Kenyataan Menteri
Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary Bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha
Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi
Di Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ke-21 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) Bagi Tahun 2025
05 Ramadan 1446 bersamaan 06 Mac 2025 (Hari Khamis)
Dewan Persidangan Majlis Mesyuarat Negara
Alhamdulillahi Rabbil 'Alamin, Wassalatu Wassalamu 'Ala-Asyarafil Anbiya'e Wal Mursalin, Saidina Muhammadin Wa'ala Alihi Wasahbihi Ajma'in,
Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Selamat Pagi/Petang,
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat,
1. Terima kasih kepada Yang Di-Pertua kerana memberi ruang bagi kaola mengongsikan Kenyataan kaola di dewan yang mulia ini. Kenyataan kaola ini akan menyentuh dua perkara, iaitu:
(i) Pertama, tentang perkembangan terkini di dalam usaha mewujudkan alam siber atau digital yang lebih selamat dan diyakini, khususnya berhubung dengan perlindungan data peribadi; dan
(ii) Kedua, mengongsikan status penyediaan perkhidmatan pengangkutan awam dan perancangan kehadapan atau 'way forward' mengenainya. Kenyataan ini juga akan menyentuh dan dapat menjawab soalan PL86 Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Awang Suyoi bin Haji Osman, dan soalan PL126 Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin yang berkaitan dengan perkara kedua ini.
Perintah Perlindungan Data Peribadi 2025
2. Mengenai dengan perkara pertama, kaola sukacita mengongsikan kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat di dewan majlis yang mulia ini bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada bulan Januari 2025 telah mengurniakan perkenan Baginda bagi meluluskan Perintah Perlindungan Data Peribadi 2025 atau 'Personal Data Protection Order 2025'.
3. Berikutan dengan pewartaan perundangan ini, perlaksanaanya akan dijalankan secara berperingkat-peringkat, khususnya di dalam memberi tempoh tangguh atau 'grace period' kearah pematuhan atau 'compliance' secara keseluruhan perintah tersebut dalam tempoh masa satu tahun.
4. Ahli-ahli Yang Berhormat, Perintah ini adalah penting kerana aspek 'Digital Data Policy and Governance' adalah di anatara pemboleh strategik atau 'strategic enabler' di dalam perjalanan transformasi digital Negara Brunei Darussalam, sepertimana yang juga dikenalpasti di dalam Pelan Induk Ekonomi Digital 2025.
5. Perintah ini adalah juga merupakan pelengkap kepada Garispandu Perkongsian Data di kalangan jabatan-jabatan dan agensi-agensi kerajaan yang sudah diperkenalkan pada tahun 2023. Pengawalan data dan maklumat bagi jabatan-jabatan dan agensi-agensi kerajaan adalah juga dikawal di bawah Akta Rahsia Rasmi, Penggal 153 dan Manual Keselamatan Perlindungan ('Protective Security Manual').
6. Dalam pada itu, Perintah Perlindungan Data Peribadi 2025 ini adalah bertujuan untuk menangani keperluan dasar, perundangan dan rangkakerja kawalselia bagi perlindungan data peribadi dan urustadbir data, yakni 'data governance', dikalangan organisasi bukan Kerajaan dan sektor swasta. Ini termasuk bagi mereka yang memproses atau mengendali data peribadi untuk sektor awam atau jabatan-jabatan kerajaan.
7. Ini adalah bagi memastikan amalan dan tatacara mengumpul, menyimpan, menggunakan, mendedahkan dan memproses data peribadi oleh mana-mana pihak berkenaan di negara ini adalah selaras dengan amalan-amlan terbaik dan dikawal oleh undang-undang. Diantara 'provisions' atau peruntukan utama perintah ini adalah:
(i) Pertama, menetapkan Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-komunikasi Negara Brunei Darussalam, yakni AITI sebagai 'Authority' atau Pihak Berkuasa bagi hal ehwal berkaitan perlindungan data peribadi;
(ii) Kedua, menetapkan tatacara dan urustadbir dalam mengumpul, menggunakan dan mendedahkan data peribadi;
(iii) Ketiga, menggariskan kewajipan organisasi sektor swasta dan bukan Kerajaan dalam memastikan data yang dikumpul adalah tepat dan dilindungi dengan sewajarnya; dan
(iv) Keempat, menyatakan hak-hak individu ke atas data peribadi masing-masing.
