TEKS UCAPAN ALU-ALUAN
Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary
Bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha
Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi
Di Sesi Perjumpaan Muhibah
Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi
Bersama Ahli-Ahli Yang Berhormat Majlis Mesyuarat Negara
Bagi Tahun 2025
14 Syaaban 1446 bersamaan 13 Februari 2025 (Hari Khamis)
Dewan Amar Pahlawan,
Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi
Alhamdulillahi Rabbil 'Alamin Wassalatu Wassalamu 'Ala-Asyarafil Anbiya'e Wal Mursalin Saidina Muhammadin Wa'ala Alihi Wasahbihi Ajma'in,
Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Selamat Pagi,
Yang Berhormat Awang Mohammad Ali bin Tanjong
Selaku Ketua Rombongan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara ke Sesi Perjumpaan Muhibah di antara Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) dan Ahli-Ahli Yang Berhormat Majlis Mesyuarat Negara bagi sesi tahun 1446 Hijrah dan 2025 Masehi.
Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara;
Yang Mulia Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof
Setiausaha Tetap, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC);
Yang Mulia Awang Ridzuan bin Haji Ahmad
Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan);
Yang Mulia Dayang Mazriyani binti Haji Abd Ghani
Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi);
Ketua-Ketua Jabatan dan Bahagian, Ketua-Ketua Eksekutif, Pegawai-pegawai Kanan, Hadirin dan Hadirat Yang Dihormati Sekalian,
1. Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kepada Allah S.W.T kerana dengan limpah rahmat dan kurnia-Nya, kita semua dapat berkumpul di Sesi Perjumpaan Muhibah pada pagi ini.
2. Peramba/Koala/Saya, mewakili seluruh warga Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), amat berbesar hati untuk mengalu-alukan keberangkatan dan kehadiran Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara ke Kementerian ini.
3. Sebelum memulakan sesi perbincangan, izinkan peramba/kaola/saya merujuk kepada Sesi Dialog yang telah diungkayahkan pada 4 September 2024 dan juga isu-isu yang telah berbangkit semasa Sesi Perjumpaan Muhibah dan Majlis Mesyuarat Negara pada tahun lepas yang mana jawapan-jawapan balas telah dikemasinikan dan seterusnya dikongsikan kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat pada 2 Oktober 2024. Dalam perkara ini, peramba/kaola/saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih di atas cadangan-cadangan serta pandangan-pandangan Ahli-Ahli Yang Berhormat untuk terus menyokong visi Kementerian ini dan juga membantu dalam merancang hala tuju kehadapan yang lebih jelas khususnya Pelan Strategik Kementerian yang baharu bagi tahun 2026 hingga 2030.
4. Sebagai panduan dan rujukan, pihak Kementerian juga menyediakan bahan-bahan maklumat iaitu ‘Information Pack’ bagi mengongsikan status perkembangan mengenai isu-isu utama Jabatan dan Pihak Berkuasa di bawah MTIC termasuk status perlaksanaan projek-projek Rancangan Kemajuan Negara serta Petunjuk-petunjuk Prestasi Utama (KPI) di bawah Pelan Strategik MTIC 2025 Refresh.
Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara dan para hadiran sekalian,
5. Sesi Perjumpaan Muhibah pada kali ini akan memberikan tumpuan dan memberikan lebih masa kepada peluang untuk mencambahkan lagi idea-idea bernas, bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu semasa berkaitan sektor pengangkutan dan infokomunikasi. Dengan itu, izinkan peramba/kaola/saya terlebih dahulu juga mengongsikan status dan kemajuan di dalam perlaksanaan strategi serta perancangan Kementerian ini yang berlandaskan kepada tiga (3) aspek utama iaitu:
(i) Keselamatan dan Sekuriti (‘Safety & Security’)
(ii) Kecemerlangan Perkhidmatan (‘Service Excellence’)
(iii) Pertumbuhan dan Perkembangan (‘Growth & Development’)
KESELAMATAN DAN SEKURITI
6. Bermula dengan keselamatan dan sekuriti, sepertimana yang Ahli-Ahli Yang Berhormat sedia maklum, antara peranan utama dan menjadi tanggungjawab Kementerian ini adalah untuk memastikan tahap keselamatan sektor pengangkutan dan juga alam siber di negara ini adalah terjamin dan selamat. Ini sememangnya adalah selaras dengan Strategik Objektif 3 di bawah Pelan Strategik 2025 Kementerian iaitu ‘Piawaian Keselamatan dan Sekuriti dalam Sektor-Sektor Pengangkutan dan Infokomunikasi’ bagi meningkatkan kesejahteraan orang ramai melalui penyediaan perkhidmatan yang cekap, teratur dan selamat serta memanfaatkan penggunaan teknologi dengan sebaiknya.
