MUKADIMAH
YANG BERHORMAT MENTERI PENGANGKUTAN DAN INFOKOMUNIKASI
DIBAWAH TAJUK
KEMENTERIAN PENGANGKUTAN DAN INFOKOMUNIKASI
BAGI PERSIDANGAN MAJLIS MESYUARAT NEGARA
MUSIM PERMESYUARATAN YANG KE DUA PULUH (20) BAGI TAHUN 2024
Terima Kasih Yang Berhormat Pehin Pengerusi,
Bismillah Hirrahman Nirrahim
Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamin Wassalatu Wassalamu ‘Ala-Asyrafil Anbiya’e Wal Mursalin Saidina Muhammadin Wa’ala Alihi Wasahbihi Ajma’in
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarrakatuh dan salam sejahtera
Yang Berhormat Pehin Pengerusi dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara yang dihormati sekalian.
1. Di kesempatan ini, Peramba / Kaola / Saya ingin terlebih dahulu mengucapkan selamat menunaikan ibadah puasa kepada Yang Berhormat Pehin, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat dan kepada semua yang berada di dalam dewan persidangan yang mulia ini. Semoga kita sama-sama mendapat keberkatan dan ganjaran pahala bagi ibadah dan amalan yang kita kerjakan sepanjang bulan penuh berkah ini.
2. Seterusnya, Kaola ingin merakamkan penghargaan diatas kesempatan dan laluan Yang Berhormat Pehin Pengerusi berikan, untuk Kaola menyampaikan mukadimah mengenai peruntukan belanjawan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi di dalam Rang Undang-Undang (2024) Perbekalan, 2024/2025 yang telah dikemukakan oleh Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan II dan seterusnya untuk mengongsikan perkembangan perkara-perkara yang di dalam bidang fokus serta hala tuju Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC).
3. Ianya juga dihasratkan akan dapat memberi pencerahan lanjut kepada perkara-perkara yang pernah ditimbulkan di dewan mulia ini dan juga semasa sesi-sesi muzakarah bersama Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat yang di lantik.
4. Untuk memulakan, bagi mewakili seluruh warga Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi beserta Jabatan-Jabatan dan Pihak-Pihak Berkuasa dibawahnya dengan penuh hormat dan takzim menyembahkan setinggi-tinggi menjunjung kasih kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas limpah kurnia titah Baginda semasa istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Yang Ke-Dua Puluh (20), Majlis Mesyuarat Negara.
5. Antaralain Titah Baginda telah menyentuh mengenai dengan mempertingkatkan kepelbagaian sektor perekonomian bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan bagi penduduk dan rakyat negara ini serta pembangunan kapasiti sumber tenaga manusia dalam menjana peluang-peluang pekerjaan. Titah saranan Baginda tersebut adalah di sanjung dan akan dijadikan sandaran, selaras dengan strategi-strategi yang dirangka serta dasar-dasar yang disediakan oleh Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.
6. Dalam mendokong tema belanjawan Negara bagi Tahun Kewangan 2024/2025 iaitu “Bersatu Membina Masa Depan Yang Lebih Makmur” serta mengambil kira peranan asas dan tanggungjawab Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi melalui Pelan Strategik MTIC 2025 Refresh - In shaa Allah , dengan peruntukan yang disediakan ini, perancangan dan peluang-peluang penambahbaikan yang dikenalpasti akan dapat meningkatkan dan memantapkan lagi sumbangan sektor pengangkutan dan infokomunikasi di dalam pembangunan negara, khususnya yang meliputi tiga perkara yang kekal menjadi pemacu nilai atau value driver Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, iaitu:
i. Menjamin keselamatan sektor pengangkutan dan juga alam siber;
ii. Meningkatkan kesejahteraan orang ramai melalui penyediaan perkhidmatan yang cekap, bersih serta memanfaatkan teknologi; dan
iii. Pemudah cara bagi mendokong kemajuan ekonomi dan pembangunan negara yang mampan.
Yang Berhormat Pehin Pengerusi dan Ahli-Ahli Yang Berhormat,
7. Sebelum menghuraikan dengan lebih lanjut lagi keutamaan serta tumpuan peruntukan bagi Tahun Kewangan 2024/2025, Kaola dengan penuh hormat dan takzim menyembahkan ucapan setinggi-tinggi menjunjung kasih kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas peruntukan sejumlah B$138,394,150.00 (Seratus Tiga Puluh Lapan Juta, Tiga Ratus Sembilan Puluh Empat Ribu, Satu Ratus Lima Puluh Ringgit), yang mana:
i. B$113,584,280.00 (Seratus Tiga Belas Juta, Lima Ratus Lapan Puluh Empat Ribu, Dua Ratus Lapan Puluh Ringgit), iaitu 82% terdiri daripada perbelanjaan biasa termasuk gaji kakitangan dan perbelanjaan berulang-ulang;
ii. Selebihnya sebanyak B$24,809,870.00 (Dua Puluh Empat Juta, Lapan Ratus Sembilan Ribu, Lapan Ratus Tujuh Puluh Ringgit), iaitu 18% adalah terdiri daripada perbelanjaan untuk membiayai Rancangan Kemajuan Negara ke 12 bagi Tahun Kewangan 2024/2025 kepada Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan Jabatan-Jabatan dibawahnya. Ini adalah merupakan 14% daripada Harga Rancangan RKN-12 yang diperuntukkan kepada Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan Jabatan-Jabatan dibawahnya.
8. Pada masa yang sama sukacita juga turut dikongsikan dikesempatan ini, bahawa bagi Tahun Kewangan 2023/2024, Alhamdulillah jabatan-jabatan di bawah kawalan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi juga telah dapat menyumbang kepada pendapatan kerajaan sebanyak lebih daripada B$33 Juta (Tiga Puluh Tiga Juta Ringgit). Selain daripada itu, Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Negara Brunei Darussalam yakni AITI telah, menyumbangkan hasil mereka sebanyak B$20.9 Juta (Dua Puluh Point Sembilan Juta Ringgit). Manakala, Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam (MPABD) akan menyumbangkan sebanyak B$50 Juta (Lima Puluh Juta Ringgit) kepada kerajaan daripada pendapatan terkumpul mereka dibeberapa tahun kebelakangan ini. Ini jelas menunjukkan bahawa sektor pengangkutan dan infokomunikasi berperanan penting di dalam menjana hasil pendapatan untuk kerajaan.
9. Juga diakui, berikutan dengan penubuhan badan-badan berkanun, yakni AITI dan MPABD, sebagai pengawalselia, ianya dilihat berkemampuan untuk menambah nilai dari segi mempertingkatkan kualiti dan efisiensi perkhidmatan dan juga meningkatkan hasil pendapatan kerajaan, selain daripada mengembangkan sektor masing-masing dengan lebih teratur dan berkesan untuk menyumbang kepada ekonomi negara.
10. Dalam hubungan ini, sungguhpun juga terdapat cabaran-cabarannya tersendiri, namun begitu, sepertimana yang pernah disuarakan di majlis yang mulia ini pada tahun lepas, mengenai usaha menubuhkan badan kawal selia untuk Pengangkutan Darat dan Penerbangan Awam ditubuhkan, sukacita dikongsikan bahawa pihak di jabatan-jabatan tersebut masing-masing akan mula mengambil langkah-langkah asas, khususnya didalam mengemaskini struktur dan aliran kerja di organisasi berkenaan, supaya mereka akan lebih bersedia, bila tiba masanya untuk melalui organizational transformation.
11. Dalam pada itu, tumpuan bagi Tahun Kewangan 2024/2025 adalah juga kearah melaksanakan pengkorporatan Jabatan Perkhidmatan Pos. Ini adalah berikutan dengan pewartaan Postal Services Order, 2023 selaku pemboleh bagi mewujudkan operasi dan penyediaan sistem dan perkhidmatan pos secara korporat. Seterusnya ianya juga pemangkin kearah mempromosikan industri pos yang efisien dan berdayasaing.