8. Dengan adanya Perintah ini, ianya dipercayai akan memberikan manfaat kepada individu dan organisasi seperti berikut.
(i) Individu mempunyai hak keatas data peribadi mereka yang dikongsikan atau diserahkan kepada sesebuah organisasi itu. Ini termasuk memastikan data peribadi yang dikumpul adalah tepat dan digunakan bagi tujuan yang dikhususkan sahaja. Dari itu, individu turut berhak sama ada mengizinkan atau menarik balik izin keatas penggunaan data peribadi mereka;
(ii) Memberikan perlindungan kepada individu terhadap data peribadi mereka daripada sebarang penyalahgunaan. Ini adalah diterapkan melalui amalan urustadbir dan tatacara mengendali data peribadi yang menjadi kewajipan dibawah undang-undang;
(iii) Ketiga, memupuk kepercayaan dan keyakinan individu terhadap organisasi yang menyimpan dan mengendalikan data peribadi mereka melalui amalan urustadbir dan tatacara yang terbaik;
(iv) Keempat, memastikan akauntabiliti di kalangan organisasi swasta dan bukan Kerajaan dari segi pengendalian data peribadi individu. Ini bertujuan untuk mewujudkan 'culture of accountability' dikalangan individu dan organisasi tersebut.
(v) Bagi sesebuah organisasi pula, Perintah ini akan dapat meningkatkan reputasi dan kredibiliti sesebuah organisasi tersebut, melalui perlaksanakan amalan terbaik yang diwajipkan dibawah Perintah ini, dan
(vi) Dengan menghendaki sesebuah organisiasi menyediakan tatacara perlindungan dan langkah-langkah menangani pencerobohan data, akan boleh memberi keyakinan kepada orang ramai, pelanggan dan rakan kongsi niaga bahawa risiko pencerobohan data, yakni 'data breach' adalah ditangani dan dapat dikurangkan. Jesteru itu, ini boleh mengembangkan pengunaan perkhidmatan atau meningkatkan jumlah pelanggan sesebuah organisasi tersebut.
9. Seterusnya, sebagai langkah awal kearah perlaksanaan perintah ini, inisiatif kearah meningkatkan kesedaran awam mengenai perlindungan data peribadi telah mula dilaksanakan. Pihak AITI telahpun mengadakan beberapa sesi pemberigaan awal yang melibatkan ahli-ahli Dewan Perniagaan dan Perusahaan, syarikatsyarikat Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), syarikat-syarikat kewangan, syarikat-syarikat telekomunikasi, dan lain-lain. Mereka juga aktif memberikan taklimat perlindungan data peribadi di sepanjang tahun 2024.
10. Sebagai langkah kehadapan, pihak AITI akan terus mempergiatkan lagi program-program pemberigaan mengenai perlindungan data peribadi ini disamping mendokong kegiatan membina kemahiran dan kecekapan.
11. Untuk makluman, Perintah ini turut mengandungi kewajipan bagi pihak sektor swasta dan bukan Kerajaan untuk melantik atau 'designate' sekurang-kurangnya seorang pegawai yang bertanggungjawab dalam memastikan pematuhan, yakni 'compliance' kepada Perintah ini, dan akan dikenali sebagai Pegawai Perlindungan Data atau 'Data Protection Officer'.
12. Kearah ini, AITI telah melaksanakan inisiatif pembangunan kapasiti untuk sektor swasta seperti menjalankan Program Kompetensi bagi Pegawai Perlindungan Data. Cohort 1 dan Cohort 2 program tersebut telah diadakan di dalam bulan November, 2024 dan pada bulan Januari, tahun ini. Program tersebut telah disertai oleh perserta-perserta dari pelbagai sektor swasta dan dan akan menjurus kepada mereka memperolehi 'industry certification' iaitu 'Certified Information Privacy Manager' (CIPM).