7. Dari sektor pengangkutan, usaha-usaha dan juga inisiatif-inisiatif telah dilaksanakan oleh Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) bagi terus memastikan keselamatan di jalan raya adalah terjamin. Salah satu usaha utama adalah perlaksanaan ‘Brunei International Road Audit Assessment’ (BruRAP2).
8. Projek BruRAP2 ini merupakan inisiatif di bawah Pelan Strategik Keselamatan Jalan Raya Brunei Darussalam 2025 yang dilaksanakan melalui Kumpulan Tindakan Teknikal dan Infrastruktur (KTTI) atas pembiayaan di bawah peruntukan Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR). Projek tersebut dijalankan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) di bawah Kementerian Pembangunan dengan kerjasama pakar perunding yang telah bermula pada 26 Oktober 2023 dan selesai dilaksanakan pada 27 Jun 2024. Ianya telah membuat penilai infrastruktur jalan, penilaian keselamatan, serta membuat cadangan mengenai langkah-langkah untuk mengurangkan kecederaan dan kematian akibat kemalangan jalan raya.
9. Secara ringkas, hasil laporan daripada BruRAP2 tahun 2024 berkenaan telah mendapati banyak peningkatan dalam tahap keselamatan jalan raya di negara ini berbanding dengan BruRAP yang telah di jalankan pada tahun 2015 iaitu:
• Peningkatan dari aspek rangkaian jalan raya (‘road network’) yang mana sebanyak 76% mendapat taraf tiga bintang atau lebih berbanding daripada 46% pada tahun 2015;
• Jalan-jalan raya di negara ini juga tidak lagi ada yang mempunyai taraf 1 bintang, untuk makluman taraf tertinggi adalah 5 bintang;
10. Sebagai langkah kehadapan (‘way forward’), Kumpulan Tindakan Teknikal dan Infrastruktur (KTTI) akan meneliti laporan BruRAP2 berkenaan dan seterusnya mengenal pasti tindakan-tindakan yang bersesuaian untuk dilaksanakan di samping memanfaatkan cadangan-cadangan yang berkaitan dengan program kesedaran, pengurusan kelajuan atau speed management, tingkah laku pemandu dan lain-lainnya.
11. Di bawah sektor pengangkutan laut, Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Negara Brunei Darussalam (MPABD) selaku Pihak Berkuasa yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal keselamatan navigasi maritim, telah menubuhkan ‘Maritime Emergency Response Centre’ (MERC) dengan mewujudkan talian kecemasan (‘Hotline’) 16661 yang telah dilancarkan semasa Minggu Maritim Brunei Darussalam pada 19 November 2024. Talian kecemasan ini adalah merupakan inisiatif bagi memudahkan laporan kecemasan melibatkan sebarang kejadian di perairan Negara Brunei Darussalam yang direka secara ‘centralized’, berfungsi menangani keperluan kritikal dan sebagai mekanisma penyelarasan bagi tindak balas kecemasan maritim.
12. Dengan adanya inisiatif ini, akan dapat lagi meningkatkan tahap keselamatan dan masa tindak balas (‘response time’), penyelarasan dan kecekapan dalam menguruskan kecemasan secara keseluruhannya. Seterusnya juga akan mengurangkan risiko, melindungi persekitaran maritim dan memastikan kerjasama dengan pihak berkepentingan adalah berkesan selaras dengan pematuhan piawaian keselamatan maritim antarabangsa.
13. Dalam sektor pengangkutan udara, beberapa projek di bawah Rancangan Kemajuan Negara (RKN) telah giat dilaksanakan bagi mempertingkatkan lagi keselamatan operasi lapangan terbang dan memastikan operasi penerbangan tidak terjejas:
(i) Projek bertajuk ‘Single Lamp Outdoor System (SLOS) for Airfield Ground Lightings at Brunei International Airport’ telahpun siap dilaksanakan pada 02 April 2024.
(ii) Bagi projek ‘Advanced Lightning Protection System’ (ALPS) di mana pemasangan sistem tersebut merupakan salah satu inisiatif pihak DCA dalam mengambil langkah berkesan bagi meningkatkan keberkesanan dalam menghalang pancaran kilat berlaku di sekitar bangunan Terminal di LTAB. Projek dijangka akan siap pada suku kedua tahun ini dan berupaya meningkatkan kebolehpercayaan operasi, keberkesanan peningkatan keselamatan pesawat, kakitangan dan peralatan serta mengurangkan risiko kerosakan disebabkan oleh sambaran kilat pada sistem lapangan terbang.
(iii) Sejajar juga dengan Strategik Objektif 3 (SO3) iaitu ‘Piawaian Keselamatan dan Sektor-Sektor Pengangkutan dan Infokomunikasi’ di bawah Pelan Strategik MTIC 2025, projek bertajuk ‘Primary Surveillance Radar (PSR) co-mounted with Mode-S Monopulse Secondary Surveillance Radar’ (MSSR) sedang dalam perlaksanaan dan insyaAllah dijangka akan siap pada Oktober 2025. Dengan adanya sistem radar ini akan dapat meningkatkan lagi keupayaan pengawalan trafik udara Negara Brunei Darussalam.
