Sign In
Mobirise Web Builder
Majlis Pelancaran Rasmi Pameran Anugerah Teknologi Infokomunikasi Brunei (BICTA) 2005

UCAPAN PERASMIAN 

Hari Khamis, 27 Oktober 2005

Press Conference Hall, Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

BISMILLAHIR RAHMAN NIR RAHIM

 

Yang Mulia

Dato Paduka Hj Md Yusof bin Hj Md Hassan

Setiausaha Tetap Kementerian Perhubungan,

selaku Pengerusi Majlis

Yang Mulia

Dato Paduka Haji Md Yusoff bin Haji Abd Hamid

Timbalan Menteri Perhubungan.

Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara

Yang Mulia Setiausaha-Setiausaha Tetap

Pengiran-Pengiran / Pehin-Pehin / Dato-Dato / Awang-Awang / Dayang-Dayang yang dihormati sekalian.

 

Alhamdullillah, bersyukur kita kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dengan limpah kurnia dan rahmatNya jua kita dapat berkumpul bersama-sama di Majlis yang berkebajikan ini.

Terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada Jawatankuasa Penyelaras Anugerah Teknologi Infokomunikasi Brunei (BICTA) kerana menganjurkan Pelancaran Pameran BICTA 2005 pada pagi ini.

Kita sedia maklum bahawa antara objektif utama bagi menganjurkan BICTA ini adalah untuk menjadi landasan atau platform bagi menjana inovasi dan kreativiti dan kecemerlangan dalam bidang ICT dikalangan individu, pengusaha ICT kecil dan sederhana yakni SME dan institusi-institusi pendidikan di negara ini. Di samping itu, anugerah BICTA juga menjadi tanda aras atau benchmark kepada produk dan solution bagi innovasi dan kreativiti dalam bidang ICT dan bagi menghargai pencapaian terbaik individu, pengusaha-pengusaha ICT kecil dan sederhana dan organisasi-organisasi yang beroperasi di negara ini.

Saya percaya bahawa objektif ini tidak akan dapat dicapai dengan hanya mengadakan pertandingan semata-mata, akan tetapi setentunya akan memerlukan tindakan-tindakan susulan. Ini adalah merupakan satu cabaran terutama kepada usaha-usaha untuk menjana semangat keusahawanan khususnya bagi melahirkan ‘technopreneurs’ tempatan di bidang ICT.

Perkembangan ICT di negara ini sejak sepuluh tahun yang lalu adalah sangat menggalakkan samada dari segi literasi ICT yang semakin meningkat ataupun penggunaan ICT dalam kerajaan, swasta, bisnes atau persendirian. Kita bersyukur kerana mampu menanai perkembangan dan kemajuan ICT ini, walaupun sudah ada negara yang melangkah menuju kepada ubiquitous technology. Perkembangan ini semakin ketara lagi akhir-akhir ini dengan bermulanya pelaksanaan rancangan e-Kerajaan. Kita menyaksikan akan tingginya keghairahan dan semangat kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan untuk melaksanakan rancangan masing-masing. Dalam masa yang sama kita juga menyaksikan melonjaknya semangat dan keghairahan syarikat-syarikat tempatan yang berurus-niaga dalam bidang computer dan ICT yang tumbuh dengan jumlahnya sehingga hari ini lebih kurang 200 buah.

Kita menghargai dan berasa gembira dengan inisiatif ini. Kita gembira kerana sebahagiannya akan melibatkan diri dalam racangan-rancangan yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan. Kedua, dengan bilangan tersebut, sudah tentu akan dapat menyediakan peluang-peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan. Dan ketiga dari projek-projek yang mereka laksanakan, saya percaya akan dapat memberi kesempatan atau laluan kepada tenaga tempatan untuk mendalami ilmu ICT dan memperkembangkannya atau mungkin akan menjadi pemangkin kepada transfer of technology.

Akan tetapi sebahagian besar daripada syarikat-syarikat ini menumpukan bidang perniagaan mereka sebagai wakil atau pengedar peralatan komputer atau hardware, ataupun menjadi rakan kongsi kepada syarikat luar negeri dalam mengedar softwaresolution atau program ICT yang tertentu. Terlalu sedikit syarikat tempatan kita yang menjurus kepada penyediaan software atau solution, sungguhpun inilah bidang yang benar-benar diperlukan.

Dalam hubungan ini, saya menyedari bahawa oleh kerana demand bagi mengadakan software, solution atau program diperlukan dalam masa yang singkat, maka satu alternative ialah bagi menggunapakai apa yang sedia ada. Demikian juga, saya juga memahami bahawa ada yang berfikir pasaran bagi negara ini adalah kecil dan kerana itu mungkin tidak "cost-effective" bagi menghasilkan sesuatu yang baru. Tetapi dalam masa yang sama, saya juga menyedari bahawa pasaran software atau solution bagi pasaran kecil dan sederhana di luar negeri adalah besar. Dalam konteks ini pada pendapat saya, syarikat-syarikat tempatan perlu menggunakan peluang dan inisiatif Kerajaan dalam ICT pada masa ini bagi mengukuh dan memantapkan syarikat-syarikat mereka sebagai asas untuk meneroka peluang-peluang bisnes di luar negara. Kita memahami bahawa kita tidak mampu bersaing dengan gergasi-gergasi ICT tetapi SME juga mempunyai tempat dan peranannya di arena serantau dan antarabangsa sebagaimana juga syarikat-syarikat SME telah menembusi pasaran di negara ini.

