Terima kasih Yang Berhormat Pehin Pengerusi,
Bismillah Hirrahman Nirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarrakatuh dan selamat petang,
1. Terlebih dahulu, kaola mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Pehin Pengerusi atas peluang kaola untuk mengongsikan mukadimah bagi memulakan perbincangan
Anggaran Peruntukan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) bagi Tahun Kewangan 2021/2022.
2. Bagi mendokong tema Belanjawan pada tahun ini iaitu ‘Ke Arah Pembangunan Sosio-Ekonomi Yang Resilient’, izinkan kaola mengongsikan beberapa inisiatif yang dilaksanakan oleh MTIC. Dasar hala tuju MTIC adalah dipandu oleh tiga (3) dasar strategik utama yang telah dilancarkan pada tahun 2020, iaitu:
(i) Pertama, Pelan Induk Ekonomi Digital 2025 di bawah Majlis Ekonomi Digital sebagai dasar utama untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebuah Negara Pintar serta mendorong dan meningkatkan pertumbuhan sosio-ekonomi Negara melalui transformasi digital;
(ii) Kedua, Pelan Strategik Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, MTIC 2025 untuk mendokong Wawasan Brunei 2035; dan
(iii) Ketiga, Pelan Strategik Keselamatan Jalan Raya bagi Negara Brunei Darussalam 2025 bagi memandu inisiatif keselamatan dan kepiawaian sektor pengangkutan darat di Negara Brunei Darussalam.
Yang Berhormat Pehin Pengerusi dan Ahli – Ahli Yang Berhormat,
3. Sehubungan dengan Pelan Induk Ekonomi Digital 2025, ianya adalah berteraskan kepada tindakan bersepadu di antara agensi-agensi Kerajaan, industri dan masyarakat umum. Sebagai asas kepada transformasi digital, beberapa inisiatif telah dan akan dilaksanakan, antaranya adalah:
(i) Pertama, projek Pusat Kebangsaan E-Kerajaan (EGNC), iaitu National Centralised Database (NCDB) di bawah RKN11 dengan peruntukan sebanyak $8.9 juta ringgit Brunei. Terkandung di bawah projek ini adalah National Information Hub bagi penyediaan platform perkongsian data yang selamat dan terjamin;
(ii) Kedua, pemusatan ataupun centralizing pembiayaan lesen-lesen komputer yang digunakan oleh KementerianKementerian. Dengan peruntukan sebanyak $8.2 juta ringgit Brunei dibawah EGNC, pembayaran lesen secara centralised ini menyumbang kepada penggunaan sumber secara optima dan berhemah;
(iii) Ketiga, meningkatkan keberkesanan perkhidmatan Kerajaan kepada orang ramai secara dalam talian dan melalui aplikasi mudah alih, serta memperbaiki prosesproses dalaman seperti berikut:
a) Satu - Menggunakan Portal Gov.bn. Sejak diperkenalkan pada tahun 2012, sebanyak 132 perkhidmatan dalam talian telah disediakan melalui portal ini. Dari jumlah tersebut, 34 perkhidmatan memudahcara transaksi pembayaran dalam talian kepada orang ramai;
b) Kedua - memanfaatkan aplikasi mudah alih seperti TransportBN. Sejak diperkenalkan pada tahun 2019, penggunaan TransportBN terus meningkat dari tahun ke tahun;
c) Ketiga - memudahcara akses orang ramai kepada perkhidmatan-perkhidmatan Kerajaan. Seperti inisiatif “Nomborku” yang baru dilancarkan pada 24hb Februari 2021, sebagai kemudahan orang ramai mengikuti tawaran-tawaran bilangan pendaftaran kenderaan. Penambahbaikan berterusan ke atas perkhidmatan ini akan dilaksanakan secara berperingkat; dan
d) Keempat - Penggunaan sepenuhnya e-Office dalam pengurusan persuratan dokumen dalaman di MTIC. Ini telah dapat meningkatkan keberkesanan operasi dalaman dan mendokong pelaksanaan Protokol Hijau dengan mengurangkan penggunaan kertas. Alhamdulillah, projek ini juga telah dilaratkan ke beberapa buah Kementerian lain bagi pelaksanaannya secara berterusan.
4. Pada masa yang sama, infrastruktur telekomunikasi di Negara ini terus dinaiktaraf. Alhamdulillah, usaha ini telah membawa Negara Brunei Darussalam ke tangga kedua di kalangan Negara-Negara Ahli ASEAN dari segi Telecommunications Infrastructure Index seperti yang direkodkan di dalam Laporan United Nations E-Government Survey, 2020.
5. Bertepatan dengan kemajuan ini, setakat ini sebanyak 983 buah menara telekomunikasi telah diaktifkan bagi memberikan liputan perkhidmatan rangkaian yang meluas. MTIC juga memberi perhatian kepada keperluan liputan di kawasan pendalaman. Projek Menara Luar Bandar di bawah RKN11 dengan peruntukan sebanyak $3 juta ringgit Brunei, akan melibatkan empat buah kampong iaitu Kampong Sukang, Kampong Melilas dan Kampong
Apak-Apak, Belait serta Kampong Long Mayan di Daerah Tutong.
6. Walaubagaimanapun, kita masih berhadapan dengan kegiatan yang merugikan semua pihak iaitu kes-kes kecurian kabel telekomunikasi. Sejak September 2019 hingga Mac 2021, sebanyak 176 kejadian kecurian kabel telah direkodkan yang menjejaskan perkhidmatan-perkhidmatan rangkaian perhubungan.
