Sign In
Mobirise Web Builder
Majlis Malam Anugerah Teknologi Infokomunikasi Brunei (BICTA) 2005

Dewan Persidangan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas

09 Syawal 1426 bersamaan 11 November 2005

 Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Bismillahir Rahmanir Rahim, Wassalaatu Wassalaamu ‘Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Alihiee Wasah Bihee Ajma’een.

Mengadap Kehadapan Majlis

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.

Beribu ampun,

Dengan penuh hormat dan takzim, hamba Duli Tuanku bagi pihak Jawatankuasa Penyelaras Anugerah Teknologi Infokomunikasi Brunei (BICTA) 2005, terlebih dahulu sukacita menyembahkan setinggi-tinggi menjunjung kasih di atas kornia perkenan Duli Tuanku selaku Penaung Diraja Anugerah BICTA berangkat ke Majlis Malam Anugerah Teknologi Infokumikasi Brunei (BICTA) 2005 ini dan seterusnya akan menyempurnakan pengurniaan Anugerah kepada pemenang-pemenang BICTA 2005 pada malam ini.

Sesungguhnya keberangkatan Duli Tuanku ke majlis malam ini merupakan suatu penghormatan dan besar maknanya dalam memberikan daya pendorong kepada abis hamba Duli Tuanku khasnya kepada peserta-peserta BICTA 2005.

Beribu ampun,

Disembahkan bahawa Anugerah Teknologi Infokomunikasi Brunei (BICTA) kali ini adalah merupakan kali yang kedua diadakan sejak Anugerah ini pertama kali diadakan pada tahun 2004.

Anugerah BICTA adalah dihasratkan untuk menjadi landasan atau platform bagi menjana inovasi dan kreativiti dan kecemerlangan dalam bidang ICT di kalangan individu, pengusaha ICT kecil dan sederhana (SME) tempatan, dan institusi-institusi pendidikan. Di samping itu, Anugerah ini juga dihasratkan untuk menjadi tanda aras atau benchmark kepada produk dan solution bagi inovasi dan kreativiti dalam bidang ICT dan bagi menghargai pencapaian terbaik individu, pengusaha-pengusaha ICT kecil dan sederhana (SME) dan organisasi-organisasi yang beroperasi di Negara Brunei Darussalam.

Sebanyak 16 kategori telah dipertandingkan yang meliputi 4 domain, iaitu Kerajaan, Industri, Pendidikan dan pengguna. Pada tahun ini, sebanyak 40 penyertaan telah diterima dalam13 daripada 16 kategori yang dipertandingkan, iaitu e-Government and Public Services, Education and Training, Secondary Student Project, Tourism and Hospitality, Media and Entertainment, Communications, Health, Security, Application and Infrastructure Tools, General Applications, Start-up Company, Primary Student Project dan Tertiary Student Project. Bagi memberikan galakan kepada syarikat-syarikat baru, satu kategori baru iaitu Start-up Company telah diperkenalkan.

Beribu ampun,

Disembahkan bahawa para Jemaah Hakim berpendapat bahawa pada tahun ini terdapat peningkatan dari segi jumlah penyertaan daripada 25 pada tahun 2004 kepada 40. Demikian juga terdapat peningkatan dari segi content dan kualiti penyertaan serta meningkatnya juga semangat para peserta yang menyertai pameran BICTA.

Apa yang juga membanggakan ialah separuh daripada penyertaan adalah terdiri daripada para penuntut pusat-pusat pengajian tinggi, sekolah menengah, sekolah rendah, maktab teknik dan sekolah vokasional. Ini merupakan satu petanda yang positif.

Sebanyak 60 petak pameran telah disediakan dan disertai oleh pihak swasta, Kementerian-kementerian dan Jabatan-jabatan Kerajaan dan juga pemenang Anugerah BICTA 2004.

Beberapa ceramah dan taklimat juga telah diadakan yang disampaikan oleh wakil-wakil dari agensi-agensi kerajaan, syarikat-syarikat ICT tempatan dan luar negara dan juga para pemenang anugerah BICTA 2004 untuk mengongsikan pengalaman dan pengetahuan mereka dalam bidang ICT.

Beribu Ampun,

Pemenang-pemenang bagi setiap kategori akan menerima wang tunai sebanyak $1,000.00, trofi dan plak dan mereka ini juga akan mewakili Negara Brunei Darussalam ke pertandingan Anugerah Teknologi Infokomunikasi Asia Pasific (APICTA 2005) yang dijangka akan diadakan pada bulan Februari 2006.

APICTA ini pada awalnya dirancang diadakan di Bali, Indonesia pada 30 November hingga 3 Disember 2005 tetapi atas sebab musibah yang menimpa Bali baru-baru ini, maka tarikh dan tempatnya telahpun dipinda.

APICTA adalah merupakan anugerah tertinggi di peringkat Asia Pasifik di mana ianya adalah merupakan landasan atau platform bagi mewujudkan pembaharuan dan inovasi di peringkat Asia Pasifik. Di samping itu ianya juga bertujuan bagi merangsang pertumbuhan ekonomi dan perhubungan perdagangan, pemindahan teknologi, menyediakan peluang persaingan dan pendedahan.

Hamba Duli Tuanku mengharapkan agar para pemenang BICTA 2005 yang akan menyertai pertandingan Anugerah APICTA 2005 nanti akan dapat mempertingkatkan lagi daya saing, kualiti produk, hasil inovasi dan kreativiti mereka supaya dapat bersaing dengan peserta dari negara-negara lain. Kearah ini jemaah hakim juga diharap akan dapat memberikan bimbingan dan sokongan kepada pemenang BICTA 2005 bagi memastikan penyertaan mereka di peringkat APICTA 2005 mencapai mutu (standard) pertandingan.

Beribu ampun,

Disembahkan bahawa pada tahun 2004 yang lalu peserta Negara iaitu Teleconsult dengan projek e-Plato dalam kategori e-Government and Services telah berjaya mendapat penghargaan ‘Special Mention’ semasa Anugerah APICTA yang diadakan di Hong Kong.

Adalah menjadi harapan negara supaya kejayaan yang lebih besar akan dapat diperolehi dalam penyertaan pada tahun ini dan juga di tahun-tahun yang akan datang.

Kepada pemenang-pemenang Anugerah BICTA 2005, hamba Duli Tuanku mewakili Jawatankuasa Penyelaras Anugerah Teknologi Infokomunikasi sukacita mengucapkan syabas dan tahniah di atas kejayaan mereka.

Sebelum mengakhiri sembah alu-aluan ini, hamba Duli Tuanku sukacita menyembahkan setinggi-tinggi menjunjung kasih diatas keberangkatan Paduka Adinda:

Yang Teramat Mulia
Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik

Yang Amat Mulia Pengiran-Pengiran Cheteria,
kehadiran Yang Berhormat Menteri-Menteri Kabinet, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat, Dhief-dhief dan para jemputan yang dihormati sekalian.

Sekian. Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Hamba Duli Tuanku menjunjung anugeraha.​​

Attachments
Speeches