Sign In
Mobirise Web Builder
Mukadimah Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi Dibawah Tajuk Jabatan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi Bagi Persidangan Majlis Mesyuarat Negara Dari Musim Permesyuaratan Yang Ke Lapan Belas Tahun 2022

Bismillah Hirrahman Nirrahim

Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamin Wassalatu Wassalamu ‘Ala- Asyarafil Anbiya’e Wal Mursalin Saidina Muhammadin Wa’ala Alihi Wasahbihi Ajma’in


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarrakatuh dan salam sejahtera.


1. Terlebih dahulu, kaola mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Pehin Pengerusi diatas peluang untuk kaola mengongsikan mukadimah bagi memulakan perbincangan keatas Anggaran Peruntukan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) bagi Tahun Kewangan 2022/2023.


Yang Berhormat Pehin Pengerusi dan Ahli – Ahli Yang Berhormat,


2. Di Dewan yang mulia ini, Kaola turut menyembahkan setinggi- tinggi menjunjung kasih di atas kurnia Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Majlis Pembukaan Persidangan Musim Permesyuaratan ke-18 Majlis Mesyuarat Negara 2022.


3. Seperti kita maklumi bersama, Titah Baginda antaralainnya menekankan keperluan untuk meluruskan tadbir urus masing- masing mengikut keutamaan, keperluan, tidak membazir dan dilaksanakan dengan teratur. Baginda juga menitahkan bagi persediaan yang teratur sebelum pelaksanaan, antaranya pindaan kepada Akta, perubahan kepada sistem teknologi maklumat dan juga pemberigaan.


4. InshaaAllah, Titah saranan Baginda akan terus menjadi rujukan dan garispandu utama bagi MTIC memastikan tadbir urus dan pelaksanaan dasar serta inisiatif yang lebih teratur kearah pelaksanaan objektif-objektif Strategik MTIC. Dengan berpandukan kepada perundangan dan peraturan-peraturan kewangan yang ada, proses pengkorporatan yang dijalankan oleh MTIC, Alhamdulillah, telah menjurus kepada penubuhan dua buah Badan Berkanun yang self-sustainable dan mampu untuk menjana kutipan hasil kepada Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.


5. Dalam hal ini, dengan perkembangan industri ICT serta industri maritim dan pelabuhan di Negara ini, Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-komunikasi (AITI) dan Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan (MPABD), kedua-duanya telah dapat beroperasi dengan lebih efisien. AITI telah dapat menyumbang kepada Anggaran Hasil Kerajaan dengan mengembalikan hasil yang berlebihan kepada pihak Kerajaan.


6. Dalam mendokong Tema Belanjawan pada tahun ini iaitu Memperkasa Kesejahteraan Awam Ke Arah Sosio-Ekonomi Yang Lebih Resilien’, kaola juga ingin merujuk dan menyembahkan setinggi-tinggi menjunjung kasih di atas Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam kali yang ke-38 tahun ini.


7. Titah Baginda antaralainnya menekankan bagi keperluan untuk mempercepatkan pengukuhan Transformasi Digital bagi memastikan norma baharu dapat dilaksanakan dengan berkesan. Perkara ini adalah selaras dengan matlamat Pelan Induk Ekonomi Digital 2025.


8. Dengan visi Negara Pintar melalui Tranformasi Digital, Pelan Induk Ekonomi Digital 2025 merupakan dokumen rujukan utama dan peta jalan bagi perancangan dan pelaksanaan transformasi digital di Negara Brunei Darussalam.


9. Ke arah ini, beberapa usaha penyelarasan telahpun dijalankan oleh pihak Urusetia Majlis Ekonomi Digital (DEC) bagi memantapkan lagi penyediaan dan pelaksanaan projek serta inisiatif digitalisation dibawah Pelan Transformasi Digital yang diterajui oleh Digital Tansformation Steering Commitee (DTSC) bagi Kementerian masing-masing.


10. Pelan Transformasi Digital ini adalah merangkumi dan mendokong penggunaan teknologi digital bagi Kementerian tersebut, dan juga bagi sektor perindustrian di bawah bidang kuasa Kementerian masing-masing. Hasil perkembangan dari sesi Ministries Digital Transformation Plan Stock Take yang telah dijalankan dari bulan April sehingga Jun 2021, sebanyak sepuluh (10) Digital Transformation Plans telah diterima untuk penelitian urusetia DEC.


11. Dalam kesempatan ini, kaola ingin merujuk kepada soalan dari Yang Berhormat Awang Iswandy bin Ahmad semasa membincangkan usul dibawah tajuk Jabatan Perdana Menteri, dan ingin menambah sedikit kepada jawapan dari Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri.


