Terima kasih Yang Berhormat Pehin Pengerusi,
Bismillah Hirrahman Nirrahim
Alhamdulillahi Rabbil 'Alamin Wassalatu Wassalamu 'Ala-Asyarafil Anbiya'e Wal Mursalin Saidina Muhammadin Wa'ala Alihi Wasahbihi Ajma'in,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarrakatuh dan salam sejahtera
Yang Berhormat Pehin Pengerusi dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara yang dihormati sekalian,
Dikesempatan ini kaola juga ingin menyampaikan ucapan selamat menyambut bulan Ramadhan kepada semua di Dewan ini, selamat menunaikan ibadah puasa kepada yang menunaikanya dan semoga ibadah dan urusan kita semua berjalan lancar di bulan yang suci ini.
1. Seterusnya, kaola berterima kasih kepada Yang Berhormat Pehin Pengerusi di atas peluang yang diberikan kepada kaola untuk menyampaikan mukadimah mengenai peruntukan yang disediakan dan untuk juga membentangkan hala tuju Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, yang juga dikenali sebagai MTIC, pada hari ini.
2. Alhamdulillah kaola mewakili seluruh warga Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi serta Jabatan-Jabatan dibawahnya terlebih dahulu dengan penuh hormat dan takzim menyembahkan setinggi-tinggi menjunjung kasih kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mui'zzadin Waddaulah ibni Al Marhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas limpah kurnia titah Baginda semasa istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Yang Ke-Sembilan- belas, Majlis Mesyuarat Negara pada 2hb Mac 2023 yang lalu.
3. Antaralain Baginda telah menyentuh mengenai cabaran dalam menangani isu pengangguran yang boleh dikurangkan dengan adanya kerjasama dan sokongan padu dari kesemua pihak yang berkepentingan serta ke arah meningkatkan hasil Kerajaan Baginda dengan mewujudkan persekitaran perniagaan yang kondusif untuk pertumbuhan dan mempelbagaikan lagi sumber ekonomi negara serta komitmen mengenai perubahan iklim.
4. Dalam pada itu, Alhamdulillah strategi-strategi yang dirangka serta dasar-dasar yang disediakan oleh Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi adalah juga sehaluan dengan tumpuan dan hasrat Baginda itu, terutama sekali bagi mencapai Wawasan Brunei 2035 yang antaralainnya juga bermaksud untuk mendokong kualiti kehidupan melalui kemajuan infrastruktur sistem connectivity; memajukan penyelidikan dan perkembangan (R&D) yang berkaitan dengan teknologi dan innovasi serta memajukan transformasi digital yang inklusif dan selamat ke arah menjadikan Negara Brunei Darussalam sebuah Negara Pintar yakni Smart Nation. Iaitu sebuah negara yang memanfaatkan teknologi dengan sebaiknya untuk meningkatkan kualiti hidup melalui penyediaan perkhidmatan yang cekap serta menyumbangkan kepada pembangunan mampan.
Yang Berhormat Pehin Pengerusi,
5. Sukacita juga kaola mengongsikan terlebih dahulu bahawa Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) telah selesai membuat semakan pertengahan penggal atau mid-term review keatas Pelan Strategik Kementerian, iaitu MTIC Strategic Plan 2025 pada suku ketiga tahun lepas. Tujuan semakan tersebut adalah untuk membuat penilaian terhadap perlaksanaan, pencapaian terkini, keberkesanan tindakan- tindakan yang dibuat, serta untuk mengenal pasti apa jua isu yang perlu ditangani.
6. Berikutan dengan pengemaskinian pelan strategik tersebut serta pensejajaran yang dilakukan, boleh lah disimpulkan bahawa peranan asas Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi adalah untuk:
i. menjamin keselamatan sektor pengangkutan dan juga alam siber;
ii. meningkatkan kesejahteraan orang ramai melalui penyediaan perkhidmatan yang cekap, bersih serta memanfaatkan teknologi dan,
iii. pemudah cara bagi mendokong pembangunan negara yang mampan.