13. Program Kompetensi ini dirancang untuk dilanjutkan lagi dengan mengadakan Cohort 3 dan 4, pada suku ketiga dan keempat tahun ini. Kursus latihan tambahan, iaitu Personal Data Protection Practitioner Course juga dirancang untuk diperkenalkan pada pertengahan tahun ini.
14. Rangkakerja Kompetensi bagi Pegawai Perlindungan Data juga di dalam penyediaan. Pada masa yang sama, usaha juga sedang dibuat bagi penyediaan Maklumat Rujukan Awam, Garispanduan Nasihat dan Panduan Praktikal tentang perlindungan data peribadi, dan langkah-langkah yang perlu diambil oleh sesebuah organisasi untuk mematuhi perintah ini dan mengenai amalan-amalan terbaik. Ini termasuk menyediakan Maklumat Rujukan Awam dalam bentuk infografik, soalan-soalan lazim (FAQs), klip video, laman web dan lain-lain.
15. Bagi mengakhiri mengenai Perintah Perlindungan Data Peribadi ini, Perintah ini secara amnya, juga meletakkan Negara Brunei Darussalam sebanding sama dengan negara-negara lain dalam mewujudkan persekitaran yang kondusif kearah perlindungan data peribadi dan mempromosi perlaksanaan amalan terbaik melalui undang-undang yang khusus.
16. Oleh itu, Perintah ini juga akan dapat menyumbang kepada penglibatan Negara Brunei Darussalam di arena antarabangsa seperti memenuhi komitmen di peringkat ASEAN berkaitan dengan perlindungan data peribadi selaras dengan inisiatifinisiatif ASEAN seperti:
ASEAN Economic Community Blueprint, Masterplan on ASEAN Connectivity, ASEAN Digital Masterplan, ASEAN Framework on Personal Data Protection dan ASEAN Digital Data Governance Framework.
17. Selain daripada itu, ianya juga mampu menempatkan Negara Brunei Darussalam didalam kedudukan yang lebih baik didalam rundingan mengenai aliran data merentas sempadan atau 'cross-border data flow' bagi tujuan urus niaga dan boleh memudahcara penglibatan organisasi-organisasi tempatan untuk terlibat dalam kegiatan ekonomi digital serantau dan antarabangsa.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat,
Sistem Pengangkutan Awam
18. Berpindah kepada perkara kedua, iaitu mengenai status penyediaan perkhidmatan pengangkutan awam dan perancangan kehadapan atau 'way forward' mengenainya, kaola sukacita mengonsikan bahawa Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi melalui Jabatan Pengangkutan Darat sedang giat mengusahakan penyediakan Sistem Pengangkutan Awam yang dihasratkan selamat, efisien, berjadual dan selesa kepada para pengguna.
19. Perlaksanaanya akan memberi tumpuan kepada tiga perkara, iaitu (1) meningkatkan ketersambungan dan kebolehpercayaan rangkaian laluan bas utama; (2) penambahbaikan dan peningkatan liputan teksi dan perkhidmatan berkongsi tumpangan atas permintaan (e-hailing); dan (3) memanfaatkan pengunaan teknologi untuk memantau pergerakan kenderaan dan kemudahan penumpang melalui pemakaian sistem pengurusan pengangkutan pintar (STS).
