Sign In
Mobirise Web Builder
Majlis Perasmian Hari Pelanggan Jabatan Penerbangan Awam dan Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi Tahun 2006M

TEKS UCAPAN

Lapangan Terbang Antarabangsa, Berakas 
Hari Khamis, 23 Zulkaedah 1427 bersamaan 14 Disember 2006

Bismillahirrahmanirrahim.

Selawat serta salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad Sallahu Alaihi Wasallam, kaum kerabat dan pengikut-pengikut Baginda yang setia lagi jujur hingga ke akhir zaman.

Yang Mulia Dato Paduka Haji Yussof bin Haji Abd Hamid, Timbalan Menteri Perhubungan;

Yang Mulia Awang Haji Jamaluddin bin Haji Saman, Pemangku Setiausaha Tetap, Kementerian Perhubungan;

Yang Mulia Pengiran Hj Abd Rahman bin Pengiran Seri Indera Pengiran Hj Ismail, Pengarah Penerbangan Awam;

Ketua-ketua Jabatan, Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan;

Wakil-Wakil Agensi Kerajaan dan pihak swasta yang memberikan perkhidmatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei;

Para hadirin yang saya hormati sekalian.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarkatuh dan Selamat Pagi.

TAHNIAH

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Jabatan Penerbangan Awam dan komuniti Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei kerana berjaya menganjurkan Hari Pelanggan bagi Jabatan Penerbangan Awam dan Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi tahun 2006 pada pagi ini. Saya juga ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Penerbangan Awam yang disambut setiap tahun di seluruh dunia pada 7 Disember 2006 dengan tema "Safety And Security First And The Top Priority".

PERKEMBANGAN INDUSTRI PENGANGKUTAN UDARA

Industri pengangkutan udara adalah merupakan salah satu industri yang berpotensi untuk berkembang maju dan memberikan sumbangan pendapatan yang mengalakkan kepada ekonomi negara. Ini adalah memandangkan industri ini berkait rapat dengan industri pelancongan dan banyak melibatkan sektor perniagaan sama ada secara langsung maupun tidak langsung. Antaranya ialah syarikat-syaraikat yang memberikan perkhidmatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, syarikat pengangkutan, perhotelan, restoran-restoran, gedung-gedung membeli belah dan sebagainya.

Berdasarkan maklumat yang dikeluarkan oleh International Air Transport Association (IATA), terdapat peningkatan jumlah penumpang termasuk pelancong dan penumpang yang bertransit bukan saja di peringkat antarabangsa malahan di peringkat serantau.

Bagi rantau Asia-Pacific, China dan India adalah merupakan dua negara besar yang mampu meningkatan industri pengangkutan udara yang kini sedang berkembang pada kadar di antara 8 hingga ke 10 peratus setiap tahun.

Bagi rantau ASEAN pula, industri pengangkutan udara juga dijangka akan meningkat berikutan persetujuan negara-negara ASEAN terhadap pembebasan perkhidmatan pengangkutan udara. Mengikut kajian yang telah dibuat bagi tempoh 20 tahun kehadapan, perkhidmatan pengangkutan udara bagi rantau ASEAN dijangka akan meningkat pada kadar 5.5 peratus setahun. Kadar ini melebihi purata peningkatan di peringkat global yang mana hanyalah mencatatkan peningkatan pada kadar 4.8 peratus setahun.

Sehubungan itu, kita seharusnya peka kepada perkembangan industri pelancongan agar perancangan rapi dapat dibuat bagi memastikan Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei dapat menampung peningkatan jumlah penumpang/pelancong yang berkunjung atau bertransit ke negara ini dan juga bagi memastikan perkhidmatan yang perlu disediakan adalah mencukupi dan selesa.

PEMBANGUNAN LAPANGAN TERBANG ANTARABANGSA BRUNEI

Kearah ini Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah meluluskan satu peruntukan bagi Jabatan Penerbangan Awam mendapatkan perkhidmatan konsultan yang akan bertanggungjawab bagi menyediakan Pelan Induk Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei. Saya difahamkan bahawa Jabatan Penerbangan Awam baru-baru ini telah mengeluarkan tawaran bagi mendapatkan khidmat konsultan ini.

Pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei dijangka akan dilaksanakan dalam dua peringkat di mana bagi setiap peringkat ianya akan dapat menampong trafik udara bagi dua belas tahun berikutnya. Adalah dihasratkan melalui rancangan ini, Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei akan berupaya menghubungkan negara ini dengan lebih banyak lagi negara-negara lain.