12. Dalam menggalakkan transformasi digital di sektor Kerajaan, kaola ingin mengongsikan beberapa dapatan dan pencapaian seperti berikut:-


a. Bagi Perkhidmatan Kerajaan, terdapat:-

i. 178 perkhidmatan yang boleh didapati dalam talian;

ii. 25 aplikasi mudahalih bagi perkhidmatan-perkhidmatan; dan,

iii. 22 pembayaran bagi perkhidmatan-perkhidmatan secara dalam talian.


b. Kearah perkhidmatan kerajaan yang lebih moden dan berkesan, kesemua Kementerian telah disediakan Office Collaborative tools seperti perkhidmatan e-mel; platform intranet bagi penyimpanan persuratan dan perkongsian dokumen; e-minit dan lain-lain. Setakat ini, kadar penggunaan tools ini adalah:-

i. 96% warga perkhidmatan awam menggunakan emel yang telah disediakan pihak Kerajaan;

ii. 61 agensi Kerajaan aktif menggunakan Intranet Platform sebagai peralatan bagi penyimpanan persuratan dan perkongsian dokumen; dan

iii. Sementara itu, hampir kesemua Kementerian iaitu sebanyak 10 buah Kementerian telah mula menggunakan e-minit atau e-Office bagi pengagihan tugas-tugas untuk tindakan selanjutnya.


c. Terdapat peningkatan jumlah pendaftaran akaun e- Darussalam yang baharu sebanyak 70% dari tahun sebelumya. Setakat bulan Januari 2022, Alhamdulillah, sebanyak 208,077 akaun telah didaftarkan dan sebanyak 170,963 akaun yang telah aktif. Alhamdullillah, statistik ini menunjukkan kadar penggunaan perkhidmatan Kerajaan melalui e-Darussalam yang terus meningkat.


13. Secara keseluruhannya, untuk lebih menggerakkan transformasi digital bagi sektor Kerajaan dengan berteraskan pendekatan whole- of-government, pihak MTIC dan Jabatan Perdana Menteri telah menubuhkan Digitization Policy Taskforce. Dimana Taskforce ini bertanggungjawab untuk meneliti penggubalan akta dan dasar yang perlu dikemaskini dalam mendokong usaha Kerajaan dalam merealisasikan ke arah Digital Government.


14. Pada masa yang sama, perhatian yang serius turut diberikan bagi mengembangluaskan transformasi digital di sektor swasta. Dalam hal ini, dua (2) Bengkel Pendigitalan Industri telah diadakan bagi membincangkan penyediaan “Pelan Transformasi Digital” untuk sektor-sektor industri yang dikenalpasti, iaitu:-


a. Bengkel mendigitalkan Industri Agri-Makanan telah diadakan pada 18 November 2021 dan disertai oleh seramai 91 orang peserta; dan


b. Bengkel mendigitalkan Industri Pembinaan (Construction) telah diadakan pada 15 Disember 2021 dengan penyertaan 60 orang peserta.


15. Bengkel mendigitalkan industri bagi lapan (8) lagi sektor perindustrian yang tersenarai dalam Pelan Induk Ekonomi Digital 2025, inshaaAllah, akan disasarkan selesai pada bulan Jun 2022.


Yang Berhormat Pehin Pengerusi dan Ahli – Ahli Yang Berhormat,


16. Bagi mendokong Objektif Strategik MTIC, dan selaras dengan keutamaan Tema Belanjawan bagi Tahun Kewangan 2022/2023, beberapa inisiatif telah dan akan dilaksanakan. Ini termasuk:-


a. Anggaran sebanyak $28 juta Ringgit Brunei telah diperuntukkan dibawah Perbelanjaan Berulang-Ulang Pusat Kebangsaan E-Kerajaan bagi membiayai perkhidmatan gunasama, latihan kemahiran, pemeliharaan sistem-sistem dan mengukuhkan aspek keselamatan daripada ancaman siber. Antaranya termasuk:-

i.Sekitar $9.24 juta Ringgit Brunei telah diperuntukkan bagi membiayai bayaran lesen- lesen perisian bagi semua Kementerian- Kementerian;

ii.$4.8 juta Ringgit Brunei bagi membiayai Talian Darussalam TD123; dan

iii.Sekitar $6.6 juta Ringgit Brunei bagi membiayai rangkaian connectivity bagi semua Kementerian- Kementerian.