20. Dalam hubungan ini, usaha sekarang adalah ditumpukan kepada mengenal pasti penyedia perkhidmatan yang berminat dan berkebolehan untuk menyediakan, mengendali, mengurus dan menyelenggara perkhidmatan pengangkutan awam di Negara Brunei Darussalam yang terdiri daripada Perkhidmatan Rangkaian Bas Teras dan Perkhidmatan Didalam Kawasan Tadahan / Atas Permintaan dengan tujuan untuk:
a. Meningkatkan ketersambungan dan tahap perkhidmatan yang memenuhi keperluan orang ramai dan pada masa yang sama boleh meningkatkan penggunaan dan jumlah penumpang;
b. Mengoptimumkan kecekapan dan keberkesanan rangkaian laluan bas dan perkhidmatan pengangkutan didalam kawasan tadahan yang terdiri daripada kawasan-kawasan sekolah;
c. Menyediakan perkhidmatan yang boleh dipercayai, mengikut jadual dan laluan yang konsisten;
d. Menyediakan perkhidmatan yang selesa dan berkualiti dengan menggunakan armada moden dan mengikut piawaian; dan
e. Memperkenalkan sistem pengangkutan awam yang mampan, cekap dan inovatif untuk mengurangkan jejak karbon dan kos operasi.
21. Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, projek ini kini dalam status Pelawaan Cadangan atau 'Request for Proposal', yakni RFP, yang mana pengiklanan telahpun dibukakan sejak 28hb September 2024 dan akan tutup pada 11hb Mac 2025 akan datang ini, iaitu perubahan daripada Tarikh penutupuan asal pada 28hb Februari berikutan permintaan lanjutan tarikh tutup daripada peserta-peserta RFP tersebut.
22. Dalam tempoh ini, satu sesi taklimat atau 'information day' juga telah diadakan pada 5hb November 2024 yang bertujuan untuk memberikan pemahaman serta panduan lanjut dan jelas mengenai projek ini kepada mana-mana syarikat yang berkelayakan dan menunjukkan minat untuk mengambil bahagian dalam RFP berkenaan.
23. Dua (2) sesi penjelasan tambahan juga telah diadakan dan diberikan jawapan secara bertulis kepada semua peserta pada penghujung bulan November dan di penghujung bulan Disember 2024. Di antara perbincangan dan pertanyaan yang ditimbulkan adalah behubung dengan insentif, galakan dan bantuan daripada Kerajaan bagi projek ini berjaya dengan mengambilkira jumlah penumpang yang maseh terlalu rendah.
24. Dalam hubungan ini, pendekatan yang diambil oleh RFP ini adalah untuk dapat menilai cadangan perbelanjaan dan hasil optimum daripada pencadang. 'Business' dan 'economic model' yang dicadangkan harus merangkumi penilaian kos dan pendapatan yang dapat diperolehi dalam tempoh kontrak, yang juga merupakan tempoh jangka panjang sehingga 10 tahun. Selain daripada unjuran pendapatan daripada tambang penumpang, sumber pendapatan tambahan seperti daripada daripada platform pengiklanan, penyewaan asset yang dipajak dan lain-lain perlu diterokai.
25. Berdasarkan ini, Kerajaan boleh menilai dan memutuskan untuk campur tangan, jika perlu. Buat masa ini, Kerajaan telah pun komited dalam melabur dalam prasarana perhentian bas, terminal pertukaran bas dan sistem pengurusan digital dibawah peruntukan Rancangan Kemajuan Negara ke-12.
26. Kementerian ini juga berpendapat bahawa dengan membangunkan sistem pengangkutan awam yang cekap, boleh dikses, dan diurus dengan bijak, disertai dengan pemasaran strategik dan penglibatan awam, jumlah 'ridership' boleh dipupuk secara beransur-ansur bagi mengubah tingkah laku awam kearah penggunaan yang lebih tinggi terhadap perkhidmatan ini di masa depan. Akan tetapi, pelaburan dan benihnya perlu disemai awal.
27. Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat, memandangkan usaha kearah penyediaan perkhidmatan pengangkutan awam ini di dalam proses perolehan dan akan menjalani proses penilaian teknikal dan komersial mengenainya, setakat ini dulu yang dapat kaola kongsikan dan kaola percaya semua di sini berharap kita akan mendapat jalan kehadapan mengenainya daripada Pelawaan Cadangan dan 'Request for Proposal' ini.
Sekian. Wabillahitaufiq Wal hidayah Wassalamualaikum Warrahmatullahi Wabarakatuh.