Alhamdulillahi Rabbil 'Alamin Wassalatu Wassalamu 'Ala-Asyarafil Anbiya'e Wal Mursalin Saidina Muhammadin Wa'ala Alihi Wasahbihi Ajma'in
Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Selamat Pagi
Yang Berhormat Dayang Chong Chin Yee - Selaku Ketua Rombongan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara ke Sesi Perjumpaan Muhibah diantara Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) dan Ahli-Ahli Yang Berhormat Majlis Mesyuarat Negara bagi sesi tahun 1445 Hijrah dan 2024 Masehi.
Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara;
Yang Mulia Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof
Setiausaha Tetap, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC);
Yang Mulia Haji Hairul Mohd Daud bin Haji Abdul Karim
Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi);
Yang Mulia Haji Mohd Salihin bin Haji Aspar
Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan);
Ketua-ketua Jabatan, Pegawai-pegawai Kanan, Hadirin dan Hadirat Yang Dihormati Sekalian,
1. Terlebih dahulu peramba/kaola/saya ingin memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnia dan izinNYA, kita semua diberi ruang dan peluang untuk sama-sama hadir di Sesi Perjumpaan Muhibah pada pagi ini.
2. Alhamdulillah, bagi mewakili seluruh warga Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), peramba/kaola/saya amat berbesar hati untuk mengalu-alukan keberangkatan dan kehadiran Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara ke Kementerian ini. Pada masa yang sama, izin kan peramba/kaola/saya untuk mengambil kesempatan ini untuk menyampaikan kepada para hadirin berbangsa Cina dengan ucapan Selamat Tahun Baru.
3. Peramba/kaola/saya seterusnya jua ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan di atas keberangkatan dan kehadiran Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara ke beberapa siri lawatan kerja yang diungkayahkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam, Jabatan Pengangkutan Darat, Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-komunikasi (AITI) dan juga Pusat Kebangsaan EKerajaan (EGNC) serta Cyber Security Brunei (CSB).
4. Peramba/Kaola/Saya berharap lawatan-lawatan tersebut telah membuahkan hasil bermakna, produktif dan meluangkan pencambahan idea-idea baru selain memberi pendedahan mengenai peranan dan inisiatif-inisiatif Jabatan dan Pihak Berkuasa yang telah dikunjungi.
5. Sebagai kesinambungan kepada siri lawatan kerja tersebut, Sesi Perjumpaan Muhibah hari ini juga akan membuka peluang yang berharga untuk sama-sama bertukar-tukar pandangan dan berkongsi pengalaman bagi merancang langkah-langkah kehadapan kearah mencapai cita kemajuan Negara Brunei Darussalam. Oleh itu, peramba/kaola/saya optimistik bahawa dengan sinergi dan semangat kerjasama erat dan mesra di antara Ahli-Ahli Yang Berhormat Majlis Mesyuarat Negara dan Kementerian ini insya Allah kita akan dapat menduduki dan menghalusi setiap isu yang dibangkitkan dengan hasil yang mementingkan kebaikan bersama kerajaan, rakyat dan penduduk, serta kemajuan negara secara amnya.
Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara dan para hadiran sekalian,
6. Sebagai pembuka tirai kepada perbincangan yang lebih terperinci, pihak Kementerian ini telah menyediakan bahan taklimat bagi mengongsikan status perkembangan mengenai perlaksanaan Petunjukpetunjuk Prestasi Utama (KPI) di bawah Pelan Strategik MTIC 2025 Refresh dan juga ‘Focus’ Utama bagi setiap Jabatan dan Pihak Berkuasa serta perancangan dan hala tuju menjelang tahun 2025.
7. Peramba/Kaola/Saya berharap dengan adanya taklimat tersebut yang akan disampaikan selepas ini akan dapat memberikan sedikit sebanyak gambaran dan meningkatkan kefahaman Yang Berhormat AhliAhli Majlis Mesyuarat Negara mengenai dengan matlamat strategik dan penekanan utama Kementerian ini bagi tempoh selama dua (2) tahun hadapan ini.
