Teks Ucapan
Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary Bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha
Menteri Pengangkutan dan Infokommunikasi
Majlis Perasmian Kempen Isi Selamat, Rasa Selamat ‘Fill Safe, Feel Safe Campaign
Hari Rabu, 26 Rabiulakhir 1446H / 30hb Oktober 2024M
Jam: 9:30 Pagi
Tempat: One City Shopping Complex
Bismillahir Rahmanir Rahim, Alhamdulillahi Rabbil ‘alamin Wassalatu Wassalamu ‘Ala- Asyarafil Anbiya’e Wal Mursalin Sayidina Muhammadin Wa’ala Alihi Wasahbihi Ajma’in
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Selamat Pagi dan Salam Sejahtera
Yang Mulia Mohamed Alexirwan bin Hj Omar, Pengarah Urusan, Brunei Shell Marketing Company Sendirian Berhad (BSM),
Yang Mulia Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap,
Ahli-Ahli Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR),
Hadirin dan Hadirat sekalian,
1. Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu wa ta’ala kerana dengan izin dan rahmatNya jua kita dapat berkumpul lagi di Majlis Perasmian Kempen Isi Selamat, Rasa Selamat atau Fill Safe, Feel Safe Campaign di pagi yang mulia ini.
2. Selawat serta salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad Sallahu ‘alaihi wa sallam, kaum kerabat, sahabat dan pengikutpengikut Baginda yang ta’at setia lagi jujur hingga ke akhir zaman.
3. Sepertimana yang semua sedia maklum, diantara peranan asas dan tanggungjawab Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi melalui Pelan Strategik MTIC, perancangan dan peluang-peluang penambahbaikan yang dikenalpasti adalah kearah meningkatkan dan memantapkan lagi sumbangan sektor pengangkutan dan infokomunikasi di dalam pembangunan negara, dalam menjamin keselamatan sektor pengangkutan dan menjadi pemudah cara bagi mendokong kemajuan ekonomi dan pembangunan negara yang mampan.
4. Menurut Perangkaan Sektor Pengangkutan dan Infokomunikasi Negara Brunei Darussalam tahun 2012-2022, terdapat lebih dari empat ratus ribu buah kenderaan telah didaftarkan (termasuk kenderaan yang tidak dilesenkan dan tidak aktif di jalan raya). Manakala, perangkaan jumlah kenderaan yang memperbaharui lesen dan aktif di jalan raya secara purata adalah melebihi dua ratus ribu (260,992) kenderaan setiap tahun. Semua pemilik-pemilik dan pemandu-pemandu kenderaan ini adalah merupakan sasaran atau target audience bagi program Kempen Isi Selamat, Rasa Selamat atau Fill Safe, Feel Safe Campaign ini.
5. Sukacita juga mengongisikan bahawa, Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) juga terus melaksanakan usaha bersepadu dengan agensi-agensi berkepentingan lain bagi menjadikan jalan raya lebih selamat untuk semua pengguna. Beberapa inisiatif telahpun diungkayahkan seperti:
i. Melaksanakan aktiviti ko-kurikulum keselamatan jalan raya di sekolah-sekolah bagi memupuk budaya keselamatan Jalan Raya bagi semua pengguna;
ii. Membuat rangka kerja dan kerjasama dengan pihak Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) dalam mengendalikan program/aktiviti/kempen kearah meningkatkan lagi keselamatan jalan raya;
iii. Menjalankan Program Penilaian Jalan Raya Antarabangsa (International Road Assessment Program, IRAP) Lebuhraya dan Jalan Utama;
iv. Memberigakan Highway Code edisi 2023 yang telah dikemaskini dan dilancarkan. Edisi tersebut juga menekankan perihal tingkahlaku semasa memandu; dan
v. Menjalankan kegiatan penguatkuasaan. Di tahun 2023, sebanyak 235 (Dua Ratus Tiga Puluh Lima) kegiatan penguatkuasaan melalui sekatan jalan raya dan 14 (Empat Belas) Operasi Sepadu telah dijalankan bersama pihak Pasukan Polis Diraja Brunei.
6. Untuk makluman, terdapat penurunan jumlah kes fatal akibat kemalangan jalan raya iaitu daripada 20 kes bagi tahun 2022 kepada 14 kes bagi tahun 2023. Manakala bagi kes mengakibatkan kecederaan disebabkan kemalangan jalan raya telah meningkat kepada 364 bagi tahun 2023.
7. Namun begitu, kita berpendapat “every accident is one too many”. Oleh itu, adalah disarankan semua pihak terutama pengguna jalan raya bekerjasama dalam memastikan keselamatan semua.