Yang Berhormat Pehin Pengerusi dan Ahli-Ahli Yang Berhormat,
12. Peramba / Kaola / Saya seterusnya ingin mengongsikan dengan lebih lanjut lagi keutamaan serta tumpuan peruntukan bagi Tahun Kewangan ini dan perkembangan berikutan dengan musim permesyuaratan Majlis Mesyuarat Negara tahun lepas bagi sektor-sektor pengangkutan, infokomunikasi serta sains dan teknologi.
SEKTOR PENGANGKUTAN
13. Bermula dengan pengangkutan, Alhamdulillah sektor pengangkutan yang meliputi pengangkutan darat, maritim dan udara telah terus menyaksikan trend peningkatan dari segi jumlah trafik, walaupun masih dibawah tahap pra-pandemik COVID-19.
14. Jika kita lihat kepada sektor Penerbangan Awam, tahap pemulihan dari segi jumlah Pergerakan Penumpang iaitu, masuk, keluar dan persinggahan, yang melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, pada tahun 2023 adalah sebanyak 1,213,462 (Sejuta, Dua Ratus Tiga Belas Ribu, Empat Ratus Enam Puluh Dua) penumpang. Ini hanyalah ditahap 55% (Lima Puluh Lima Peratus) dari jumlah tertinggi Pergerakan Penumpang yang pernah dicapai pada tahun 2019. Namun begitu, jika dibandingkan dengan tahap di tahun 2022, ini merupakan peningkatan sebanyak 119% di tahun 2023.
15. Berhubung dengan pergerakan kargo pula, tahun 2023 telah menyaksikan peningkatan di dalam pergerakan kargo sebanyak 52% (Kira-kira 12 Ribu Tonne) jika dibandingkan dengan tahun 2022 (kira 8 Ribu Tonne). Akan tetapi, seperti pergerakan penumpang, peningkatan ini, juga masih dibawah tahap yang pernah dicapai pada tahun 2019 (kira-kira 25 Ribu Tonne), iaitu hanya pada tahap 47% daripada apa yang telah dicapai pada tahun tersebut.
16. Ini jelas menunjukkan Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei masih beroperasi dibawah kapasiti, dan masih terdapat peluang untuk memanfaatkan sepenuhnya lagi kemampuan Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei untuk menyumbang dan mendokong usaha-usaha mempelbagaikan dan menumbuhkan ekonomi kita. Sepertimana yang juga telah dikongsikan, ianya adalah seperti pengembangan kapasiti mengendalikan kargo, transhipment, cold chain logistics, sorting hub dan perkhidmatan aviation maintenance, repair and overhaul (MRO).
17. Diantara kaedah yang diambil untuk memajukan peluang-peluang ini adalah dengan cara menarik pelaburan daripada syarikat-syarikat GLCs seperti Brunei Internationl Air Cargo Centre (BIACC) dan syarikat lain yang telah menunjukkan minat mereka.
18. Jabatan Penerbangan Awam pada masa yang sama akan menumpukan belanjawan kearah memastikan operasi harian lapangan terbang tidak terjejas, mengendalikan penyelenggaraan peralatan kritikal, terutamanya bagi keselamatan, navigasi, pergerakan pesawat dan pembangunan sumber manusia. Jumlah sebanyak B$26,333,370.00 (Dua Puluh Enam Juta, Tiga Ratus Tiga Puluh Tiga Ribu, Tiga Ratus Tujuh Puluh Ringgit) telah diperuntukan bagi Perbelanjaan Biasa bagi Tahun Kewangan 2024/2025 bagi tujuan ini.
19. Manakala sebanyak B$14,625,230.00 (Empat Belas Juta, Enam Ratus Dua Puluh Lima Ribu, Dua Ratus Tiga Puluh Ringgit) telah disediakan untuk Perbelanjaan Kemajuan di dalam Tahun Kewangan yang sama. Jumlah ini adalah 17% daripada Harga Rancangan dibawah Rancangan Kemajuan Negara Ke-12 (RKN-12) yang berjumlah B$83,867,690.00 (Lapan Puluh Tiga Juta, Lapan Ratus Enam Puluh Tujuh Ribu, Enam Ratus Sembilan Puluh Ringgit) bagi membiayai tujuh (7) projek-projek RKN yang menjurus kepada menaiktaraf infrastruktur dan peralatan untuk memastikan operasi lapangan terbang kekal mematuhi keperluan keselamatan dan piawaian-piawaian antarabangsa seperti ICAO Standard and Recommended Practices (SARPs). Projek-projek tersebut adalah:
i. Penggantian Instrument Landing System (ILS) dan Distance Measuring System;
ii. Membaikpulih landasan lapangan terbang, fasa 2;
iii. Pemasangan pagar keselamatan dan sistem pengesan pencerobohan;
iv. Menaiktaraf peralatan pemeriksaan dan sistem pengawasan keselamatan;
v. Menaiktaraf kemudahan dan infrastruktur aerodrome;
vi. Sistem-sistem radar Primary Surveillance, Secondary Surveillance; dan
vii. Surface Movement Radar.
20. Seterusnya, sebagai usaha memastikan operasi harian lapangan terbang tidak terjejas, meningkatkan keselamatan dan kesiapsiagaan kecemasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB) serta pembelajaran dari insiden dan kemalangan udara yang lalu akan sentiasa diberi perhatian. Dalam hubungan ini, Pelan Kecemasan Lapangan Terbang atau ‘Airport Emergency Plan’ (AEP) yang diterajui oleh Jabatan Penerbangan Awam telah dikemaskini dan latihan kecemasan juga telah diadakan, iaitu - Table Top Exercise (TTX) dan Field Training Exercise (FTX) pada bulan Oktober 2023. Berikutan dengannya, beberapa penambahbaikan telah dikenal pasti untuk ditangani selanjutnya. Pekara ini akan terus ditunduki oleh Jabatan Penerbangan Awam di dalam meningkatkan kesiapsagaan kecemasan Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei termasuk ketentuan bagi landasan alternatif kecemasan, sama ada di luar negeri mahupun di dalam negeri yang sudah dirancang.
21. Apabila membincangkan mengenai hal ehwal penerbangan awam, kita tidak akan dapat lari daripada membincangkan mengenai perancangan penubuhan syarikat penerbangan tempatan alternatif atau syarikat industri penerbangan yang berpangkalan di negara ini, seperti cadangan-cadangan yang diterima daripada Gallop Air Sendirian Berhad dan juga AeroAsia Holdings Corporation yang mendapat liputan media. Dalam hubungan ini, sebagai tambahan kepada apa yang sudah dikongsikan, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi melalui Jabatan Penerbangan Awam memang akan mempertimbangkan cadangan-cadangan yang berhasrat untuk mengembangkan jumlah penerbangan, pergerakan penumpang dan kargo yang menjurus kepada mengoptimakan kapasiti Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei masa kini mahupun mengembangkannya dengan lebih lanjut lagi, jika perlu.
22. Dalam hubungan ini, turut dikongsikan, bahawa didalam proses mempertimbangkan permohonan untuk menubuhkan syarikat penerbangan tempatan, pencadang perlu mendapatkan Air Operator’s Certificate (AOC) atau Sijil Pengendali Penerbangan Udara dan juga untuk mendapatkan kelulusan Kelayakan Pengurusan Penerbangan Udara Beterusan atau Continuing Airworthiness Management Organization (CAMO).
