Jabatan Penerbangan Awam
Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi
PERUTUSAN YANG BERHORMAT DATO MENTERI PENGANGKUTAN DAN INFOKOMUNIKASI SEMPENA
HARI PENERBANGAN AWAM ANTARABANGSA 2021
1. Hari
Penerbangan Awam Antarabangsa disambut oleh 193 Negara-Negara Ahli
Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) pada 7 Disember setiap
tahun. Tema Hari Penerbangan Awam Antarabangsa bagi tahun 2020 sehingga
2023 ialah “Advancing Innovation for Global Aviation Development’.
2. Teknologi
dan inovasi dalam industri penerbangan awam saling berkait rapat
sejajar dengan peraturan dan dasar dalam mempertingkatkan strategi
pengangkutan udara yang mampan untuk perkembangan dan kepelbagaian
ekonomi. Ini adalah sejajar dengan salah satu objektif strategik di
dalam pelan strategik Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC
2025) yang mengaitkan perkembangan teknologi dengan meningkatkan
kesalinghubungan kearah peluang sosio-ekonomi yang lebih besar,
peningkatan inovasi dan kualiti hidup yang lebih tinggi.
3. Seperti
yang kita sedia maklum, hampir keseluruhan ekonomi dunia telah terkesan
dari wabak COVID-19, tidak terkecuali sektor pengangkutan udara yang
merupakan antara sektor yang teruk terjejas. ICAO secara berterusan
mendokong dan membantu negara-negara Ahli nya dalam penyediaan dan
pelaksanaan garis panduan-garis panduan protokol keselamatan dan
kesihatan bagi syarikat-syarikat penerbangan, lapangan-lapangan terbang
dan aktiviti penerbangan lain melalui secara maya.
4. Di
peringkat serantau, di bawah pelan pelaksanaan ASEAN Comprehensive
Recovery Framework (ACRF), garispanduan pertama bagi operasi ASEAN-wide
COVID-19 untuk perlindungan dan keselamatan para penumpang dan anak-anak
kapal penerbangan telah diluluskan pada bulan November 2020 semasa
Mesyuarat Menteri-Menteri Pengangkutan ASEAN kali Ke-26 yang telah di
pengerusikan oleh Negara Brunei Darussalam.
5. Dalam
usaha pemulihan sektor pengangkutan udara, Kementerian Pengangkutan dan
Infokomunikasi (MTIC) dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) adalah antara
beberapa buah Kementerian dan Agensi Kerajaan yang bekerjasama melalui
Pasukan Petugas (Taskforce) Hal Ehwal Rentas Sempadan dalam penyediaan
dasar dan 2 garispanduan serta perancangan pelbagai strategi dan
inisiatif mengenai rentas sempadan melalui pengangkutan udara. Dalam
sektor penerbangan awam, satu inisiatif permulaan adalah pelaksanaan
Reciprocal Green Lane (RGL) diantara Negara Brunei Darussalam dan
Republik Singapura yang telah mula berkuatkuasa pada 1 September 2020
yang lalu.
6. Negara
Brunei Darussalam sebagai Negara Ahli ICAO adalah komited dalam usaha
kearah memastikan keselamatan dan sekuriti pengangkutan udara
antarabangsa adalah terjamin. Dalam hal ini, ICAO Council Aviation
Recovery Taskforce (CART) telah mengeluarkan garispanduan pemulihan
daripada pandemik COVID-19 edisi ke-4 pada bulan Oktober 2021. Negara
Brunei Darussalam turut menyokong dan mengguna pakai garispanduan ini
dan sehingga kini, telah melaksanakan modul-modul yang berkaitan dengan
langkah-langkah mitigasi risiko bagi lapangan-lapangan terbang,
anak-anak kapal, pesawat dan kargo seperti yang dicadangkan dalam garis
panduan CART tersebut.
7. ICAO
juga menggalakkan inovasi dan keupayaan teknologi baharu untuk
meningkatkan prestasi kecekapan kawalseliaan navigasi udara melalui
peralihan daripada Perkhidmatan Maklumat Aeronautik (Aeronautical
Information Services - AIS) kepada Pengurusan Maklumat Aeronautik
(Aeronautical Information Management - AIM). Dalam hal ini, Negara
Brunei Darussalam melalui Jabatan Penerbangan Awam, Kementerian
Pengangkutan dan Infokomunikasi tidak terkecuali dalam melaksanakan
keperluan ICAO bagi peralihan AIS kepada AIM.
8. Projek
peralihan AIS kepada AIM ini akan bermula pada Jun 2022 dan dijadualkan
siap dilaksanakan pada Mac 2023. Projek pendigitalan maklumat ini
bertujuan untuk meningkatkan ketepatan, efisiensi dan kecekapan sistem
navigasi udara bagi Negara Brunei Darussalam.
9. Di
kesempatan ini juga, saya ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada
semua pihak yang terlibat dan berkepentingan, terutama sekali kepada
barisan hadapan, atas sokongan dan dedikasi mereka dalam memastikan
perkhidmatan-perkhidmatan dalam sektor pengangkutan udara akan
beroperasi secara berterusan. Marilah kita sama-sama terus bekerjasama
dan menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara melalui sektor
penerbangan awam ke arah pemulihan yang berkesan daripada kesan
COVID-19. Mudah-mudahan usaha yang dijalankan ini mendapat keberkatan
dari Allah Subhanahu Wata’ala jua. Aamiin Aamiin Ya Rabbal 'Aalamiin.
***TAMAT**