Ucapan Alu-Aluan
Yang Mulia Ir. Awang Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof
Setiausaha Tetap
Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi
Selaku Pengerusi Bersama I, Jawatankuasa Pandu BICTA
Pada Hari Isnin
09 hb Rabiulawal 1445 bersamaan 25hb September 2023
Semasa Majlis Anugerah ICT Brunei (BICTA 2023)
Dewan Art Centre
Jerudong International School (JIS)
Bismillah Hirrahman Nirrahim
Alhamdullilahi Rabbil `Alameen Wasaalatu Wassalaamu `Ala Asyrafil Ambiae Walmursaleen, Saidina Muhammadin Wa’alaa Aalihiee Wasahbihee Ajama’een.
Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
1. Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi selaku Tetamu Kehormat.
2. Yang Mulia Pengiran Sarimah bte Pengiran Haji Abdul Latif, Pengerusi Infocom Federation of Brunei selaku Pengerusi Bersama II Jawatankuasa Pandu BICTA dan Ketua Hakim.
3. Yang Mulia Naib Canselor, Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap, Ahli-ahli Jawatankuasa Pandu BICTA, Pegawai-pegawai Kanan, Ketua-ketua Eksekutif, Hakim-hakim BICTA, rakan-rakan industri, rakan-rakan media, para peserta BICTA serta hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian.
4. Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala dengan izinNya jua, kita dapat berkumpul pada hari ini, di Majlis Anugerah ICT Brunei 2023 (BICTA 2023) bagi sama-sama meraikan pemenang-pemenang BICTA 2023.
5. Alhamdulillah, sepertimana tahun-tahun sebelumnya, BICTA telah dapat dilaksanakan hasil kerjasama padu antara Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI) dan Infocom Federation of Brunei (IFB).
6. Sejak tahun 2004, Anugerah BICTA berperanan sebagai wadah bagi menggalakkan persaingan dan ICT dikalangan individu, pelajar serta organisasi awam dan swasta. Seiring dengan perkembangan semasa dan kemajuan teknologi, beberapa pembaharuan telah dilaksanakan bagi menambahbaik pengendalian BICTA serta untuk menggalakkan penyertaan yang lebih meluas.
7. Ini termasuklah mengemaskini keahlian Jawatankuasa Pandu BICTA, memperkenalkan kategori baharu serta mengadakan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan tahap dayasaing dan kedayatahanan peserta dan produk yang dipertandingkan.
8. Dari itu, BICTA 2023 telah dibukakan untuk penyertaan pada 6hb April 2023 dengan memperkenalkan kategori-kategori baharu. Sebanyak 7 kategori utama (main categories) dan 3 cross categories diperkenalkan pada tahun ini. Selaras dengan tema BICTA 2023 ‘Smart Nation through Digital Transformation’, Anugerah Smart Nation turut diperkenalkan bagi mengiktiraf penyertaan yang mendokong ciri-ciri aspirasi kearah negara pintar dalam sektor-sektor tertentu iaitu Pelancongan, Pertanian, Pembinaan, Logistik dan Pengangkutan, serta Pendidikan.
9. Sejurus pelancaran BICTA 2023, beberapa sesi jerayawara, promosi dan juga sesi BICTA Plus Bootcamp telah diadakan. Hasil usaha bersepadu dari pelbagai pihak termasuklah STEP Centre dan Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan serta Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, aktiviti-aktiviti jerayawara BICTA yang diadakan sepanjang bulan Mei sehingga Julai telah menjangkau lebih daripada 500 orang penuntut dari sekolahsekolah kerajaan dan swasta, serta institusi-institusi pengajian tinggi di seluruh negara.
10. BICTA Plus Bootcamp yang khusus untuk memberi bimbingan dari segi kemahiran dalam perkembangan idea (ideation and validation), pemasaran dan teknikal telah merekodkan kehadiran peserta yang sangat menggalakkan. Lebih daripada 240 penuntut dari 40 buah sekolah rendah, menengah dan institusi pengajian tinggi telah menyertai BICTA Plus Bootcamp yang diadakan selama dua (2) bulan bermula pada bulan Julai yang lalu.