23. Dalam hubungan ini, untuk memperolehi Air Operator’s Certificate (AOC) pencadang perlu menjalani lima (5) fasa proses penilaian dari sudut keselamatan, modaliti perniagaan, kecekapan, kesediaan operasi dan jenis pesawat (aircraft type approval) yang menepati piawaian Peraturan Penerbangan Awam dan Keperluan Penerbangan Brunei (Brunei Aviation Requirements) yang bersandarkan piawaian Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (International Civil Aviation Organization). Buat masa ini, bagi aircraft type approval, piawaian rujukan yang diguna pakai adalah bagi pesawat yang memiliki sijil yang dikeluarkan oleh agensi-agensi yang diiktiraf seperti Agensi Keselamatan Penerbangan Eropah (EASA), Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA AS) atau Kanada. Untuk makluman, status pada masa ini adalah masih di dalam fasa 1 iaitu pra permohonan atau pre-application.
Yang Berhormat Pehin Pengerusi dan Ahli-Ahli Yang Berhormat,
24. Peramba / Kaola / Saya seterusnya ingin beralih kepada sektor pengangkutan darat pula. Dalam hubungan ini, Alhamdulillah sukacita dikongsikan terlebih dahulu bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan bagi pindaan kepada Jadual Perintah Trafik Jalan Raya untuk memperkenalkan kategori Lesen Memandu 3A diwartakan, iaitu bagi kenderaan bermotor tanpa clutch, yakni automatik bagi kenderaan di bawah berat 3,000kg, iaitu kereta biasa. Ini adalah contoh usaha berterusan Jabatan Pengangkutan Darat di dalam mengemaskinikan dan memodenkan peraturan-peraturan yang sedia ada secara berperingkat-peringkat.
25. Diantara hasrat memperkenalkan kelas lesen ini, yang mana pernah juga dibincangkan didalam Majlis Mesyuarat yang mulia ini, adalah bagi memberi pilihan dan kemudahan kepada orang ramai untuk belajar dan memandu kenderaan dengan transmisi automatik. Pemandu yang memilih lesen memandu kelas 3A adalah tidak dibenarkan untuk memandu kenderaan transmisi manual. Dengan terdapatnya pilihan ini diharapkan ianya juga dapat meningkatkan fokus dan menumpukan masa belajar lebih kepada latihan dan etika pemanduan selamat. Pemberigaan kepada sekolah-sekolah memandu, orang ramai dan pihak-pihak berkenaan akan disusuli selepas ini.
26. Selain daripada perkara lesen memandu, perkara yang banyak menarik perhatian Ahli-Ahli Yang Berhormat adalah mengenai pengangkutan awam. Dalam hubungan ini, sukacita di kongsikan bahawa pihak Kementerian ini bersama Jabatan Pengangkutan Darat telah menunduki semula perancangan dan pelan-pelan strategi terdahulu kepada yang in shaa Allah lebih berdaya maju (viable) dan mampan, dengan mengambil kira keadaan semasa dan menjurus kepada:
i. Meningkatkan connectivity dan reliability perkhidmatan bas awam bagi laluan rangkaian teras atau core network routes;
ii. Memperluaskan ketersediaan dan kebolehcapaian perkhidmatan pengangkutan atas permintaan atau on-demand sama ada secara berkongsi tumpangan / share ride atau persendirian (servis teksi) dengan kos perkhidmatan yang lebih menarik; dan
iii. Mewujudkan kontrak operasi yang mengandungi piawaian prestasi serta memperkenalkan sistem pengurusan pengangkutan yang memanfaatkan teknologi bagi pemantauan kenderaan dan bagi kemudahan penumpang.
27. Untuk makluman sesi muzakarah dan perbincangan peringkat awal bersama pihak-pihak berkepentingan seperti pengusaha-pengusaha perkhidmatan bas, wakil perkhidmatan teksi, Dart, pengusaha-pengusaha perkhidmatan logistics, Federasi Perkhidmatan Pengangkutan, Forum Setiausaha-Setiausaha Tetap dan juga Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat yang dilantik telah diadakan disekitar bulan Oktober dan November tahun lepas untuk mendapatkan apa jua input dan pandangan mengenainya.
28. Ini juga disusuli dengan mengeluarkan dua RFI atau Request for Information mengenai Perkhidmatan Pengangkutan Awam dan Sistem Pengurusan Perkhidmatan Pengangkutan yang berjalan dari bulan Disember tahun lepas sehingga bulan Februari tahun ini, termasuk juga mengeluarkan Kajiselidik Perkhidmatan Bas Awam dengan kerjasama Universiti Teknologi Brunei (UTB), pada masa yang sama. Semua ini telah dilancarkan sewaktu Brunei Smart Mobility Expo pada bulan Disember 2023, tahun lepas. Berikutan dengan semua ini, in shaa Allah Request for Proposal bagi penyediaan Perkhidmatan Pengangkutan Awam bagi Laluan-Laluan Teras disasarkan untuk dapat dikeluarkan pada pertengahan tahun ini.
29. Bagi mendokong usaha-usaha ini jua, peruntukan RKN-12 dengan harga rancangan berjumlah B$11.7 Juta (Sebelas Point Tujuh Juta Ringgit) seperti berikut telah disediakan sebagai langkah awal:
i. Projek Menyediakan dan Menaiktaraf Infrastruktur Pengangkutan Awam di Negara Brunei Darussalam - dengan anggaran kos sebanyak $4.7 Juta (Empat Point Tujuh Juta Ringgit) dengan objektif bagi membangun dan membaikpulih kemudahan infrastruktur perhentian-perhentian bas bagi rangkaian laluan teras (core routes network) bus awam mengikut garispanduan piawaian rekabentuk perhentian-perhentian bas termasuk meningkatkan aspek keselamatan.
ii. Projek Smart Transport System (STS) dengan anggaran kos B$7 juta (Tujuh Juta Ringgit) dihasratkan untuk mewujudkan sistem pengurusan dan operasi rangkaian pengangkutan yang berasaskan teknologi bagi tujuan memantau, menilai dan membantu pihak berkuasa mengawal selia operasi perkhidmatan pengangkutan kearah meningkatkan kecekapan dan keselamatan.
Selain daripada meningkatkan kebolehkepercayaan khidmat pengangkutan awam melalui penyediaan maklumat secara real time, pilihan pembayaran secara cashless dan perkhidmatan on-demand transport (e-hailing). Ini adalah bertujuan untuk melengkapkan perkhidmatan pengangkutan awam juga di rancangkan. Projek ini juga akan dapat meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan ke atas kenderaan-kenderaan komersil (pengangkutan awam dan kenderaan berat) ke arah membantu mempertingkatkan tahap keselamatan lalulintas.
30. Seterusnya, transformasi pengurusan organisasi dan urustadbir Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) termasuk projek-projek pendigitalan perkhidmatan-perkhidmatan Pengangkutan Darat adalah merupakan satu inisiatif kearah penambahbaikan lagi perkhidmatan kepada orang ramai dan pengukuhan budaya kerja tulus di kalangan pegawai dan kakitangannya.
31. Sebagai contoh, platform NomborKu yang telah diperkenalkan pada tahun 2021 merupakan satu platform dalam talian yang membolehkan orang ramai menyertai tawaran Tanda Pengenalan Kenderaan (TPK) yang sedia ada. Alhamdulilah, setakat ini terdapat beberapa ciri yang telah ditambah dan dimasukkan seperti Click & Buy, Click & Bid dan Click & Search yang menghasilkan peningkatan ketelusan dan integriti dalam urustadbir mengenalpasti Tanda Pengenalan Kenderaan (TPK). Dengan adanya NomborKu, tempoh proses penilaian telahpun dikemaskini dan dipendekkan dari 130 hari ke 6 hari sahaja.
