Sembah Alu-Aluan
Yang Berhormat
Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi
Pada
Hari Rabu, 26 hb Zulhijjah 1445H / 3 hb Julai 2024
Semasa
Majlis Anugerah BICTA 2024
Bertempat di Dewan Plenari
Pusat Persidangan Antarabangsa
Bismillah Hirrahma Nirrahim
Alhamdullilahi Rabbil `Alameen Wasaalatu Wassalaamu `Ala Asyrafil Ambiae Walmursaleen, Saidina Muhammadin Wa'alaa Aalihiee Wasahbihee Ajama'een.
Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh
1. Mengadap Kehadapan Majlis Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, selaku Penaung Diraja BICTA.
2. Alhamdulillah, abis hamba Duli Tuanku memanjatkan rasa syukur kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala, dengan izinNya jua, Majlis Anugerah Teknologi Info-komunikasi Brunei atau Brunei ICT Awards (BICTA) 2024 dapat dilangsungkan pada hari ini.
3. Hamba Duli Tuanku, mewakili Ahli-Ahli Jawatankuasa Pandu dan Jawatankuasa Kerja BICTA 2024, menjunjung kasih setinggi-tingginya jua atas keberangkatan Duli Tuanku sebagai Tetamu Kehormat pada majlis hari ini, dan seterusnya untuk menyempurnakan pengurniaan hadiah dan Anugerah Penaung Diraja BICTA kepada pemenang.
4. Keberangkatan Duli Tuanku pada pagi ini setentunya menjadi petanda dan pendorong kuat bagi semua untuk terus berinovasi dan menghasilkan ciptaan-ciptaan dalam pelbagai bidang. Seterusnya, keberangkatan Duli Tuanku juga menggambarkan galakan Duli Tuanku kepada penggiat industri dan belia untuk terus mengembangkan kemampuan mereka untuk dapat bersaing di peringkat antarabangsa dan mencapai kejayaan yang lebih besar.
5. Alhamdulillah, BICTA tahun ini sekali lagi dapat dilaksanakan melalui hasil kerjasama erat diantara Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-komunikasi (AITI) dan Infocom Federation of Brunei (IFB), serta turut didokong oleh Kementerian Pendidikan, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Darussalam Enterprise (DARe). Sokongan seumpama ini menunjukkan kesepakatan dalam sama- sama bergerak kearah hasrat menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Pintar dan seterusnya merealisasikan Wawasan Negara 2035.
Beribu ampun,
6. Pada tahun ini, BICTA mempertandingkan sepuluh (10) kategori, iaitu tujuh (7) kategori utama, yakni main categories, dan tiga (3) kategori silang, yakni cross categories. Kategori-kategori ini merupakan pembaharuan yang telah diperkenalkan pada pertandingan BICTA 2023 dengan tujuan untuk menggalakkan lebih banyak lagi penyertaan serta membuka peluang untuk menjana ciptaan-ciptaan ICT yang kreatif dan inovatif.
7. Selaras dengan tema, “Negara Pintar melalui Transformasi Digital", BICTA 2024 juga turut memperkenalkan Anugerah Smart Nation untuk mengiktiraf penyertaan yang mendokong ciri-ciri aspirasi kearah negara pintar dalam sektor-sektor tertentu iaitu Pendidikan, Pelancongan, Pertanian, Pembinaan, Logistik dan Pengangkutan.
8. Seperti tahun yang sudah-sudah, BICTA Plus Bootcamp turut diserapkan sebagai aktiviti utama bagi BICTA 2024 yang berperanan sebagai platform untuk membantu peserta memperkukuhkan pelan perniagaan mereka, memantapkan lagi pembentukan market ready product serta mempersiapkan mereka untuk pertandingan.
9. Alhamdulillah, pada tahun ini, sebanyak 158 penyertaan telah diterima dengan peningkatan sebanyak 70% berbanding tahun sebelumnya. Jumlah ini merupakan yang tertinggi pernah dicatat sepanjang pertandingan BICTA diadakan dengan penyertaan terbanyak daripada sekolah-sekolah. Ini mencerminkan minat yang luar biasa dari generasi muda dan tenaga pengajar yang memiliki semangat tinggi untuk mengeksplorasi dan mencipta penyelesaian inovatif untuk pelbagai cabaran yang kita hadapi hari ini.
