Ucapan
Yang Berhormat
Pengiran Dato Seri Setia Shamhary Bin
Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha
Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi
Di KEMPEN ISI SELAMAT, RASA SELAMAT ("FILL SAFE, FEEL SAFE")
HARI RABU, 24 Ogos 2022
Tingkat LR, Bangunan PGGMB
Bismillahir Rahmanir Rahim,
Alhamdulillahi Rabbil 'Alamin Wassalatu Wassalamu
'Ala-Asyarafil Anbiya'e Wal Mursalin Sayidina Muhammadin Wa'ala Alihi
Wasahbihi Ajma'in
Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Selamat pagi dan Salam sejahtera.
Yang Mulia Muhammad Norshafiee bin Dato Paduka Hj Abdul Jalil, Pengarah Urusan, Syarikat Pemasaran Brunei Shell;
Yang Mulia Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap;
Hadirin dan hadirat sekalian,
1. Segala
puji dan syukur kita rafa'kan ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta'ala,
selawat ke atas Junjungan besar kita Sayidina Muhammad Sallalahu 'alaihi
wa sallam, dan kaum kerabat, sahabat-sahabat serta pengikut-pengikut
Baginda yang ta'at setia lagi jujur hingga ke akhir zaman. Dengan izin
dan rahmatnya jua kita dapat berkumpul di majlis pelancaran kempen
Syarikat Brunei Shell Marketing, "Fill Safe, Feel Safe" 2022 pada pagi ini.
2.
Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Brunei
Shell Marketing diatas kesudian menjemput saya selaku tetamu kehormat
dan seterusnya melancarkan kempen keselamatan pada pagi ini.
3. Saya difahamkan yang kempen ini adalah
merupakan satu usaha kerjasama diantara Petroleum Autoriti Brunei
Darussalam bersama dengan Brunei Shell Marketing kearah meningkatkan
kesedaran keselamatan yang berterusan di stesen-stesen minyak dan akan
berjalan selama empat minggu dengan pelbagai tema khusus.
4. Sepertimana nama kempen ini
"Fill Safe, Feel Safe" atau "Isi Selamat, Rasa Selamat"
sudah dapat menggambarkan bahawa - walaupun stesen-stesen minyak
berurusan dengan bahan api yang merbahaya, akan tetapi ianya juga boleh
merupakan satu tempat yang selamat. Bukan sahaja untuk petugas-petugas
distesen minyak, tetapi juga kepada orang ramai dan setiap pengunjung ke
sana.
5. Akan tetapi, saya difahamkan bahawa pada setiap hari petugas-petugas di stesen minyak atau dikenali sebagai
Juara Servis sering berhadapan dengan
pelbagai cabaran semasa menjalankan tugas mereka, yang terkandung dalam
memastikan keselamatan di stesen minyak akan sentiasa terjamin untuk
semua.
6. Dalam hal ini, beberapa
garispanduan dan peraturan-peraturan khusus bagi melindungi
petugas-petugas sudah diperkenalkan. Walaubagimanapun, ketidakpatuhan
ataupun
non-compliance kepada garispanduan dan
peraturan-peraturan telah mendedahkan Juara Servis, pelanggan-pelanggan
dan pengunjung-pengunjung ke stesen minyak kepada risiko berlakunya
sesuatu insiden yang tidak diingini.
7. Disamping itu, ada
kalanya Juara Servis yang menjalankan tugas mereka, pula berhadapan
dengan kekerasan dan ancaman oleh pelanggan-pelanggan. Oleh kerana itu,
saya ingin menasihatkan kepada kita semua, termasuk diri saya, untuk
memberikan kerjasama serta mematuhi arahan dan nasihat Juara Servis demi
menjaga keselamatan bersama dan melancarkan segala urusan di stesen
minyak.
8. Saya menyarankan bagi
Brunei Shell Marketing dan juga pengusaha-pengusaha stesen minyak untuk
terus memantau prestasi keselamatan di stesen-stesen minyak dan
mengambil tindakan sewajarnya kepada sebarang ketidakpatuhan.
9. Saya faham bahawa diantara cabaran-cabaran yang dihadapi
di stesen minyak bukan baru. Akan tetapi kita mesti sentiasa cekal,
tabah hati dan berinovasi dalam mencari penyelesaian baru untuk masalah
lama atau
new soloutions for old problems.
10. Syabas saya ucapkan kepada Brunei Shell Marketing kerana memperkenalkan skim
Retail HSSE Ambassadors atau Retail Safety Ambassadors yang akan dilancarkan dan pelantikan mereka diadakan pada pagi ini. Dengan lantikan
Retail Safety Ambassadors ini, saya berharap
mereka akan dapat mempromosi dan memastikan semua garispanduan dan
peraturan-peraturan dipatuhi dan seterusnya menjadi contoh kepada
rakan-rakan sekerja mereka yang lain. Tahniah, saya ucapkan kepada semua
yang terpilih sebagai
Retail HSSE Ambassador.
11. Insha
Allah dengan usaha mulia dan initiatif-initiatif yang diperkenalkan
ini, akan dapat mengurangkan risiko berlakunya insiden yang tidak di
ingini di stesen minyak dan juga di jalan-jalan raya secara amnya.
12. Dikesempatan
ini, saya ingin mengongsikan bahawa disamping Negara Brunei Darussalam
menunjukkan penambahbaikan dari segi penurunan jumlah kemalangan dan
kematian akibat kemalangan dijalan raya dari tahun ke setahun
kebelakangan ini, trend yang dicatitikan bagi tahun ini agak
membimbangkan. Disamping itu, beberapa kejadian kenderaan terbakar juga
telah direkodkan.
13. Oleh yang
demikian, ia mengingatkan kita untuk tidak leka dalam melaksanakan usaha
kearah menjadikan pengunaan jalan raya di negara kita lebih selamat.
Dalam hal ini, usaha berterusan oleh pihak Majlis Kebangsaan Keselamatan
Jalan Raya dan agensi-agensi yang berkepentingan diharap akan terus
dijalankan sepanjang masa.
14. Keadaan yang sempurna dan paling berkesan ialah
apabila setiap pengguna jalan raya tersebut dapat membudayakan sendiri
minda keselamatan, patuh kepada peraturan, menyesuaikan diri dengan
keadaan jalan, keadaan cuaca dan sedar akan pengguna yang lain serta
sentiasa berwaspada.
15. Sebelum itu, kempen-kempen seperti program
Fill Safe, Feel Safe ini memainkan peranan pentingnya masing-masing kearah mencapai sasaran tersebut.
16. Saya
ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Petroleum Autoriti
Brunei Darussalam, Brunei Shell Marketing, agensi-agensi Kerajaan dan
stesen-stesen minyak yang terlibat dalam menjayakan program
Fill Safe, Feel Safe 2022 ini. Tidak lupa juga diucapkan tahniah kepada ahli jawatankuasa yang telah menjayakan majilis pada hari ini.
17. Saya
berharap, semoga semua perancangan dan usaha-usaha dalam menjayakan
kempen tersebut akan berjalan dengan lancar dan mencapai matlamatnya
insya Allah.
18. Akhir sekali sebagai pesanan saya, di setiap jalan itu akan bertemunya dua hati, maka berhati-hati lah di jalan raya.
Sekian, Wabillahitaufik Walhidayah,
Wasalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.