Sign In
Mobirise Web Builder
Majlis Sambutan Hari Kajicuaca Sedunia 2006

Bangunan Blok B23 Flat Anggerek Desa 

23 Mac 2006

Bismillahir Rahmanir Rahim

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Yang Mulia Awang Haji Matnor bin Haji Salleh, Pemangku Pengarah Penerbangan Awam 

Selaku Timbalan Pengerusi Majlis Sambutan Hari Kajicuaca Sedunia 2006;

Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Yusof bin Haji Abdul Hamid, 

Timbalan Menteri Perhubungan;

Yang Mulia Awang Haji Ibrahim bin Haji Mohd Ali, 

Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Perhubungan;

Yang Mulia, Ketua-Ketua Jabatan, Pegawai-Pegawai Kanan, Hadirin yang dihormati sekalian.

Alhamdulillah, Kita bersyukur kehadhrat Allah Subhanahu Wata'ala di atas limpah rahmatnya mengizinkan kita hadir beramai-ramai di majlis pada hari ini.

Saya dengan ikhlas ingin mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Pengerusi dan ahli-ahli Jawatankuasa Majlis ini kerana menganjurkan Sambutan Hari Kajicuaca Sedunia 2006 bagi Negara Brunei Darussalam.

Seperti mana yang telah dinyatakan oleh Timbalan Pengerusi tadi, Sambutan Hari Kajicuaca Sedunia disambut oleh negara-negara ahli Pertubuhan Kajicuaca Sedunia (WMO) bagi memperingati penubuhannya lebih 50 tahun yang lalu. Melalui perkhidmatan kajicuaca, negara kita juga tidak ketinggalan turut sama meraikan hari yang bersejarah ini.

Tema sambutan "Mencegah Dan Mengurangkan Bencana Alam", memberikan satu cabaran terhadap keupayaan kita dalam menangani isu serta komitmen kita kepada penduduk dan negara ini khususnya dan kepada dunia amnya.

Sejak akhir-akhir ini kita telah menyaksikan berlakunya bencana alam di dunia baik yang dapat diramal maupun yang tidak dapat diramal seperti ribut taufan yang mengakibatkan banjir, hujan ribut yang membawa akibat kepada pelaut-pelaut dan penangkap ikan, ombak besar yang melanda daratan dan memusnahkan orang awam dan harta benda. Dengan kejadian yang diduga dan tidak dapat diduga ini, maka perkhidmatan kajicuaca kepada orang ramai dan agensi-agensi adalah menjadi semakin mustahak lagi.

Ke arah melengkapkan lagi usaha kita dalam bidang kajicuaca, maka Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Rancangan Kemajuan Negara kelapan telahpun memperuntukkan sejumlah satu juta lapan ratus tiga puluh ribu ringgit ($1,830,000) bagi mengadakan System Of Lightning Data Acquisition, Monitoring And Tracking (SLAMAT) yang telahpun dimulakan dalam bulan November 2004 bagi membolehkan Negara Brunei Darussalam mengesan, mengumpul, memantau dan menganalisa maklumat kilat di semua kawasan di negara ini dengan membina 5 stesen kilat (lightning stations) di semua daerah.

Selain daripada itu, RKN kelapan juga memperuntukkan dua juta lima ratus tujuh puluh lima ringgit bagi Automatic Meteorological Data Acquisition System (AMEDAS) iaitu peralatan bagi menyediakan "real-time" pemerhatian cuaca secara automatik di seluruh negara. Terdapat 14 stesen cuaca automatik(automatic weather stations) di seluruh negara iaitu empat (4) stesen di Brunei Muara, tiga (3) di Tutong, empat (4) di Kuala Belait dan tiga (3) di Temburong. Automatic weather station ini mengandungi peralatan dan sensor yang dapat menyukat kelajuan dan arah tuju angin, suhu, humiditi, arah tuju cahaya matahari, dan hujan. Demikian juga dengan tambahan sensor itu antara lainnya akan dapat mengetahui keadaan pencemaran udara. Adalah diharapkan peralatan-peralatan ini akan dapat membantu meningkatkan keupayaan perkhidmatan kajicuaca di negara ini dan dalam masa yang sama memberikan maklumat dan perkhidmatan kepada orang ramai.

Walaupun pada realitinya, kita tidak mungkin dapat mengelakkan terjadinya bencana alam, tetapi kita boleh berusaha mengurangkan kesannya yang serius kepada penduduk. Sementara itu, meringankan kesan (mitigating). Iaitu menjurus kepada mengurangkan kesan buruk bencana alam, dan ini boleh menyumbang kepada keselamatan dan kesejahteraan penduduk dunia. Dalam hal ini saya penuh percaya objektif ini boleh dicapai jika kita selaku negara ahli, meningkatkan dan tetap memfokus kepada komitmen kita sepertimana yang dituntut dalam konvensyen pertubuhan kajicuaca sedunia di mana, sebagai agensi kebangsaan bagi kajicuaca dan hidrologi, perkhidmatan kajicuaca Brunei Darussalam seharusnya dapat menyediakan dan menyalurkan maklumat kajicuaca samada yang berupa ramalan, khidmat nasihat, amaran awal atau yang seumpamanya secara lebih bersistematik, teratur, efisen dan berkesan.

