga maklumat data peribadi khususnya oleh sektor swasta.

18. Aspek keselamatan siber juga perlu dititikberatkan dan Alhamdulillah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang di- Pertuan Negara Brunei Darussalam juga telah memperkenankan penubuhan Cyber Security Brunei [CSB] pada 1hb Ogos 2020 seperti yang saya sebutkan tadi. Penubuhan CSB adalah sebagai salah satu enabler strategik utama kepada transformasi digital ini dengan berperanan dalam menjalankan tiga (3) perkhidmatan-perkhidmatan utama iaitu BruCERT, National Digital Forensic Laboratory dan Cyber Watch Centre (CWC). Kita perlu peka kepada penekanan dalam Titah mengenai ancaman-ancaman kepada keamanan siber masakini yangmana negara kita juga tidak terkecuali daripadanya.

19. Dalam sektor pengangkutan udara, seperti negara-negara lainnya, industri penerbangan merupakan industri yang secara langsung mengalami kesan dari pandemik COVID-19. Menurut perangkaan trafik udara bagi bulan Januari hingga Oktober 2020, jumlah pergerakan penumpang udara (passenger movement) adalah seramai 416,012 orang iaitu menurun sebanyak -76.54% dari tahun sebelumnya bagi tempoh yang sama. Manakala bawaan barangan udara iaitu air cargo menurun sebanyak - 58.24% dari jumlah 8,605 ton metrik pada tahun 2019 (sehingga Oktober).

20. Pada peringkat serantau, usaha-usaha bagi memperkenalkan norma baru turut dibincangkan pada 24 November 2020 semasa bersidang pada Mesyuarat Menteri-Menteri Pengangkutan ASEAN kali ke-26 yang dipengerusikan oleh Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, yang mana beberapa initiatif telah dipersetujui, antaranya;

  • Pertama - pembukaan semula sektor penerbangan awam secara berperingkat dengan mengambil kira perkembangan dan keadaan semasa pandemik COVID-19;
  • Kedua - pemudahcara perjalanan antara negara-negara ASEAN melalui inisiatif seperti pengenalan 'Travel Bubbles' di bawah ASEAN Comprehensive Recovery Framework (ARCF) and Its Implementation Plan dan,
  • Ketiga - inisiatif-inisiatif khusus bagi memastikan kedayatahanan sektor-sektor pengangkutan di rantau ASEAN kearah memudahkan rangkaian pergerakan barangan khususnya keperluan-keperluan asas (essentials).

21. Mesyuarat Menteri-Menteri Pengangkutan ASEAN juga telah melancarkan "Brunei Declaration on Road Safety 2020" dan 'ASEAN Road Safety Video' bagi menyokong kerjasama berterusan, sokongan dan komitmen di antara negara-negara ahli ASEAN yang bermatlamat untuk mengurangkan road fatalities sebanyak 50 peratus dari tahun 2020 hingga tahun 2030, insya Allah.

22. Ini adalah juga sejajar dengan "The Brunei Darussalam Road Safety Strategic Plan 2025" dengan visi "Zero Road Accident Fatalities" yang disesuaikan dan selaras dengan KPI yang termasuk di dalam Pelan Strategik Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC2025). The Brunei Darussalam Road Safety Strategic Plan 2025 ini berpandukan kepada lima "E" sebagai teras utama iaitu; Education, Enforcement, Engineering, Environment dan Emergency Response.

23. Alhamdulillah, dengan izin Allah Subahanahu Wata'ala jua dan berkat usaha sepadu yang berterusan oleh semua pihak-pihak berkenaan secara 'Whole of Nation' di Negara Brunei Darussalam, kemalangan jalan raya yang melibatkan kehilangan nyawa telahpun menurun lebih daripada 50% dalam jangkamasa 2 tahun iaitu daripada 29 fataliti pada tahun 2017 kepada 13 fataliti pada tahun 2019 dan seterusnya menurun lagi ke 11 fataliti setakat November 2020.

24. Keselamatan kepada pengguna jalan raya juga mengambilkira akan kepentingan dalam memastikan kenderaan yang digunakan adalah road­worthy. Dengan laporan-laporan insiden kenderaan terbakar yang setakat ini sebanyak 89 kes yang melibatkan 93 buah kenderaan, adalah menjadi tanggungjawab sosial para pengguna bagi memastikan kenderaan masing- masing di hantar ke bengkel-bengkel kenderaan yang diiktiraf oleh JPD. Pembaikan dan penggubalan dasar mengenai perkara ini adalah sedang dilaksanakan oleh pihak JPD dan usaha juga sedang dijalankan bagi meningkatkan kesedaran orang ramai bahawa insiden kenderaan terbakar ini juga merupakan tanggungjawab bersama yang perlu ditanai bukan sahaja oleh pihak-pihak yang berkepentingan tetapi juga merupakan tanggungjawab pemilik kenderaan dan pemandu kenderaan itu sendiri.

25. Satu lagi perkara yang membimbangkan ketika ini adalah juga mengenai plat nombor kenderaan yang kabur yang semakin berleluasa di negara ini. Alhamdullillah beberapa usaha telah dijalankan bagi memberigakan penukaran plat nombor kenderaan kepada orang ramai dengan kerjasama erat JPD dengan syarikat-syarikat pembekal serta orang ramai.

26. Akhir sekali, Peramba/Kaola/saya sekali lagi mengucapkan berbanyak- banyak terima kasih diatas kehadiran Ahli-Ahli Yang Berhormat, dan Peramba/Kaola/saya memohon maaf diatas sebarang kekurangan atau sorok langkah di Sesi Muzakarah ini. InshaaAllah, pihak MTIC dengan hati terbuka menerima apa jua maklumbalas atau feedback, dan apa jua cadangan-cadangan baik yang boleh kita sama-sama fikirkan bagi kebaikan rakyat dan negara bersama.

Sekian.

Wabillahitaufiq Wal hidayah Wassalamualaikum Warrahmatullahi Wabarakatuh.




Attachments
Speeches