b. Bagi projek Sistem Pengangkutan Awam sebanyak $5 juta Ringgit Brunei telah diperuntukkan dibawah RKN 11 dengan anggaran B$ 370,000 Ringgit Brunei bagi Tahun Kewangan 2022/23 untuk menambahbaik Perkhidmatan Pengangkutan Awam. Antara inisiatif- inisiatif yang sedang dirancangkan adalah:

i. Penyediaan perhentian bas inter-change di Jalan Kianggeh dan Jalan Mc Arthur di Bandar Seri Begawan; dan

ii. Penyediaan dan penaiktarafan infrastruktur dan fasiliti perhentian bas di Daerah Temburong.


c. Dibawah Jabatan Penerbangan Awam anggaran sekitar $ 5.4 juta Ringgit Brunei diperuntukkan bagi mempertingkatkan prasarana di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei iaitu antara lainnya termasuk pembinaan sebuah Detention Pond bagi flood mitigation, pemasangan sistem Advanced Lightning Protection, dan pemasangan sistem Airfield Ground Lighting.


d. Terdapat dibawah Peruntukkan Berulang-ulang Jabatan Penerbangan Awam:

i. Anggaran sekitar $ 3.5 juta bagi pengoperasian dan pemeliharaan kemudahan-kemudahan penumpang, dan sistem-sistem Baggage Handling dan Screening;

ii. Pemeliharaan Peralatan Sistem Navigasi sekitar $1.8 juta; dan

iii. Pemeliharaan dan Pembersihan Bangunan sekitar $1.5 juta.


e.Anggaran sekitar $10 juta Ringgit Brunei telah diperuntukkan dibawah MTIC bagi membiayai Penyerapan pengoperasian Cyber Security Brunei (CSB);


f. Memperuntukkan sebanyak $300,000 Ringgit Brunei untuk inisiatif-inisiatif dibawah Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR);


g. Sekitar $8.5 juta Ringgit Brunei diperuntukkan kepada Jabatan Pengangkutan Darat bagi pelaksanaan beberapa inisiatif utamanya. Ini termasuk antaralainnya:-

i. Pemeliharaan dan pengoperasian Sistem Pengangkutan Darat (SPD) bagi memastikan kelangsungan perkhidmatan kepada orang ramai; dan

ii. Keperluan bagi 4 buah mesin timbangan di pos-pos kawalan dalam usaha meningkatkan keselamatan jalan raya khususnya bagi para pengguna di Jalan Raya.


Yang Berhormat Pehin Pengerusi dan Ahli – Ahli Yang Berhormat,


17. Dalam Negara menghadapi kesan penularan pandemic COVID-19, sektor pengangkutan turut terkesan mengalami penurunan dari segi pergerakan trafik penumpang dan kargo.


18. Bagi pengangkutan udara, pergerakan penumpang sangat terjejas dengan penurunan sebanyak 70% bagi bulan Mac hingga Julai tahun 2020. Walaubagaimanapun terdapat pemulihan yang mendatar dari bulan Mac hingga Julai 2021 dengan peningkatan sebanyak 22.1%.


19. Kadar peningkatan yang minima pula dilihat dalam perkhidmatan pengangkutan laut dan maritim, khususnya dari segi jumlah kontena kapal dan kargo konvensional.


20. Semasa gelombang kedua pada bulan Ogos hingga November 2021, jumlah kontena kapal hanya meningkat sebanyak 0.83% berbanding dengan tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.


21. Dalam Memelihara Kesejahteraan Awam, melalui Objektif Strategik MTIC iaitu Transformasi Digital, dan Memastikan Kedayatahanan Sektor Pengangkutan dan Infokomunikasi, beberapa insiatif untuk menaiktaraf infrastruktur telekomunikasi telah dan akan terus dilaksanakan.


22. Hasil dari penstrukturan industri telekomunkasi pada 24hb Januari 2020, kadar penggunaan jalurlebar (broadband) turut meningkat berikutan keperluan semasa pandemik COVID-19. Menurut statistik yang direkodkan oleh AITI:-


a. Kadar pengguna mobile broadband telah meningkat sebanyak 25% dari kira-kira 115% ke 140% pada tahun 2021 berbanding tahun sebelumnya; dan


b. Dalam tempoh yang sama, kadar pengguna fixed broadband ke rumah meningkat sebanyak 7% dari 68% kepada 75.25%;


23. Bagi menampung kebergantungan kepada perkhidmatan jalurlebar ini, pihak penyedia UNN telah menjalankan beberapa usaha untuk menambahbaik operasi seperti antaralainnya:-


a. Penambahbaikan rangkaian pada bulan Ogos 2021 yang menghasilkan peningkatan dalam kelajuan sebanyak 61%; dan


b. Penambahan 53 buah infrastruktur telekomunikasi untuk menambahbaik lagi liputan telekomunikasi telefon bimbit, iaitu 22 buah di Daerah Brunei-Muara, 3 buah di Tutong, 15 buah di Belait dan 13 buah di Temburong, yang turut merangkumi kawasan pedalaman. Proses bagi penambahan infrastruktur ini telah dimulakan oleh UNN dengan kerjasama pihak-pihak yang berkenaan.