8. Pada saat ini, peramba/kaola/saya akan mengongsikan dengan secara ringkas mengenai status dan kemajuan didalam pelaksanann strategi dan perancangan Kementerian yang berlandaskan Pelan Strategik MTIC 2025 Refresh yang mana tumpuan asas Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi adalah kekal kearah:
(i) Menjamin keselamatan sektor pengangkutan dan juga alam siber;
(ii) Meningkatkan kesejahteraan orang ramai melalui penyediaan perkhidmatan yang cekap, bersih serta memanfaatkan teknologi; dan
(iii) Pemudah cara bagi mendokong pembangunan negara yang mampan.
9. Bermula dengan Wawasan Negara di mana kita hanya tinggal masa sebelas (11) tahun sahaja lagi untuk meniti pencapaiannya menjelang 2035. Bagi MTIC yang bertanggungjawab dalam sektor pengangkutan dan infokomunikasi, sudah pastinya berperanan penting dan langsung bagi mendokong Matlamat 2, iaitu ‘Kualiti Kehidupan Yang Tinggi’. Pihak di Kementerian ini telah menduduki sukat-sukat untuk diigunakan didalam menimbangkan pencapai negara. KPI-KPI Kebangsaan yang dikemaskinikan Insya Allah akan menjadi aras panduan MTIC untuk perancangan strategik yang akan datang, seperti berikut:
(i) % Peningkatan sumbangan dari Sektor Pengangkutan ke KDNK;
(ii) % Peningkatan sumbangan dari Sektor Infokomunikasi ke KDNK;
(iii) % Perbelanjaan KDNK ke arah R&D;
(iv) % Masyarakat yang celik digital;
(v) Peningkatan akses mobiliti dalam negeri;
(vi) Peningkatan jumlah penumpang dan kargo udara dan laut;
(vii) Kadar % masyarakat mengunakan perkhidmatan awam dalam talian;
(viii) % Pengurangan kadar pelepasan gas rumah hijau dari sektor pengangkutan; dan akhir sekali,
(ix) Kualiti perkhidmatan internet yang cemerlang.
SEKTOR PENGANGKUTAN
10. Dalam sektor pengangkutan yang berperanan menghubungkan masyarakat dengan memudahcara pergerakan dan mendokong pelbagai aktiviti-aktiviti perekonomian, MTIC telah memberi tumpuan utama bagi merangka strategi dan projek-projek penambahbaikkan untuk perkhidmatan pengangkutan awam. Ianya memanglah menjadi hasrat yang ingin dicapai dalam menggubal dan merangka strategi yang akan diberikan nafas baru yang lebih komprehensif terutama dalam penyediaan projek-projek di bawah RKN-12 dengan mengutamakan sistem kesalinghubungan yang cekap dan mudah diakses bagi memudahcara mobiliti setiap lapisan rakyat dan penduduk.
11. Bagi mencapai hasrat tersebut, pengemaskinian ke atas strategistrategi dan objektif-objektif Pelan Induk Pengangkutan Darat, Pelan Tindakan termasuk ‘Blueprint for Vision 2035 Sustainable and Inclusive Land Transportation System for Brunei Darussalam’ telah diteliti semula supaya lebih berdaya maju (‘viable’) dan memfokuskan kepada:
(i) Meningkatkan ketersambungan dan kebolehpercayaan rangkaian teras perkhidmatan bas awam;
(ii) Penambahbaikan perkhidmatan pengangkutan atas permintaan (e-hailing, berkongsi tumpangan & teksi); dan
(iii) Sistem pengurusan pengangkutan pintar yang memanfaatkan teknologi iaitu melalui sistem pemantauan kenderaan dan maklumat penumpang.
12. Hasil dari pengemaskinian tersebut juga akan dijadikan sebagai asas bagi projek-projek Sistem Pengangkutan Awam di bawah Rancangan Kemajuan Negara (RKN) dengan berfokuskan kepada inisiatif teras yang meliputi enam (6) keutamaan yang bertujuan untuk:
(i) Meningkatkan ketersambungan (‘connectivity’);
(ii) Meningkatkan kebolehpercayaan (‘reliability’);
(iii) Melabur dalam infrastruktur;
(iv) Memanfaatkan teknologi;
(v) Mereformasi struktur industri; dan
(vi) Mengawalselia pengangkutan awam.