7. Dalam hubungan ini, Kementerian ini telah mengenengahkan sepuluh (10) petunjuk prestasi utama daripada tiga puluh empat (34) petunjuk prestasi yang telah dikemaskini dan dikenalpasti untuk terus dipantau. Sepuluh (10) petunjuk prestasi utama ini meliputi aspek-aspek seperti berikut:
i. (Pertama) Mewujudkan dan peningkatan jumlah pekerjaan dalam sektor pengangkutan dan infokomunikasi secara bekerjasama dengan Manpower Planning and Employment Council;
ii. (Kedua) dalam aspek keselamatan adalah bagi memastikan zero major accident atau sifar kemalangan besar dalam sektor pengangkutan;
iii. (Ketiga) zero major incident atau sifar insiden sekuriti besar bagi perkhidmatan perkongsian ICT Kerajaan; dan seterusnya
iv. (Keempat) memastikan pematuhan terhadap piawaian-piawaian keselamatan didalam operasi sektor pengangkutan dan sektor infokomunikasi;
v. (Kelima) dalam aspek perkembangan sektor pengangkutan, sasaran adalah untuk memperkembangkan dan menambahkan lagi connectivity dari segi rangkaian pengangkutan awam;
vi. (Keenam) meningkatkan pertumbuhan pergerakan melalui pengangkutan udara; dan pada masa yang sama
vii. (Ketujuh) adalah untuk mendokong komitmen negara mengenai perubahan iklim melalui sasaran penggurangan pelepasan gas rumah hijau (greenhouse gases) daripada sektor pengangkutan darat; seterusnya
viii.(Kelapan) adalah sasaran untuk menambah dan meningkatkan lagi pendigitalan perkhidmatan kaunter;
ix. (Kesembilan) memastikan penduduk dan perniagaan mempunyai akses dan liputan perkhidmatan jalurlebar yang lebih mantap; dan akhir sekali
x. (Kesepuluh) adalah bagi meningkatkan mutu perkhidmatan kepada orang ramai, dimana setiap Jabatan-Jabatan yang banyak berurusan bersama orang ramai telah disasarkan untuk mendapatkan sekurang-kurangnya penilaian 3 (tiga) bintang, yakni pada tahap 'Baik', di bawah Program Penggredan Prestasi Sektor Awam (3PSA) menjelang tahun 2025. Dengan ini, diharap ianya akan membantu jabatan-jabatan dibawah Kementerian ini menuju ke arah kecemerlangan.
Yang Berhormat Pehin Pengerusi dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara,
8. Dengan berlandaskan tema belanjawan Negara bagi Tahun Kewangan 2023/2024 iaitu “Bersatu Membina Masa Depan Yang Lebih Makmur" (Building a Prosperous Future Together) serta mengambil kira peranan asas dan tanggungjawab Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi yang dikongsikan tadi - insya Allah, dengan peruntukan yang disediakan ini, rancangan kerja serta peluang-peluang penambahbaikan yang dikenalpasti akan dapat meningkatkan dan memantapkan lagi sumbangan sektor pengangkutan dan sektor infokomunikasi didalam pembangunan negara.
9. Untuk makluman, peluang-peluang penambahbaikan tersebut adalah juga mengambil kira akan rintihan-rintihan orang ramai terhadap kualiti perkhidmatan yang disediakan, pembelajaran daripada kes-kes insiden kemalangan jalan raya atau pencerobohan siber yang telah berlaku, dan penyelenggaraan aset-aset yang kurang memuaskan. Semua ini dihasratkan untuk ditangani secara sistematik dengan mengikut keutamaan.
10. Sebelum kaola menghuraikan dengan lebih lanjut lagi keutamaan serta tumpuan peruntukan bagi tahun 2023/2024, kaola dengan penuh hormat dan takzim menyembahkan ucapan setinggi-tinggi menjunjung kasih kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Wadaulah ibni Al- Marhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien Sultan Yang Di Pertuan Negara Brunei Darussalam atas peruntukan sejumlah $163,366,455 (Seratus enam puluh tiga juta, tiga ratus enam puluh enam ribu, empat ratus lima puluh lima ringgit) yang mana 68% terdiri daripada perbelanjaan biasa dan selebihnya sebanyak 32% adalah terdiri daripada perbelanjaan kemajuan bagi Tahun Kewangan 2023/2024 kepada Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.
11. Sepertimana yang telah dikongsikan oleh Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, tempoh Rancangan Kemajuan Negara ke-11 (RKN-1 1) telah dilanjutkan selama 1 (satu) tahun lagi. Ini sudah setentunya akan memberi peluang kepada Kementerian kaola untuk menumpukan perhatian kepada penyelesaian projek-projek yang tergendala serta dapat menilai semula dan mempayukan lagi pemikiran dalam penyediaan rancangan kemajuan selanjutnya.