24. Dalam pada itu, liputan perkhidmatan telekomunikasi di kawasan pedalaman juga dititikberatkan. Sebanyak $3 juta Ringgit Brunei telah diperuntukkan dibawah Rancangan Kemajuan Negara Ke-11 bagi projek Pembangunan Menara di Kawasan Luar Bandar. Projek ini, Insha Allah, disasarkan meliputi empat buah kampong iaitu Kampong Apak-Apak, Kampong Sukang, Kampong Melilas, dan Kampong Long Mayan.


Yang Berhormat Pehin Pengerusi dan Ahli – Ahli Yang Berhormat,


 25. Bagi mengekalkan momentum penggunaan teknologi digital seiring dengan kemajuan teknologi, Negara Brunei Darussalam juga membuat persediaan bagi perkhidmatan 5G. Selain dari persediaan infrastruktur, MTIC melalui AITI melaksanakan usaha pemudahcaraan melalui:-


 a.Menyediakan frekuensi spektrum bagi teknologi 5G dan mengkaji semua peraturan dan perundangan dibawah AITI berkaitan penyediaan perkhidmatan 5G;


  b. Meneruskan ujian rintis atau trial bagi teknologi 5G; dan


 c. Menjalankan program pembangunan kapasiti sumber tenaga  manusia ke arah teknologi 5G mulai bulan Mac 2022 sehingga Jun 2022.


  26. Strategik Objektif MTIC adalah juga untuk Memastikan Piawaian Keselamatan untuk sektor Pengangkutan dan Infokomunikasi. Selaras dengan keutamaan Belanjawan iaitu memelihara kesejahteraan awam, MTIC turut mendokong keutamaan ini antaralainnya adalah:-


a. Pertama - Melalui Majlis Kebangsaan Keselamatan  Jalan Raya, usaha bersepadu diteruskan bagi menjadikan jalan raya lebih selamat untuk pengguna. Penurunan jumlah kes kemalangan jalan raya dalam purata 1% setiap tahun dari tahun 2018 hingga 2021; dan kedua,


b. Pengemaskinian Brunei National Cyber Security Strategy sebagai pendekatan dan strategi keselamatan siber yang menyeluruh. Inisiatif ini dijalankan oleh Cyber Security Brunei (CSB) sebagai kesinambungan kepada penubuhan CSB sebagai agensi keselamatan siber kebangsaan Negara Brunei Darussalam.


27. MTIC juga mendokong keutamaan Belanjawan ketiga iaitu Meningkatkan Kompetensi Sumber Manusia Ke Arah Work and Future-Ready. Selaras dengan Hasil Strategik dibawah Pelan Induk Ekonomi Digital 2025, salah satu inisiatif yang dilaksanakan adalah Program Coding.bn.


28. Selaras dengan objektif Manpower Industry Steering Committee (MISC), MTIC melalui AITI telah melaksanakan program Coding.bn khusus untuk menaiktaraf kemahiran para graduan yang masih mencari pekerjaan dengan kemahiran programming. Alhamdullillah, Coding.bn bagi kohort pertama telahpun selesai dilaksanakan pada bulan September 2021 dimana seramai 59 peserta telah menamatkan program tersebut. Setakat bulan Februari 2022, seramai 39 peserta daripada mereka telah berjaya mendapat pekerjaan tetap.


29. Seiring dengan Keutamaan Belanjawan untuk Mendokong dan Membantu Sektor Swasta agar Berdayatahan dan Berkembang, MTIC turut melaksanakan Dasar dan Rangkakerja Kawalselia yang conducive kepada Pelaburan dan Perniagaan.


