Perutusan
Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib
bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Awang Haji Mohammad Yusof
Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi
Sempena Sambutan Hari Pos Sedunia Tahun 2021
Tema: 'Innovate to Recover'
1. Negara Brunei Darussalam serta negara-negara ahli Kesatuan Pos Sedunia (Universal Postal Union – UPU) memperingati Hari Pos Sedunia pada 9hb Oktober setiap tahun, dimana pada tahun 2021 ini, tema Hari Pos Sedunia adalah Innovate to Recover. Tema ini menekankan kepentingan innovasi perkhidmatan pos dalam membantu dunia semasa menghadapi situasi pandemik COVID-19.
2. Aktiviti e-commerce dan pembelian secara dalam talian melalui platform e-commerce
mengalami peningkatan yang ketara, lebih-lebih lagi sejak penularan
wabak COVID-19. Dalam menghadapi gelombang kedua wabak COVID-19 ini,
Jabatan Perkhidmatan Pos merekodkan peningkatan penerimaan bungkusan
dari luar negara iaitu daripada 26,152 pada bulan Julai 2021 dan 16,030
pada bulan Ogos 2021 kepada 42,407 pada bulan September 2021.
3.
Dengan mengambilkira peningkatan ini, penyedia perkhidmatan pos dan
kurier perlu menyesuaikan dan mempersiapkan diri bagi menangani jumlah
bungkusan yang perlu dikendalikan. Ini termasuklah menjalankan
perkhidmatan 'contactless delivery' bagi memastikan keselamatan
pekerja perkhidmatan pos dan pelanggan. Pendekatan yang lebih innovatif
dan berteraskan pelanggan adalah penting bagi memastikan kelangsungan
perkhidmatan yang diberikan mengikut proses, garis panduan dan prosedur
operasi standard yang dikemaskini berdasarkan keperluan semasa.
4.
Antara pendekatan innovatif yang diambil adalah dengan tampil
berperanan sebagai rakan lojistik kepada platform e-commerce bagi
sama-sama memastikan proses penghantaran dapat berjalan dengan lancar.
Dalam hal ini, bagi mendokong permintaan penghantaran barangan yang
semakin meningkat, Jabatan Perkhidmatan Pos bekerjasama sebagai rakan
kongsi logistik bagi pembelian secara dalam talian dengan platform
e-commerce seperti eKadaiBrunei. Tujuan utamanya adalah untuk memberikan
kemudahan kepada pelanggan bagi mendapatkan barangan keperluan harian
melalui platform e-commerce, khususnya semasa mematuhi langkah-langkah
pengawalan yang diperketatkan berikutan situasi pandemik COVID-19 ketika
ini.
5. Perkara ini
telah menjurus kepada peningkatan dalam penghantaran perkhidmatan Pos
Laju sebanyak 20%, iaitu, sebanyak 478 penghantaran barangan pada bulan
Ogos 2021, berbanding pada tahun sebelumnya. Selain itu, penghantaran
Pos Laju juga turut memberi sokongan kepada pemberian perkhidmatan
secara dalam talian oleh pihak kerajaan (e-services), seperti
dalam membaharui lesen memandu dan lesen kenderaan. Ini adalah antara
langkah yang diambil bagi memastikan perkhidmatan pos turut mendokong
perkembangan transformasi digital di Negara ini. Setentunya, inisiatif
seumpama ini akan dapat meningkatkan lagi nilai tambah perkhidmatan (Value Added Services) dan produk yang sedia ada.
6.
Keupayaan dan semangat untuk terus meneroka kaedah baharu perlu untuk
terus ada dalam perkhidmatan pos. Sebagai sektor yang tercabar dengan
kemajuan digital, perkhidmatan pos juga perlu bijak merangka dan
melaksanakan strategi bagi meraih peluang dari kemajuan digital. Ini
termasuklah lebih peka kepada permasalahan dan keperluan pengguna yang
berharap kepada perkhidmatan pos untuk kelangsungan urusan mereka.
7.
Oleh itu, tema Innovate to Recover adalah bertepatan untuk terus
disematkan dalam perkhidmatan pos. Maklumbalas dan cadangan dari orang
ramai juga perlu diberi perhatian sebagai langkah pembaikan secara
berterusan. Dari itu, tema Innovate to Recover bukan sahaja
bermaksud untuk pulih dari kesan pandemik COVID-19, tetapi juga untuk
bangkit berganding bahu dengan kesemua pihak-pihak berkepentingan dengan
pembaharuan dan innovasi dalam mendepani setiap cabaran yang
dihadapi.