14. Beralih kepada sektor berkaitan Infokomukasi, Negara Brunei Darussalam tidak terkecuali memberikan tumpuan penuh kepada pembangunan teknologi kecerdasan buatan (‘Artificial Intelligence, AI’). Tidak dapat dinafikan bahawa penggunaan AI adalah pemangkin utama kepada transformasi digital dan telah menarik perhatian orang ramai. Seiring dengan manfaat yang boleh diperolehi dari kemajuan AI, cabaran-cabaran yang muncul dari segi mengadapatasi teknologi ini dan juga penggunaannya perlu ditangani dengan sewajarnya seperti jenayah ‘scammer’, ‘deepfake’ dan sebagainya.
15. Selain itu, pertumbuhan pesat teknologi AI memerlukan penyediaan rangka kerja kawal selia yang teratur bagi memastikan isu-isu etika penggunaannya. Kearah itu, Kementerian ini melalui Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-komunikasi (AITI) telahpun menubuhkan Kumpulan Kerja Urustadbir dan Etika Kecerdasan Buatan (‘Working Group on AI Governance and Ethics’) pada bulan Mei 2024. Kumpulan Kerja ini diketuai oleh pihak AITI dengan keahlian yang terdiri wakil-wakil daripada 24 buah pelbagai agensi Kerajaan dan bukan Kerajaan, sektor swasta dan institut-institut pengajian tinggi. Melalui Kumpulan Kerja ini untuk menghasilkan satu dokumen Garispanduan Urustadbir dan Etika Kecerdasan Buatan bagi Negara Brunei Darussalam atau ‘Guide on Artificial Intelligence Governance and Ethics for Brunei Darussalam’.
16. Garispanduan tersebut akan membantu dalam mengawal selia dan menangani isu etika penggunaan AI, berikutan penggunaan alat AI generatif yang semakin meningkat. Garisanduan ini juga berperanan sebagai bahan rujukan asas bagi organisasi mahupun individu dalam membentuk, membangun dan menggunakan AI, dengan mengambil kira kerumitan (‘complexity’) teknologi dan risiko berkaitan sistem AI. Dengan adanya Garispanduan ini, diharap ianya akan menyokong perlaksanaan dan penggunaan sistem AI yang bertanggungjawab dan beretika, serta membina kepercayaan dalam AI.
17. Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, menyentuh mengenai isu-isu keselamatan, kepentingan Keselamatan Siber terhadap setiap individu juga turut diberikan keutamaan Kementerian ini. Kemajuan pesat teknologi serta penggunaannya bukan hanya banyak memberikan manfaat tetapi juga membuka ruang baharu untuk ancaman dan serangan siber terhadap perlindungan data, privasi dan keperluan keselamatan setiap orang khususnya di Negara Brunei Darussalam. Selaras dengan Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam kali ke-35 tahun 2019, iaitu:
“…keselamatan siber mesti diberikan perhatian khusus. Negara perlu menangani isu keselamatan siber, kerana kesan negatif siber boleh menyerap ke dalam negara, masyarakat dan keluarga...”
18. Berhubung dengan ini, pihak ‘Cyber Security Brunei’ (CSB) selaku agensi yang bertanggungjawab terus giat melaksanakan keperluan-keperluan yang termaktub di dalam Akta Keselamatan Siber 2023 (Cyber Security Act – CSA 2023) Darussalam bagi memastikan perlaksanaan dan penyelarasan yang lebih menyeluruh dan bersepadu.
19. Dalam pada itu jua, sebagai inisiatif berterusan yang akan melengkapkan Akta Keselamatan Siber 2023, dengan adanya Perintah Perlindungan Data Peribadi (‘Personal Data Protection Order’, PDPO) Negara Brunei Darussalam nanti akan dapat menyumbang kearah ekosistem digital yang lebih selamat dan berdaya tahan di Negara Brunei Darussalam.
20. Berdasarkan kepada perangkaan yang sedia ada, kes berkaitan siber di sepanjang tahun 2024 telah mencatatkan sejumlah 1,364. Dalam hal ini, sebagai usaha berterusan bagi mempertingkatkan kesedaran orang ramai akan kepentingan keselamatan siber serta memahami akan risiko keselamatan penggunaan berbagai-bagai platform siber yang tersedia ada dalam talian, pihak CSB telah secara proaktifnya telah mengendalikan pelbagai inisiatif-inisiatif dan kempen-kempen kesedaran awam.