11. Sehubungan ini jua, selepas ditutup pada 7hb September 2023, Alhamdulillah, BICTA 2023 telah merekodkan jumlah penyertaan yang tertinggi setakat ini, iaitu sebanyak 92 penyertaan dengan peningkatan sebanyak 82% jika dibandingkan dengan penyertaan pada BICTA 2022. Sambutan positif ini menggambarkan semangat senegara, Whole of Nation, dalam memastikan transformasi digital dapat dimanfaatkan sebaik mungkin.
12. Penambahan kategori baharu pada tahun ini juga dinilai sedikit sebanyak menggalakkan penyertaan BICTA yang lebih inovatif, kreatif dan berdaya saing. Dengan penambahan kategori ini juga, jumlah hakim yang terdiri dari wakil-wakil pihak Kerajaan, sektor swasta, pakar-pakar dalam industri serta akademia juga turut bertambah. Dengan kepakaran dan pengalaman masing-masing, penilaian ke atas penyertaan yang diterima adalah dijalankan berpandukan piawaian dan garispandu penghakiman Asia Pacific ICT Alliance (APICTA) Awards.
13. Sebagai sebuah komponen di bawah APICTA, seperti lazimnya pemenang dan peserta BICTA yang terpilih berpeluang mewakili Negara Brunei Darussalam ke pertandingan peringkat antarabangsa yang diadakan dikalangan 16 ahli-ahli ekonomi APICTA. Dalam hal ini, pengendalian BICTA, khususnya dari segi penghakiman dan kategori adalah berpandukan kepada piawaian antarabangsa di bawah APICTA. Alhamdulillah, sejak menyertai APICTA pada tahun 2002, Negara Brunei Darussalam telah memenangi sebanyak 4 Anugerah Pemenang dan 29 Anugerah Merit. Adalah diharapkan penyertaan bagi BICTA tahun ini akan menonjolkan produk ICT yang berkualiti tinggi untuk bersaing dalam APICTA 2023 yang bakal diadakan di Hong Kong Insya Allah pada penghujung tahun ini.
14. Dalam kesempatan ini, peramba/saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada para pemenang anugerah. Semoga ianya menjadi inspirasi dan penyuntik semangat untuk terus bergiat aktif dalam merancakkan industri dengan produk-produk ICT yang lebih berinovatif dan berteknologi tinggi. Tahniah juga diucapkan kepada semua peserta BICTA 2023.
15. Bagi mengakhiri ucapan alu-aluan ini, sekali lagi Peramba/saya menjunjung kasih atas keberangkatan Yang Berhormat Pengiran Dato ke majlis ini. Peramba/saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas sokongan dan penglibatan pihak Kementerian Pendidikan, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Darussalam Enterprise (DARe), institusi-institusi pengajian tinggi, serta ahli-ahli Jawatankuasa Pandu yang lain.
16. Seterusnya, setinggi-tinggi penghargaan juga kepada para hakim BICTA 2023 dan penaja-penaja termasuk Yi Ecomodern Sdn Bhd, Data Click Solutions Snd Bhd, Dynamik Technologies Sdn Bhd, Datastream Digital Sdn Bhd, Imagine Sdn Bhd, Progresif Sdn Bhd, Folec Communications Sdn Bhd, Tech One Global Limited dan NBT (B) Sdn Bhd dalam sama-sama menggerakkan BICTA selaras dengan perkembangan teknologi dan aliran semasa. Mudah-mudahan kerjasama dan sokongan ini akan berterusan bagi memastikan BICTA kekal sebagai wadah persaingan dan innovasi yang menghasilkan produk-produk berpotensi tinggi dan membanggakan Negara.
Sekian Wabillahi Taufik Wal Hidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.