32. Berikutnya, di bawah Rancangan Kemajuan Negara peruntukan sebanyak B$8,749,000.00 (Lapan Juta, Tujuh Ratus Empat Puluh Sembilan Ribu Ringgit) telah disediakan bagi Projek Pendigitalan perkhidmatan-perkhidmatan Pengangkutan Darat atau dikenali sebagai projek DriveBN. Ia bertujuan untuk mengganti dan menaik taraf sistem yang diguna pakai pada masa ini. Ia juga akan dijadikan pemangkin atau catalyst bagi memantapkan lagi sistem pengurusan, pentadbiran dan efisiensi Jabatan Pengangkutan Darat secara menyeluruh atau end-to-end. Untuk makluman, melalui projek DriveBN ini, dijangka bahawa proses-proses kerja dalaman Jabatan Pengangkutan Darat boleh dikurangkan daripada 104 (Seratus Empat) proses kepada 33 (Tiga puluh Tiga) proses meningkatkan lagi dalam pilihan perkhidmatan online daripada 4% (Empat Peratus) kepada 100% (Seratus Peratus).
33. Melalui projek ini, in shaa Allah ianya akan dapat mencapai sasaran KPI di bawah Pelan Strategik MTIC 2025 Refresh iaitu 100% pendigitalan proses perkhidmatan dan pada yang sama, dapat mengurangkan risiko serta impak negatif yang telah dikenalpasti dari carta risiko iaitu ‘keusangan sistem IT yang lama’ serta dapat meningkatkan lagi pencapaian Jabatan dalam mencapai sekurang-kurangnya 3 bintang dalam Program Penggredan Prestasi Sektor Awam yang diungkayahkan oleh Jabatan Perkhidmatan Pengurusan. Adalah dihasratkan inisiatif-inisiatif ini akan dapat mempertingkatkan ketelusan dan integriti perkhidmatan-perkhidmatan yang diberikan oleh Jabatan Pengangkutan Darat (JPD).
Yang Berhormat Pehin Pengerusi dan Ahli-Ahli Yang Berhormat,
34. Beralih kepada keselamatan jalan raya, Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) akan terus melaksanakan usaha bersepadu dengan agensi-agensi berkepentingan bagi menjadikan jalan raya lebih selamat untuk semua pengguna. Beberapa inisiatif telahpun diungkayahkan bagi terus mendokong pelaksanaan pelan-pelan strategik yang sedia ada seperti:
i. Melaksanakan aktiviti ko-kurikulum keselamatan jalan raya di sekolah-sekolah dan jua bagi memupuk budaya keselamatan Jalan Raya bagi semua pengguna;
ii. Membuat rangka kerja dan kerjasama dengan pihak Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) dalam mengendalikan program/aktiviti/kempen kearah meningkatkan lagi keselamatan jalan raya;
iii. Menjalankan Program Penilaian Jalan Raya Antarabangsa (International Road Assessment Program, IRAP) Lebuhraya dan Jalan Utama di Negara Brunei Darussalam;
iv. Memberigakan Highway Code edisi 2023 yang telah dikemaskini dan dilancarkan. Edisi tersebut juga menekankan perihal tingkahlaku semasa memandu; dan
v. Menjalankan kegiatan penguatkuasaan. Dikongsikan di tahun 2023, sebanyak 235 (Dua Ratus Tiga Puluh Lima) kegiatan penguatkuasaan melalui sekatan jalan raya dan 14 (Empat Belas) Operasi Sepadu telah dijalankan bersama pihak Pasukan Polis Diraja Brunei.
35. Untuk makluman, terdapat penurunan jumlah kes fatal akibat kemalangan jalan raya iaitu daripada 20 kes bagi tahun 2022 kepada 14 kes bagi tahun 2023. Manakala bagi kes mengakibatkan kecederaan disebabkan kemalangan jalan raya telah meningkat kepada 364 kes bagi tahun 2023. Namun begitu, kita berpendapat “every accident is one too many”. Oleh itu, adalah disarankan kepada semua pihak terutama pengguna jalan raya bekerjasama dalam memastikan keselamatan semua.
36. Seterusnya, bagi sektor pengangkutan laut, walaupun belanjawan Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam (MPABD) tidak termasuk di dalam belanjawan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, namun Kementerian ini masih bertanggungjawab bagi menduduki sektor ini.
37. Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam (MPABD) memainkan peranan utama dalam memastikan keselamatan kapal-kapal dagang yang masuk dan keluar di pelabuhan-pelabuhan di Negara dan juga perlindungan terhadap alam sekitar marin dengan melaksanakan kerja-kerja selaras dengan piawaian Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO).
38. Alhamdulillah pada awal tahun 2023, pihak MPABD telah mula menguatkuasakan perlesenan keatas dua puluh lima (25) jeti yang digunakan oleh kapal-kapal dagang dalam usaha untuk memastikan jeti-jeti berkenaan memenuhi syarat-syarat keselamatan dan prosedur pengendalian (SOP) yang telah ditetapkan. Pada tahun 2023, jumlah trafik kapal masuk dan keluar juga telah menunjukkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak dua belas ribu lapan ratus satu (12,801) buah kapal berbanding kepada lima (5) tahun kebelakangan ini.
39. Ini juga menunjukkan bahawa sektor industri pengangkutan, dan khususnya perkapalan, adalah salah satu benefisiari perkembangan industri-industri hiliran dan pengeluaran yang berorientasikan ekspot. Sehubungan dengan ini juga, sepertimana yang dikongsikan oleh Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan II, Syarikat Muara Port Company Sdn Bhd ataupun MPC telah memulakan beberapa inisiatif untuk menerokai peluang untuk meningkatkan lagi jumlah perdagangan, dan untuk menampung keperluan kapasiti yang semakin meningkat, MPC juga akan melaksanakan Projek Pengembangan dan Pengubahsuaian Pelabuhan Muara (Muara Port Expansion and Renovation Project). In Shaa Allah, kerja-kerja pembinaan dijangka akan bermula pada suku ketiga tahun 2024 ini dan siap pada tahun 2027. Melalui projek ini, pihak MPC menjangka peningkatan volume throughput melalui Pelabuhan Muara daripada sebanyak 220 ribu TEU pada masa ini kepada 500 ribu TEU setelah pembinaan selesai.
40. Dalam hubungan ini, selaras dengan perancangan pihak MPABD, selain daripada usaha berterusan untuk meningkatkan tahap keselamatan, tumpuan juga akan diberikan dalam usaha meningkatkan industri maritim di negara ini, khususnya dalam meningkatkan lagi local content yang masih mempunyai ruang untuk dipertingkatkan lagi.
Yang Berhormat Pehin Pengerusi dan Ahli-Ahli Yang Berhormat,
41. Dikesempatan ini Kaola / Peramba / Saya ingin menyumbang respons kepada soalan yang telah ditujukan kepada Yang Berhormat Menteri Pembangunan oleh Yang Berhormat Awang Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal Abidin mengenai video bahan berita Awani mengenai cadangan Kereta Api Rentas Borneo. Untuk makluman, siaran berita yang dirujuk tersebut adalah bertarikh 30hb Oktober, 2023 dan juga telah mendapat perhatian pihak Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi apabila mengetahuinya. Sepertimana yang terkandung didalam siaran berita tersebut, Kajian Kereta Api Rentas Sempadan disebut akan bermula pada tahun ini.
42. Untuk makluman, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, setakat ini mengetahui akan terdapat dua (2) buah syarikat yang memaparkan cadangan projek membina dan mengadakan perkhidmatan kereta api yang menghubungkan negara-negara di kepulauan Borneo iaitu Negara Brunei Darussalam, Negeri Sabah dan Sarawak, Malaysia serta Kalimantan, Indonesia.
43. Walaubagaimanapun, setakat kini, belum ada perbincangan rasmi diperingkat kerajaan mengenainya. Akan tetapi, di peringkat ASEAN ada terdapat satu sub-working group, iaitu ASEAN Railway Sub-Working Group yang membincang hal-hal berkaitan mengenai railway connectivity di dalam ASEAN. Mungkin perkara ini akan ditimbulkan disitu pada masa akan datang.