Saya bimbang, jika kita hanya menumpukan perhatian kepada satu aspek dari perkembangan ICT di negara ini, iaitu bagi melengkapkan pasarana kita dengan teknologi maklumat, dengan kemampuan kewangan kita, kita akan mencapai status tersebut. Tetapi kita akan terus bergantung kepada orang luar bagi menghasilkan apa yang kita perlukan atau memelihara apa yang kita miliki. Tidak lebih daripada itu. Trend ini akan terus menjadikan negara dan masyarakat kita sebagai masyarakat pengguna atau "consumer society" dan bukan masyarakat pencipta atau pengeluar teknologi. Kepada kitalah yang akan menentukan.

Kita di negara ini sebenarnya tidak gersang dengan bakat-bakat yang berkebolehan serta berpotensi menghasilkan ciptaan-ciptaan ICT. Pertandingan Inforama atau Teknologi Maklumat telah diadakan sejak tahun 1996 dan pertandingan ciptaan software bagi maktab-maktab dan institusi-institusi pengajian tinggi telah dimulakan sejak tahun 2000. Inforama dan BICTA telah menjadi wadah dalam mencungkil bakat-bakat dalam ciptaan ICT untuk beberapa tahun ini. Ini bermakna bahawa dalam tempoh 5 tahun kebelakangan ini orang-orang kita telah dapat mengetengahkan hasil mereka. Akan tetapi semua hasil ciptaan dan daya kreatif dan inovasi mereka ini berakhir dan tinggal menjadi tontonan di pameran ini sahaja. Setentunya kita semua tidak mahu ini akan terus berlaku.

Dalam hubungan ini saya percaya bahawa perkara yang penting untuk diungkayahkan dengan segera ialah bagi memastikan produk-produk yang dihasilkan dapat dipertingkatkan kepada satu tahap di mana ianya dapat digunapakai di negara ini ataupun untuk memberikan commercial value untuk dipasarkan. Ini setentunya memerlukan beberapa proses. Sehubungan ini adalah disarankan agar pihak-pihak yang tertentu akan dapat menyediakan bantuan, bimbingan dan galakan yang bersesuaian. Berkaitan dengan ini kita mengalu-alukan dan berasa gembira akan penubuhan Incubator Center, serta usaha kearah Penyelidikan dan Perkembangan ataupun R&D. Saya yakin melalui cara ini kita akan dapat mendokong dan mempercepatkan hasrat kerajaan kearah menjana perkembangan industri ICT di Negara ini dan kita akan dapat menonjolkan jenama atau brand buatan Brunei diperingkat serantau atau antarabangsa.

Hadirin yang dihormati sekalian.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa bertitah di Majlis Pelancaran Persidangan Kebangsaan Mengenai Masyarakat Bermaklumat (NASIS) pada 07 September 2005 yang lalu telah menyentuh mengenai dengan pembentukan satu e-Strategy yang sama-sama mendokong wawasan kearah memanfaatkan ICT bagi mencapai visi e-Brunei. Baginda juga menekankan pentingnya untuk memberikan tumpuan dan perhatian kepada hardware dan software yang disalurkan dalam ICT. Dalam hubungan ini, saya berpendapat bahawa melalui BICTA ini, kita akan dapat menyahut harapan Baginda kearah menyediakan keperluan aplikasi-aplikasi bagi e-Kerajaan, e-Masyarakat dan e-Perniagaan.

Pada masa ini Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah, sedang dan akan melaksanakan beberapa projek e-Kerajaan di mana pelaburan yang sangat besar telah dibuat bagi menyediakan infrastruktur ICT termasuk juga program-program yang menyumbang kepada perkembangan sumber tenaga manusia iaitu dengan tujuan dan harapan supaya semua lapisan masyarakat akan mampu mendapatkan akses kepada teknologi ICT sebagai cara untuk membangun dan meningkatkan kualiti kehidupan kita.

Kementerian Perhubungan melalui projek e-Mincom telah menyediakan beberapa projek untuk kemudahan orang ramai dan salah satu daripadanya ialah Sistem Pengangkutan Jalan yakni SPD yang akan dilaksanakan oleh Jabatan Pengangkutan Darat. Projek ini akan menggantikan sistem lama yang dibuat secara manual kepada sistem baru yang secure dengan menggunakan teknologi terkini seperti ‘Machine Readable Card (MRC)’ dan ‘Machine Readable Document (MRD)’.

Sistem ini akan mempunyai rangkaian atau network kepada ‘stakeholders’ yang lain seperti pasukan Polis Diraja Brunei dan agensi-agensi kerajaan yang lain, agen-agen pengedar kereta, syarikat-syarikat insuran, institusi-institusi kewangan dan sekolah-sekolah memandu di mana segala maklumat dan aktiviti akan dapat dikongsikan bersama. Melalui perlaksanaan projek ini nanti, adalah diharapkan pihak kerajaan akan dapat menyediakan perkhidmatan yang lebih cekap, cepat, selamat dan reliable dan apabila projek e-Mincom Portal beroperasi sepenuhnya, orang ramai Insha Allah akan dapat menerima perkhidmatan ini secara ‘on line’.

Akhirnya dengan bertawakal kepada Allah Subhanahu Wata’ala dan dengan kalimat BISMILLAHIR RAHMAN NIRRAHIM, saya dengan sukacitanya merasmikan Pelancaran Pameran Anugerah Teknologi Infokomunkasi Brunei (BICTA) 2005

Sekian Wabillahi Taufiq Walhidayah Wasalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.​​

Attachments
Speeches