PEMBERIAN PERKHIDMATAN BERORIENTASIKAN PELANGGAN

Sebagai pintu masuk atau ’gateway’ udara bagi Negara ini, Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bertanggungjawab bagi memastikan pengendalian penumpang, kargo dan pesawat dan perkhidmatan-perkhidmatan yang berkaitan dilakukan dengan efisien, selamat dan teratur.

Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei adalah merupakan tempat pertama dan terakhir dikunjungi di Negara ini oleh pelancong atau pelawat luar negara yang menggunakan pengangkutan udara. Layanan dan pemedulian serta perkhidmatan yang diberikan dan diterima oleh pelawat/pelancong serta mereka yang menggunakan Lapangan Terbang ini akan memberikan kesan atau impression pertama dan akan mencerminkan mutu perkhidmatan dan tahap kemudahan yang terdapat di Negara ini. Mereka akan mempunyai ingatan yang berpanjangan ke atas pengalaman, baik yang manis mahu pun yang pahit, yang mereka alami apabila mula menjejakkan kaki ke sesebuah lapangan terbang.

Dalam hubungan ini adalah penting bagi semua yang bertugas di Jabatan Penerbangan Awam serta Komuniti Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei baik yang terdiri dari agensi kerajaan mahupun pihak swasta untuk sentiasa memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada semua pengguna dan penumpang-penumpang.

Pada hemat saya ada tiga perkara penting yang mesti diambil perhatian.

Satu ialah faktor manusia, iaitu petugas-petugas yang bekerja di Lapangan Terbang ini tanpa mengira akan kedudukan mereka dan dimana mereka bertugas. Hatta para pembersih dan penjaga letak kerita mempunyai peranan penting untuk memberikan perkhidmatan yang effisen dan layanan yang ikhlas serta pemeduliaan yang sewajarnya.

Kedua memastikan segala sistem dan jentera yang membantu menggendalikan perkhidmatan-perkhidmatan berjalan dengan baik, effisen dan teratur.

Ketiga ialah memastikan alam sekitar yang bersih dan teratur.

Ketiga-tiga perkara ini penting dan tidak ada salah satu daripadanya pincang kerana kepincangannya akan menjejaskan fungsi Lapangan Terbang ini.

Justeru itu, tema Hari Pelanggan bertajuk ’Santunan, Pemedulian, Effisyen dan Keselamatan Pelanggan Diutamakan’ yang dipilih adalah sangat bertepatan. Saya penuh percaya Jabatan Penerbangan Awam dan Komuniti Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei akan sentiasa bekerjasama ke arah meningkatkan mutu perkhidmatan yang berorientasikan pelanggan, cekap, berkesan, telus, pemedulian dan bersopan santun seperti yang dihasratkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

PERKHIDMATAN YANG KOMPETITIF

Begitu juga dengan pengguna-pengguna Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei yang lain, mereka secara berterusan mengharapkan perkhidmatan yang cemerlang dan bertaraf tinggi dalam pengendalian kargo, pengendalian pesawat, pengendalian orang ramai yang berkunjung ke Lapangan Terbang bagi tujuan menghantar atau menyambut penumpang, berurusan dengan pembekal perkhidmatan, atau untuk menikmati makan-minum yang terdapat di restoran dan kedai minum. Demikian juga mereka mengharapkan segala kemudahan yang disediakan hendaklah sentiasa di dalam keadaan yang baik, selesa dan bersih.

Selaku warga Komuniti Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, adalah perlu dari masa ke semasa meneliti dan menentukan aras tanda (bench marking) tahap perkhidmatan yang diberikan dan dalam waktu yang sama berusaha ke arah meningkatkan dayasaing perkhidmatan yang diberikan bukan sahaja bagi memenuhi kehendak dan citarasa pengguna perkhidmatan malahan supaya perkhidmatan yang diberikan adalah setaraf atau setanding dan dapat berdaya-saing dengan perkhidmatan yang diberikan oleh Lapangan Terbang Antarabangsa di luar negara.

Komuniti Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei juga harus peka yang pengguna perkhidmatan sedikit sebanyak mempunyai pilihan untuk mendapatkan perkhidmatan dari pembekal perkhidmatan yang lain baik yang terdapat di dalam negeri mahupun di luar negeri. Pilihan pembekal perkhidmatan ini akan lebih ketara di masa hadapan apabila lebih banyak lagi perkhidmatan yang dibebaskan.

LIBERAL AIR SERVICES POLICY

Perkembangan pengangkuatan udara di Negara ini memerlukan Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei menjalin rakan strategik dengan syarikat-syarikat penerbangan penumpang yang beroperasi ke negara ini terutama sekali Syarikat Penerbangan Diraja Brunei, cargo carriers dan pembekal perkhidmatan yang lain.

