Sign In
Ucapan Alu-ALuan Yang Mulia Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi selaku Pengerusi Bersama I Jawatankuasa Pandu BICTA sempena Majlis Anugerah ICT Brunei (BICTA) 2025


Ucapan Alu-Aluan
 
Yang Mulia
Ir. Awang Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof Setiausaha Tetap
Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi Selaku 
Pengerusi Bersama I
Jawatankuasa Pandu BICTA
 


Sempena
Majlis Anugerah ICT Brunei (BICTA) 2025
 
Pada Hari Khamis
18 Rabiulawal 1447 bersamaan 11 September 2025
09.00 pagi
 
Bertempat
Jerudong International School (JIS) Arts Centre



​Bismillah Hirrahman Nirrahim

Alhamdullilahi Rabbil `Alameen Wasaalatu Wassalaamu `Ala Asyrafil Ambiae Walmursaleen, Saidina Muhammadin Wa'alaa Aalihiee Wasahbihee Ajama'een.

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

​1. Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi selaku Tetamu Kehormat;

2. Yang Mulia Pengiran Sarimah bte Pengiran Haji Abdul Latif, Pengerusi Infocom Federation of Brunei selaku Pengerusi Bersama II Jawatankuasa Pandu BICTA 2025;

3. Yang Berhormat Dayang Chong Chin Yee, Ahli Majlis Mesyuarat Negara;

4. Yang Mulia Dayang Dr Sophiana Chua Abdullah selaku Ketua Hakim BICTA 2025;

5. Yang Mulia Setiausaha-Setiausaha Tetap, Naib-Naib Canselor, Raes, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap, Ahli-ahli Jawatankuasa Pandu BICTA, Pegawai-pegawai Kanan, Ketua- ketua Eksekutif, Hakim-hakim BICTA, rakan-rakan industri, rakan- rakan media, para peserta BICTA serta hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian.

6. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan limpah kurnia serta izin-Nya jua, Majlis Anugerah ICT Brunei (BICTA 2025) dapat dilangsungkan pada pagi ini.

7. Terlebih dahulu, Peramba/saya bagi mewakili Jawatankuasa Pandu dan Jawatankuasa Kerja BICTA 2025, ingin menjunjung kasih kepada Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi di atas kesudian untuk hadir sebagai Tetamu Kehormat dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang Anugerah BICTA 2025.

8. Syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala, sebagaimana tahun-tahun sebelumnya, penganjuran BICTA pada tahun ini sekali lagi berjaya direalisasikan hasil kerjasama erat antara Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Pihak Berkuasa Industri Teknologi Infokomunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI) serta Infocom Federation of Brunei (IFB), dengan sokongan padu daripada Kementerian Hal Ehwal Ugama, Kementerian Pendidikan dan Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB).

9. Sejak diperkenalkan pada tahun 2004, Anugerah BICTA telah menjadi wadah penting dalam menggalakkan persaingan sihat serta inovasi ICT dalam kalangan individu, pelajar, dan juga organisasi sama ada daripada sektor awam mahupun swasta. Kejayaan Brunei Darussalam menganjurkan acara Asia Pacific ICT Alliance (APICTA) Awards 2024 pada tahun lalu turut menjadi satu pencapaian yang amat bermakna, kerana bukan sahaja berjaya memperkukuhkan kedudukan negara di peringkat serantau, bahkan turut memberikan inspirasi untuk terus meningkatkan mutu penganjuran BICTA pada masa-masa mendatang.

10. Pada tahun ini, BICTA sekali lagi mempertandingkan sepuluh (10) kategori, iaitu tujuh (7) kategori utama main categories dan tiga (3) kategori silang cross categories.

11. BICTA 2025 juga mengekalkan tema “Negara Pintar melalui Transformasi Digital", yang bukan sahaja menekankan kepentingan inovasi dan penerokaan teknologi baharu, malah sejajar dengan usaha negara dalam membina ekosistem digital yang mampu memacu pembangunan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat. Sayugia itu, BICTA 2025 turut mengekalkan lima (5) Anugerah Smart Nation, khusus bagi mengiktiraf penyertaan yang menyokong aspirasi negara pintar dalam sektor-sektor tertentu iaitu Pendidikan, Pelancongan, Pertanian, Pembinaan, Logistik dan Pengangkutan.

12. Alhamdulillah, BICTA pada tahun ini sekali lagi mencatatkan peningkatan yang memberangsangkan. Sebanyak 180 penyertaan telah diterima, iaitu peningkatan sebanyak 13% berbanding 159 penyertaan pada tahun lalu. Sambutan yang menggalakkan ini jelas mencerminkan semangat untuk terus berinovasi, memperkukuh kemahiran digital, serta menyesuaikan diri dengan cabaran era digital yang serba dinamik dan kompetitif. Justeru, BICTA bukanlah hanya sekadar sebuah pertandingan tahunan, tetapi adalah merupakan platform strategik untuk memupuk bakat tempatan, memperluas jaringan kolaborasi, dan merangsang pertumbuhan inovasi digital yang berimpak tinggi bagi kemajuan negara.