21. Di sepanjang tahun 2024, sejumlah 112 taklimat dan program kesedaran melalui agensi-agensi kerajaan, sektor swasta, sekolah-sekolah, komuniti-komuniti, rampai pagi dan setiap individu telah dilaksanakan dengan mencatatkan kehadiran kira-kira 9,513 orang. Selain dari itu, program-program kesedaran dan pemberigaan juga secara aktifnya disalurkan melalui media-media sosial CSB seperti Instagram, Facebook dan Twitter.
22. Dalam usaha memberikan tumpuan yang menyeluruh akan kepentingan keselamatan siber pihak CSB juga amat memberikan perhatian akan tenaga-tenaga pakar yang berkemahiran dalam menangani isu-isu keselamatan siber berkenaan. Pada masa ini, pihak CSB mempunyai seramai 83 orang pakar yang bertanggungjawab dalam ‘Incident Response and Managed Security Services’, ‘Digital Forensics’, ‘Security Research’, ‘Cyber Operations and Intelligence’ dan juga dalam bidang teknikal lainnya.
23. Di samping dalam usaha mengukuhkan dan membuka peluang kerjasama dengan agensi berkepentingan di peringkat nasional, pihak CSB juga telah menganjurkan beberapa program dan persidangan di peringkat serantau dan antarabangsa, seperti:
(i) 2024 International Telecommunication Union (ITU) Regional Asia-Pacific CyberDrill yang telah diadakan pada 19 hingga 21 November 2024;
(ii) 2nd Brunei Cybersecurity Conference (CySec 2024) yang diadakan pada 18 September 2024
KECEMERLANGAN PERKHIDMATAN
24. Ahli-Ahli Yang Berhormat, aspek utama kedua ialah Kecemerlangan Perkhidmatan (‘Service Excellence’) dan peramba/kaola/saya ingin memulakan fokus kepada Program Penggredan Prestasi Sektor Awam (3PSA) yang berpandukan kepada program di bawah Jabatan Perkhidmatan Pengurusan (MSD). Program berkenaan telahpun dijalankan dengan tujuan untuk mengukur tahap prestasi Jabatan-jabatan di bawah Kementerian ini yang mana membolehkan pengiktirafan atau penghargaan (melalui penarafan bintang) kepada jabatan-jabatan yang jelas telah berusaha dan berjaya melaksanakan urus tadbir yang terbaik.
25. Sejak tahun 2022, Program 3PSA telahpun dijadikan sebagai salah satu Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Teratas (‘Top 10 KPI’) di bawah Pelan Strategik MTIC 2025 Refresh iaitu ‘3 stars rating in Public Service Performance Grading Programme (3PSA) by 2025’. Setiap Jabatan adalah diperlukan untuk menyediakan perancangan strategik dan pelan tindakan dengan jelas dan komprehensif termasuk mengemaskinikan dokumen-dokumen, data-data dan proses-proses kerja memandangkan bukti-bukti yang dinilai oleh pihak MSD adalah tiga (3) tahun kebelakangan bagi tujuan untuk memenuhi empat (4) skop penilaian dari segi Strategi dan Perlaksanaan, Dasar dan Perlaksanaan, Sumber Manusia dan Pemedulian Pelanggan.
26. Melalui program ini, insya Allah, akan menjana impak yang positif ke atas Jabatan-jabatan di bawah MTIC terhadap prestasi, produktiviti dan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada orang ramai. Seperti yang dikongsikan awal, skop pengauditan bukan sahaja memfokuskan kepada hal berkaitan pemedulian pelanggan, akan tetapi juga menilai perancangan strategik, dasar dan pelaksanaan serta sumber manusia. Dengan itu, KPI bagi Program 3PSA akan terus dikekalkan dalam Pelan Strategik MTIC yang akan datang dengan tujuan bagi setiap Jabatan di bawah MTIC untuk mencapai sekurang-kurangnya tiga (3) bintang dan seterusnya untuk meningkatkan lagi prestasi tahun-tahun selanjutnya.
27. Seterusnya, beralih kepada Sistem Pengangkutan Awam di negara ini yang sememangnya memerlukan perhatian dan tindakan segera. Pihak MTIC dan Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) telah mempergiatkan usaha untuk melaksanakan projek berkenaan dan kini dalam status ‘Request for Proposal’ (RFP) untuk menyediakan, mengendali, mengurus dan menyelenggara perkhidmatan pengangkutan awam di Negara Brunei Darussalam. Pengiklanan bagi RFP telahpun dikeluarkan pada 28 September 2024 dan akan tutup pada 11 Mac 2025.
28. Sebelum itu, satu sesi ‘Information Day’ telah diadakan pada 5 November 2024 bertujuan untuk menggalakkan penyertaan daripada syarikat yang berkelayakan dengan menyediakan panduan penting untuk membangunkan cadangan komprehensif bagi sistem pengangkutan awam di negara ini. Pada masa yang sama, bagi memastikan syarikat-syarikat yang menunjukkan minat untuk mengambil bahagian dalam RFP berkenaan mendapatkan pemahaman yang jelas bagi mewujudkan rangkaian pengangkutan awam yang selamat, boleh dipercayai dan mampan.