Ke arah ini bagi memudah cara perkembangan pengangkutan udara, Negara ini mengamalkan dasar perkhidmatan udara yang liberal yang mempunyai dua tujuan utama iaitu:

  1. Memudahkan syarikat penerbangan tempatan mengembangkan perkhidmatan udara ke negara-negara lain yang mengamalkan dasar pengangkutan udara yang liberal samada untuk menambah bilangan penerbangan bagi destinasi yang sedia ada mahu pun bagi memulakan penerbangan ke destinasi baru; dan

  2. Memudahkan syarikat penerbangan luar negeri yang beroperasi ke negara ini menambah frekuensi penerbangan dan bagi menggalakan dan menarik syarikat penerbangan lain untuk beroperasi ke negara ini.

Dasar perkhidmatan udara yang liberal ini pada masa ini dirundingkan melalui perundingan dua hala dan juga melalui perundingan berbilang hala di peringkat serantau seperti BIMP-EAGA, ASEAN maupun APEC.

Di dalam usaha meningkatkan perkembangan pengangkutan udara di rantau BIMP-EAGA, negara ahli BIMP-EAGA di masa yang terdekat akan memetrai perjanjian persefahaman ke atas pengluasan rangkaian pengangkutan udara yang membenarkan hak pengangkutan bebas tanpa sekatan bagi ke-3 dan ke-4 manakala tawaran hak pengangkutan ke-5 penuh dibenarkan menjelang tahun 2008 ke semua destinasi BIMP-EAGA berikutan dari pencapaian Mesyuarat Pertama Menteri-Menteri Pengangkutan BIMP-EAGA yang telah dilangsungkan di Brunei Darussalam pada 5 Jun 2006 yang lalu.

Di peringkat ASEAN pula, melalui ASEAN Roadmap for Integration of Air Travel Sector, negara ahli telah dan akan terus komited ke arah pertukaran perkhidmatan penumpang tanpa sekatan bagi hak pengangkutan ke-3 dan ke-4 di antara semua bandaraya utama negara ASEAN menjelang Disember 2008 manakala hak pengangkutan ke-5 menjelang Disember 2010.

Pembebasan perkhidmatan udara setentunya akan meningkatkan bilangan pengangkutan udara menggunakan Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei dan ini adalah merupakan satu peluang bagi negara kita dan syarikat-syarikat tempatan dalam industri pengangkutan dan pelancongan untuk meraih keuntungan sama ada secara langsung ataupun melalui keluaran sampingan (spin-off) hasil dari penambahan jumlah penumpang yang akan berkunjung ke negara ini khususnya para pelancong dan ini seterusnya akan meningkatkan pertumbuhan ekonomi bagi industri pengangkutan dan pelancongan.

PENYERTAAN PIHAK SWASTA

Bagi mencapai visi untuk menjadikan Negara Brunei Darusalam sebagai Pusat Perkhidmatan menjelang tahun 2024, peranan pihak swasta adalah tidak kurang pentingnya.

Kita menaruh harapan pihak swasta akan berusaha membantu pihak kerajaan kearah mengembang majukan pembangunan-pembangunan fisikal sama ada pembangunan pasarana ataupun penyediaan perkhidmatan-perkhidmatan yang berupa komersial.

Ini bermakna semua perkhidmatan yang berkaitan dengan sektor pengangkutan dan pelancongan seperti perkhidmatan pengangkutan teksi, penginapan, pemandu pelancongan (tour guide) dan sebagainya hendaklah memberikan perkhidmatan yang berkualiti tinggi, mesra dan jujur. Sebarang kepincangan dalam tahap perkhidmatan yang diberikan akan setentunya menjatuhkan image negara dan boleh menggugat keberkesanan hasrat pihak Kerajaan bagi mengembang majukan sektor pengangkutan dan pelancongan bagi negara ini.

Satu komponen penting yang akan dimasukkan dalam Pelan Induk Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei adalah pembentukan strategi perniagaan dan ekonomi bagi Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi menjana aktibiti perniagaan dan komersial di dalam Bangunan Terminal dan juga di luar kawasan Lapangan Terbang.

Saya penuh berharap agar pihak swasta akan dapat sama-sama merebut peluang dalam membuat pelaburan dan menyertai aktiviti perniagaan itu nanti.

PEMBERIAN INSENTIF

Dalam usaha untuk memperkembang majukan industri pengangkutan udara di Negara ini, Kementerian Perhubungan dan Jabatan Penerbangan Awam akan meneliti satu rancangan untuk memberi insentif kepada syarikat-syarikat penerbangan yang menambah frekuensi penerbangan ke negara ini dan juga kepada syarikat penerbangan yang menghubungkan negara ini dengan destinasi baru.