10. Dengan penambahan pada kategori pertandingan BICTA, jumlah hakim yang terdiri dari wakil-wakil pihak kerajaan, sektor swasta, pakar-pakar dalam industri serta akademia juga turut bertambah. Dengan kepakaran dan pengalaman masing-masing, penilaian ke atas penyertaan yang diterima adalah dijalankan berpandukan piawaian dan garispandu penghakiman di peringkat Asia Pacific ICT Alliance (APICTA) Awards.
11. Seperti selazimnya jua, pemenang-pemenang BICTA berpeluang untuk mewakili Negara Brunei Darussalam ke pertandingan APICTA Awards, dan bersaing dengan peserta-peserta dari 17 ahli ekonomi dari rantau Asia- Pasifik. Alhamdulillah, setelah pertama kali menganjurkan Anugerah APICTA pada tahun 2012, Negara Brunei Darussalam telah diberikan penghormatan sekali lagi sebagai Tuan Rumah bagi penganjuran APICTA 2024 yang akan berlangsung insha Allah pada penghujung tahun ini. Adalah diharap lebih banyak lagi penyertaan yang berkualiti tinggi dari Negara Brunei Darussalam untuk meraih kemenangan di negara sendiri setelah merangkul sebanyak empat (4) Anugerah Pemenang dan tiga puluh dua (32) Anugerah Merit di APICTA setakat ini.
Beribu ampun,
12. Syukur Alhamdullilah, BICTA telah mencapai usianya yang ke 20 tahun semenjak ianya diungkayahkan pada tahun 2004. BICTA telah terbukti sebagai satu platform yang berprestij untuk mengiktiraf inovasi tempatan dan kecemerlangan dalam ICT. Pengiktirafan ini bukan sahaja memberi penghargaan kepada individu dan organisasi yang telah menunjukkan prestasi cemerlang, tetapi juga mendorong mereka untuk terus meneroka dan mencipta penyelesaian inovatif yang mampu membawa perubahan positif kepada masyarakat dan industri.
13. Sehubungan dengan itu, satu Penghargaan Khas sempena 20 Tahun BICTA, telah diperkenalkan bagi mengiktiraf dan menghargai jasa individu yang bergiat aktif dan sumbangan kepimpinan di dalam menerajui perjalanan BICTA, termasuk di peringkat APICTA. Penghargaan Khas bagi Penyertaan Individu Paling Aktif dan Penghargaan Jasa Bakti BICTA telah dianugerahkan kepada enam (6) orang penerima dari kalangan industri, guru pengawas dan pemimpin, semasa Majlis Pelancaran BICTA 2024 yang diadakan pada awal tahun ini. Semoga pencapaian ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak ciptaan yang berinovasi yang mampu membawa negara ke kedudukan yang lebih tinggi dalam bidang inovasi.
14. Menurut laporan Global Innovation Index 2023 yang dikeluarkan oleh World Intellectual Property Organization (WIPO), Negara Brunei Darussalam telah mencatat penambahbaikan prestasi dalam bidang-bidang seperti institutions, infrastructure, human capital and research, dan business sophistication. Pada masa yang sama, terdapat juga beberapa perkara yang memerlukan perhatian dan untuk diperbaiki lagi, terutama sekali dalam aspek hasil inovasi atau outputs seperti creative outputs, knowledge and technology outputs, dan market sophistication.
15. Perkara ini juga turut ditekankan di dalam penilaian “Digital Innovation Profile for Brunei Darussalam" yang telah dijalankan oleh pihak AITI dengan kerjasama International Telecommunication Union (ITU) pada penghujung tahun 2022. Usaha tersebut bertujuan untuk mentaksirkan kapasiti dan tahap kematangan ekosistem inovasi digital Negara Brunei Darussalam, terutamanya di dalam mewujudkan ekosistem inovasi yang mampu membina keupayaan baharu, berdaya saing, mampan, dan masa depan yang didayakan oleh inovasi ICT. Antara cadangan yang sedang dan akan ditangani termasuklah memperkukuhkan lagi komuniti inovasi digital, rangkaian dan platform untuk menggalakkan budaya keusahawanan, pelaburan dan meningkatkan lagi kesediaan teknologi.