12. Ini termasuk, mengambilkira saranan dan pandangan yang diajukan didalam Dewan mulia ini untuk melibatkan industri dan business players didalam menggubal rancangan atau strategi bagi sektor-sektor tertentu dibawah pengawasan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi. Tatacara ini memang sudah dipraktikkan dan kaola setuju ianya setentunya akan dapat digandakan lagi dan liputannya lebih menyeluruh.
13. Contohnya, didalam meneroka kaedah penyediaan perkhidmatan pengangkutan awam yang mampan, berdaya maju sesuai dengan keadaan sosio ekonomi dan infrastruktur di negara ini, kaedah bermuzakarah bersama semua pihak berkepentingan serta penglibatan pakar (specialist) didalam merencana hala tuju bagi sistem pengangkutan tersebut akan diambil.
14. Buat masa ini, pemikiran awal adalah menjurus kepada mewujudkan sistem pengangkutan yang bersepadu yang melibatkan gabungan atau kombinasi pelbagai mod pengangkutan seperti bas, share ride, e-hailing, teksi dan sebagainya dengan tujuan untuk memaksimumkan kemudahan dan kecekapan pengguna dari segi masa, kos, keselesaan, keselamatan, akses dan kebolehpercayaan. Pandangan awal ini, adalah juga berpandukan dengan data dan maklumat yang diperolehi setakat ini melalui Projek Rintis Sistem Maklumat Bas Penumpang yang telah dilaksanakan.
15. Kebolehlaksanaan penyediaan satu sistem pengangkutan kegunaan orang ramai yang bersesuaian akan ditunduki lagi dengan nafas baru. Dalam pada itu, perbelanjaan kemajuan, yang berhubung dengan tajuk Pengangkutan dan Perhubungan bagi tahun kewangan 2023/2024 ini adalah menjurus kepada penyelesaian pelaksanaan projek-projek kemajuan RKN11 yang berhubung dengan pembinaan dan penaiktarafan prasarana dan penggantian peralatan-peralatan kritikal keselamatan bagi kawalan navigasi, kajicuaca dan sekuriti.
i. Dalam mempertingkatkan infrastruktur dan kemudahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei khususnya bagi mengganti peralatan-peralatan sistem pendaratan, membaikpulih landasan dan mempertingkatkan infrastruktur aerodrome kira-kira $34,400,000 (tiga puluh empat juta empat ratus ribu ringgit) telah diperuntukkan;
ii. Manakala bagi meningkatkan kemampuan hal ehwal keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei projek-projek menaiktaraf sistem radar, pemasangan pagar keselamatan, sistem pengesanan pencerobohan, dan menaiktaraf peralatan pemeriksaan dan pengesanan keselamatan seperti mesin x-ray terkini telah diperuntukkan sekitar $3,400,000 (tiga juta empat ratus ribu ringgit);
iii. Berkaitan dengan kaji cuaca, peruntukkan sekitar $4,500,000 (empat juta lima ratus ribu ringgit) telah disediakan bagi penggantian Sistem Observasi Cuaca Lapangan Terbang dan pembangunan rangkaian stesen cuaca automatik negara. Ini akan membantu Jabatan Kajicuaca untuk memantapkan lagi penyebaran maklumat kepada orang ramai khususnya dalam pemberigaan amaran-amaran cuaca; dan
iv. Seterusnya, belanjawan sebanyak $3,000,000 (tiga juta ringgit) telah diperuntukkan bagi pembangunan menara telekomunikasi tambahan di kawasan luar bandar.
16. Selain daripada penyediaan infrastruktur, penaiktarafan dan penggantian peralatan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi melalui agensi yang berkenaan juga terlibat sama dalam mengembangmajukan sektor pengangkutan yang meliputi sekor pengangkutan darat, maritim dan udara.
17. Mengenai dengan pengangkutan udara, Jabatan Penerbangan Awam bertanggungjawab terhadap hal ehwal keselamatan, kawalan dan keberkesanan operasi dan pengurusan Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei dan mempunyai misi untuk menyediakan perkhidmatan penerbangan awam yang mampan, selamat, cekap dan pengawalseliaan mengikut piawaian antarabangsa dan amalan terbaik.
18. Pasca pandemik COVID19, kita telah menyaksikan peningkatan semula jumlah pergerakan penumpang dan kargo melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei. Akan tetapi kita masih didalam tempoh pemulihan ketahap kemuncak yang pernah dicapai pada tahun 2019, yang mana sebelumnya juga telah menyaksikan pertumbuhan setahun ke setahun jumlah pergerakan pesawat, penumpang dan pengendalian kargo. Sebagai perbandingan, pada tahun 2022 jumlah pergerakan pesawat, penumpang dan kargo maseh berada sekitar 30% daripada tahap di tahun 201 9.