13. Manakala, bagi merangka strategi jangka panjang, satu kaji selidik mengenai Pengangkutan Bas Awam juga telahpun dilaksanakan dengan kerjasama di antara Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) dan juga pihak Universiti Teknologi Brunei (UTB) sejak 8 Disember 2023. Tujuan utama adalah untuk mendapatkan pendekatan jangka panjang terhadap mobiliti, memahami lebih lanjut mengenai tren semasa dan arah tuju pemikiran strategik untuk masa depan. Pada masa yang sama untuk memahami perilaku perjalanan dan pilihan orang ramai dengan memfokuskan kepada Ketersediaan (‘Availability’); Kebolehcapaian (‘Accessibility’); Masa perjalanan dan menunggu bas serta persekitaran dari segi kualiti bas, keselesaan dan keselamatan. Hasil kaji selidik ini insya Allah akan dikongsikan dalam masa yang terdekat.
14. Pada masa yang sama, satu projek pendigitalan ‘DriveBN’ juga turut diusahakan yang merupakan pemangkin utama kepada penambahbaikkan penyampaian perkhidmatan Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) kepada orang ramai khususnya dalam menyepadukan pengurusan proses teras dan meningkatkan kecekapan operasi jabatan tersebut. Projek pendokong ini juga akan memacu perlaksanaan strategi-strategi JPD yang melibatkan beberapa aspek penting seperti proses-proses dan struktur organisasi, sistem dan tatacara bekerja serta budaya kerja dan menangani isu integriti.
15. Beralih kepada Keselamatan Jalan Raya, Pelan Strategik 2025 yang sedia ada telahpun disemak semula oleh Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR). Hasil dari pengemaskinian tersebut seterusnya menekankan pemantauan tiga (3) Petunjuk Prestasi Utama (KPI) iaitu (i) Sifar kematian akibat kemalangan jalan raya menjelang 2025; (ii) Mengurangkan kadar kemalangan jalan raya sebanyak 50%; dan (iii) Mengurangkan kadar kecederaan kemalangan jalan raya sebanyak 50%. Bagi menyokong pencapaian KPI-KPI berkenaan, lima (5) fokus utama telahpun digariskan:
(i) Program kesedaran keselamatan jalan raya yang berterusan;
(ii) Penambahbaikan kurikulum dan menitik-beratkan kualiti pembelajaran juga pemanduan bagi sekolah memandu;
(iii) Mempertingkatkan kegiatan penguatkuasaan;
(iv) Memperbaiki penggunaan pengumpulan data bersepadu; dan (v) Pelaksanaan audit keselamatan jalan raya.
16. MTIC juga berperanan sebagai pihak berkuasa bagi penyiasatan sebarang insiden dan kemalangan yang membabitkan pengangkutan darat merentas sempadan dan juga pengangkutan udara serta laut bagi memenuhi keperluan-keperluan Pertubuhan antarabangsa seperti Pertubuhan antarabangsa Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dan Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO). Pada masa ini, MTIC berusaha untuk meningkatkan kemahiran pegawai-pegawai dengan mengikuti kursus-kursus dan latihan kecemasan dari segi kesiapsiagaan kecemasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB).
17. Secara ringkas, satu latihan kecemasan melalui ‘Table Top Exercise’ (TTX) telah diadakan pada 16 Oktober 2023 yang lepas dan diikuti dengan ‘Field Training Exercise’ (FTX) pada 18 Oktober 2023. Selain untuk meningkatkan kemahiran, latihan tersebut juga untuk menguji Prosedur Operasi Standard (SOP) dan memastikan kesiapsiagaan kecemasan di LTAB dari aspek penyiasatan kemalangan udara dengan kerjasama pihak Jabatan Penerbangan Awam dan juga agensi yang berkaitan seperti Pasukan Polis Diraja Brunei khususnya Jabatan Siasatan Jenayah.
Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara dan para hadiran sekalian,
SEKTOR INFOKOMUNIKASI
18. Dari segi aspek infokomunikasi, pihak Kementrian ini melalui Pihak Berkuasa bagi Infokomunikasi telah berfungsi sebagai pemangkin kearah pelancaran perkhidmatan 5G di negara ini. Dengan ketersediaan perkhidmatan 5G ini membuka peluang keapda pengguna untuk memanfaatkan kemampuannya dalam meningkatkan pengunaan ‘Virtual Reality’ (VR), ‘Augmented Reality’ (AR) dan ‘Internet of Things’ (IOT) dalam memajukan sektor-sektor pengangkutan, kesihatan, pendidikan, pertanian dan yang lain.
