Sign In
Mobirise Web Builder
Khamis, 18 Januari 2024 - Ucapan Alu-Aluan Yang Mulia Pengerusi Bersama I, Jawatankuasa Pandu BICTA Semasa Majlis Pelancaran BICTA 2024

Ucapan Alu-Aluan Yang Mulia Ir. Mohammad Nazri bin Mohammad Yusof,

Setiausaha Tetap, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi,

selaku Pengerusi Bersama I, Jawatankuasa Pandu BICTA Semasa Majlis Pelancaran BICTA 2024

Hari Khamis, 6hb Rejab 1445H bersamaan dengan 18hb Januari 2024

 

بسم ١لله الرحمن الرحيم

الحمد هلل رب العالمين والصالة والسالم على اشرف االنبياء والمرسلين

 وعلى اله وصحبه اجمعين

 

 

Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi selaku Tetamu Kehormat Majlis Pelancaran BICTA 2024;

Yang Berhormat Dayang Chong Chee Yee, Ahli Majlis Mesyuarat Negara;

Yang Mulia Pengiran Sarimah binti Pengiran Haji Abdul Latif, Pengerusi Infocom Federation of Brunei selaku Pengerusi Bersama II Jawatankuasa Pandu BICTA;

Yang Mulia Naib-Naib Canselor, Raes, Setiausaha-Setiausaha Tetap, TimbalanTimbalan Setiausaha Tetap, Ahli-ahli Jawatankuasa Pandu BICTA, Pegawai-pegawai Kanan, Ketua-ketua Eksekutif, rakan-rakan industri, rakan-rakan media, serta hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian.

 
السالم عليكم ورحمة هللا وبركاته

 
Salam sejahtera dan selamat petang

1. Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala dimana dengan izinNya jua, kita dapat berkumpul bagi sama-sama ikut serta dalam Majlis Pelancaran Anugerah ICT Brunei 2024 (BICTA 2024).

2. Terlebih dahulu, Peramba/saya bagi mewakili Jawatankuasa Pandu BICTA 2024, ingin menjunjung kasih kepada Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi di atas kesudian untuk berangkat sebagai Tetamu Kehormat dan seterusnya melancarkan BICTA 2024.

3. Alhamdulillah, pertandingan BICTA yang berperanan sebagai wadah bagi menggalakkan innovasi dan kreativiti dalam industri ICT dikalangan individu, pelajar serta organisasi awam dan swasta pada tahun ini dapat diteruskan dan diungkayahkan bersama oleh Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI) dan Infocom Federation of Brunei (IFB).

4. BICTA 2024 sekali lagi membawa tema “Negara Pintar melalui Transformasi Digital" yang menekankan kepentingan inovasi dan perkembangan teknologi baru untuk mendokong usaha ke arah transformasi digital bagi memacu pembangunan ekonomi dan masyarakat di negara ini. Tema berkenaan adalah sehaluan dengan aspirasi kita dalam mencapai hasrat yang digariskan dalam Pelan Induk Ekonomi Digital 2025.

5. Pada tahun ini, BICTA merupakan tahun Anugerah Penaung Diraja atau Royal Patron Award yang mana diadakan setiap dua tahun sekali. Trofi Penaung Diraja akan dianugerahkan kepada pemenang keseluruhan terbaik daripada kesemua kategori pertandingan. BICTA akan mempertandingkan sebanyak sepuluh kategori yang telah disusun untuk mencerminkan pelbagai aspek ICT bagi penyertaan daripada individu, pelajar-pelajar dari peringkat rendah, menengah sehingga ke peringkat pengajian tinggi, syarikat-syarikat perniagaan, agensiagensi Kerajaan dan organisasi-organisasi yang berminat. Selain itu, BICTA 2024 juga turut mengetengahkan lima (5) Anugerah Smart Nation khusus bagi penyertaan yang telah memenuhi ciri-ciri aspirasi “Negara Pintar Melalui Transformasi Digital".

6. Mengambilkira milestones BICTA yang lebih bermakna pada tahun ini, adalah diharapkan lebih banyak penyertaan dan kreativiti dari para peserta dapat dihasilkan yang dinilai lebih berinovasi, berdayasaing dan memberikan impak kepada landskap ICT.

7. Dalam pada itu, seperti tahun-tahun yang lalu, BICTA juga turut menyerapkan beberapa aktiviti seperti BICTA Plus Bootcamp iaitu sebuah program bimbingan dan latihan khusus bagi peserta-peserta BICTA untuk meningkatkan kemahiran dan keupayaan mereka sebagai persiapan diri sebelum pertandingan.  

8. Alhamdullilah, BICTA telah mencapai usianya yang ke 20 tahun semenjak ianya diungkayahkan pada tahun 2004. Bersempena dengan ulang tahun ini, BICTA telah memperkenalkan Penghargaan Khas bagi mengiktiraf dan menghargai jasa individu yang bergiat aktif dan sumbangan kepimpinan di dalam menerajui perjalanan BICTA, termasuk di peringkat pertandingan ICT antarabangsa iaitu, Asia-Pacific ICT Alliance (APICTA) Awards. Penghargaan Khas BICTA ini akan dianugerahkan kepada enam orang penerima dari kalangan industri, pengawas sekolah dan pemimpin, iaitu bagi Penghargaan Penyertaan Individu Paling Aktif dan Penghargaan Jasa Bakti BICTA. Penerima-penerima tersebut akan turut diraikan dalam Majlis pada petang ini nanti.

Yang Berhormat Pengiran Dato serta hadirin dan hadirat sekalian,

9. Seperti mana lazimnya, pemenang dan peserta BICTA yang terpilih akan berpeluang mewakili Negara Brunei Darussalam ke APICTA Awards dan bersaing dengan peserta dari kalangan 16 ahli-ahli ekonomi APICTA insya Allah pada penghujung tahun ini. Alhamdulillah, Negara Brunei Darussalam telah diberi penghormatan sekali lagi untuk menganjurkan APICTA 2024 setelah berjaya mengendalikannya buat pertama kali pada tahun 2012.

10. Dalam kesempatan ini, Peramba/saya ingin menggalakkan pelajar-pelajar dan individu-individu yang kreatif serta para pengusaha yang mempunyai inspirasi tinggi, untuk menyertai BICTA 2024 dan menyahut cabaran dalam mewujudkan inovasi dan ciptaan baru. Sukacita juga peramba/saya ingin menyeru peserta untuk mengambil peluang dari penganjuran APICTA di negara sendiri untuk meraih beberapa kemenangan di peringkat antarabangsa setelah merangkul sebanyak 4 Anugerah Pemenang dan 32 Anugerah Merit setakat ini.

​11.Bagi mengakhiri ucapan alu-aluan ini, sekali lagi Peramba/saya menjunjung kasih/berterima kasih atas keberangkatan Pengiran Dato dan kehadiran semua tetamu ke majlis ini. Peramba/saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas sokongan padu dan penglibatan pihak Kementerian Hal Ehwal Ugama, Kementerian Pendidikan, Darussalam Enterprise, serta ahli-ahli Jawatankuasa Pandu yang lain dalam sama-sama menggerakkan BICTA selaras dengan perkembangan teknologi dan aliran semasa. Mudah-mudahan, kerjasama dan sokongan ini akan berterusan bagi memastikan BICTA kekal terus menghasilkan produk-produk yang berpotensi tinggi dan membanggakan Negara.

 

Sekian, Wabillahi Taufiq Walhidayah, Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Attachments
Speeches