Ucapan Alu-Aluan Yang Mulia Ir. Mohammad Nazri bin Mohammad Yusof,
بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على اشرف الانبياء والمرسلين
وعلى اله وصحبه اجمعين
Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan,
Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Tetamu Kehormat
Yang Mulia Pengiran Sarimah bte Pengiran Haji Abdul Latif,
Pengerusi Infocom Federation of Brunei selaku Pengerusi Bersama II Jawatankuasa Pandu BICTA
Naib-Naib Canselor, Raes,
Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap, Ahli-ahli Jawatankuasa Pandu BICTA, Pegawai-pegawai Kanan, Ketua-ketua Eksekutif, rakan-rakan industri, rakan-rakan media serta hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian.
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Salam sejahtera dan selamat pagi
1. Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala dimana dengan izinNya jua, kita dapat berkumpul dibulan yang penuh keberkatan ini, untuk mengadakan Majlis Pelancaran Anugerah ICT Brunei 2023 (BICTA 2023).
2. Terlebih dahulu, Peramba/saya bagi mewakili Jawatankuasa Pandu BICTA 2023, ingin menjunjung kasih kepada Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama atas kesudian untuk berangkat sebagai Tetamu Kehormat dan seterusnya melancarkan BICTA 2023.
3. Alhamdulillah, BICTA telah mula bertapak sebagai satu pertandingan ICT tahunan sejak tahun 2004 hasil kerjasama erat diantara Kementerian Perhubungan yang kini adalah Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI) dan Infocom Federation of Brunei (IFB). BICTA berperanan sebagai wadah bagi menggalakkan innovasi dan kreativiti dalam industri ICT dikalangan individu, pelajar serta organisasi awam dan swasta.
4. Sejak hampir 20 tahun mengadakan BICTA, dapat dilihat penyertaan yang menggalakkan dari tahun ke setahun, termasuk dikalangan pelajar sekolah-sekolah dibawah Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama. Selain itu, kepelbagaian dalam produk yang dipertandingkan serta kebolehan peserta dalam mengetengahkan produk mereka, baik dari segi pitching dan pembentangan juga meningkat. Tahap dayasaing produk BICTA juga berkembang baik dengan ada yang mampu menembusi pasaran tempatan dan luar negara. Secara keseluruhan, penyertaan yang diterima setakat ini menunjukkan perkembangan yang menggalakkan dengan ada diantaranya yang mampu mencapai tahap proof of concept serta mempamerkan produk yang 100% dibangunkan secara tempatan.
5. BICTA juga memainkan peranan penting dalam mengukuhkan kerjasama dan semangat berpasukan diantara pihak Kerajaan dan pihak-pihak swasta, khususnya para penggiat industri ICT di Negara ini. Alhamdulillah, ini dapat dilihat dengan adanya pembaharuan didalam keahlian Jawatankuasa Pandu BICTA yang kini menampilkan wakil-wakil syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi dan digital tempatan.
Yang Mulia Pengiran Dato serta hadirin dan hadirat sekalian,
6. Selaras dengan tema “Negara Pintar melalui Transformasi Digital" yang sehaluan dengan aspirasi kita dalam Pelan Induk Ekonomi Digital 2025, BICTA 2023 akan membuat perubahan kepada kategori-kategori yang dipertandingkan sebagai usaha untuk menggalakkan lebih banyak lagi penyertaan serta membuka peluang untuk penciptaan kreativiti dan menjana inovasi dalam ICT. Jika pada tahun yang sudah-sudah, BICTA membuka penyertaan hanya bagi tiga (3) kategori sahaja. Tetapi pada tahun ini, BICTA 2023 akan mempertandingkan sebanyak sepuluh (10) kategori bagi penyertaan daripada individu, pelajar-pelajar dari peringkat rendah, menengah sehingga ke peringkat pengajian tinggi, syarikat-syarikat perniagaan, agensi-agensi kerajaan dan organisasi-organisasi yang berminat. Kategori-kategori baharu yang diperkenalkan ini juga adalah selaras dengan piawaian antarabangsa serta bagi mendokong aspirasi kearah sebuah Negara Pintar. Insha Allah, kategori-kategori baharu ini akan dapat kita ketahui dengan pelancarannya pada pagi ini.
7. Dalam pada itu, beberapa aktiviti pemberigaan dan promosi termasuk jerayawara ke sekolah-sekolah, institusi-institusi pengajian tinggi, kolej-kolej tempatan serta kepada pihak industri ICT akan diungkayahkan. Seterusnya BICTA Plus Bootcamp akan terus diadakan sebagai program bimbingan dan latihan khusus bagi peserta-peserta BICTA untuk meningkatkan kemahiran dan keupayaan mereka sebagai persiapan diri sebelum pertandingan. Ini semua adalah antara inisiatif yang diungkayahkan bagi membentuk persekitaran yang conducive untuk perkembangan kreativiti dan tahap daya saing peserta, bukan sahaja sebelum bertanding, malah juga untuk tempoh jangka panjang kearah kedayatahanan produk-produk yang terhasil dari BICTA.
8. Perjalanan peserta-peserta BICTA bukan terhenti setakat di peringkat pertandingan sahaja. Melalui BICTA Alumni yang telah ditubuhkan pada tahun 2021, peserta-peserta BICTA yang lalu juga berpeluang untuk menyertai aktiviti networking yang menghubungkan ahli-ahli dengan para penggiat industri dan pakar-pakar teknikal, seterusnya berkongsi pengalaman dan success stories, serta memudahcara peluang kerjasama dengan rakan-rakan kongsi.
9. Sebagai sebuah komponen dibawah Asia Pacific ICT Alliance (APICTA) Awards, seperti lazimnya pemenang dan peserta BICTA yang terpilih berpeluang mewakili Negara Brunei Darussalam ke pertandingan peringkat antarabangsa yang diadakan dikalangan 16 ahli-ahli ekonomi APICTA. Dalam hal ini, pengendalian BICTA, khususnya dari segi penghakiman dan kategori adalah berpandukan kepada piawaian antarabangsa dibawah APICTA. Alhamdulillah, sejak menyertai APICTA pada tahun 2002, Negara Brunei Darussalam telah memenangi sebanyak 4 Anugerah Pemenang dan 29 Anugerah Merit. Adalah diharapkan penyertaan bagi BICTA tahun ini akan menonjolkan produk ICT yang berkualiti tinggi untuk bersaing dalam APICTA 2023 yang bakal diadakan di Hong Kong insya Allah pada penghujung tahun ini.
10. Dalam kesempatan ini, Peramba/saya ingin menyeru dan menggalakkan pelajar-pelajar dan individu-individu yang kreatif serta para pengusaha yang mempunyai inspirasi tinggi untuk menyertai BICTA 2023 dan menyahut cabaran dalam mewujudkan inovasi dan ciptaan baru.
11. Bagi mengakhiri ucapan alu-aluan ini, sekali lagi Peramba/saya menjunjung kasih atas keberangkatan Pengiran Dato ke majlis ini. Peramba/saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas sokongan dan penglibatan pihak Kementerian Pendidikan, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Darussalam Enterprise, serta ahli-ahli Jawatankuasa Pandu yang lain dalam sama-sama menggerakkan BICTA selaras dengan perkembangan teknologi dan aliran semasa. Mudah-mudahan, kerjasama dan sokongan ini akan berterusan bagi memastikan BICTA kekal terus menghasilkan produk-produk yang berpotensi tinggi dan membanggakan Negara.
Sekian Wabillahi Taufiq Walhidayah, Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.