16. Dalam hubungan ini, BICTA tetap kekal relevan dan mempunyai peranannya tersendiri dan penting di dalam ekosistem inovasi di negara ini. Ianya merupakan satu platform yang membina budaya inovasi dikalangan pelajar-pelajar dan masyarakat serta tempat menyalurkan, menyatukan dan mempromosi ciptaan-ciptaan inovasi ICT di negara kita.
17. Sukacita juga dikongsikan bahawa dalam usaha untuk mengukuhkan ekosistem inovasi di negara ini, Majlis Penyelidikan dan Kemajuan Teknologi dan Sains atau Council for Research and Advancement of Technology and Science (CREATES), yang ditubuhkan pada tahun 2021 juga telah menyesuaikan tumpuanya kepada perkembangan-perkembangan terbaharu dan turut mendokong aktivti-aktiviti pembangunan aliran teknologi seperti Big Data Analytics, Artificial Intelligence (AI) dan Internet of Things (IoT).
18. Dalam pada itu, Brunei Innovation Lab yang diterajui oleh pihak industri juga turut memainkan peranan yang integral di dalam memperkasa keupayaan dalam bidang inovasi dan keusahawanan teknologi. Seterusnya, Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB) melalui Darussalam Enterprise (DARe) juga menyediakan program-program latihan keusahawanan bagi membantu peniaga untuk berkembang dan menembusi pasaran. Semua platform-platform ini sudah tersedia untuk dimanfaatkan oleh peserta-peserta BICTA yang memiliki potensi besar untuk melangkah ke tahap seterusnya. Dalam pada itu, keahlian dalam Jawatankuasa Pandu BICTA juga kini menampilkan wakil-wakil daripada syarikat dan agensi yang mempunyai peranan masing-masing di dalam mendokong ekosistem inovasi digital.
19. Inisiatif-inisiatif seumpama ini menandakan komitmen kita untuk memperkukuhkan ekosistem inovasi tempatan dan mendorong pertumbuhan ekonomi berasaskan teknologi. Dengan adanya sokongan sewajarnya dan komitmen berterusan dari pelbagai pihak, hamba Duli Tuanku yakin kita mampu mencapai kedudukan yang lebih baik dengan prestasi yang cemerlang dalam bidang inovasi digital di masa akan datang.
Beribu ampun,
20. Sebelum hamba Duli Tuanku menjunjung anugeraha berundur diri, hamba Duli Tuanku dengan penuh hormat dan takzim menyembahkan setinggi-tinggi menjunjung kasih diatas keberangkatan Duli Tuanku ke Majlis Anugerah BICTA 2024 pada pagi ini.
21. Hamba Duli Tuanku menjunjung sabda perkenan untuk merakamkan penghargaan kepada ahli-ahli jawatankuasa, peserta-peserta, hakim-hakim, penaja- penaja serta semua pihak yang terlibat atas komitmen bagi menjayakan BICTA 2024.
22. Hamba Duli Tuanku juga seterusnya menjunjung perkenan untuk menzahirkan penghargaan dan terima kasih diatas keberangkatan dan kehadiran Timbalan- Timbalan Menteri, ketua-ketua perwakilan dari negara- negara sahabat, pegawai-pegawai kanan dan semua yang hadir.
23. Pada mengakhiri sembah alu-aluan ini, hamba Duli Tuanku dengan penuh hormat dan takzim menyembahkan berbanyak-banyak menjunjung ampun sekiranya terdapat sebarang suruk langkah dan tutur kata yang kurang manis dalam sembah alu-aluan hamba Duli Tuanku dan dalam majlis pada pagi ini.
Sekian Wabillahi Taufik Wal Hidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Hamba Duli Tuanku menjunjung anugeraha.