19. Akan tetapi, walau kita sedang dalam tempoh pemulihan, ia tidak menghalang Kementerian ini, khususnya Jabatan Penerbangan Awam, daripada mengambil tindakan proaktif kearah meletakkan Lapangan Terbang kita dikedudukan yang lebih baik untuk memperolehi peluang menjadi hab pengangkutan udara sub-regional. Contohnya, berikutan dengan peningkatan permintaan, Jabatan Penerbangan Awam pada bulan Disember lepas telah mengeluarkan satu lagi Sijil Operasi kepada Syarikat Penerbangan Asing yang mengendalikan penerbangan kargo daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei. Selanjutnya, usaha akan ditumpukan kearah:
i. Mengembangkan kemampuan pengendalian kargo;
ii. Mengembangkan perkhidmatan-perkhidmatan komersial;
iii. Meningkatkan pengalaman penumpang termasuk penumpang transit di lapangan terbang (passenger experience); dan,
iv. Menguatkan hubungan Perjanjian Perkhidmatan Udara bagi menjana pertumbuhan pergerakan penumpang, pesawat dan kargo melalui Lapangan Terbang kitani.
20. Beralih kepada sektor maritim, pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Negara Brunei Darussalam (MPABD), adalah berperanan sebagai pengawalselia dalam sektor pengangkutan maritim dan pemudahcara perkembangan industri maritim di Negara Brunei Darussalam. Kaola ingin menjelaskan bahawa belanjawan khusus MPABD tidak termasuk didalam rang peruntukan belanjawan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, akan tetapi pengurusan dasar pengangkutan maritim adalah dibawah bidang tugas dan kuasa Kementerian, maka dengan ini kaola ingin jua mengongsikan hala tuju berhubung dengan sektor pengangkutan maritim.
21. Sebagai makluman, jumlah kapal keluar dan masuk melalui Terusan Muara telah menunjukan tren yang stabil selama beberapa tahun kebelakangan ini walaupun sewaktu pandemik Covid-19, dimana jumlah trafik kapal keluar dan masuk adalah didalam lingkungan 10 ke 11 ribu setahun. Akan tetapi apa yang terjejas adalah jumlah kapal persiaran dan jumlah pengendalian kontena dan kargo.
22. Alhamdulillah, ianya juga sedang didalam tempoh pemulihan dan jika digandakan dengan perancangan perkembangan di Pelabuhan Muara oleh Muara Port Company, projek-projek kemajuan di Pulau Muara Besar, serta penubuhan Integrated Marine Maintenance and Decommissioning Yard dan Muara Anchorage Area - peranan MPABD akan menjadi lebih utama dan berkembang. Dalam hubungan ini tumpuan mereka pada tahun kewangan ini adalah untuk:
i. Mengelolakan beberapa projek penyelenggaraan dan menaiktaraf infrastruktur pelayaran,
ii. Meningkatkan keupayaan didalam menguatkuasakan peraturan maritim dan piawaian keselamatan,
iii. Meningkatkan keupayaan untuk bertindak balas terhadap kecemasan maritim seperti tumpahan minyak dan yang lain, serta
iv. Memainkan peranan didalam memudahcara perkembangan industri maritim termasuk pembangunan sumber tenaga manusia maritim.
Yang Berhormat Pehin Pengerusi,
23. Izinkan Kaola untuk seterusnya mengongsikan bahawa dalam pengukuhan infrastruktur ICT, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi memfokuskan perbelanjaan kemajuan Tahun Kewangan ini sekitar $2,000,000 (dua juta ringgit) bagi menaiktaraf Pusat Data Kerajaan dan meningkatkan kualiti serta kebolehpercayaan perkhidmatan gunasama Pusat Kebangsaan E-Kerajaan (EGNC) dengan penyediaan infrastruktur 'Cloud'. Selain daripada itu, perbelanjaan dalam bidang ICT juga memfokuskan kepada pemodenan infrastruktur rangkaian Pusat Data melalui projek Software Defined Network Infrastructure. Penaiktarafan dalam infrastruktur ICT ini adalah bagi penyediaan perkhidmatan e-Kerajaan yang lebih canggih dan boleh menampung keperluan perkembangan teknologi terkini.
