Sign In
Ucapan Alu-Aluan Yang Mulia Pemangku Setiausaha Tetap sempena Sesi 'Open Day' bagi Pengkorporatan Jabatan Perkhidmatan Pos
Bismillahirrahmanirrahim 

Alhamdulillahi Rabbil 'Alamin, Wassalatu Wassalamu 'Ala-Asyarafil Anbiya'e Wal Mursalin, Saidina Muhammadin Wa'ala Alihi Wasahbihi Ajma'in,
Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh, dan Salam Sejahtera,

Pembuka Kata

1. Alhamdulillah, dengan izin Allah Subhanahu Wata‘ala, kita dapat bersama-sama hadir pada pagi ini disesi hari terbuka sebagai pengenalan rasmi kepada Syarikat PosBru Sendirian Berhad—entiti yang bakal mengambil alih perkhidmatan pos Negara Brunei Darussalam mulai 1 Januari 2026.

2. Sesi pada hari ini merupakan satu platform penting untuk memberikan gambaran yang lebih jelas mengenai dengan hala tuju, persiapan, dan perubahan yang akan berlaku sepanjang tempoh peralihan. Ia juga merupakan peluang bagi semua pihak untuk mendapatkan maklumat lanjut serta bertanyakan soalan berhubung dengan pengkorporatan ini.

Perjalanan Pengkorporatan

3. Pengkorporatan Jabatan Perkhidmatan Pos ianya adalah merupakan langkah strategik negara untuk memastikan sektor pos kekal berdaya saing, mampan dan relevan dalam era digital yang penuh perubahan.

4. Sebagaimana yang kita sedia maklum, permintaan terhadap perkhidmatan pos tradisional semakin menurun secara ketara, sementara permintaan terhadap perkhidmatan parcel, logistik, dan e-dagang terus meningkat. 

5. Pengkorporatan Jabatan Perkhidmatan Pos adalah sejajar jua dengan hala tuju strategik Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, khususnya dalam memastikan perkhidmatan pos negara kekal relevan dalam suasana perkembangan teknologi dan peningkatan penggunaan e-dagang serta komunikasi digital.

6. Untuk terus berdaya saing, sektor pos perlu memperkukuhkan keupayaan melalui inovasi, penggunaan teknologi baharu, peningkatan kecekapan serta model operasi yang lebih fleksibel. Pengkorporatan ini jua merupakan langkah utama bagi membolehkan perkhidmatan pos berkembang dengan lebih dinamik dan menepati keperluan masyarakat.

7. Berkuatkuasa pada 1 Januari 2026, semua perkhidmatan pos yang sebelum ini berada di bawah JPP akan dipindahkan sepenuhnya kepada PosBru Sdn Bhd, iaitu sebuah anak syarikat milik penuh Darussalam Assets Sdn Bhd, dan akan beroperasi sebagai “Public Postal Licensee” yang dikawal selia oleh Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI).

8. Dan di bawah model korporat baharu ini nanti, PosBru akan mengekalkan perkhidmatan cawangannya yang sedia ada sambil memperkukuh lagi pendekatan yang lebih berpusatkan pelanggan. Transformasi ini juga dijangka meningkatkan mutu pengalaman pelanggan, memperluaskan rangkaian perniagaan, memacu pembangunan produk inovatif serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan bagi rakyat tempatan, inshaa Allah. Langkah ini bukan sekadar penstrukturan semula, tapi strategi jangka panjang untuk memperkukuh kedudukan sektor pos dalam ekonomi digital negara.

9. Selaras dengan aspirasi ini, PosBru akan beroperasi sepenuhnya secara komersial, memenuhi keperluan perkhidmatan pos dalam dan luar negara. PosBru diharapkan dapat mengembangkan industri perkhidmatan pos nasional dengan lebih berkesan—lebih responsif, lebih efisien, serta sejajar dengan piawaian antarabangsa. Ia juga membuka ruang kepada perkhidmatan baharu, peningkatan kompetensi pekerja, dan peluang pembangunan kerjaya yang lebih tersusun.

Kesan Positif Kepada Industri, Rakan Perniagaan & Pelanggan

13. Dengan penubuhan PosBru Sdn Bhd, beberapa manfaat strategik adalah diharapkan:

Rangkaian operasi yang lebih dinamik, membolehkan kerjasama yang lebih luas antara perniagaan tempatan, syarikat logistik dan platform e-dagang;

Perkhidmatan yang lebih kompetitif, sejajar dengan amalan terbaik antarabangsa;

dan inovasi produk baharu, seperti penyelesaian logistik bersepadu, pelaksanaan perkhidmatan penghantaran yang segera, dan integrasi teknologi digital.

13. Transformasi ini bukan sahaja memajukan sektor pos, malah menyokong pertumbuhan ekonomi digital negara.

Penutup

14. Sebagai penutup, adalah diharapkan sesi Open Day ini dapat membantu abiskita dalam memberikan pemahaman yang lebih jelas serta menjawab sebarang persoalan mengenai peralihan ini.  Semoga jua dengan usaha dan komitmen kitani bersama, pengkorporatan ataupun transformasi Jabatan Perkhidmatan Pos ini akan menjadi satu kejayaan yang cemerlang.

Sekian, terima kasih.



Attachments
Speeches