Perutusan
Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib
bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Awang Haji Mohamad Yusof,
Menteri Pengangkutan Dan Infokomunikasi
Sempena Memperingati Hari Kajicuaca Sedunia 2022
(23 Mac 2022)
Tema: ‘Amaran Awal dan Tindakan Awal’
(Early Warning and Early Action)
1.
Negara Brunei Darussalam bersama dengan Negara-Negara Ahli
Pertubuhan Kajicuaca Sedunia (WMO), setiap tahun, pada 23 Mac, menyambut
Hari Kajicuaca Sedunia untuk memperingati berkuatkuasanya konvensi WMO
pada tarikh tersebut pada tahun 1950. Sambutan ini juga adalah bagi
menghargai sumbangan penting yang diberikan oleh
Perkhidmatan-Perkhidmatan Kajicuaca dan Hidrologi Kebangsaan (NMHSs)
dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat di seluruh
dunia.
2.
Pada tahun ini, tema yang dipilih oleh Pertubuhan Kajicuaca Sedunia
(WMO) ialah ‘Amaran Awal dan Tindakan Awal’ atau ‘Early Warning and
Early Action’ bagi menekankan kepentingan maklumat hidrometeorologi dan
iklim untuk pengurangan risiko bencana.
3.
Menurut WMO, sepanjang 50 tahun yang lalu, terdapat lebih dari 11,000
bencana telah dicatatkan yang dikaitkan dengan cuaca, iklim dan air yang
mana telah mengakibatkan lebih 2 juta korban jiwa dan kerugian ekonomi
sebanyak US$3.64 trilion. Kalau dilihat dari segi purata harian global,
ianya adalah sebanyak 115 korban jiwa dengan kerugian ekonomi berjumlah
US$202 juta.
4.
Mengikut data dari ‘Atlas of Mortality and Economic Loses from Weather,
Climate and Water Extremes 1970-2019’ yang diterbitkan oleh WMO, jumlah
kejadian bencana antara tahun 1970 dan 2019 telah meningkat lima kali
ganda, manakala kerugian ekonomi pula meningkat lebih tinggi sehingga
tujuh kali ganda. Walau bagaimanapun, jumlah korban jiwa telah menurun
hampir tiga kali ganda sejak tahun 1970, satu penurunan hasil dari
amaran awal dan strategi pengurangan risiko bencana yang semakin
bertambah baik.
5.
Keupayaan pengeluaran amaran awal adalah hasil daripada berbagai
kemajuan teknologi dan juga hasil penyelidikan yang dibuat
berdekad-dekad lamanya. Perkembangan dari segi penggunapakaian kaedah
‘Artificial Intelligence’ seperti penggunaan ‘supercomputers’ dan
teknologi satelit telah banyak membantu dalam penyediaan ramalan yang
lebih cepat dan tepat. Penyelidikan telah dapat
memberikan khidmat-khidmat mengikut kehendak para pengguna. Manakala
kemajuan teknologi perhubungan seperti telefon bimbit telah membolehkan
penghantaran amaran awal dengan lebih cepat dan pada jarak pencapaiannya
sehingga ke kawasan yang terpencil.
6. Negara Brunei Darussalam melalui Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD)
juga menitikberatkan penggunaan Sistem Amaran Awal (Early Warning System)
dalam pemberian amaran cuaca kepada orang awam. Amaran Cuaca Berkod Warna
(Colour Coded Weather Warning) merupakan kaedah yang telah digunakan sejak
tahun 2010. Kaedah yang sama juga digunakan oleh kebanyakan Negara-Negara
Ahli WMO dan ianya merupakan satu kaedah yang senang difahami dan sangat
efektif.
7. Penyediaan amaran cuaca berkod warna ini juga dihasratkan untuk mendokong
usaha Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) dalam membuat sebarang
penyelarasan dengan agensi-agensi berkaitan dalam menangani isu-isu berkaitan
dengan bencana kebangsaan. Ini termasuk meningkatkan kesiapsiagaan orang
awam untuk sentiasa peka akan risiko bencana dan mengetahui tindakan awal yang
perlu diambil ketika menghadapi bencana.
8. Taklimat Cuaca Kebangsaan (NWB) juga dikendalikan oleh BDMD empat kali setiap
tahun yang merupakan program untuk kumpulan para pengguna yang meliputi
kumpulan ‘Safety and First Responders, Industry and Economy and Mass Media’.
Program ini, antaralainnya membolehkan para pengguna membuat persediaan dan
tindakan awal menghadapi sebarang impak cuaca seperti hujan lebat atau kejadian
kemarau.
9. Dalam memastikan pengukuhan prasarana yang mendokong usaha pemantauan,
pengeluaran ramalan, nasihat dan amaran cuaca yang lebih tepat di negara ini,
Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi melalui BDMD sedang giat
mengungkayahkan beberapa projek di bawah Rancangan Kemajuan Negara Ke -11
(RKN-11. Antara projek-projek tersebut adalah penggantian dan penaiktarafan
weather radar network, Automatic Weather Observation System (AWOS) di
Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei dan penggantian National Automatic
Weather Stations (NAWS) di seluruh negara.