44. Pihak Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi mengambil maklum tentang aspirasi syarikat-syarikat berkenaan untuk mengadakan perkhidmatan kereta api di kepulauan Borneo dengan tujuan untuk meneruskan ketersambungan (connectivity) dan mobiliti di Pulau Borneo dan pada masa yang sama difahami bahawa ianya masih memerlukan kajian lanjut dari syarikat-syarikat berkenaan terutama dari segi kebolehlaksanaan, pelaburan, liabiliti dan komitmen dari pihak-pihak yang berkepentingan termasuk mengambilkira sebarang komitmen diperingkat kerajaan.
PERUBAHAN IKLIM
45. Selanjutnya, apa bila berbicara mengenai sektor pengangkutan ini, ianya juga sering dikaitkan dengan isu perubahan iklim oleh kerana sektor pengangkutan adalah salah satu sektor penyumbang kepada pengeluaran gas rumah hijau.
46. Contohnya, Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) telah memperkenalkan resolusi matlamat aspirasi jangka panjang (LTAG) pelepasan karbon dioksida (CO2) sifar-bersih menjelang tahun 2050. Komitmen ini adalah serupa dalam struktur dengan Strategi Gas Rumah Hijau Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) yang juga mempunyai matlamat, agar pelepasan GHG daripada perkapalan antarabangsa mencapai sifar-bersih pada atau sekitar, tahun 2050.
47. Oleh yang demikian, selaras dengan komitmen Negara ke arah pelepasan sifar bersih (net zero emissions) menjelang tahun 2050 dan strategi-strategi di bawah Dasar Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalaam (Brunei Darusalam National Climate Change Policy - BNCCP), Kementerian ini juga tidak ketinggalan untuk mendokong hasrat negara dalam menangani perubahan iklim.
48. Jabatan Penerbangan Awam telah menghasilkan Pelan Tindakan bagi pengurangan pelepasan penerbangan atau Action Plan on Reduction of Aviation Emissions kepada International Civil Aviation Organisation (ICAO). Dokumen ini akan digunakan sebagai panduan bagi Negara Brunei Darussalam melaporkan sebarang inisiatif dan usaha yang berkaitan dengan pengurangan emisi karbon dioksida.
49. Perkara ini juga adalah hasil kerjasama rapat dengan Syarikat Penerbangan DiRaja Brunei (Royal Brunei) yang mana pelan-pelan tindakan ini turut mengongsikan sukat-sukat bagi cara mengurangkan impak terhadap alam sekitar bagi sektor penerbangan awam.
50. Manakala bagi sektor pengangkutan darat, Strategi 3 Dasar Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam - telah menyatakan bahawa Kenderaan Elektrik atau EV sebagai strategi utamanya, walaubagaimanapun inisiatif lain juga diusahakan untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau daripada pengangkutan darat, termasuk memperluaskan kenderaan cekap atau lebih effisien, rendah karbon yang termasuk hybrid, kenderaan tenaga baharu yang lain, dan mewujudkan infrastruktur untuk menggalakkan perjalanan cekap dan lancar.
51. Berikutan dengan tamatnya projek perintis EV pada bulan Mac, 2023, skim lesen kenderaan EV sementara telah pun diperkenalkan, serta penggunaan standard rujukan keselamatan kenderaan EV telah memudahkan peningkatan bilangan EV dan kepelbagaian model dibawa masuk kedalam pasaran Negara Brunei Darussalam.
52. Sehingga akhir Disember, 2023, sejumlah 64 buah EV telah didaftarkan yang terdiri daripada 12 jenis model EV, dan 17 stesen pengecas EV telah dipasang dengan pelbagai tahap kebolehcapaian awam. Ini adalah disamping pengecas EV yang dipasang di rumah pemilik EV itu sendiri.
PERKHIDMATAN KAJICUACA
53. Seterusnya, dalam hal pemantauan cuaca dan iklim, Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD) berperanan untuk memastikan dan meningkatkan penyampaian perkhidmatan-perkhidmatan kajicuaca dan iklim menepati kehendak pengguna dan boleh membantu dalam membuat keputusan oleh sektor-sektor masyarakat yang berkaitan, dan untuk mengurangkan risiko dan kesan potensi bahaya yang disebabkan oleh cuaca, iklim, air dan elemen-elemen persekitaran yang berkaitan.
54. Untuk makluman, Sistem Radar cuaca terbaharu yang beroperasi 24/7 sepenuhnya sejak 21hb Januari 2023. Sistem Radar tersebut dapat memantau lokasi, pergerakan, intensiti, dan evolusi cuaca yang berbahaya secara real-time dan secara berterusan; dan dapat membantu pegawai peramal dalam mengeluarkan ramalan, nasihat dan amaran cuaca kepada pihak penerbangan, pelaut dan orang ramai dengan cepat dan tepat. Setakat November 2023, peratus ketepatan amaran cuaca penerbangan telah mencapai 93% (Sembilan Puluh Tiga Peratus) ketepatan.
55. Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam juga dapat menghasilkan Numerical Weather Prediction (NWP) dan World Research Forecast model (WRF) dengan resolusi 10km dan 5km untuk digunapakai bagi penyediaan ramalan, nasihat dan amaran cuaca kepada orang ramai. Bagi tahun 2023, sebanyak 307 (Tiga Ratus Tujuh) amaran cuaca telah dikeluarkan dan 29 (Dua Puluh Sembilan) nasihat cuaca telah dikongsikan kepada orang ramai.
56. Anggaran Belanjawan bagi Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam bagi Tahun Kewangan 2024/2025 adalah B$4,677,595.00 (Empat Juta, Enam Ratus Tujuh Puluh Tujuh Ribu, Lima Ratus Sembilan Puluh Lima Ringgit) yang terdiri daripada Perbelanjaan Biasa dan juga sebanyak B$3,324,100.00 (Tiga Juta, Tiga Ratus Dua Puluh Empat Ribu, Seratus Ringgit) dan B$1,353,495.00 (Sejuta, Tiga Ratus Lima Puluh Tiga Ribu, Empat Ratus Sembilan Puluh Lima Ringgit) yang merupakan Perbelanjaan Kemajuan, iaitu sebahagian daripada Harga Rancangan RKN-12 berjumlah B$6,758,895.00 (Enam Juta, Tujuh Ratus Lima Puluh Lapan Ribu, Lapan Ratus Sembilan Puluh Lima Ringgit) bagi projek-projek Penggantian Airport Automatic Weather Observation System (AWOS) dan Next Generation Integrated Weather Analysis, Forecast and Warning.
Yang Berhormat Pehin Pengerusi dan Ahli-Ahli Yang Berhormat,
EKONOMI DIGITAL
57. Pelan Induk Ekonomi Digital 2025 berhasrat supaya Negara Brunei Darussalam memanfaatkan teknologi kearah meningkatkan cara hidup, bekerja dan perniagaan yang muncul daripada menghubungkan individu, perniagaan, peranti, data dan operasi melalui teknologi digital. Ia merangkumi kesalinghubungan dan transaksi dalam talian yang merentasi pelbagai sektor dan teknologi, seperti internet, teknologi mudah alih, data besar dan teknologi maklumat dan komunikasi.
58. Menurut statisik terkini yang diperolehi daripada Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), sektor ICT telah menunjukkan perkembangan yang berterusan dan telah menyumbangkan sebanyak B$484.8 Juta (Empat Ratus Lapan Puluh Empat Point Lapan Juta Ringgit) pada tahun 2023 kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) iaitu peningkatan sebanyak 3.96% (Tiga point Sembilan Enam peratus) daripada tahun sebelumnya.
59. Bagi meningkatkan lagi sumbangan sektor ICT kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), beberapa inisiatif sedang giat dijalankan untuk meningkatkan pembangunan sektor ICT di negara ini termasuk meningkatkan kapasiti sumber tenaga manusia dalam menjana peluang pekerjaan di sektor tersebut dan juga penggunaan teknologi di sektor swasta untuk meningkatkan produktiviti dan efisiensi.