24. Salah satu perkhidmatan e-Kerajaan yang disediakan adalah e- Darussalam yang mana setakat bulan Februari 2023, sebanyak 220,196 (dua Ratus dua puluh ribu, seratus sembilan puluh enam) akaun e-Darussalam telah didaftarkan dan sebanyak 191,756 (seratus sembilan puluh satu ribu, tujuh ratus lima puluh enam) akaun telah diaktifkan. Kerajaan juga menyediakan perkhidmatan bagi orang awam untuk membuat aduan, pertanyaan dan mendapatkan maklumat mengenai perkidmatan-perkhidmatan utama Kerajaan yang berbentuk bukan kecemasan melalui Talian Darussalam 123. Ianya juga menyaksikan pertumbuhan permintaan dari segi jumlah Jabatan dan agensi yang menggunakannya serta jumlah jenis perkhidmatan. Ini secara langsung juga menjana peluang pekerjaan bagi menampung tambahan panggilan dan perkhidmatan dimana kesemua penerima panggilan terdiri daripada warga tempatan.
25. Seterusnya, dikesempatan ini kaola juga ingin menyentuh sedikit sebanyak kepada beberapa soalan dan saranan yang telah ditimbulkan semasa pembahasan peruntukan Kementerian-Kementerian lain yang ada berhubungkait dengan pendigitalan perkhidmatan- perkhidmatan Kerajaan khususnya mengenai keberkesanannya dan juga bagi mengelakkan duplikasi dan pembaziran sumber dan tenaga.
26. Dalam hubungan ini sukacita kaola mengongsikan bahawa beberapa usaha penambahbaikan dari aspek tadbir urus pelaksanaan projek- projek ICT adalah dipantau melalui satu platform iaitu Chief Information Officer Forum. Antara peranan utama CIO Forum ini adalah untuk menunduki semua projek-projek ICT yang dipohonkan, membuat pensejajaran dan memberi nasihat keutamaan bagi pelaksanaan. Ini adalah juga selaras dengan mendokong Fiscal Consolidation Programme dalam memastikan perbelanjaan secara berhemah, berkeutamaan tinggi dan bernilai.
27. Pada masa yang sama, beberapa program membina kapasiti sumber manusia didalam mereka bentuk, pembangunan dan pengurusan projek IT termasuk Change Management telah dirancangkan. Ini juga termasuk diperingkat pengurusan kanan Kementerian-Kementerian - kerana pendigitalan perkhidmatan-perkhidmatan Kerajaan bukan hanya melibatkan warga IT atau sekadar mengemukakan akses kepada perkhidmatan dalam talian. Akan tetapi, ianya melibatkan peralihan pemikiran, proses kerja dan cara bekerja di sepanjang aliran proses kerja, jika tidak, hasrat sepenuhnya untuk mencapai keberkesanan dan kecekapan dari pendigitalan tersebut akan jatuh pendek.
28. Kaola juga sukacita mengongsikan bahawa CIO forum ini juga akan menglibatkan perwakilan industri selaku kumpulan penasihat. Insha Allah dengan perubahan-perubahan yang diperkenalkan ini, akan dapat menangani isu pendigitalan yang mungkin telah terjejas oleh sistem legasi, tentangan terhadap perubahan dan kebimbangan keselamatan siber.
29. Sebagai tambahan, juga ditubuhkan Digital Tansformation Steering Commitee (DTSC) yang berperanan untuk mengenal pasti dan seterusnya melaksanakan inisiatif-inisiatif yang akan dimasukan kedalam Pelan Teknologi Perkhidmatan Awam yang terdiri daripada Pelan-Pelan Transformasi Digital bagi setiap Kementerian masing-masing. Pelan tersebut dihasratkan untuk merangkumi penggunaan teknologi digital bagi meningkatkan produktiviti perkhidmatan awam termasuk juga sektor perindustrian di bawah bidang kuasa agensi masing-masing.
30. Apabila bercakap mengenai digitalisasi, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi juga memberi perhatian serius kearah memastikan persekitaran digital yang selamat dan terjamin bagi pengguna baik dikalangan Kerajaan, perniagaan mahupun pengguna awam. Ini adalah selaras dengan Pelan Induk Ekonomi Digital 2025 dimana sekuriti siber adalah salah satu Pemboleh Strategik (Strategic Enabler) untuk mendokong ekonomi digital, khususnya bagi memastikan data, infrastruktur dan rangkaiannya adalah terpelihara dari ancaman keselamatan siber.
31. Sebagai satu gambaran mengenai ancaman ini, sepanjang tahun 2022, BruCERT sebuah agensi dibawah Cyber Security Brunei CSB, telah menerima sebanyak 496 (empat ratus sembilan puluh enam) laporan kes.Dari jumlah kes-kes ini, 33% (165 kes) adalah kes berkaitan dengan media sosial, 20% (104 kes) adalah kes-kes berkaitan scam, dan selebihnya merangkumi kes-kes berkaitan malware, hacking, cyberbully dan sebagainya.
32. Dalam hal ini, melalui Cyber Security Brunei (CSB) beberapa inisiatif telah diungkayahkan selain daripada kegiatatan berterusan mereka untuk menyebar kesedaran, pengetahuan dan nasihat. Ini termasuk penyediaan dasar serta perlaksanaanya seperti Penyediaan Perintah Keselamatan Siber (Cyber Security Order), mengukuhkan penyelarasan dan tadbir urus di peringkat kebangsaan dalam keselamatan siber melalui Jawatankuasa Kebangsaan Keselamatan Siber dan penyediaan rangkakerja perundangan bagi perlindungan data peribadi.
33. Selain daripada itu, Cyber Security Brunei bersama dengan Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI), juga melaksanakan pelbagai inisiatif masing-masing dan secara bersama mengenai peralihan kepada cara hidup yang semakin digital seperti:
i. Mengadakan program-program bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran digital pengguna. Seperti contoh, Program Latihan Kemahiran Celik ICT dan “Digital for All" yang dilaksanakan oleh AITI adalah bertujuan untuk mendidik orang ramai tentang celik digital dan kemahiran asas ICT. Program-program yang diperkenalkan sejak tahun 2019 ini telah melibatkan penyertaan ahli-ahli Pusat Kegiatan Warga Emas, ahli-ahli Majlis Perundingan Kampong, Kumpulan Remaja dan Kanak-Kanak di bawah Jabatan Pembangunan Masyarakat, untuk mengikuti latihan kemahiran asas ICT, e-Dagang, aplikasi Pemasaran Digital dan Keselamatan Siber dalam talian untuk kegunaan harian;
ii. Program-program ICT yang lain juga disediakan seperti bengkel mengenai e-Dagang, Pemasaran Digital dan Keselamatan Siber yang disertai oleh Jabatan Pembangunan Masyarakat; program pembelajaran mengenai Microsoft Office, Keselamatan Siber dan graphic design bagi kumpulan remaja dari JAPEM yang berumur 12 tahun ke atas dan bagi kanak-kanak di bawah umur 1 2 tahun juga telah diperkenalkan seperti program asas pengkodan menggunakan program Scratch dan Micro:bit;
Yang Berhormat Pehin Pengerusi dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara,
34. Selain daripada penyediaan infrastruktur ICT dan juga memastikan persekitaran digital yang selamat dan terjamin, Kementerian kaola juga menumpukan usaha kepada pembangunan industri ICT khususnya bagi meningkatkan kemahiran dalam teknologi terkini serta memberikan peluang bagi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) untuk membangunkan sumber tenaga manusia yang bersedia dengan kemahiran teknologi terkini dan akan datang.
35. Pihak AITI telah bekerjasama dengan wakil-wakil agensi kerajaan, industri ICT dan institusi pengajian tinggi dalam penyediaan Brunei ICT Industry Competency Framework. Ianya bertujuan untuk memastikan profesional ICT tempatan mempunyai kemahiran yang relevan untuk melaksanakan bidang tugas dan membangunkan kerjaya mereka dengan menyediakan piawaian kebangsaan bagi peranan pekerjaan, kecekapan serta jenis latihan dan pensijilan yang diperlukan.
36. Selain daripada itu, pihak AITI juga telah melaksanakan program “Coding.Bn" iaitu satu program latihan teknikal khusus untuk melatih peserta dengan kemahiran coding atau programming dalam usaha untuk melengkapkan mereka dengan kecekapan yang diperlukan oleh industri dan juga kemahiran mereka untuk masa depan. Program yang dijalankan selama enam (6) bulan ini termasuk penempatan kerja selama tiga (3) bulan bersama organisasi tempatan atau luar negeri dengan hasrat untuk memperbaiki peluang peserta untuk memperolehi pekerjaan sebaik sahaja mereka menamatkan program latihan ini.
37. Semua ini adalah merupakan pemangkin dan pemboleh kepada cara hidup dan urusan harian yang lebih digital. Ini juga termasuk perlaksanaan 3 projek utama atau flagship projects di bawah Pelan Induk Ekonomi Digital 2025, yang sedang berjalan, iaitu:
i. Projek National Information Hub (NIH) yang berperanan sebagai penyimpan data umum. Setakat ini, sebanyak 10 Data Provider dan 11 Data Users yang terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan yang berkepentingan sedang menggunakan platform tersebut;
ii. Projek Digital Identity, yang merupakan penambahbaikan sistem e- Darussalam yang sedia ada pada masa ini, akan menggunakan pengesahan 'digital identity' bagi keperluan laluan masuk 'login' ke pada beberapa perkhidmatan kerajaan atas talian. Perkhidmatan tersebut inshaa Allah juga akan dilaratkan kepada sektor perniagaan bagi membolehkan sektor perniagaan memproses transaksi perniagaan secara digital; dan,
iii.Projek Digital Payment Hub, yang merupakan penyediaan platform yang membolehkan pengintegrasian antara pelbagai sistem pembayaran sedia ada dan akan membolehkan pengguna untuk membuat pembayaran secara digital dengan lebih mudah dan cepat.
38. Seterusnya, beralih kepada usaha bagi mengalakkan budaya berinnovasi dikalangan penuntut, institusi pendidikan, perkhidmatan awam dan juga perusahaan dinegara ini, Kementerian ini dengan kerjasama AITI dan beberapa rakan kongsi akan meneruskan program Anugerah ICT Brunei (BICTA). Program ini adalah salah satu pendorong kepada penghasilan produk dan digital solutions yang inovatif dan selaras dengan perkembangan dan keperluan semasa.
39. Ianya telah terbukti dapat membuahkan hasil bermakna dimana ada diantara produk-produk yang dipertandingkan pada mulanya sebagai peringkat idea atau prototype telah berjaya dimajukan ke tahap komersial sehingga berhasil menembusi pasaran yang kompetitif. Selain daripada itu, pada tahun 2022, 4 pasukan yang terdiri daripada pemenang-pemenang BICTA 2022 yang terpilih telah mewakili Negara Brunei Darussalam di pertandingan Asia Pacific ICT Alliance (APICTA) Award 2022. Dua (2) pasukan telah menerima Anugerah Pemenang dan dua (2) pasukan telah menerima Anugerah Merit, sepertimana yang juga telah disentuh oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama dan juga Yang Berhormat Menteri Kesihatan. Sepanjang penyertaan dalam APICTA sejak tahun 2005 sehingga 2022, Negara Brunei Darussalam telah berjaya meraih 4 (Empat) anugerah Pemenang dan 29 (Dua puluh sembilan) anugerah Merit. Ini setentunya menunjukan daya saing bakat tempatan diperingkat ini.
40. Selain daripada ini, juga dikongsikan di Dewan yang mulia ini, bahawa bakat industri kreatif ICT juga tidak dilupa pandang. Industri ini adalah sektor yang menggabungkan teknologi, kreativiti dan inovasi untuk menghasilkan kandungan digital dan produk inovatif bagi tujuan menghiburkan, memaklumkan dan mendidik para pengguna. Pihak AITI melalui Brunei Content Festival yang pada julung kalinya diadakan pada tahun lepas adalah salah satu usaha untuk mempertengahkan sektor yang semakin berkembang ini.
41. Program Pitch & Produce yang diperkenalkan sejak tahun 2020 melalui kolaborasi bersama RTB dan platform penyiaran lain telah berjaya untuk menyiarkan atau menerbitkan karya-karya bakat tempatan untuk diterbitkan di RTBGo, Progresif Media dan media luar negeri seperti Astro Oasis.
42. Selain itu, pihak AITI sedang berunding dengan agensi-agensi yang berkepentingan bagi mengadakan sesi perbincangan bersama content creators tempatan yang ada diantaranya menghadapi kesukaran yang dianggap menyekat penjanaan pendapatan mereka apabila menyalurkan content melalui platform yang sedia ada dalam talian.
43. Berikutnya, salah satu lagi bidang tugas Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi adalah yang berhubung dengan mempromosi perkembangan penyelidikan Sains, Teknologi, dan Innovasi melalui Council of Research and Advancement on Technology and Science (CREATES). Peruntukan sebanyak $300,000 (tiga ratus ribu ringgit) bagi Tahun Kewangan 2023/2024 telah disediakan daripada harga rancangan RKN11 sebanyak $10,000,000 (sepuluh juta ringgit) untuk membiayai projek-projek yang terdiri daripada pelbagai jenis penyelidikan yang dipohonkan di bawah CREATES dibawah kluster kesihatan, tenaga, agri-makanan dan teknologi, ICT, alam sekitar dan pembangunan mampan.
44. Selain daripada penyelidikan asas program ini juga menyokong penyelidikan applied, development serta action research yang diharapkan akan dapat meningkatkan sumbangannya kepada ekonomi negara. Sebagai contoh, seperti mana yang telah dibangkitkan semasa pembentangan peruntukan dibawah Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, terdapat dua (2) buah projek penyelidikan yang berkaitan dengan sektor Pertaninan iaitu:
i. Investing the water quality on outdoor prawn farming to improve the production efficiency using IR 4.0 technology; dan,
ii. On-field DNA Testing for Agricultural and Food Products.
Yang Berhormat Pehin Pengerusi dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara,
45. Kemajuan teknologi semenjak beberapa dekad yang lalu tidak dapat dinafikan semakin pesat dan telah banyak mempengaruhi masyarakat kita dalam pelbagai cara. Contohnya, peningkatan penggunaan e-mel, media sosial dan bentuk komunikasi elektronik yang lain di samping platform e-dagang dan sebagainya telah mengurangkan keperluan untuk perkhidmatan pos tradisional memandangkan perkhidmatan ini boleh menyampaikan maklumat dan mesej dengan lebih cepat dan murah.
46. Perubahan ini juga sangat ketara di negara kita dimana jumlah penghantaran surat dan pakej yang merupakan teras perkhidmatan dan pendapatan utama Jabatan Perkhidmatan Pos telah menunjukan tren penurunan dari setahun ke setahun. Contohnya jumlah penghantaran surat dan pakej telah jatuh sebanyak 40% pada tahun 2019, sebelum pandemik Covid-19 melanda, berbanding dengan jumlah tertinggi pada tahun 2016. Selepas 2019 tren penurunan berterusan pada kadar sekitar 30% dari setahun ke setahun sehingga sekarang. Pada tahun 2022 jumlah penghantaran surat dan pakej telah menurun sebanyak 80% berbanding dengan jumlah tertinggi sebelumnya.
47. Berhadapan dengan cabaran ini dan untuk kekal relevan, Jabatan Perkhidmatan Pos bertekad untuk menyesuaikan diri dan berinovasi dengan memperkenalkan perkhidmatan baru dan perkhidmatan nilai tambah yang lain kepada orang ramai. Sehubungan dengan ini sukacita Kaola mengongsikan bahwa pada bulan Oktober yang lepas Jabatan Perkhidmatan Pos telah melancarkan perkhidmatan-perkhidmatan tambahan iaitu Perkhidmatan Penghantaran Ubat melalui poslaju dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan dan Projek Rintis Bungkusan Cop Merah bersama Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Kementerian Kewangan dan Ekonomi.
48. Sudah setentunya ini menggambarkan komitmen Jabatan Perkhidmatan Pos untuk menyesuaikan diri disamping memperkenalkan penambahbaikan yang berterusan dalam menjalankan tanggungjawab pos asas, yang juga merupakan obligasi perkhidmatan pos sejagat.
49. Peka dengan peralihan semasa ini dan menyedari akan hakikat bahawa model operasi perkhidmatan pos perlu melalui perubahan maka Kaola seterusnya mengongsikan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan bagi meluluskan perintah Postal Services Order, 2023 baru-baru ini. Penggubalan dasar ini adalah merupakan pemboleh bagi mewujudkan operasi dan penyediaan sistem dan perkhidmatan pos secara korporat. Seterusnya ianya juga pemangkin kearah mempromosikan industri pos yang lebih efisien dan berdayasaing, serta membolehkan pelaburan lebih tinggi didalam teknologi seperti automasi dan pendigitalan.
50. Alhamdulillah, dengan apa yang telah dikongsikan insya Allah ianya dapat memberi bayangan bahawa warga Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi akan sentiasa bersedia dan beradaptasi bagi sebarang perubahan dan sentiasa peka akan peralihan yang dibawa oleh arus peredaran zaman.
51. Akhir sekali, kaola ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi penghargaan kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat diatas sokongan serta pendekatan berterusan dalam sektor dibawah kawalan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.
52. Sekian kaola sampaikan dan semoga segala inisiatif yang diusahakan akan membuahkan hasil dan impak yang dihasratkan kepada kemajuan negara dan Wawasan 2035.
Wabillahitaufiq Wal Hidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.