19. Langkah-langkah pengawalseliaan persaingan untuk sektor infokomunikasi juga diberi perhatian di mana AITI telah mengungkayahkan ‘Market Review for New Competition Measures in Telecommunications Sector’ dengan menyediakan peraturan ‘Code of Practice’ dan ‘Advisory Guidelines’ bagi penyedia-penyedia perkhidmatan telekomunikasi antaranya seperti Kod Amalan untuk Sektor Telekomunikasi (“Telecommunications Code”) dan Kod Amalan Undang-Undang Persaingan dalam Sektor Telekomunikasi (“Competition Law Code”).
20. Bagi mencapai KPI di bawah Pelan Strategik MTIC 2025 Refresh berkaitan dengan ‘Top 40 United Nations (UN) E-Government Strategy Survey by 2025’, EGNC telahpun mengeluarkan Digital Services Guidelines pada bulan September 2023 sebagai usaha untuk memastikan perkhidmatan digital, perkhidmatan digital mudah alih dan laman sesawang kerajaan mengikut rujukan piawaian amalan terbaik dalam meningkatkan penyampaian perkhidmatan digital yang mudah, lancar dan relevan.
21. Di samping itu, kita telah melihat bahawa kemajuan pesat teknologi telah membawa banyak manfaat tetapi ianya juga membuka ruang baharu untuk ancaman dan serangan siber. Berhubung dengan ini, Cyber Security Brunei (CSB) juga sedang giat melaksanakan keperluan-keperluan yang termaktub di dalam Perintah Keselamatan Siber, 2023. Antaranya adalah untuk memastikan perlindungan infrastruktur maklumat kritikal (‘Critical Information Infrastructure – CII’) yang memberikan perkhidmatan mustahak (‘essential services’) di negara ini dan juga membantu membina kapasiti negara secara amnya (pembangunan ‘cybersecurity ecosystem’).
Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara dan para hadiran sekalian,
22. Bagi sektor perkhidmatan pos pula, mulai 14 Mac 2023, pengawalseliaan sektor tersebut telahpun diserapkan ke AITI melalui penggubalan Perintah Perkhidmatan-Perkhidmatan Pos, 2023. Dengan penyerapan ini, pengawalseliaan perlesenan bagi perkhidmatan pos telah disemak semula untuk menjadikan industri pos lebih efisien dan berdaya saing. Langkah ini jua, seiring dengan perkembangan teknologi serta kehendak pengguna, dan juga akan dapat mendokong pertumbuhan aktiviti ekonomi, khususnya dalam memenuhi perkembangan perniagaan dan transaksi secara dalam talian.
23. Usaha-usaha transformasi Organisasi Jabatan Perkhidmatan Pos sedang berjalan pada masa ini dan keutamaan adalah diberikan bagi memastikan sebarang transformasi dari segi kesejahteraan adalah terpelihara serta pengurusan sumber manusia, kewangan, aset-aset dan operasi dapat berjalan dengan lancar dan teratur.
KESIMPULAN
24. Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi akan sentiasa memastikan perancangan dan strategi termasuk dasar dan inisiatif terus diteliti bersama pihak-pihak berkepentingan supaya ianya kekal relevan dengan visi MTIC untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai Negara Pintar Terhubung (‘Connected Smart Nation’) seterusnya menyumbang kepada aspirasi-aspirasi dan matlamat-matlamat Wawasan Brunei 2035.
25. Akhir sekali, Peramba/Kaola/Saya sekali lagi mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih di atas perhatian Ahli-Ahli Yang Berhormat. Ini mencerminkan kesungguhan dan keikhlasan Ahli-Ahli Yang Berhormat, lebih-lebih lagi pucuk pimpinan tertinggi dalam memberikan komitmen dan keprihatinan demi manfaat dan kesejahteraan rakyat dalam usaha mempertingkatkan lagi mutu sistem pengurusan dan perkhidmatan kerajaan.
26. Peramba/Kaola/Saya memohon maaf di atas sebarang kekurangan atau sorok langkah di Sesi Perjumpaan Muhibah ini. Insya Allah, pihak MTIC dengan hati terbuka akan menerima apa jua maklumbalas atau sebarang pertanyaan serta cadangan-cadangan baik yang boleh kita sama-sama fikirkan bagi kebaikan rakyat dan negara bersama.
Sekian. Wabillahitaufiq Wal hidayah Wassalamualaikum Warrahmatullahi Wabarakatuh.