1. Setiap tahun, pada 23 Mac, Negara Brunei Darussalam bersama dengan negara-negara ahli Pertubuhan Kajicuaca Sedunia (World Meteorological Organisation - WMO) menyambut Hari Kajicuaca Sedunia untuk memperingati berkuatkuasanya Konvensyen WMO pada tarikh tersebut pada tahun 1950. Sambutan ini juga adalah bagi menghargai sumbangan-sumbangan penting yang diberikan oleh Perkhidmatan-Perkhidmatan Kajicuaca dan Hidrologi Kebangsaan dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat di seluruh dunia.
2. Pada tahun ini, tema yang dipilih oleh WMO ialah ‘Lautan, Iklim dan Cuaca Kita’ atau ‘The Ocean, Our Climate and Weather’ iaitu tema untuk meraikan fokus WMO untuk menghubungkan lautan, iklim dan cuaca ke dalam Sistem Bumi dan juga selaras dengan bermulanya “United Nations Decade of Ocean Science for Sustainable Development (2021-2030)”.
3. Seperti negara-negara lain, Negara Brunei Darussalam juga prihatin dan mengambil perhatian berat akan perubahan iklim dan kesan-kesannya. Menyedari akan kepentingan ini, Negara Brunei Darussalam menyokong usaha bersepadu di semua peringkat dalam menangani dan mengawal perubahan iklim dalam mendokong inisiatif Protokol Hijau dan menerapkan pendekatan “Whole-of-Nation” di kesemua agensi kerajaan dan pihak-pihak yang berkenaan.
4. Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi melalui Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD) akan terus mengukuhkan usahasama dengan pelbagai pihak, baik di peringkat nasional, serantau mahupun antarabangsa. BDMD, selaku agensi kajicuaca kebangsaan, telah menghasilkan laporan unjuran iklim untuk Negara Brunei Darussalam iaitu hasil kerjasama dengan pihak Meteorological Office Hadley Centre, United Kingdom.
5. Laporan berkenaan telah menunjukkan peningkatan trend purata suhu udara permukaan (mean surface air temperature) sebanyak 0.04 °C setiap tahun bagi tempoh 30 tahun akan datang. Hasil kajian ini adalah dihasratkan akan dapat membantu agensi-agensi yang berkepentingan untuk membuat perancangan, dasar dan sebarang tindakan yang lebih tersusun dan mampan dalam mengatasi kesan perubahan iklim.
6. Dalam mendokong usaha ini, BDMD bekerjasama rapat dengan pihak Sekretariat Perubahan Iklim Brunei (BCCS) dan begitu juga dalam penyediaan Dasar Iklim Kebangsaan Brunei (BNCCP) yang telah dilancarkan pada Julai 2020 oleh Majlis Kebangsaan Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam (BNCCC).
7. Pada masa yang sama, BDMD terus memegang peranan penting dalam menyediakan khidmat-khidmat cuaca yang berterusan termasuk pencerapan, ramalan, amaran dan nasihat cuaca yang menyumbang kepada keselamatan sektor penerbangan dan maritim. Ini adalah selaras dengan piawaian dan keperluan antarabangsa seperti Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dan Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO).
8. Kearah memenuhi piawaian dan keperluan antarabangsa tersebut, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) melalui BDMD sedang giat mengungkayahkan beberapa projek dibawah Rancangan Kemajuan Negara yang dihasratkan untuk mengukuhkan infrastruktur pemantauan cuaca negara. Projek-projek kemajuan ini antara lainnya melibatkan penggantian dan penaiktarafan sistem pemantauan radar cuaca, sistem rangkaian pemantauan cuaca automatik seluruh negara dan juga sistem automatik pencerapan cuaca di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.
9. Oleh itu, memahami bagaimana lautan mempengaruhi keadaan cuaca dan iklim adalah menjadi satu keutamaan matlamat WMO dalam mencapai pembangunan yang mampan. Sebagai negara ahli WMO, Negara Brunei Darussalam melalui BDMD akan terus menyediakan khidmat cuaca dan iklim yang terbaik bagi mendokong usaha dan pencapaian berkenaan. BDMD juga akan terus menggunakan aplikasi Brunei WX sebagai satu kaedah yang berkesan dalam menyampaikan maklumat, ramalan, nasihat dan amaran cuaca bagi memenuhi kehendak negara dan orang ramai termasuklah ramalan dan amaran keadaan laut.