Sign In
Mobirise Web Builder
Khamis, 24 November 2022 - Sembah Alu-Aluan Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi sempena Hari Memperingati Mangsa-Mangsa Lalu Lintas Jalan Raya Sedunia 2022

Sembah Alu-Aluan Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Mustapha 
Menteri Pengangkutan dan Infokommunikasi selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya 


Pada:
Hari Khamis, 29hb Rabiulakhir 1444 / 24hb November 2022


Semasa:
Hari Memperingati Mangsa-Mangsa Lalu Lintas 
Jalan Raya Sedunia 2022

Bertempat:
Royal Berkshire Hall, 
Royal Brunei Polo and Riding Club, Jerudong


Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

1.  Mengadap Kehadapan Majlis Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna binti Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Ambassador-at-Large, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, selaku Penaung Diraja Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR).

2.      Alhamdulillah, segala puji-pujian kepada Allah Subhanahu Wata'ala jua kerana dengan izin dan rahmatNya, sambutan sempena Hari Memperingati Mangsa-mangsa Lalu Lintas Jalan Raya Sedunia bagi tahun 2022 dapat dilangsungkan pada hari ini.

3.   Hamba Tuanku mewakili MKKJR, serta keseluruhan Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja, dengan penuh hormat dan takzim menyembahkan setinggi-tinggi menjunjung kasih di atas keberangkatan Tuanku sebagai Tetamu Kehormat pada majlis ini.  

4.   Sesungguhnya, keberangkatan Tuanku ini dan seterusnya berkenan untuk melancarkan buku Safe and Smart Driving in Brunei Darussalam – edisi ke-dua, Buku Bacaan Pendidikan Keselamatan Jalan Raya bagi peringkat Sekolah Rendah, pengurniaan hadiah-hadiah bagi Pertandingan Kuiz Keselamatan Jalan Raya dan Pertandingan Mencipta Klip Video Keselamatan Jalan Raya bagi Peringkat Sekolah Menengah serta mengurniakan sabda, menggambarkan keprihatinan dan sokongan Tuanku dalam usaha meningkatkan keselamatan jalan raya di Negara ini.

5.     Setelah turut terjejas oleh penularan pandemik COVID-19, alhamdulillah pihak MKKJR telah memulakan semula usaha untuk melaksanakan beberapa projek-projek dan inisiatif-inisiatif keselamatan jalan raya selaras dengan Pelan Strategik Keselamatan Jalan Raya Negara Brunei Darussalam 2025. Usaha-usaha tersebut adalah berpandukan the 3 E’s in road safety iaitu Engineering, Education dan Enforcement. Apa yang menjadi tumpuan buat masa ini dan yang di paparkan pada hari ini adalah yang berhubung dengan Education, iaitu pendidikan keselamatan jalan raya yang merupakan gabungan latihan pemandu dan pendidikan awam. Aspek-aspek Engineering khususnya mengenai penggunaan teknologi-teknologi keselamatan terkini didalam kenderaan-kenderaan serta sistem penggawalan lalulintas juga akan dipamerkan.

Beribu Ampun

6. Sepertimana juga dengan perubahan masa dan ciptaan teknologi baru, kaedah atau pendekatan bagi menangani isu keselematan jalan raya juga melalui peralihan dari Pendekatan Tradisional seperti the 3 E’s yang telah disebutkan awal tadi kepada Pendekatan Sistematik dan seterusnya kepada Pendekatan Vision Zero atau Visi Sifar kematian atau kecederaan serius lalu lintas. Titik mula pendekatan ini adalah pengakuan bahawa kematian atau kecederaan serius boleh dielakkan dan penerimaan hakikat bahawa kesilapan manusia itu akan berlaku.

7. Oleh yang demikian usaha-usaha keselamatan lalu lintas seterusnya akan memberi tumpuan kepada perubahan peringkat sistem dan pasarana disamping mempengaruhi tingkah laku individu sahaja. Namun begitu setiap kaedah-kaedah atau pendekatan ini telah mengenal pasti bahawa faktor asas dalam menentukan keterukan atau buruknya kesan kemalangan jalan raya adalah kelajuan dalam erti kata lain Speed Kills. Oleh yang demikian ini adalah satu perkara yang perlu ditangani dalam menggalakkan setiap kenderaan dipandu mengikut had laju yang telah ditetapkan khusus mengikut keadaan jalan raya.

8. Insha Allah dengan kerjasama semua pihak khusunya daripada ahli-ahli MKKJR dan juga Kumpulan-Kumpulan Kerja dibawahnya yang terdiri daripada Agensi-Agensi Kerajaan yang berkepentingan serta Pertubuhan-Pertubuhan Swasta dan NGOs, matlamat Vision Zero atau Visi Sifar kematian dan kecederaan serius lalu lintas akan menjadi hala tuju dan insha Allah dapat dicapai.

Beribu Ampun,

9.  Majlis pada petang ini adalah juga merupakan petanda usaha berterusan Negara Brunei Darussalam dalam mempertengahkan kepentingan isu keselamatan jalan raya. 

10.      Sebelum hamba Tuanku menjunjung anugeraha berundur diri, hamba Tuanku dengan penuh hormat dan takzim menyembahkan setinggi-tinggi menjunjung kasih diatas keberangkatan Tuanku ke Majlis Sambutan Hari Memperingati Mangsa-mangsa Lalu Lintas Jalan Raya Sedunia bagi tahun 2022.

11.     Hamba Tuanku menjunjung sabda perkenan untuk merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat atas sumbangan buah fikiran dan komitmen bagi menjayakan sambutan pada hari ini.

12.    Hamba Tuanku juga seterusnya menjunjung perkenan untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diatas kehadiran Timbalan Menteri, Pesuruh Jaya Polis, ketua-ketua perwakilan dari negara-negara sahabat, Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap, pegawai-pegawai kanan dan semua yang hadir.  

13.        Pada mengakhiri sembah alu-aluan ini, hamba Tuanku dengan penuh hormat dan takzim menyembahkan berbanyak-banyak menjunjung ampun sekiranya terdapat sebarang suruk langkah dan tutur kata yang kurang manis dalam sembah alu-aluan hamba Tuanku dan dalam majlis pada petang ini.

Sekian Wabillahi Taufik Wal Hidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.   

Hamba Tuanku menjunjung anugeraha.​



Attachments
Speeches