7. Ianya perlu ditangani secara bersepadu dengan kerjasama berbagai pihak termasuk agensi-agensi penguatkuasa dan pemimpin akar umbi. Kempen pemberigaan juga terus dijalankan bagi menjana kesedaran dan kerjasama orang ramai untuk membanteras kegiatan ini.
8. Bagi membentuk persekitaran digital yang selamat, Cyber Security Brunei (CSB) telah ditubuhkan dan mula beroperasi sejak 1hb Ogos 2020 sebagai agensi keselamatan siber kebangsaan. Pada masa ini, CSB giat menjalankan aktiviti-aktiviti kesedaran orang ramai mengenai amalan-amalan terbaik keselamatan siber. Pada tahun 2020, sebanyak 66 sesi taklimat telah diadakan melibatkan masyarakat termasuk para penuntut dan belia.
9. Bagi memantapkan urustadbir dalam transformasi digital, MTIC sedang menyediakan dua rangka perundangan utama, iaitu:
(i) Pertama, Cyber Security Order yang memfokuskan kepada tindakan dalam menangani ancaman dan insiden keselamatan siber; dan (ii) Kedua, Personal Data Protection Order yang bertujuan untuk memelihara penggunaan, pengumpulan dan pendedahan data peribadi oleh sektor swasta. Rangka perundangan ini sedang diteliti dan akan melibatkan konsultasi dengan berbagai pihak yang berkepentingan.
10. Ke arah membentuk masyarakat yang bersedia untuk masa depan digital, Kementerian ini terus bekerjasama erat dengan Manpower Planning Employment Council (MPEC) melalui Manpower Industry Steering Committee Working Group for ICT Sector. Melalui kerjasama ini, sasaran utama adalah bagi penyediaan 300 tenaga kerja tempatan yang mempunyai ICT industry ready skills setiap tahun.
Yang Berhormat Pehin Pengerusi dan Ahli – Ahli Yang Berhormat,
11. Dalam Sektor Pengangkutan, penggunaan teknologi diterapkan dalam projek menaiktaraf dan meningkatkan kualiti perkhidmatan pengangkutan bas awam. Ke arah ini, Public Transport Information System telahpun diusahakan bersama JPD, AITI dan syarikat-syarikat pengangkutan bas awam. Usaha ini bertujuan untuk menyediakan maklumat secara real-time dengan sasaran pelaksanaannya pada suku ketiga tahun 2021 ini.
12. Selaras dengan visi Pelan Strategik Keselamatan Jalan Raya Negara Brunei Darussalam 2025 iaitu “Zero Road Accident Fatalities by 2025”, Alhamdullillah jumlah kemalangan di Negara Brunei Darussalam menunjukkan tren penurunan sebanyak 67% dari tahun 2015 hingga tahun 2020.
13. Untuk mengekalkan tren ini, melalui Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR), kempen-kempen kesedaran terus dijalankan termasuk Program Kesedaran Keselamatan Jalanraya pada awal bulan Mac 2021 yang mengetengahkan pelancaran e-buku “Understanding Your Vehicle”.
Yang Berhormat Pehin Pengerusi dan Ahli – Ahli Yang Berhormat,
14. MTIC akan menjalankan dua projek rintis dengan kerjasama pelbagai pihak di Negara ini. Terdapat dua (2) Projek Rintis yang telah menerima limpah kurnia perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk dilaksanakan pada tahun 2021 ini, iaitu:
(i) Pertama, Projek Rintis Kenderaan Elektrik (EV). Seperti yang kaola sudah umumkan pada 18hb Mac 2021, InshaaAllah satu projek rintis EV akan dilancarkan pada Khamis, 25hb Mac 2021 ini. Projek rintis ini adalah untuk menilai persediaan bagi peralihan dari kenderaan konvensional kepada kenderaan elektrik ataupun alternatif sebagai usaha mengurangkan “carbon footprint” di Negara kita ini; dan
(ii) Kedua, Projek Rintis teknologi 5G yang InshaaAllah akan dilancarkan pada bulan April 2021 ini bagi meneroka potensi dan pelaksanaan teknologi 5G. Ke arah ini, beberapa lokasi telah dikenalpasti untuk memaparkan kemampuan teknologi 5G melalui 5G use-cases yang boleh dimanfaatkan ke arah inovasi dan transformasi digital di Negara ini.
Yang Berhormat Pehin Pengerusi dan Ahli–Ahli Yang Berhormat,
15. InshaaAllah, projek-projek serta inisiatif-inisiatif yang mendokong ke arah pertumbuhan ekonomi Negara akan dilaksanakan melalui peruntukan perbelanjaan biasa dan perbelanjaan kemajuan yang disokong untuk Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) sebanyak B$143,754,979 (Seratus empat puluh tiga juta, tujuh ratus lima puluh empat ribu dan sembilan ratus tujuh puluh sembilan ringgit Brunei) bagi Tahun Kewangan 2021/2022.
16. Akhir sekali, kaola ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi penghargaan kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat diatas sokongan serta pendekatan berterusan dalam sektor dibawah kawalan MTIC. Ini termasuk kesudian Ahli-Ahli Yang Berhormat dalam menyaksikan sesi-sesi latihan keselamatan maritim dan udara pada penghujung tahun 2019, serta mengikuti beberapa siri lawatan ke Jabatan, agensi-agensi dan syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan di sektor pengangkutan dan infokomunikasi sepanjang tahun 2020 dan awal tahun ini.
17. Sekian kaola sampaikan hala tuju dan pencapaian Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC). Mudahmudahan segala inisiatif yang diusahakan akan membuahkan hasil dan impak yang dihasratkan ke arah Wawasan Negara 2035.
Wabillahitaufiq Wal Hidayah Wassalamualaikum
Warahmatullahi Wabarakatuh.