29. Dengan tumpuan yang diperbaharui pada perlaksanaan, MTIC telah mengenal pasti tiga (3) bidang keutamaan:
(i) Meningkatkan ketersambungan dan kebolehpercayaan laluan bas utama
(ii) Memperluaskan dan menambahbaikkan liputan teksi atas permintaan (‘e-hailing’)
(iii) Memanfaatkan teknologi melalui Sistem Pengurusan Pengangkutan Pintar
30. Inisiatif ini menyokong visi MTIC tentang sistem mobiliti awam tiga peringkat (‘three-tier public mobility system’), yang terdiri daripada rangkaian bas utama teras, perkhidmatan pengangkutan bersama dalam lingkungan yang ditetapkan kawasan, dan pilihan teksi e-hailing yang fleksibel.
31. Pada masa yang sama, bagi memastikan usaha-usaha mempertingkatkan dan memperbaiki sistem pengangkutan awam di Negara Brunei Darussalam ada dilaksanakan secara menyeluruh termasuk operasi semasa, keselamatan dan keselesaan orang ramai. Kementerian ini bersama Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) telah melaksanakan pemeriksaan ke atas kenderaan bas-bas awam diikuti dengan perjumpaan bersama semua pemandu. Perjumpaan bersama pengusaha-pengusaha bas awam telah diadakan pada 8 Ogos 2024 yang mana telah membincangkan mengenai keadaan bas awam yang kurang memuaskan. Semasa perjumpaan yang dimaksudkan, kesemua pengusaha-pengusaha bas awam telah diberikan tempoh selama enam (6) bulan untuk melaksanakan pembaikan dan peningkatan terhadap operasi dan keadaan kenderaan bas-bas awam yang digunakan.
32. Seterusnya, pemeriksaan bas-bas awam juga telah dijalankan pada 6 hingga 9 Januari 2025 di Jabatan Pengangkutan Darat. Hasil dari perjumpaan dan pemeriksaan tersebut telah dibincangkan bersama dengan pihak pengusaha bas awam. Ini adalah bagi langkah lanjut dalam pembaikan keadaan bas awam dan, jika gagal, tindakan akan diambil ke atas lesen dan permit bas awam tersebut.
33. Dalam sektor pengangkutan laut, Negara Brunei Darussalam selaku negara ahli kepada Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) tidak terkecuali untuk melaksanakan penggunaan satu platform digital berpusat atau ‘Maritime Single Window’ (MSW) selaras dengan kehendak IMO secara mendatori sejak 1 Januari 2024. Kearah pendigitalan tersebut, pihak MPABD telah merangka usaha-usaha pendigitalan perkhidmatan-perkhidmatan berkaitan melalui MSW yang disasarkan untuk dilaksanakan (‘go-live’) pada bulan Mac 2025. Ini merupakan langkah kearah mengintegrasikan semua urusan aktiviti perkapalan dan pelabuhan di Negara Brunei Darussalam melalui sistem digital dengan menggunakan platform berkenaan.
34. Dengan adanya MSW, kita akan dapat mempercepatkan proses kemasukan dan pelepasan kapal, mempermudahkan permohonan lesen serta pendaftaran kapal dan perahu, sekaligus mengurangkan beban pentadbiran bagi pihak berkepentingan dalam sektor ini. Langkah ini memudahkan perniagaan dan meningkatkan kebolehcapaian perkhidmatan, yang akan membuka ruang kepada lebih banyak kerjasama dan peluang antara pelabuhan-pelabuhan tempatan serta antarabangsa. Selain itu mematuhi piawaian antarabangsa serta menunjukkan kesediaan Negara Brunei Darussalam untuk menyumbang dan bersaing dalam perdagangan global yang semakin mencabar.
35. Seterusnya, melalui kerjasama di antara Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dengan Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI) dan juga Infocom Federation Brunei Darussalam (IFB) telah berjaya menganjurkan Anugerah ‘Asia Pacific ICT Alliance’ Bagi Tahun 2024 (APICTA 2024) pada 4 hingga 7 Disember 2024.
36. Secara keseluruhan, Anugerah APICTA 2024 telah menerima sebanyak 263 penyertaan, iaitu pencapaian tertinggi sejak APICTA dimulakan pada tahun 2002, dengan sebanyak 211 produk dan 173 pasukan mengambil bahagian dalam pertandingan ini. Dari keseluruhan penyertaan ini, jumlah penyertaan tertinggi adalah dalam Anugerah Teknologi di bawah Kategori Kecerdasan Buatan (‘Artificial Intelligence’) dengan 17 penyertaan. Alhamdulillah, Negara Brunei Darussalam telah menyertai sebanyak 35 penyertaan yang merangkumi 29 jenis produk dan melibatkan 25 buah pasukan yang mana negara kita telah memenangi sebanyak 11 anugerah yang terdiri daripada dua (2) Pemenang, satu (1) ‘First Runner-Up’, lima (5) ‘Second Runner-Up’ dan tiga (3) ‘Merit’. Ini adalah pencapaian tertinggi bagi Negara Brunei Darussalam sepanjang penglibatan di dalam Anugerah APICTA sejak tahun 2002.