60. Pada masa yang sama, tiga (3) projek utama atau flagship bagi pembangunan ekosistem digital dibawah Pelan Induk Ekonomi Digital juga sedang giat dijalankan, iaitiu Projek National Information Hub (NIH), Projek Digital Identity dan Projek Digital Payment Hub. Status perlaksanaan ketiga-tiga projek ini adalah seperti berikut.
61. Diperkenalkan pada tahun 2021, Projek National Information Hub (NIH) bertujuan untuk menyediakan platform infrastruktur database as-a-service sebagai pemudahcara dan menyediakan database secara pusat, penyediaan perkhidmatan database yang lebih cepat, kos rendah dan seterusnya mengurangkan perbelanjaan negara di dalam memelihara pangkalan data melalui kos pemeliharaan secara pusat.
62. Setakat Januari 2024, sebanyak 10 (Sepuluh) buah agensi Kerajaan mengongsikan data melalui perkhidmatan ini sementara 15 (Lima Belas) buah agensi kerajaan sedang menggunakan data yang dikongsikan dan sebanyak 13 (Tiga Belas) agensi Kerajaan telah menggunakan sebagai pangkalan data (storage) pelaksanaan projek-projek digital mereka masing-masing. Perkara ini juga didorong (enabled) oleh penyediaan garispanduan Data Sharing Guidelines dan Data Sharing Agreements yang telah digunapakai sejak bulan Mei 2023.
63. Sementara itu, projek Digital Identity dan projek Digital Payment Hub, in shaa Allah dijangka akan siap dilaksanakan pada penghujung tahun ini. Semua ini berhasrat untuk memantapkan lagi lanskap ekonomi digital tempatan dan membolehkan kita meraih peluang-peluang yang pasaran ekonomi digital serantau. Untuk makluman, ASEAN pada masa ini giat memajukan ‘the ASEAN Digital Economy Framework Agreement’ (DEFA). DEFA menyediakan pelan hala tuju komprehensif untuk memperkasakan perniagaan secara digital dengan mempertingkatkan daya saing dan keselamatan siber bagi menggalakkan perdagangan dan penyertaan terutamanya bagi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
64. Bagi Negara Brunei Darussalam, perjanjian DEFA ini akan membuka peluang kepada pertumbuhan produktiviti, daya saing perniagaan, mendokong persekitaran dan ekosistem perniagaan yang lebih kondusif. Disamping itu, ianya juga boleh meningkatkan lagi produk-produk tempatan untuk dipasarkan di peringkat serantau dan antarabangsa. Pada masa ini, ianya masih dalam perundingan di peringkat ASEAN yang mana pihak MTIC dan Kementerian Kewangan dan Ekonomi terlibat didalamnya. In shaa Allah , ianya akan dimuktamadkan pada tahun 2025.
Yang Berhormat Pehin Pengerusi dan Ahli-Ahli Yang Berhormat,
65. Sektor ICT berfungsi sebagai enabler asas kepada ekonomi digital secara menyediakan kesalinghubungan, alat dan platform yang diperlukan untuk perniagaan dan individu mendigitalkan operasi dan proses mereka. Dalam hubungan ini, Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi (AITI) akan terus bekerjasama dengan penyedia-penyedia perkhidmatan telekomunikasi memberi tumpuan dalam menaiktaraf infrastruktur telekomunikasi di Negara ini. Dari segi peningkatan liputan rangkaian mudah alih 3G/4G/5G di kalangan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam, rangkaian 5G telah diperkenalkan secara komersial pada bulan Jun 2023. Sukacita dikongsikan pada masa ini, 92% (Sembilan Puluh Dua Peratus) kawasan berpenduduk mempunyai akses kepada perkhidmatan mudah alih. Manakala kawasan yang sama, 94% (Sembilan Puluh Empat Peratus) telah menerima liputan fiber optik (Fibre To The Home). Penukaran dari penggunaan copper ke fiber optik masih lagi dalam pelaksanaan dan dijangka akan siap pada bulan Ogos tahun ini. Pada masa yang sama dikongsikan liputan talian tetap atau fixed line di Daerah Temburong telah mencapai 100% (Seratus Peratus) dengan penggunaan fiber optik.
66. Pada masa yang sama, pihak AITI sedang bekerjasama dengan pihak Syarikat Unified National Networks Sendirian Berhad (UNN) bagi mengatasi jurang digital di kawasan-kawasan pendalaman atau dikawasan luar bandar dengan menjalankan pemodenan dan mengoptimakan infrastruktur telekomunikasi. Pada masa ini, 6 (Enam) lokasi baru telah dikenalpasti yang akan menerima liputan mudah alih dan ini termasuk Kampong Melilas, Kampong Sukang, Kampong Biadong Ulu, Kampong Buau, Kampong Kukub dan Kampong Bang Taong. Setakat ini pemasangan fiber optik telah selesai dilaksanakan di antara kawasan Kampong Merangking dan Kampong Sukang dan seterusnya 2 (dua) stesen pangkalan di Kampong Bang Taong dan Kampong Kukub sudah mula beroperasi. Pemasangan di kawasan luar bandar yang lain akan dijangka siap pada penghujung bulan ini.
67. Selain itu, di antara inisiatif-inisiatif yang akan dilaksanakan oleh AITI adalah juga termasuk:
i. Meluaskan usaha penyaringan prestasi perkhidmatan rangkaian atau network performance audit untuk merangkumi rangkaian mudah alih (mobile network) di samping rangkaian jalur lebar (broadband network); dan
ii. Untuk menjalankan kajian untuk memastikan perkhidmatan 5G adalah stabil dan terjamin (reliable).
68. Beberapa inisiatif sedang juga dilaksanakan untuk memastikan tenaga kerja dilengkapi dengan kemahiran digital yang diperlukan supaya akan dapat menyesuaikan diri (adapt) kepada landskap teknologi yang sentiasa berubah dan berkembang. Ini termasuk program-program pendidikan melalui pihak AITI yang secara tidak langsung membantu dalam pembangunan kemahiran di peringkat sekolah-sekolah yang diantaranya adalah seperti:
i. Digital for All (Latihan literasi digital untuk warga emas, komuniti kebajikan, majlis-majlis perundingan kampung. 244 peserta telah dilatih sejak tahun 2022);
ii. Coding with Smart Devices (Program rintis bagi kemahiran pengaturcaraan dan pemikiran komputasi dengan Beebot dan microbit. Lebih daripada 2,000 (Dua Ribu) pelajar telah dilatih dari 8 sekolah swasta pada tahun 2021. Pada masa ini, 8 sekolah kerajaan turut terlibat);
iii. Code For Fun (Bengkel pengaturcaraan dan pemikiran komputasi dengan Beebot dan Microbit. Lebih daripada 100 kanak-kanak telah menyertai semasa MYCE pada tahun 2021 dan 2022);
iv. Coding.BN - Kohort 2 (telah dijalankan selama 6 bulan dari Februari hingga September 2023 dan disertai oleh lima puluh (50) orang belia. Setakat Disember 2023, 50% (Lima Puluh Peratus) peserta Kohort 2 Program ini telah berjaya mendapat tawaran pekerjaan); dan
v. Program Digital Upskilling (satu program peningkatan kemahiran digital, yang dilaksanakan dari bulan November 2023 dan seramai 34 peserta telah mengikut serta dalam pelbagai latihan pensijilan professional ICT yang ditawarkan, 5 dari peserta tersebut telah berjaya mendapatkan pensijilan professional ICT).
