1. Hari Pos Sedunia diraikan pada setiap 9hb Oktober oleh negara-negara ahli Kesatuan Pos Sedunia atau Universal Post Union (UPU) bagi mengiktiraf peranan pos dalam kehidupan seharian orang ramai dan perniagaan, serta sumbangannya kepada pembangunan sosial dan ekonomi global. Selain itu, pejabat pos juga berfungsi sebagai satu wadah komunikasi yang padu, inklusif dan menghubungkan masyarakat.
2. Pada tahun ini Kesatuan Pos Sedunia telah memilih tema Together for trust: Collaborating for a safe and connnected future. Tema yang dipilih ini adalah bagi menghargai kepercayaan yang telah dibina sejak sekian lama melalui komitmen dan kegigihan yang ditunjukkan oleh penyedia perkhidmatan pos dalam menyempurnakan amanah yang diberikan dengan jujur dan selamat. Ini selaras dengan sahutan perkhidmatan sejagat dibawah Universal Services Obligations (USO) kepada orang ramai.
3. Tema tersebut juga mengingatkan keperluan bagi penyedia perkhidmatan pos menyesuaikan diri dan berinovasi mengikut peredaran masa. Ini adalah supaya mereka kekal relevan dan berkemampuan untuk menyokong perkhidmatan e-dagang, e-kerajaan dan e-kewangan yang semakin berkembang. Perkembangan-perkembangan ini juga selari dengan Peta Jalan Digital Ekonomi Negara Brunei Darussalam.
4. Menyedari akan hakikat bahawa model operasi perkhidmatan pos di negara ini perlu melalui perubahan, penggubalan perintah Postal Services Order, 2023 akan membolehkan perkhidmatan pos dikorporatkan nanti. Ini juga boleh menjadi pemangkin kearah mempromosikan industri pos yang efisien dan berdayasaing, serta membolehkan pelaburan lebih tinggi di dalam teknologi seperti automasi dan pendigitalan.
5. Usaha-usaha ini adalah juga bertepatan dengan Pelan Strategik Kesatuan Pos Sedunia (Abidjan Postal Strategy 2021-2025), yang antaralainnya menyeru pihak-pihak pengawalselia untuk berusaha dalam menyelaraskan dan meningkatkan keharmonian sektor pos ke arah usaha pembangunan sosio-ekonomi negara.
6. Disamping itu, kemesraan dan kejujuran warga pos dalam menyampaikan tugas dan amanah kepada pelanggan adalah salah satu tunggak kejayaan bagi perkhidmatan pos. Dari kemesraan dan kejujuran tersebut akan terbinanya jambatan kepercayaan yang kuat di antara penyedia perkhidmatan dan pelanggan. Kepercayaan adalah merupakan nilai teras yang perlu dipertahankan.
7. Dalam membina dan mempertahankan kepercayaan pengguna terhadap perkhidmatan pos, penambahbaikan perlu dibuat dan apa jua jurang dengan jangkaan orang ramai perlu dipedulikan. Anugerah yang Jabatan Perkhidmatan Pos, Negara Brunei Darussalam terima pada tahun ini, bagi kualiti perkhidmatan pelanggan Express Mail Services (EMS) adalah petunjuk bahawa kita berkemampuan untuk menyediakan perkhidmatan cemerlang. Untuk terus cemerlang, ia memerlukan pendekatan yang berpusatkan pelanggan, komitmen dan usaha tinggi oleh semua yang terlibat.
8. Sempena Hari Pos Sedunia ini, marilah kita bertekad untuk memastikan amanah yang diberikan kepada penyedia perkhidmatan pos dilaksanakan dengan jujur dan selamat. Marilah kita juga bekerjasama untuk membolehkan semua orang mendapat akses dan manfaat daripada perkhidmatan pos digital mahupun fizikal. Saya percaya warga pos akan sentiasa bersedia dan beradaptasi bagi sebarang perubahan dan sentiasa peka akan peralihan yang dibawa oleh arus peredaran zaman.
Selamat Hari Pos Sedunia.