PERTUMBUHAN DAN PEMBANGUNAN
37. Ahli-Ahli Yang Berhormat dan hadirin sekalian, fokus terakhir adalah berkaitan dengan Pertumbuhan dan Pembangunan (‘Growth and Development’) bagi kedua-dua sektor di mana perlaksanaan terhadap inisiatif-inisiatif yang ada berdasarkan kepada matlamat Wawasan Brunei 2035, Pelan Induk yang sedia ada dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) di bawah Pelan Strategik MTIC 2025 Refresh yang dijadikan sebagai penanda aras kepada pencapaian sektor-sektor tersebut.
38. Bermula dengan status perlaksanaan projek-projek di bawah Rancangan Kemajuan Negara (RKN) 12, secara ringkas, dikongsikan bahawa:
• Enam (6) projek adalah dalam status ‘Rekabentuk’;
• Sepuluh (10) projek berstatus ‘Dalam Tawaran’;
• Enam (6) projek ‘Dalam Pelaksanaan’; dan
• Dua (2) projek telah ‘Siap’ didalam Defect Liability Period.
39. Projek-projek tersebut terditi daripada enam (6) project infrstruktur dan digitalisasi dibawah Jabatan Pengangkutan Darat, Sembilan (9) projek penaiktarafan peralatan dan kemudahan dibawah Jabatan Penerbangan Awam, dua (2) di bawah Jabatan Kajicuaca, lima (5) projek dibawah Pusat E-Kerajaan (EGNC) yang meliputikan penaiktarafan sistem dan memperkenalkan perkhidmatan digital, dan dua (2) perhubung dengan sains dan technologi serta research.
40. Berhubung dengan perkara ini, peramba/kaola/saya sukacita ingin memaklumkan bahawa MTIC bersama Jabatan Pengangkutan Darat juga akan mengusahakan satu lagi projek berkaitan dengan perkhidmatan bas awam iaitu ‘Smart Transportation System’ (STS) dengan berfokuskan kepada tiga (3) objektif utama:
(i) Meningkatkan Pengalaman Penumpang (‘Enhance Passenger Experience’);
(ii) Meningkatkan Kecekapan Operasi (‘Improve Operational Efficiency’);
(iii) Memudahkan Pembayaran Tambang (‘Facilitate Fare Payment Solutions’) .
41. Tawaran bagi projek tersebut insya Allah akan dibukakan pada bulan Mac 2025 dan tutup pada Jun 2025.
42. Selain itu, Jabatan Pengangkutan Darat secara berterusan komited untuk melaksanakan pembaharuan dasar dan amalan kearah memberikan perkhidmatan yang cemerlang kepada orang ramai khususnya dalam menambahbaik dan mengembangkan:
• akses dan pilihan perkhidmatan secara dalam talian (‘online’);
• mengemaskini dan memodenkan peraturan-peraturan yang sedia ada secara berperingkat;
• mempercepat proses penyampaian perkhidmatan; dan
• mempertingkatkan ketelusan dan integriti perkhidmatan.
43. Dengan itu, satu projek bertajuk ‘DriveBN’ yang merupakan pemangkin utama kepada penambahbaikkan penyampaian perkhidmatan-perkhidmatan JPD kepada orang ramai juga turut dilaksanakan. Selain memantapkan lagi sistem pengurusan, pentadbiran dan kecekapan Jabatan berkenaan, perlaksanaan projek ini membolehkan orang awam bertransaksi dengan perkhidmatan-perkhidmatan JPD secara dalam talian (‘online’) dan ‘end-to-end’ dengan mudah dan cepat. Projek DriveBN ini akan dijalankan dalam dua (2) fasa. Fasa pertama melibatkan Sistem Pengangkutan Darat (SPD) yang sedia ada untuk dipindah (‘migrate’) ke ‘One Government Private Cloud’ (OGPC) yang di jangka siap pada bulan Julai 2025. Manakala, fasa kedua yang melibatkan tender dan perlaksanaan dijangka akan siap sepenuhnya pada bulan Julai 2027.
