PADA 24 SYAWAL 1426 HIJRIAH BERSAMAAN 27 NOVEMBER 2005
Yang Mulia
Awang Haji Abd Kadir bin Tengah
Pemangku Ketua Pos Agung
Selaku Pengerusi Majlis
Yang Mulia
Dato Paduka Awang Haji Yusoff bin Haji Abd Hamid
Timbalan Menteri Perhubungan dan Datin
Yang Mulia
Dato Paduka Awang Haji Md Yusof bin Haji Md Hassan
Setiausaha Tetap Kementerian Perhubungan dan Pengiran Datin
Yang Mulia
Ketua-ketua
Jabatan, Timbalan-timbalan Ketua Jabatan, Pengarah-pengarah dan
Pegawai-pegawai Kanan Kementerian Perhubungan, serta Pegawai-pegawai dan
Kakitangan Kementerian Perhubungan dan Jabatan-jabatan di bawahnya,
hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian.
Alhamdulillah,
kita bersyukur ke hadrat Allah Subhana Wataala di atas limpah rahmat
dan InayahNya jua, kita dapat berkumpul pada pagi hari ini di Majlis
Sambutan Ramah Mesra Hari Raya Aidil Fitri bagi Kementerian Perhubungan
dan Jabatan-jabatan di bawahnya bagi tahun 1426 Hijriah bersamaan tahun
2005 Masehi.
Terlebih
dahulu saya sukacita mengucapkan setinggi penghargaan kepada Pemangku
Ketua Pos Agung selaku Pengerusi Majlis di atas daya usaha mengadakan
Majlis Sambutan pada pagi ini yang diharap akan dapat merapatkan lagi
jalinan persaudaraan keluarga Kementerian Perhubungan.
Sempena
hari yang mulia ini, saya, bagi pehak keluarga saya, ingin mengucapkan
Selamat Hari Raya, maaf dzahir dan bathin kepada semua warga Kementerian
Perhubungan. Kami juga sukacita merakamkan ucapan terima kasih kepada
mereka yang sudi berhari raya ke rumah kami dan memohon maaf kerana
tidak semuanya pula dapat di kunjungi.
Hari
Raya Aidil Fitri adalah hari kemenangan bagi umat Islam setelah berjaya
mengharungi bermacam jenis dugaan dan cabaran di bulan Ramadhan.
Sewajarnya ianya di sambut dengan membesarkan Allah SWT dengan cara yang
selayaknya.
Ramadhan
telah dapat melatih dan mendidik umat Islam untuk berdisiplin, sabar,
bersikap jujur dan amanah, pemurah dalam membantu mereka yang memerlukan
bantuan seperti fakir dan miskin serta anak yatim semata-mata untuk
memperoleh keredhaan Allah SWT.
Sesungguhnya
banyak menfaat yang diperolehi di bulan Ramadhan. Bukan sahaja kita
dapat menambah dan meningkatkan amal ibadat dan meraih pahala yang
banyak, tetapi yang lebih penting ialah memperkukuh nilai-nilai rohani
kita. Latihan, didikan dan nilai-nilai murni dari amalan berpuasa itu
sewajarnya pula diamalkan selepas bulan Ramadhan. Saya percaya, jika
latihan, didikan dan nilai-nilai murni ini dapat terus di amalkan dengan
serious, ianya akan dapat membentuk seorang pekerja itu menjadi seorang
yang lebih bertanggung jawab, dedikasi, jujur dan amanah.
Saya
menekankan perkara ini kerana fungsi kementerian ini adalah banyak
bergantung kepada memberikan perkhidmatan kepada orang ramai. Dalam
menjalankan tugas dan tanggungjawab seharian, sifat-sifat mulia yang
saya sebutkan tadi serta sikap pemedulian dan komitmen setentunya akan
dapat meningkatkan lagi prestasi jabatan dan kementerian itu. Layanan
yang baik kepada orang ramai dan pelanggan bukan sahaja akan dapat
menjaga integriti jabatan sebagai penyedia perkhidmatan, bahkan
mengekalkan tahap pencapaian perkhidmatan yang diharapkan oleh para
pelanggan.
Kita
tidak harus berpuashati dengan tahap pencapaian perkhidmatan yang
diberikan kepada orang ramai pada masa ini. Tetapi kita seharusnya
sentiasa berusaha membuat langkah-langkah pembaikan dari segi proses,
prosedur dan pengendalian penyampaian perkhidmatan bagi memenuhi
ekspekasi dan kehendak pelanggan masing-masing. Ketua-ketua Jabatan dan
Pegawai-pegawai Kanan hendaklah juga sama-sama berusaha mewujudkan
budaya kerja cemerlang. Budaya kerja cemerlang yang saya maksudkan
termasuklah semangat kerja berpasukan, permuzakarahan dan sifat
keterbukaan (openess) dikalangan pegawai dan kakitangan.