69. Pihak AITI turut menggalakan penerapan teknologi digital dikalangan Perusahaan Mikro, Kecil, dan Sederhana (PKMS) dengan mengadakan Tech Clinic dan Skim PENJANA untuk menggunapakai teknologi bagi meningkatkan produktiviti. Dalam hal ini juga, selaras dengan objektif Manpower Industry Steering Committee (MISC), beberapa program telah diadakan untuk meningkatkan kemahiran dikalangan graduan dan anak-anak tempatan seperti Overseas Digital Apperenticeship dan TechInspire. Bagi Program TechInspire Apperenticeship ini, ianya akan bermula pada bulan April tahun ini dan 50 (Lima Puluh) orang peserta belia tempatan disasarkan, yang mana akan dilatih sebagai IT/Network Technicians. Dengan inisitiatif-inisiatif seperti ini, ianya akan meningkatkan lagi kemahiran dan kebolehpasaran dalam membangunkan keupayaan tenaga manusia tempatan.
KESELAMATAN SIBER
70. Dalam era digital pada masa ini, tidak dapat dinafikan bahawa orang ramai kini banyak bergantung dengan teknologi maklumat dan komunikasi serta akses internet dalam menjalani pelbagai aspek rutin harian. Dengan ini, orang ramai sebagai pengguna boleh terdedah dengan ancaman jenayah siber seperti penipuan dalam talian, berita palsu, maklumat berunsur fitnah, kebocoran data peribadi dan juga melalui pelbagai platform dan juga boleh berunsur rentas sempadan.
71. Dalam hubungan ini, perkara ini diambil perhatian serius dan dengan memanfaatkan pendekatan bersepadu, Jawatankuasa Kebangsaan Keselamatan Siber (JKKS) akan meneruskan usaha ke arah memastikan ruang siber yang lebih selamat dan menangani aspek yang berkait rapat dengan keselamatan siber iaitu manusia, proses dan teknologi. Ianya juga ditubuhkan untuk memantau dan mengemaskini National Cyber Security Strategy (NCSS) dalam memastikan pelaksanaannya berjalan dengan teratur.
72. Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi komited dalam memastikan persekitaran digital yang selamat dan terjamin untuk semua pengguna. Dalam hal ini, sebanyak B$8.75 Juta (Lapan Point Tujuh Lima Juta Ringgit) telah diperuntukkan bagi pengurusan keselamatan siber bagi Tahun Kewangan 2024/2025.
73. Diantara usaha Cyber Security Brunei (CSB) dalam mewujudkan ekosistem digital yang resilient adalah pelaksanaan Perintah Keselamatan Siber, 2023 ataupun Cyber Security Order, 2023. Ini akan menjadi salah satu fokus utama CSB bagi Tahun Kewangan ini, manakala bagi AITI, mereka akan menumpukan perhatian kepada penyediaan rangka kerja perundangan bagi perlindungan data peribadi.
74. Kempen-kempen kesedaran awam yang giat diusahakan melalui BruCERT dengan menggunakan pelbagai delivery channels sama ada melalui media tradisi seperti TV dan Radio dan juga baru seperti melalui media sosial, akan diteruskan, agar tidak ada kelompok masyarakat yang tercicir dalam mengetahui risiko keselamatan dalam penggunaan berbagai-bagai platform yang tersedia di dalam talian.
75. Selain daripada itu, Content Advisory Council (CAC), yang mana Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi melalui Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi (AITI) dan pihak Jabatan Perdana Menteri (JPM) selaku urusetia bersama, bertanggungjawab dalam memantau kandungan yang diedarkan melalui internet atau media sosial dan akan mengambil tindakan pengawalan termasuk tindakan undang-undang, jika perlu.
76. Disamping itu, Pihak AITI juga sentiasa bekerjasama rapat dengan syarikat-syarikat penyedia telekomunikasi Brunei (TelCos) dan agensi-agensi berkenaan dalam meningkatkan usaha menghindari perkhidmatan pesanan ringkas dan websites, sebagai contohnya, digunakan sebagai kegiatan scam online. Adalah disarankan kepada orang ramai untuk melaporkan alleged scam kepada BruCERT melalui talian 245 8001 dan aplikasi WhatsApp 717 0766 ataupun melalui emel di alamat reporting@brucert.org.bn.
77. Seterusnya, tidak dapat dinafikan juga bahawa perbincangan mengenai pengunaan Artificial Intelligence (AI) menjadi perhatian ramai, khususnya apabila kemajuan pesat teknologi AI mengatasi penyediaan rangka kerja kawal selia untuk mengawal penggunaannya. Melihat akan kepentingan teknologi AI tersebut, pihak Kementerian merancang untuk bekerjasama dengan pihak-pihak yang berkepentingan dalam meneliti ekosistem teknologi tersebut. Ini adalah termasuk penyediaan garispanduan etika terhadap penggunaan AI yang sejajar dengan perkembangan inisiatif di serantau dan antarabangsa seperti ASEAN Guide on AI Governance and Ethics.
78. Dengan adanya garis panduan ini, ianya akan dapat membantu untuk mengawal selia dan mengatasi masalah etika penggunaan berkaitan dengan teknologi berkenaan. Pada masa yang sama, pihak Kementerian ini berhasrat untuk berkerjasama dengan pihak berkepentingan yang lain untuk berbincang mengenai inisiatif lain berkaitan dengan AI yang diperlukan seperti use-cases, kesan terhadap sektor pekerjaan dan juga pembangunan kemahiran iaitu bagi memastikan tenaga kerja akan dilengkapi dengan kemahiran yang diperlukan.
E-KERAJAAN
79. Peramba / Kaola / Saya ingin sekarang mengongsikan terhadap usaha di dalam penyediaan perkhidmatan digital E-kerajaan. Dalam hubungan ini, Pusat Kebangsaan E-Kerajaan (EGNC) telah diperuntukan sebanyak B$54,242,143.00 (Lima Puluh Empat Juta, Dua Ratus Empat Puluh Dua Ribu, Seratus Empat Puluh Tiga Ringgit) bagi Perbelanjaan Biasa dan Perbelanjaan Kemajuan, iaitu sebahagian daripada Harga Rancangan RKN-12 bagi projek-projek Pusat Kebangsaan E-Kerajaan (EGNC) yang berjumlah B$25,642,103.00 (Dua Puluh Lima Juta, Enam Ratus Empat Puluh Dua Ribu, Seratus Tiga Ringgit) bagi menampung projek-projek:
i. Pusat Data Kerajaan dan Infrastruktur ‘Cloud’;
ii. Software Defined Network (SDN) Infrastructure;
iii. Data Analytics As A Service (DAaaS);
iv. Sistem Pengurusan Rekod (SPeRe); dan
80. Seterusnya dikongsikan penerangan lebih lanjut mengenai dua (2) projek tersebut diatas yang lebih berunsur kepada penambahbaikan pemberian khidmat kepada orang ramai iaitu Projek GOV.BN 2.0 dan Sistem Pengurusan Rekod (SPeRe).
81. Projek GOV.BN 2.0 adalah bagi menyediakan satu single service portal untuk orang ramai mendapatkan perkhidmatan kerajaan secara dalam talian dengan cepat dan mudah. Pusat Kebangsaan E-Kerajaan (EGNC) diperuntukkan B$6 juta (Enam Juta Ringgit) bagi melaksanakan projek tersebut. Pembinaan platform ini adalah bagi mengganti dan menaiktaraf platform yang sedia ada iaitu GOV.BN. Dengan menggunakan low-code platform untuk mendigitalisasikan perkhidmatan kerajaan, iaitu satu teknologi yang terkini; akan memudahkan pembangunan perkhidmatan dalam talian. Dengan menggunakan sistem low-code tersebut juga, adalah dititikberatkan agar aplikasi-aplikasi kerajaan akan sentiasa dikemaskini bagi tujuan seperti security patches dan seumpamanya.
82. Selain dari menjadi satu portal untuk perkhidmatan-perkhidmatan kerajaan secara dalam talian, ianya juga:
i. Menyediakan Aplikasi Mudah Alih (Mobile App) untuk perkhidmatan-perkhidmatan Kerajaan secara dalam talian; dan
ii. Menyediakan form builder untuk memudahkan digitalisasi perkhidmatan-perkhidmatan Kerajaan secara dalam talian.
