Sign In
Sembah alu-aluan Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya sempena Hari Memperingati Mangsa-Mangsa Lalu Lintas jalan Raya Sedunia bagi tahun 2025

Sembah Alu-Aluan

Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary Bin 
P​engiran Dato Paduka Mustapha

Menteri Pengangkutan Dan Infokommunikasi Selaku 
Pengerusi Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya

Hari Memperingati Mangsa-Mangsa Lalu Lintas Jalan Raya Sedunia Bagi Tahun 2025 



Pada: Hari Khamis, 22 Jamadilawal 1447/13 November 2025 
Bertempat: Royal Berkshire Hall, Royal Brunei Polo and Riding Club, Jerudong



Bismillahir Rahmanir Rahim Alhamdulillahi Rabbil’Alamin Wassalatu Wassalamu ‘Ala Asyarafil Anbiya’e Wal Mursalin Sayidina Muhammadin Wa’ala Alihi Wasahbihi Ajma’in.
 
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. 

1. Mengadap Kehadapan Majlis Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna binti Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Ambassador-at-Large, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, selaku Penaung Diraja Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR). 

2. Alhamdulillah, segala puji-pujian kepada Allah Subhanahu Wata'ala jua kerana dengan izin dan rahmatNya, sambutan sempena Hari Memperingati Mangsa-Mangsa Lalu Lintas Sedunia bagi tahun 2025 dapat dilangsungkan pada hari ini. 

3. Hamba Tuanku mewakili MKKJR, serta keseluruhan Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja, dengan penuh hormat dan takzim menyembahkan setinggi-tinggi menjunjung kasih di atas keberangkatan Tuanku sebagai Tetamu Kehormat bagi majlis ini. 

4. Sesungguhnya, keberangkatan Tuanku pada majlis pagi ini, menggambarkan keprihatinan dan sokongan padu Tuanku dalam usaha mempertingkatkan keselamatan jalan raya di Negara ini. 

5. Hamba Tuanku dengan penuh hormat dan takzim juga ingin menyembahkan setinggi-tinggi menjunjung kasih atas perkenan Tuanku untuk nanti melancarkan “Tindakan Keselamatan Jalan Raya 2030” Negara Brunei Darussalam atau “Road Safety Action 2030” yang membentangkan tindakan-tindakan yang perlu dibuat untuk menggerakkan penglibatan setiap lapisan masyarakat, termasuk pihak kerajaan, dalam menjadikan jalan raya kita lebih selamat kepada setiap pengguna. 

6. Bagi mengganti Pelan Strategik Keselamatan Jalan Raya 2025, “Tindakan Keselamatan Jalan Raya 2030” ini mentakrifkan matlamat dan hasil yang diingini, dengan disokong oleh tindakan-tindakan khusus untuk dilaksanakan dalam tempoh lima tahun, iaitu dari tahun 2026 hingga 2030. Ia adalah juga merupakan tindak balas kita kepada tren kemalangan dan korban nyawa akibat kemalangan jalan raya yang diperhatikan didalam beberapa tahun kebelakangan ini. 

7. Tindakan-tindakan yang dimasukkan juga telah diperolehi daripada dapatan-dapatan Program Penilaian Jalan Raya Brunei kali ke-dua (BruRAP2) yang kendalikan pada penghujung tahun 2024 dan diterajui oleh pihak Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pembangunan. 

8. Penilaian tersebut merupakan kaedah penarafan tahap keselamatan jalan raya yang dikendalikan dibawah Program Penilaian Jalan Raya Antarabangsa, iRAP. Penarafan keselamatan jalan raya iRAP adalah tatacara ukuran secara objektif mengenai tahap keselamatan yang sedia ada terbina dalam infrastruktur jalan raya. Ia menggunakan skala 1 hingga 5 bintang, di mana jalan raya 1 bintang mempunyai risiko tertinggi, dan jalan raya 5 bintang mempunyai risiko terendah atau yang terbaik. 

9. Daripada Program Penilaian Jalan Raya Brunei tersebut, beberapa keperluan untuk penambahbaikan infrastruktur jalan raya dan keperluan untuk melaksanakan langkah-langkah pengurusan kelajuan telah dicadangkan. Sehubungan dengan ini, dalam memastikan jalan-jalan raya utama dinegara ini akan lebih selamat, maka Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya juga telah mensasarkan agar setiap jalan raya utama di negara ini mencapai tahap 3-bintang minima atau lebih menjelang tahun 2030. 

Beribu Ampun, 

10. Secara keseluruhanya, butiran tindakan-tindakan yang dikenal pasti didalam “Tindakan Keselamatan Jalan Raya 2030”, menumpukan kepada usaha pengukuhan keupayaan agensi kerajaan, meningkatkan tindakan berasaskan data, penguatkuasaan peraturan, dan meningkatkan kualiti jalan raya dan ciri keselamatan kenderaan. Di atas segalanya, matlamat paling kritikal adalah untuk menggalakkan rasa tanggungjawab peribadi di kalangan semua pengguna jalan raya. 

11. Keselamatan jalan raya pada dasarnya adalah tentang menyelamatkan nyawa. Insha Allah dengan kerjasama semua pihak khusunya daripada ahli-ahli MKKJR dan juga Kumpulan-Kumpulan Kerja dibawahnya yang terdiri daripada Agensi-Agensi Kerajaan yang berkepentingan serta Pertubuhan Pertubuhan Swasta dan NGOs, hasrat mulia untuk menjadikan jalan raya di negara ini selamat, insha Allah akan dapat dicapai. 

12. Sebelum hamba Tuanku menjunjung anugeraha berundur diri, hamba Tuanku dengan penuh hormat dan takzim sekali lagi menyembahkan setinggi-tinggi menjunjung kasih diatas keberangkatan Tuanku ke Majlis sambutan sempena Hari Memperingati Mangsa-mangsa Lalu Lintas Sedunia bagi tahun 2025. 

13. Hamba Tuanku menjunjung sabda perkenan untuk merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat atas sumbangan buah fikiran dan komitmen bagi menjayakan sambutan pada hari ini. 

14. Hamba Tuanku juga seterusnya menjunjung perkenan untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diatas kehadiran Timbalan Menteri, Pesuruh Jaya Polis, ketua-ketua perwakilan dari negara-negara sahabat, Setiausaha Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap, pegawai-pegawai kanan dan semua yang hadir. 

15. Pada mengakhiri sembah alu-aluan ini, hamba Tuanku dengan penuh hormat dan takzim menyembahkan berbanyak-banyak menjunjung ampun sekiranya terdapat sebarang suruk langkah dan tutur kata yang kurang manis dalam sembah alu aluan hamba Tuanku dan dalam majlis pada pagi ini. Sekian Wabillahi Taufik Wal Hidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Hamba Tuanku menjunjung anugeraha. 


-TAMAT-



Attachments
Speeches