Semangat
kerja berpasukan (team work) adalah menjadi teras pada kestabilan
organisasi di setiap jabatan yang akan seterusnya mewujudkan suasana
kerja yang harmoni dan bekerjasama.
Sifat
keterbukaan pula penting bagi menwujudkan suasana kondusive yang dapat
menggalakkan pegawai dan kakitangan memberikan pandangan dan sumbangan
bagi kemajuan jabatan masing-masing.
Ciri-ciri
budaya kerja cemerlang seperti invotif adalah perlu kerana kita
sentiasa terdedah kepada cabaran dan perubahan-perubahan serta ekspekasi
orang ramai yang sentiasa meningkat. Menyedari akan hakikat ini, semua
jabatan adalah diseru untuk mengambil langkah pantas dan bertepatan
supaya cabaran dan saingan berkenaan boleh diolah menjadi dorongan bagi
memenuhi tuntutan semasa.
Kementerian
Perhubungan telah menyediakan strategi-strategi jangka sederhana dan
panjang ke arah pencapaian misi Kementerian iaitu menghubungkan Negara
Brunei Darussalam ke komuniti global dalam era informasi. Kita bukan
sahaja memerlukan perkhidmatan pengangkutan dan perhubungan yang
selamat, terjamin, effisen, dan bersepadu, tetapi perlu membantu iklim
yang kompetitif dan kondusif bagi pertumbuhan indusstri-industri dan
mengembangkan serta mempromosikan perkhidmatan-perkhidmatan yang
diberikan oleh Jabatan-jabatan di bawah Kementerian Perhubungan.
Strategi-strategi
yang digubal itu tidak akan mudah dicapai tanpa adanya komitment,
kerjasama, sumbangan serta sokongan padu dari semua pegawai dan
kakitangan samada diperingkat Kementerian mahupun Jabatan-jabatan di
bawah Kementerian ini.
Dalam
membantu pencapaian misi berkenaan, Ketua-ketua Jabatan dan
Pegawai-pegawai Kanan hendaklah memastikan kelancaran projek-projek yang
dilaksanakan menurut masa yang ditetapkan dengan memantau kemajuan
projek-projek berkenaan dari masa ke semaa, dan mengambil
langkah-langkah penyelesaian terhadap sebarang masalah yang timbul
mengenainya tanpa berlengah-lengah. Sasaran jangka sederhana apatah lagi
jangka panjang tidak akan dapat dicapai sekiranya perlaksanaan projek
dibiarkan terjejas dan tahap perkhidmatan dan kemampuan (capacity) tidak
dapat dipertingkatkan dari masa ke semasa.
Saya
gembira sudah terdapat langkah yang dibuat bagi memantau pencapaian
usaha yang dibuat oleh setiap Jabatan. Akan tetapi masih terdapat ruang
bagi pembaikan yang dapat diusahakan. Diantaranya ialah penggunaan
petunjuk (indicator) yang bertepatan bagi mengukur sasaran, dan membuat
penyesuaian (adjustment) sekiranya sasaran yang ditetapkan tidak dapat
dicapai. Disamping itu, usaha untuk mensejajarkan keperluan kerja yang
melibatkan pelbagai pihak juga dibuat bagi memastikan kejayaan program
atau projek yang dirancang dengan dokongan semua pihak yang terlibat.
Dalam
tempuh satu bulan lagi, kita akan melangkah ke tahun 2006. Sehubungan
ini, saya ingin meminta semua Ketua-ketua jabatan untuk membuat
penilaian atau stock-taking mengenai pelaksanaan rancangan-rancangan
serta tanggung jawab jabatan masing-masing bagi mengetahui jumlah
pencapaian, mengenalpasti sebab-sebab atau masaalah-masaalah yang
menggangu kelancaran pencapaian dan cara-cara untuk mengatasinya.
Demikian juga dalam tempuh dari sekrang sehingga menjelang tahun 2006,
jabatan-jabatan adalah di minta untuk menyediakan rancangan-rancangan
yang akan dilaksanakan bagi tahun 2006 dengan menentukan sasaran-sasaran
yang akan di capai. Perkara ini adalah mustahak untuk menjadi strategi
jabatan dalam mencapai matalamat jangka panjangnya.
Sebelum
mengakhiri ucapan saya ini, saya ingin mengambil kesempatan sekali lagi
mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan tahniah kepada Pengerusi
dan Jawatankuasa Pengelola Majlis di atas kejayaan menganjurkan majlis
ini. Saya tidak lupa juga merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih
di atas sumbangan pegawai-pegawai dan kakitangan yang bersara di atas
sumbangan bakti mereka yang telah mereka hulurkan semasa menjalankan
tugas dan tanggung jawab di Kementerian ini. Semoga Allah SWT akan
menerima khidmat bakti biskita sebagai amal kebajikan jua. Kita
mendoakan semoga biskita akan dapat menempuhi penghidupan yang lebih
baik dan sehat walafiat.
Sekian
Wabillahi Taufik Wal Hidayah
Assalamu alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.