Justeru itu juga saya ingin menyarankan bahawa tanggungjawab ini tidaklah hanya tertumpu kepada perkhidmatan kajicuaca sepenuhnya, malah adalah juga merupakan tanggungjawab bersama yang memerlukan penglibatan dan kerjasama padu serta komitmen daripada pihak yang lain samada pihak kerajaan mahupun pihak swasta.

Dalam kesempatan ini saya ingin mengucapkan syabas kepada jabatan penerbangan awam atas inisiatif mereka bagi perkhidmatan kajicuaca untuk menjadikan bangunan ini sebagai sebuah pusat pemantauan dan juga sebuah pejabat kerajaan yang berfungsi penuh semata-mata untuk meningkatkan khidmat kepada negara dan orang ramai.

Saya juga difahamkan bangunan ini menempatkan pusat maklumat dan data iklim yang mempunyai fungsi penting mengumpul dan mengarkib data iklim negara brunei darussalam yang dianggap sebagai satu khazanah negara. Pusat ini juga bertindak sebagai pusat perkhidmatan pelanggan maklumat cuaca dan iklim yang mudah dikunjungi orang ramai.

Saya turut berbangga dengan adanya bangunan kajicuaca dan dengannya dapat melaksanakan kedua projek yang dinyatakan oleh Pengerusi tadi. Ini adalah merupakan pencapaian yang signifikan dan satu lagi mercu tanda bagi perkembangan kajicuaca di negara kita.

Saya yakin dengan adanya bangunan dan sistem-sistem ini akan dapat pula meningkatkan keupayaan dan keberkesanan khidmat-khidmat yang disediakan oleh perkhidmatan kajicuaca negara brunei Darussalam.

Pada hemat saya sudah sampai masanya bahagian perkhidmatan kajicuaca Tidak hanya memberikan keutamaan kepada kajicuaca penerbangan(aeronautical meteorology)semata-mata, bahkan memberikan tumpuan yang sama kepada perkhidmatan kajicuaca yang lain, seperti perkhidmatan kajicuaca umum (public weather services), kajicuaca laut , kajicuaca pertanian dan cabang-cabang kajicuaca yang lainnya supaya lebih ramai lagi orang akan mendapat manfaat dari perkhidmatan ini. Saya percaya bahagian perkhidmatan kajicuaca akan dapat mengambil inisiatif, langkah dan usaha yang bersesuaian kearah merealisasikan hasrat ini.

Apa yang ditekankan ini adalah merupakan tunggak asas apa yang terkandung dalam Konvensyen Pertubuhan Kajicuaca Sedunia (WMO Convention) yang sudah sewajarnya kita sebagai negara ahli berusaha untuk melaksanakannya. Dan apa yang saya dapat melihat sekarang adalah inisiatif yang sudah diungkayahkan dalam menyahut saranan pertubuhan kajicuaca sedunia oleh jabatan penerbangan awam.

Walaupun demikian, saya juga memahami hakikat untuk melaksanakan perkara ini sangatlah berat dan bukannya perkara mudah, menimbangkan perkhidmatan kajicuaca, hanyalah satu bahagian dalam struktur organisasi jabatan penerbangan awam, berbeza dari kebanyakan negara-negara lain di mana perkhidmatan kajicuaca adalah merupakan sebuah agensi kerajaan yang tersendiri, yang mempunyai skop, bidang tugas serta tanggungjawab yang merujuk kepada konvensen pertubuhan kajicuaca sedunia.

Dalam menangani isu-isu semasa dan juga kepentingan negara sambil meningkatkan visibility perkhidmatan kajicuaca sebagai satu agensi kerajaan, iaitu khususnya yang turut terlibat dalam hal-ehwal yang berhubungkait dengan bencana alam, negara Brunei darussalam juga telah diberikan kepercayaan oleh pertubuhan asean untuk menjadi tuan rumah mesyuarat "second technical task force for the establishment of monitoring networks of the tsunami early warning system in ASEAN" pada tahun ini. Sehubungan ini, negara ini akan menjadi tuan rumah mesyuarat berkenaan, yang dirancang untuk berlangsung pada 4 hingga 5 april 2006.

Akhirnya, mari lah kita berdoa semoga segala hasrat baik dan perancangan yang kita usahakan akan mendapat restu dan keberkatan dari Allah Subhanahu Wata'ala serta mendapat hasil yang dihajati. Mudah-mudahan jua perasmian bangunan ini, dan penempatan pusat SLAMAT dan AMEDASakan menjadi pendorong dalam memajukan lagi usaha kita untuk mencapai perkhidmatan awam yang berkualiti serta cemerlang.

Dengan mendahulukan kalimat "Bismillahir Rahmanir Rahim" dan dengan bertawakkal kepada Allah, serta selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad Salallahu Alaihi Wassalam, saya dengan sukacita merasmikan Sambutan Hari Kajicuaca Sedunia bagi Negara Brunei Darusssalam.

Sekian. wabillahi taufiq walhidayah, wassalamu 'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.​

Attachments
Speeches