Hadirin dan hadirat sekalian,
8. Dalam hubungan ini, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada pihak BSM serta pemilik-pemilik stesen minyak diatas usaha berterusan dalam komitmen mengungkayahkan kempen-kempen ini agar cita-cita menjadikan tapak stesen minyak bebas dari insiden tercapai terutamanya dengan jumlah pemandu yang tinggi di Negara Brunei Darussalam.
9. Penghargaan juga diucapkan kepada Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam, Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR), Safety, Health and Environment National Authority (SHENA) dalam usaha bersepadu Perkongsian Awam Swasta atau Public-Private Partnership dalam meningkatkan pembangunan negara untuk memupuk pihak pengguna yang berhemah, bertanggungjawab dan berdisiplin. Dan seperti yang baru dikongsikan Pengarah Urusan BSM, Yang Mulia Mohamed Alexirwan sebentar tadi, ianya terbuki berkesan, dimana statistik negara telah mencatatkan jumlah penurunan insiden di stesen-stesen minyak diseluruh negara semenjak tertubuhnya kempen ini dengan penunjuk prestasi utama (KPI) BSM dalam menjalankan tugas memberi kesedaran dan peneguran.
10. Dalam salah satu fokus untuk pembinaan kapasiti semua pekerja juga ialah amalan terbaik dalam intervensi awal. Saya juga difahamkan bahawa salah satu penambahbaikan yang ketara juga ialah pihak stesen membuat laporan dengan segera untuk insiden-insiden yang terjadi di stesen minyak kepada BSM. Ini adalah penting bukan sahaja distesen minyak, tetapi dimana-mana sektor.
11. Saya percaya pemantauan keselamatan dari semua pihak adalah mencerminkan asas prestasi semua organisasi. Dan saya ingin mengucapkan syabas! Kempen ini berkesan dalam hubungan diantara sektor awam dan swasta berdasarkan perkongsian elemen-elemen strategik negara yang membolehkan orang ramai bergerak menuju kepada penambahbaikan tingkah laku dengan menjadi pengguna yang berhemah. Usaha bersepadu ini adalah sangat digalakkan dan ianya adalah terbukti berkesan dan memberi impak positif kepada setiap industri.
12. Dengan ini, saya merasa terjamin jika pihak pengurusan stesen minyak, pihak BSM dan pihak Kerajaan bersama-sama dibarisan hadapan, sentiasa berdisiplin dalam memastikan orang ramai patuh kepada peraturan-peraturan keselamatan negara berkaitan dengan bahan bakar api, mahupun juga ketika berkunjung ke stesen minyak.
13. Tahniah saya ucapkan kepada pihak BSM yang selalu proaktif dalam mencuba alternatif yang baru dalam memberi pendidikan kepada orang ramai dengan Projek Selendang yang telahpun diterapkan keseluruh stesen minyak. Projek ini akan berhasil jika barisan hadapan berdisiplin dan sentiasa tegas dalam memastikan orang ramai mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan dalam menutup enjin kenderaan dan menutup alat-alat elektronik ketika pengisian minyak dijalankan serta konsistent dengan amalan terbaik proses pembelian minyak.
14. Kempen Isi Selamat, Rasa Selamat ini telah menjana kesedaran orang ramai tentang keselamatan di stesen-stesen minyak dan hasilnya orang ramai kini sedar tentang keselamatan di stesen minyak dan memaklumkan pihak BSM melalui Pusat Panggilan BSM ataupun media sosial jika ada tindakan atau keadaan tidak selamat di stesen minyak.
15. Saya juga amat memahami Service Champions masih berdepan dengan pelbagai cabaran karenah-karenah orang ramai yang masih lagi belum menjiwai hal ehwal keselamatan walaupun teguran demi teguran diberikan. Tetapi saya amat yakin Service Champions akan berjaya dan melakukan apa yang betul untuk mengubah kelakuan pelanggan-pelanggan mereka.
16. Akhirnya, saya ingin mengucapkan syabas sekali lagi kepada semua yang terlibat dan kepada Retail HSSE Ambassadors serta Service Champions yang terlatih. Saya berharap agar biskita sentiasa tidak berputus asa dalam sama-sama membina rakyat yang berhemah. Mereka adalah keluarga kita, kawan kita, dan juga orang yang kita sayangi iaitu rakyat Negara Brunei Darussalam.
17. Sekian saya sampaikan dan semoga segala inisiatif yang diusahakan akan membuahkan hasil dan impak yang dihasratkan.
Wabillahitaufik Walhidayah, Wasalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.