44. Bagi sektor pengangkutan laut, beberapa perkembangan dan kemajuan telah dilaksanakan melalui ‘Service Industry Roadmap’ (SIR), dengan penyelarasan bersama Bahagian Industri dan Ekosistem Perniagaan di bawah Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE). Pelan hala tuju ini menekankan peningkatan perdagangan maritim, logistik dan perkhidmatan sejajar dengan Wawasan Brunei 2035. Tiga (3) strategi utama yang digariskan dalam Roadmap berkenaan adalah berkait rapat dan sejajar dengan inisiatif MPABD iaitu:
(i) Mempromosi aktiviti-aktiviti ‘High Value-Added’ melalui FDI dan GLCs (‘Promote High Value-Aded Activities through FDI and GLCs’);
(ii) Menyediakan prasarana industri yang kondusif (‘Provide Conducive Industrial Infrastructure’); dan
(iii) Mempromosi urustadbir bagi menyokong perniagaan (‘’Promote Business Supportive Governance’).
45. Berhubung dengan itu, pihak MPABD telah melaksanakan beberapa inisiatif-inisiatif antaranya terus mengukuhkan kerjasama bersama negara-negara luar dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) mengenai ‘The Recognition of Ceftificate issued under the Provision of the lnternational Convention on Standards of Training, Ceiification and Watchkeeping’ (STCW) for Seafarers, 1978’’
46. Di bawah sektor pengangkutan udara, dalam mengukuhkan rangkaian penerbangan pengangkutan udara, beberapa perkembangan baru telahpun dilaksanakan yang sejajar dengan matlamat Wawasan Brunei 2035 untuk mewujudkan ekonomi yang dinamik dan mampan. Penandatanganan Perjanjian Perkhidmatan-Perkhidmatan Udara (‘Air Services Agreement’ – ASA) di antara Negara Brunei Darussalam dan Arab Saudi pada 23 Oktober 2024, yang telah dikemaskini (‘updated’) dan dimodenkan (‘modernized’)
47. Selain itu, pihak MTIC juga terus memberikan komitmen memperluaskan lagi jalinan kerjasama dengan pihak-pihak berkepentingan di dalam negeri. Ini termasuk juga penandatanganan Memorandum Persefahaman (MOU) antara Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dengan Universiti Teknologi Brunei (UTB) pada 4 Julai 2024 bagi tujuan mengukuhkan dan menggalakkan lagi kerjasama antara kedua-dua belah pihak dalam bidang-bidang yang mempunyai kepentingan bersama terutama sekali dalam inovasi, penyelidikan dan pembangunan (R&D).
48. Beralih kepada perkembangan Transformasi Digital, Kementerian ini berpandukan Pelan Induk Ekonomi Digital 2025 yang menggariskan empat (4) strategik teras utama iaitu ‘Industry Digitalization’, ‘Thriving Digital Industry’, ‘Manpower and Talent Development’ dan ‘Government Digitalization’ telah merangka dan melaksanakan beberapa inisiatif dan tindakan iaitu:
(i) ‘National Information Hub’ yang ditubuhkan bertujuan untuk menambahbaik dan memudahkan perkongsian data/maklumat di antara agensi-agensi Kerajaan;
(ii) ‘Digital Payment Hub’ yang mana pelaksanaan pilot project telah selesai dijalankan pada suku ke-3 tahun 2024 (Q3 2024). ‘Digital Payment Hub’ ini akan membolehkan pengguna membuat pemindahan wang (‘fund transfers’) dan pembayaran digital dengan lebih mudah dan cepat melalui pelbagai sistem pembayaran sedia ada. Sistem ini antaranya akan merangkumi ciri-ciri seperti:
• Pemindahan Dana Segera (‘Instant Fund Transfer’);
• ‘Interoperability between Participants’;
• ‘Settlement via Central Bank Money using Real-Time Gross Settlement’ (RTGS).
Platform ini juga akan meneroka bagi pelaksanaan pembayaran rentas sempadan (bagi transaksi ‘outbound’ sahaja sebagai permulaan) dengan Bank Negara Malaysia menjelang suku ketiga tahun 2025.
(iii) ‘Digital Identity’ yang berfungsi sebagai sistem log-masuk melalui ‘Single Credential’ yang mempunyai ciri-ciri keselamatan yang disahkan dan dipercayai untuk semua perkhidmatan Kerajaan. Ianya juga dirancang untuk diperluaskan penggunaan Digital ID ini kepada sektor swasta.
49. Mengenai usaha-usaha kearah Pendigitalan Kerajaan atau ‘Government Digitalization’, beberapa perkembangan terkini yang kearah inisiatif berkenaan adalah:
(i) Pekhidmatan dalam talian (‘Online Services’) yang pada masa ini sebanyak 21 Aplikasi Mudah-alih Kerajaan (‘Government Moblie Applications’) yang memberikan pelbagai perkhidmatan-perkhidmatan.
(ii) Perkhidmatan melalui akaun E-Darussalam yang membolehkan orang ramai mengakses maklumat Kerajaan dan perkhidmatan dalam talian pada bila-bila masa yang mana setakat Disember 2024 telah mencatatkan seramai 203,255 pengguna aktif.
50. Akhir sekali, berhubung dengan transformasi Jabatan Perkhidmatan Pos (JPP), pada peringkat ini, peramba/kaola/saya ingin mengongsikan bahawa aktiviti transformasi sedang giat dilaksanakan dengan mengambil kira beberapa faktor seperti ‘Sustainability Model’, Pengurusan Hal Ehwal Sumber Tenaga Manusia dan juga ‘Asset Transfer’. Untuk makluman, Pelan Komunikasi juga telahpun dilaksanakan iaitu sesi pemberigaan bersama semua pegawai dan kakitangan telah selesai dijalankan melalui sesi muzakarah dan juga sesi ‘one-to-one’ bagi mengongsikan kemudahan dan manfaat dari hasil pengkorporatan Jabatan tersebut.
51. Pada masa ini, persediaan sedang dibuat untuk Fasa Ketiga iaitu ‘Townhall’ untuk memaklumkan kepada kesemua pegawai dan kakitangan Jabatan Perkhidmatan Pos mengenai tarikh ‘Go-Live’ iaitu tarikh peralihan operasi dari Jabatan Perkhidmatan Pos kepada PosBru. Selain itu, usaha-usaha lain seperti pengurusan aset-aset, penyediaan perjanjian-perjanjian dan sebagainya juga sedang dijalankan, dengan usahasama dari Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Pejabat Peguam Negara, Darussalam Assets Sdn Bhd dan Syarikat PosBru Sdn Bhd.
52. Pengkorporatan JPP Ini diharapkan akan dapat meningkatkan lagi keupayaan PosBru untuk mengembangmajukan lagi industri pos di negara ini supaya lebih efisien, berdaya saing, responsif kepada kehendak pelanggan dan bertaraf antarabangsa. Pengkorporatan JPP ini juga diharap akan dapat memberi ruang kepada perkhidmatan-perkhidmatan baharu yang lebih dinamik dan fleksibel.
KESIMPULAN
Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara dan para hadiran;
53. Menjelang Wawasan 2035, yang mana hanya tinggal masa sepuluh (10) tahun sahaja lagi, Kementerian ini setentunya menitikberatkan akan usaha-usaha perlaksanaan yang dilakukan adalah sejajar dengan peranan dan bidang tanggungjawab di bawah Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan juga Jabatan-Jabatan serta Pihak-Pihak Berkuasa di bawahnya. Selaras dengan itu juga, Kementerian ini telahpun membuat pengemaskinian terhadap KPI-KPI Kebangsaan melalui beberapa siri perbincangan yang mana akan menjadi panduan dalam merangka Pelan Strategik Kementerian yang baharu bagi tempoh lima (5) tahun akan datang. Pelan Strategik yang baharu ini akan menumpukan kepada beberapa cadangan fokus utama seperti ‘emerging technology’, ‘customer centric’, ‘operational excellence’, menjana peluang pekerjaan dan isu-isu ‘sustainability’ bagi sektor pengangkutan dan infokomunikasi.
54. Berhubung dengan itu, peramba/kaola/saya seterusnya mengalu-alukan sebarang pandangan, cadangan dan apa jua idea baharu daripada Ahli-Ahli Yang Berhormat dalam usaha untuk penambahbaikan dan memantapkan lagi Pelan Strategik tersebut. Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi akan sentiasa memastikan sebarang perancangan, strategi, perkara dasar dan juga inisiatif akan terus diteliti bersama pihak-pihak berkepentingan secara pendekatan ‘Whole of Government’ dan ‘Whole of Nation’ supaya ianya kekal relevan dengan visi MTIC dan seterusnya menyumbang kepada aspirasi-aspirasi serta matlamat-matlamat Wawasan Brunei 2035.
55. Akhir sekali, peramba/kaola/saya sekali lagi ingin menyampaikan junjung kasih dan berbanyak-banyak terima kasih di atas perhatian Ahli-Ahli Yang Berhormat di sepanjang Sesi Perjumpaan. Ini mencerminkan kesungguhan dan keikhlasan Ahli-Ahli Yang Berhormat, lebih-lebih lagi pucuk pimpinan tertinggi dalam memberikan komitmen dan keprihatinan demi manfaat dan kesejahteraan rakyat dalam usaha mempertingkatkan lagi mutu sistem pengurusan dan perkhidmatan kerajaan.
56. Peramba/Kaola/Saya memohon maaf di atas sebarang kekurangan atau sorok langkah di Sesi Perjumpaan Muhibah ini. Insya Allah, pihak MTIC dengan hati terbuka akan menerima apa jua maklumbalas atau sebarang pertanyaan serta cadangan-cadangan baik yang boleh kita sama-sama fikirkan bagi kebaikan rakyat dan negara bersama.
Sekian. Wabillahitaufiq Wal hidayah Wassalamualaikum Warrahmatullahi Wabarakatuh.