Sign In
Mobirise Web Builder
Perutusan Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi Sempena Hari Penerbangan Awam Antarabangsa 2022

PERUTUSAN

YANG BERHORMAT

PENGIRAN DATO SERI SETIA SHAMHARY

BIN PENGIRAN DATO PADUKA HAJI MUSTAPHA

MENTERI PENGANGKUTAN DAN INFOKOMUNIKASI

 

SEMPENA

HARI PENERBANGAN AWAM ANTARABANGSA 2022

 ​

  1. Hari Penerbangan Awam Antarabangsa (International Civil Aviation Day) di sambut secara global pada setiap 7 Disember semenjak tahun 1944 bagi memperingati penubuhan International Civi Avation Organisation (ICAO).  Tema sambutan bagi tempoh tahun 2020 hingga 2023 ialah “Advancing Innovation for Global Aviation Development".
     
  2. Pengangkutan udara memainkan peranan penting sebagai pemangkin kepada perkembangan sosial dan juga bagi menjana pertumbuhan ekonomi negara. Pihak Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dengan kerjasama berbagai pihak secara bersepadu akan sentiasa memastikan dan mengutamakan tahap keselamatan yang terbaik demi kesejahteraan pengguna-pengguna lapangan terbang disamping meningkatkan tahap keyakinan orang ramai melalui projek-projek inovatif dan berteknologi, selaras dengan halatuju kearah mencapai visi Negara Pintar.
     
  3. ICAO bersama negara-negara anggota dan industri penerbangan sejak beberapa tahun kebelakangan ini telahpun bergiat aktif dalam mendokong pemulihan ekonomi sektor pengangkutan melalui inisiatif inovatif berikutan impak dan kesan penularan global wabak COVD-19.  Innovasi dalam penyediaan perkhidmatan adalah diantara pemangkin kearah pemulihan dan pertumbuhan sektor ini. Sektor penerbangan Negara Brunei Darussalam juga tidak terlepas daripada perkara ini dimana Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB) telah mula menyaksikan peningkatan didalam permintaan ruang penerbangan kargo untuk import dan eksport berikutan dengan penambahan operasi pengendali kargo udara di LTAB.
     
  4. Negara Brunei Darussalam selaku negara ahli ICAO melalui Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi turut menyokong usaha-usaha ICAO dalam melaksanakan garis panduan Council Aviation Recovery Taskforce (CART) bagi langkah-langkah mitigasi untuk mengurangkan risiko kesihatan pada penumpang dan pekerja-pekerja di lapangan penerbangan.  Garis panduan ini juga akan dapat  meningkatkan lagi keyakinan orang ramai, pekerja penerbangan, rangkaian bekalan global dan pihak kerajaan.
     
  5. Alhamdulillah, pada tahun 2022, Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei telah menunjukkan pertumbuhan kemasukan dan perlepasan trafik udara yang sangat menggalakkan. Merujuk kepada perangkaan trafik udara yang diterima bagi bulan Januari hingga Oktober 2022, aktiviti penerbangan mencatatkan sebanyak 4,732 pergerakan berbanding 2,135 pergerakan pada tahun 2021 bagi tempoh yang sama. Manakala pergerakan penumpang juga telah merekodkan pertumbuhan yang sangat menggalakkan dengan jumlah 375,417 orang penumpang berbanding 36,107 orang pada tahun sebelumnya. Begitu juga dengan pengangkutan kargo yang telah mencatatkan sebanyak 9,235 tan matrik pada 10 bulan pertama 2022 dengan kadar pertumbuhan meningkat sebanyak 16.3% bersamaan 1,296 tan matrik dari tahun sebelumnya bagi tempoh yang sama.
     
  6. Dikongsikan juga, antara lain pencapaian dari sektor penerbangan awam tahun ini ialah penandatanganan Perjanjian Pengangkutan Udara Komprehensif diantara Negara-Negara Ahli Association of Southeast Asian Nations, dan the European Union (ASEAN-EU CATA) semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Pengangkutan ASEAN ke-28 di Bali, Indonesia pada 17 Oktober 2022. Perjanjian Pengangkutan Udara ini merupakan perjanjian blok-ke-blok pertama di dunia diantara negara ASEAN dan Eropah bagi mengukuhkan lagi hubungan udara diantara negara ASEAN dan Eropah.  Perjanjian ini diharapkan dapat mendokong pemulihan sektor penerbangan awam dengan menghidupkan semula ketersambungan (connectivity) di antara kedua-dua rantau yang berpotensikan 1.1 bilion penduduk dengan memudahkan interaksi perniagaan, perdagangan dan pelancongan. 
     
  7. Dengan ini, kearah matlamat untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada semua penumpang-penumpang disepanjang perjalanan mereka, Jabatan Penerbangan Awam bersama-sama dengan pihak berkepentingan akan terus bekerjasama demi mematuhi piawaian keselamatan dan sekuriti penerbangan awam disamping berusaha menjamin keselesaan dan kelancaran proses-proses penerbangan secara menyeluruh. 
     
  8. Dikesempatan ini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua komuniti penerbangan atas sokongan dan usaha yang padu dalam memastikan setiap operasi perkhidmatan udara sentiasa berjalan dengan efisien dan cekap. 



Attachments
Speeches