Melalui pemberian insentif berserta dengan pembentukan strategi perniagaan dan ekonomi bagi Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei seperti yang telah dijelaskan, diharap bukan saja akan dapat membantu pihak Jabatan meningkatkan hasil pendapatannya melalui berbagai sumber seperti pembayaran pendaratan, penyewaan pejabat dan ruang perniagaan, pembayaran lesen juruterbang dan pendaftaran pesawat udara, passenger service charges, perkhidmatan kajicuaca dan bayaran letak kereta, malahan adalah juga merupakan hasrat kerajaan untuk memberikan insentif yang flexible kepada para pelanggan yang mana pembayaran kadar atau tarif bagi penggunaan perkhidmatan adalah berdasarkan tempoh penyewaan ruang, sais keluasan penyewaan, jumlah pendapatan perniagaan para pengusaha yang memberikat perkhidmatan perniagaan dan sebagainya.

Pada masa ini pendapatan yang diperolehi dari Jabatan Penerbangan Awam melalui non-aeronautical adalah dalam 18% dari jumlah pendapatan keseluruhan dan pencapaian ini adalah masih ditahap yang rendah. Adalah menjadi hasrat Kementerian Perhubungan bagi Jabatan Penerbangan Awam meneliti sumbangan-sumbangan pendapatan dari non-aeronautical supaya akan dapat dipertingkatkan sekurang-kurangnya kepada 50% dari jumlah keseluruhan pendapatan dalam tempoh 8 tahun.

KESELAMATAN (SAFETY AND SECURITY)

Keselamatan atau "safety and security" adalah bidang yang sangat mustahak dan diberikan perhatian yang serius. Sebagai sebuah negara ahli kepada Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), adalah menjadi komitmen bagi negara ini memenuhi kehendak ’ICAO standard practices’ dari segisafety dan security seperti yang terdapat dalam 18 Annexes kepada Konvenysen Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa.

Bagi memastikan negara ini memenuhi kehendak tersebut, ICAO telah mengadakan security audit ke negara ini dari 6 hingga 16 November 2006 yang lalu di mana perkara-perkara yang berkaitan dengan security termasuk perundangan negara ini, security program dan manual yang terdapat dan langkah-langkah keselamatan yang diamalkan telah diaudit. Hasil dari audit berkenaan satu laporan sementara telah disediakan oleh pihak ICAO bagi tindakan berkenaan negara ini.

Mengenai dengan safety, pihak ICAO akan mengadakan safety audit dari 19 Februari hingga 1 Mac 2007. Seperti juga security auditsafety audit ini akan menilai perkara-perkara yang berkaitan dengan safety termasuk perundangan negara ini, safety program dan manual yang terdapat dan langkah-langkah keselamatan yang diamalkan.

Negara ini akan memastikan tindakan-tindakan berkaitan akan diambil bagi memastikan negara ini memenuhi kehendak ICAO standards berhubung dengan safety dan security. Dalam hubungan ini, negara ini akan secara efektif mengikuti aktiviti-aktiviti anjuran ICAO.

PELANCARAN PAKAIAN SERAGAM PEKERJA TEMPAT PENIAGAAN

Sempena Hari Pelanggan ini, saya ingin mengucapkan setinggi tahniah kepada semua pengusaha kedai dan tempat perniagaan yang terdapat di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei yang mulai hari ini akan menggunakan pakaian seragam. Saya merasa bangga kerana inisiatif untuk menggunakan pakaian seragam ini diambil oleh para pengusaha sendiri.

Pelancaran pakaian seragam ini menunjukkan satu komitmen oleh setiap pengusaha kedai dan tempat perniagaan ke arah kesediaan membuat perubahan, merubah mind-set, memberikan perkhidmatan yang lebih berorientasikan pelanggan dan lebih bertanggung-jawab.

PENUTUP

Buat mengakhiri ucapan saya ini, sekali lagi saya ingin mengucapkan setinggi tahniah kepada Jabatan Penerbangan Awam dan Komuniti Lapangan Terbang Antarabangsa kerana berjaya menganjurkan Hari Pelanggan Jabatan Penerbangan Awam dan Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi tahun 2006.

Saya penuh berharap perkhidmatan yang diberikan oleh Komuniti Lapangan Terbang Antarabangsa kepada pelanggan dengan santunan, pemedulian, effisyen dengan mengutamakan keselamatan akan dibuat secara berterusan demi kepentingan bersama juga.

Sekian. Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Taala Wabarakatuh.​

Attachments
Speeches