13. Daripada jumlah 180 penyertaan tersebut, sebanyak 128 penyertaan telah disenarai pendek sebagai memenuhi kelayakan serta kriteria pertandingan BICTA, dan seterusnya dipilih untuk menjalani proses penghakiman. Pencapaian ini mencerminkan peningkatan tahap kualiti penyertaan dari tahun ke tahun, sekaligus menandakan kematangan serta perkembangan positif dalam landskap inovasi ICT di negara ini.

14. Sesi penghakiman telah diadakan pada penghujung bulan Ogos dan awal September yang lalu, di mana penilaian ke atas penyertaan dijalankan berdasarkan piawaian serta garis panduan APICTA Awards. Panel hakim terdiri daripada wakil- wakil kerajaan, pihak swasta, pakar-pakar industri, serta akademia, memastikan proses penilaian berjalan secara profesional, telus, dan objektif.

15. Seperti lazimnya, pemenang BICTA berpeluang mewakili Negara Brunei Darussalam ke pertandingan peringkat antarabangsa, bersaing dengan peserta daripada 16 ekonomi ahli APICTA. Peluang ini bukan sahaja menjadi pengiktirafan terhadap kreativiti dan inovasi tempatan, malah turut memberi pengalaman berharga dalam memperluas jaringan profesional, memupuk kemahiran global, serta menimba pengetahuan dan inspirasi daripada inovasi terbaik di peringkat serantau.

16. Pada tahun 2024 yang lalu, Brunei Darussalam selaku hos APICTA telah berjaya meraih pencapaian membanggakan di pentas APICTA dengan meraih sebelas (11) anugerah iaitu, dua (2) kemenangan, satu (1) 1st Runner-Up, lima (5) 2nd Runner Up dan tiga (3) Merit, sekali gus membuktikan keupayaan dan potensi produk tempatan untuk bersaing di peringkat antarabangsa. Insya Allah, APICTA 2025 dijadualkan berlangsung dari 4 hingga 8 Disember tahun ini bertempat di Chinese Taipei, dan adalah diharapkan para peserta BICTA tahun ini akan meneruskan kejayaan tersebut dengan pencapaian yang lebih gemilang.

17. Dalam pada itu, para pemenang BICTA pada tahun ini juga turut berpeluang untuk menyertai BICTA 2026, iaitu Anugerah Penaung Diraja yang diadakan setiap dua (2) tahun sekali. Penyertaan ini memberi ruang untuk produk-produk yang telah memenangi anugerah, untuk diperkemas, ditambahbaik, dan diperkayakan dengan ciri-ciri baharu agar lebih berdaya saing, dan seterusnya merebut          peluang           untuk            meraih Trofi    Penaung Diraja yang berprestij.

18. Pada kesempatan ini, peramba/saya ingin merakamkan setinggi- tinggi tahniah dan syabas kepada para pemenang anugerah BICTA 2025. Semoga kejayaan ini menjadi sumber inspirasi dan dorongan untuk terus aktif berkarya, sekaligus merancakkan perkembangan industri ICT dengan produk-produk yang lebih inovatif, kreatif, dan berteknologi tinggi.

19. Bagi mengakhiri ucapan alu-aluan ini, sekali lagi peramba/saya menjunjung kasih atas kehadiran Yang Berhormat Pengiran Dato ke majlis ini. Peramba/saya juga ingin merakamkan setinggi- tinggi penghargaan atas sokongan dan penglibatan pihak Kementerian Hal Ehwal Ugama, Kementerian Pendidikan, BEDB, institusi-institusi pengajian tinggi, serta ahli-ahli Jawatankuasa Pandu yang lain.

20. Setinggi-tinggi penghargaan juga ditujukan kepada para hakim serta seluruh ahli Jawatankuasa Kerja BICTA atas komitmen dan usaha gigih mereka dalam memastikan kelancaran penganjuran BICTA 2025. Sumbangan serta dedikasi semua pihak ini amat penting dalam memantapkan mutu penilaian, mendorong kreativiti, dan memperkasa inovasi dalam kalangan peserta. Mudah-mudahan kerjasama, sokongan, dan komitmen berterusan ini akan memastikan BICTA kekal relevant sebagai platform persaingan yang sihat dan berinovasi, seterusnya menghasilkan produk-produk ICT berpotensi tinggi yang bukan sahaja membanggakan peserta, tetapi juga mengangkat nama Negara Brunei Darussalam di peringkat serantau dan antarabangsa.

 

Sekian Wabillahi        Taufik Wal     Hidayah          Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.




 


Attachments
Speeches