30. Bagi memudahcara perkembangan sektor swasta, khususnya semasa menangani situasi penularan pandemic COVID-19, antara insiatif yang dilaksanakan termasuk:-


i. Brunei ICT Awards (BICTA) sebagai acara tahunan untuk mengasah tahap dayasaing, kreativiti dan innovasi dalam teknologi digital. Sejak mula diadakan pada tahun 2004, sebanyak 34 produk yang dipertandingkan dalam BICTA sedang aktif digunakan dan 11 produk lagi telah dikomersialkan. Peserta BICTA juga telah berjaya mendapat kemenangan di luar negara dengan kejayaan terkini iaitu Rumine Corporation mendapat tempat pertama dan Anugerah Emas dalam kategori Digital Content semasa ASEAN ICT Awards 2021 yang diadakan baru-baru ini; dan


ii. Program Productivity and Efficiency Joint Funding for Digital Adoption (PENJANA) yang dilancarkan oleh AITI pada 17 Februari 2022 baru-baru ini, bagi membantu Perusahaan-perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (MSMEs) tempatan dalam menggunapakai teknologi digital bagi meningkatkan produktiviti. Dibawah program ini, AITI akan membiayai sehingga 70% kos dalam menggunapakai digital solutions.


31. Selaras juga dengan Keutamaan Belanjawan bagi Sumber Manusia yang Work and Future Ready, MTIC juga memberikan usaha signifikan kepada Innovasi, Penyelidikan dan Perkembangan.


32. Alhamdulillah, menjunjung tinggi Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Ke-75 pada 15hb Julai 2021, mengenai penubuhan Majlis Penyelidikan dan Kemajuan Teknologi dan Sains (CREATES) bagi memacu aktiviti penyelidikan dan perkembangan dalam bidang Sains dan Teknologi di Negara ini.


33. Sehubungan ini, satu rangkakerja dasar iaitu National Science, Technology and Innovation Framework sedang disediakan bagi menetapkan halatuju dan strategi yang jelas ke arah pembangunan Negara demi mencapai Wawasan Brunei 2035. Halatuju Sains, Teknologi dan Inovasi ini akan diselaraskan dengan keperluan-keperluan industri yang terkini dan relevan.


34. Sebagai langkah bagi menggalakkan innovasi, beberapa inisiatif turut dilaksanakan dan dirancang, antara lainnya adalah:-


a. Melalui CREATES, satu projek penyelidikan dalam membantu menangani dan membendung COVID-19 telah dilaksanakan dengan kerjasama pihak Universiti Brunei Darussalam, Kementerian Kesihatan, Singapore Duke-NUS Medical School dan Evyd Technology Sdn Bhd;

Pada penghujung tahun 2021, sebanyak 22 cadangan projek penyelidikan telahpun diterima daripada Institusi Pengajian Tinggi dan Institusi Penyelidikan. Daripada jumlah tersebut, 12 projek yang disokong oleh CREATES kini dalam proses untuk diluluskan.


b. CREATES sedang meneliti peruntukan sebanyak B$3 juta Ringgit Brunei untuk tempoh tiga (3) tahun bagi mendokong projek rintis 5G. Ini adalah sebagai susulan kepada cadangan National 5G Taskforce bagi pelaksanaan strategi dan pelan-pelan tindakan kearah pembangunan ekosistem 5G yang bermanfaat bagi Negara Brunei Darussalam.


Yang Berhormat Pehin Pengerusi dan Ahli–Ahli Yang Berhormat,


37. InshaaAllah, inisiatif-inisiatif yang mendokong ke arah pertumbuhan ekonomi Negara akan sedaya upaya dilaksanakan melalui peruntukan perbelanjaan biasa untuk Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) sebanyak $108,029,200 (Seratus lapan juta, dua puluh sembilan ribu dan dua ratus Ringgit Brunei) dan perbelanjaan kemajuan sebanyak $34,416,971 (Tiga puluh empat juta, empat ratus enam belas ribu, sembilan ratus tujuh puloh satu Ringgit Brunei) yang disokong bagi Tahun Kewangan 2022/2023.


38. Akhir sekali, kaola ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi penghargaan kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat diatas sokongan berterusan dalam sektor-sektor dibawah kawalan MTIC. Kaola juga merafak syukur kehadrat Allah Subhanahu wata’ala diatas kurnia limpahNya jua, kaola diberi peluang menyampaikan Mukadimah dan seterusnya untuk mengikuti perbincangan di Dewan Yang Mulia pada pagi ini walaupun secara maya. Sama-samalah kita doakan semoga segala inisiatif yang diusahakan dengan berkat kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, serta usaha-usaha secara whole-of-nation, akan membuahkan hasil dan impak yang dihasratkan ke arah Menjayakan Wawasan Negara 2035. Sekian..


Wabillahitaufiq Wal Hidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


Terima kasih Yang Berhormat Pehin Pengerusi.



Attachments
Speeches