83. Dengan tempoh pelaksanaan projek GOV.BN 2.0 selama 24 (Dua Puluh Empat) bulan ini, in shaa Allah ianya akan dapat meningkatkan lagi jumlah perkhidmatan kerajaan di dalam talian berbanding dengan perkhidmatan yang diberikan melalui traditional counter services.
84. Seterusnya, pengurusan rekod dan dokumen secara digital adalah penting dalam meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan sektor awam melalui transformasi pendigitalan secara komprehensif. Ini juga mengambil kira kelebihannya dari segi memudahkan pengguna untuk mengakses fail, mengurangkan penggunaan kertas, mudah diakses tanpa sempadan tenaga, masa dan mengoptimakan penggunaan teknologi secara amnya. Sebagai langkah permulaan, satu projek telahpun dicadangkan untuk pelaksanaannya dibawah RKN-12 iaitu Sistem Penggunaan Rekod (SpeRe) yang bernilai B$5 Juta (Lima Juta ringgit). Ianya bertujuan untuk menyediakan standard platform bagi pengurusan rekod dan dokumen untuk digunakan oleh semua agensi kerajaan; penyediaan platform e-Office dan juga platform bagi document digitization.
85. Selain daripada kegiatan Pusat Kebangsaan E-Kerajaan (EGNC), usaha Kementerian ini juga ditumpukan ke arah pensejajaran dan penyelarasan serta penambahbaikkan agenda transformasi digital sektor Kerajaan. Contohnya, penyelarasan melalui Chief Information Officer (CIO) Forum yang diberi peranan dalam meneliti, memantau dan meneraju (‘steer’) pelaksanaan Pelan Transformasi Digital Kementerian termasuk semua projek di bawah pelan-pelan tersebut serta transformasi digital sektor swasta di bawah bidang kuasa Kementerian masing-masing. Ianya juga memastikan projek-projek dilaksanakan sentiasa relevan dan selaras dengan keperluan dan ekspektasi semua pihak-pihak yang berkepentingan, dan ini termasuklah:
i. Melaksanakan consolidation keperluan sistem-sistem yang lain kepada infrastruktur tersebut bagi mengelakkan duplikasi dan pembaziran sumber serta tenaga;
ii. Memastikan projek-projek digitalisasi ini bersifat user-driven dan user-friendly; dan
iii. Dalam penelitian ke atas projek-projek transformasi digital di bawah RKN-12, ianya dibincangkan sebelum ini di Mesyuarat CIO Forum bagi mengambilkira terdapatnya peluang penyelarasan dan penginterasian (consolidation) ke atas projek-projek berkenaan bagi mengelakkan duplikasi dan pembaziran, sepertimana yang disebutkan awal.
iv. Pusat Kebangsaan E-Kerajaan (EGNC) telah mengeluarkan Project Management Framework (PMF), satu rangka kerja dan alat rujukan dalam memastikan pengurusan dan perancangan projek-projek IT dibina mengikut spesifikasi yang tepat dan berjalan dengan teratur mengikut tempoh masa yang telah ditetapkan. Penggunaan PMF ini juga telah dimandatkan bagi perlaksanaan semua projek-projek IT melalui CIO Forum; dan
v. Beberapa program membina kapasiti sumber manusia di dalam merekabentuk, pembangunan dan pengurusan projek IT termasuk ‘change management’ juga telah dirancang. Ini termasuk di peringkat pengurusan kanan Kementerian-Kementerian, kerana pendigitalan perkhidmatan-perkhidmatan Kerajaan bukan hanya melibatkan warga IT atau sekadar mengemukakan akses kepada perkhidmatan dalam talian. Akan tetapi, ianya melibatkan peralihan pemikiran proses kerja dan cara bekerja di sepanjang aliran proses kerja setiap kementerian atau Jabatan tersebut. Jika tidak hasrat sepenuhnya untuk mencapai keberkesanan dan kecekapan dari pendigitalan tersebut tidak akan tercapai.
Yang Berhormat Pehin Pengerusi dan Ahli-Ahli Yang Berhormat,
INOVASI
86. Kementerian ini juga ingin mengongsikan beberapa usaha signifikan berkaitan dengan Inovasi, Penyelidikan dan Perkembangan. Kedudukan Negara Brunei Darussalam bagi Indeks Inovasi Global atau Global Innovation Index bagi tahun 2023 telah meningkat lima (5) anak tangga daripada tempat ke-92 ke tangga 87 dalam kalangan 132 negara. Dalam pada itu, bagi mendokong dan memacu pembangunan negara berkaitan dengan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI), sebanyak dua belas (12) projek telah dibiayai melalui dana Majlis Penyelidikan dan Kemajuan Teknologi dan Sains (CREATES), yang telah diperuntukan dibawah RKN-12 dengan harga rancangan sebanyak BND$30 Juta (Tiga Puluh Juta Ringgit). Mengikut pecahan kluster, dua (2) projek adalah dibawah ICT, empat (4) projek dibawah kesihatan, dua (2) projek bagi sains dan teknologi makanan, dua (2) projek berkaitan dengan Tenaga dan dua (2) lagi projek di bawah Alam Sekitar dan Pembangunan Mampan.
87. Setakat ini, kesemua projek tersebut telah mula dilaksanakan sejak suku ke-dua (2) tahun lepas dan masih dalam status pelaksanaan. Keberhasilan projek penyelidikan di bawah CREATES berkenaan diharap akan dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara, terutama dari segi peningkatan pakar dalam pelbagai disiplin di Negara Brunei Darussalam.
88. Untuk menekankan kepentingan inovasi dan mendukung usaha ke arah transformasi digital, dengan bertemakan ‘Smart Nation through digital Transformation’, Anugerah ICT Brunei (Brunei ICT Awards - BICTA) bagi tahun ini akan diadakan pada bulan Jun 2024. Ianya adalah anjuran bersama dengan Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-komunikasi (AITI) dan juga Infocomms Federation Brunei (IFB). Objektif acara tahunan ini adalah untuk menggalakkan inovasi dan kreativiti teknologi infokomunikasi di kalangan individu, pelajar, syarikat-syarikat mikro kecil dan sederhana, dan organisasi-organisasi yang berminat. Penyertaan telah dibukakan sejak Januari yang lalu dan akan berakhir pada bulan Mei nanti. Turut diserapkan di dalam aktiviti BICTA 2024 adalah BICTA Plus Bootcamp iaitu program bimbingan dan latihan khusus bagi peserta-peserta untuk meningkatkan kemahiran dan keupayaan mereka sebagai persiapan diri sebelum pertandingan.
89. BICTA ini juga merupakan satu komponen di bawah Anugerah Asia-Pacific ICT Alliance (APICTA), yang mana pemenang dan peserta BICTA yang terpilih seperti lazimnya berpeluang mewakili Negara Brunei Darussalam ke pertandingan peringkat antarabangsa dibawah APICTA. Alhamdulillah, Negara Brunei Darussalam telah diumumkan sebagai Tuan Rumah bagi 23rd APICTA Awards yang akan berlangsung pada bulan Disember 2024 ini. Dengan adanya penyertaan dari negara ini, ianya membuka peluang kepada individu, pelajar-pelajar, syarikat-syarikat serta organisasi yang berminat untuk merangsangkan inovasi dan penciptaan kreativiti serta menjana inovasi dalam membangunkan sektor ICT.
Yang Berhormat Pehin Pengerusi dan Ahli-Ahli Yang Berhormat,
90. Alhamdulillah, dengan apa yang dikongsikan in shaa Allah ianya dapat memberi bayangan bahawa warga Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan Jabatan-Jabatan serta Pihak-Pihak Berkuasa dibawahnya akan sentiasa bersedia dan beradaptasi bagi sebarang perubahan dan sentiasa peka akan perkembangan yang berlaku dan dapat merealisasikan peranan asas Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dalam: