TEKS UCAPAN ALU-ALUAN
Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin
Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha
Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi
Di Sesi Perjumpaan Muhibah
Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi
Bersama Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara
Bagi Tahun 2026
10 Sya’aban 1447 / 29 Januari 2026 (Hari Khamis)
Dewan Amar Pahlawan
Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi
Bismillaahir Rahmaanir Raheem,
Alhamdulillah Rabbil 'Alameen, Wassalaatu' Wassalaamu 'Ala Asyarafil Anbiya'e Wal Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een,
Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Selamat Pagi,
Yang Berhormat Awang Haji Daud bin Jihan;
Selaku Ketua Rombongan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara ke Sesi Perjumpaan Muhibah bagi tahun ini,
Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara;
Yang Mulia Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof
Setiausaha Tetap, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi;
Yang Mulia Haji Hairul Mohd Daud bin Haji Abdul Karim
Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi);
Ketua-Ketua Jabatan dan Bahagian, Ketua-Ketua Eksekutif, Pegawai-Pegawai Kanan, serta Hadirin dan Hadirat yang dihormati sekalian,
KATA-KATA ALUAN
1. Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadhrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan limpah rahmat dan izin-Nya jua, kita diberikan kesempatan untuk berhimpun di Sesi Perjumpaan Muhibah pada pagi ini.
2. Peramba/Saya mewakili seluruh warga Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, berbesar hati untuk mengalu-alukan keberangkatan dan kehadiran Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara ke Kementerian ini.
3. Kesudian Ahli-Ahli Yang Berhormat meluangkan masa bersama pihak MTIC, menunjukkan sokongan dan kerjasama yang amat tinggi, khususnya sama-sama menyelaraskan pandangan, menilai kesiapsiagaan semasa, serta memperkukuh iltizam bersama dalam membentuk hala tuju sektor pengangkutan dan infokomunikasi yang lebih berdaya tahan dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.
4. Dalam pada itu, Peramba/Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat atas cadangan dan pandangan yang dikemukakan sebelum ini. Sesungguhnya, segala cadangan dan pandangan tersebut telah dipertimbangkan dengan teliti dan terus membantu Kementerian ini menilai keperluan-keperluan rakyat dan negara, di samping memastikan setiap inisiatif serta usaha Kementerian kekal relevan, berkesan dan tepat pada sasarannya.
5. Dalam hubungan ini, seperti yang semua maklum, hala tuju Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi adalah menjurus kepada merealisasikan matlamat-matlamat Wawasan Brunei 2035, terutamanya kepada mencapai matlamat-matlamat utama yang kini juga telah diperincikan melalui tiga pelan tindakan utama iaitu Manpower Blueprint; Social Blueprint dan Economic Blueprint sepertimana yang telah dibentangkan dan dibahaskan semasa Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-21 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) pada tahun lepas (2025).
6. Sepertimana yang dipersetujui oleh semua dan sepertimana juga disimpulkan oleh Yang Berhormat Awang Amran bin Haji Maidin sendiri semasa persidangan tahun lepas bahawa, “Wawasan Brunei 2035 terus menjadi kompas utama pembangunan negara, mencerminkan aspirasi jangka panjang Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam memastikan kemakmuran, kestabilan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara”.
7. Atas dasar tersebut, Kementerian ini turut memainkan peranan yang menyeluruh, termasuk memberi sokongan kepada pelbagai sektor antaralain seperti pembangunan modal insan, mempertingkatkan ekosistem digital, pembangunan sosial melalui aspek connectivity dan mobility serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dari segi menjadi pemudahcara dan penyedia perkhidmatan dan kemudahan logistik.
8. Berkenaan dengan perkara ini, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi sebelum ini juga telah merangka Pelan Strategik-nya sendiri sebagai panduan mengenai tindakan-tindakan yang perlu dilaksanakan oleh jabatan-jabatan dan autoriti-autoriti dibawah kawalselia Kementerian ini. Ini termasuk merangka Pelan Strategik Baharu Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi bagi Tempoh 2026 – 2030 yang juga dikenali sebagai MTIC 2030 yang mana akan turut dilancarkan dan diperkenalkan pada pagi ini.
RUMUSAN PENCAPAIAN UTAMA TAHUN 2025
9. Sebelum itu, izinkan Peramba/Saya untuk terlebih dahulu mengoksikan perkembangan initiatives dan projek-projek utama pada tahun kebelakangan ini.
10. Dalam Menjamin keselamatan sektor pengangkutan dan juga alam siber, diantara perkara-perkara yang berjaya dilaksanakan adalah:
o Enakmen Perintah Perlindungan Data Peribadi yang mana mula berkuatkuasa pada bulan Januari tahun ini.
o Menggubal dan melancarkan Garispanduan Tadbir Urus dan Etika Kecerdasan Buatan (AI) Brunei Darussalam.
o Waspada.bn iaitu sebuah platform semakan fakta bagi kesahihan berita dan maklumat yang diterima melalui media sosial telah dilancarkan.
o Pusat Anti Scam (Anti Scam Centre) telah ditubuhkan sebagai satu initiative bersepadu bagi menangani kes penipuan dan jenayah siber.
o Beberapa arahan atau ‘directive’ oleh CIO Forum juga telah dikeluarkan bagi memperkukuhkan lagi sistem-sistem Kerajaan yang telah dirancang beberapa tahun ini.
o Majlis kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) telah memasang lima unit Speed Monitoring Devices bagi meningkatkan kesedaran mengenai pematuhan kelajuan selamat.
o Buku Tindakan Keselamatan 2030 atau Road Safety Action 2030 telah dilancarkan. Pelan Tindakan tersebut merupakan inisiatif berterusan MKKJR dengan menekankan fokus yang lebih ‘action-oriented’ dalam usaha meningkatkan keselamatan jalan raya di negara ini.
11. Seterusnya dalam meningkatkan kesejahteraan orang ramai melalui penyediaan perkhidmatan yang cekap, bersih serta memanfaatkan teknologi, initiatif-initiatif berikut telah dilaksanakan:
o Pelancaran Brunei Identiti Digital, yang dikenali sebagai BruneiID. Ia merupakan platform identiti digital negara yang membolehkan pengesahan identiti selamat dan akses kepada perkhidmatan kerajaan dalam talian menggunakan ID digital keluaran kerajaan.
o Pelancaran Ikhlas iaitu platform maklum balas dalam talian untuk penambahbaikan perkhidmatan dan kemudahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.
o Maritime Single Window telah dilancarkan bagi membolehkan penyerahan digital dan pemprosesan dokumentasi pelepasan pelabuhan, menyokong pembuatan keputusan yang lebih pantas dan operasi pelabuhan yang lebih lancar.
o Memperkenalkan Sistem Parking Pengecaman Plat Nombor Automatik (ANPR) di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.
o Hub Perkhidmatan Pelanggan Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei juga telah dilancarkan sebagai pusat sehenti bersepadu.
o Aplikasi mudah alih iFlyBrunei telah dikemaskini dan dilancarkan dengan ciri baharu.
o Perlaksanaan Fasa Satu projek DriveBN iaitu bagi migrasi Sistem Pengangkutan Darat. DriveBN adalah merupakan projek kearah penambahbaikan perkhidmatan Jabatan Pengangkutan Darat kepada orang ramai.
o FormBN dilancarkan iaitu platform dalam talian bagi membolehkan agensi Kerajaan beralih kepada borang kertas kepada borang digital.
12. Mengenai dengan Pemudah cara bagi mendokong peningkatan hasil, kemajuan ekonomi dan pembangunan negara yang mampan diantara pencapaian adalah:
o Dalam menyediakan perkhidmatan tambahan, pada tahun lepas sebanyak dua Tawaran Tertutup Tanda Pengenalan Kenderaan (TPK) melalui “Click & Bid” telah berjaya menyumbang sebanyak BND3 juta kepada hasil pendapatan Kerajaan dalam tahun 2025. Manakala “Click & Buy” telah menyumbang sebanyak BND1 juta dan kutipan daripada yuran ‘tinted’ adalah dekat BND500 ribu.
o Jabatan Penerbangan Awam Brunei secara rasmi telah menerima pakai piawaian pensijilan kelayakan udara Pentadbiran Penerbangan Awam China (CAAC), yang membenarkan dan memberi kelulusan pesawat buatan COMAC untuk operasi di negara ini.
o Program Kadet Maritim telah juga dilancarkan. Dimana seramai Sembilan kadet telah ditaja sepenuhnya oleh Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei untuk mengikuti program tersebut bagi pengambilan tahun 2025.
o Manakala, seramai lima perantis telah berjaya mengikuti Program TechEXPLORE yang merupakan program perantisan pembelajaran dan pengalaman pekerjaan di luar negara.
o Pelan Strategik Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam bertajuk ‘Navigating 2030’ telah dilancarkan dan menggariskan hala tuju strategik MPABD dalam memperkukuh sektor maritim dan pelabuhan Negara Brunei Darussalam sebagai pemangkin utama kepada keterhubungan negara, daya tahan ekonomi dan pembangunan mampan.
o Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga telah memperkenankan penubuhan Jawatankuasa Pandu Penerbangan Awam (Aviation Co.) dan Penubuhan High-Level Task Force Syarikat Penerbangan Kos Rendah (Low-Cost Carrier, LCC) di Negara Brunei Darussalam untuk menunduki kemajuan sektor penerbangan awam.
o Pengkorporatan Jabatan Perkhidmatan Pos dimana semua fungsi dan operasi Jabatan Perkhidmatan Pos akan diambil alih secara resminya oleh syarikat PosBru bermula 1hb Januari 2026. Pengkorporatan Jabatan Perkhidmatan Pos ini, diharapkan akan memperkukuhkan lagi keupayaan Syarikat PosBru dalam memajukan industri perkhidmatan pos, agar ia lebih efisien, berdaya saing, responsif kepada keperluan pelanggan serta selaras dengan piawaian antarabangsa. Langkah ini juga akan membuka ruang kepada pengenalan perkhidmatan-perkhidmatan baharu yang lebih dinamik, inovatif dan fleksibel dalam memenuhi kehendak pasaran semasa.
13. Disamping ini, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi juga giat memajukan pelaksanaan projek-projek dibawah Rancangan Kemajuan Negara ke-12. Alhamdulillah, setakat Disember 2025, status pencapaian perlaksanaan fizikal projek-projek RKN 12 bagi MTIC dan Jabatan-Jabatan di bawahnya, adalah seperti berikut:
• 6 projek (29%) dalam proses rekabentuk;
• 4 projek (19%) dalam proses tawaran;
• 6 projek (29%) dalam pelaksanaan; dan
• 5 projek (23%) telah siap dilaksanakan.
14. Mengenai dengan status projek mempertingkatkan perkhidmatan pengangkutan awam, melalui proses ‘Request for Proposal’ (RFP) untuk Menyediakan, Mengendalikan, Mengurus dan Menyelenggara Perkhidmatan Pengangkutan Awam di Negara Brunei Darussalam yang telah dibukakan sebelum ini, dimana lebih daripada sepuluh syarikat telah menyertainya. Hasil daripada proses penelitian dan penilaian tersebut, dua syarikat telah disenarai pendek. Surat Hasrat (‘Letter of Intent’) telah ditandatangani pada 23 Disember 2025 bersama salah satu syarikat tersebut bagi meneruskan rundingan selanjutnya kepada pemantapan pelan operasi, struktur kewangan serta perangkaan perjanjian perkhidmatan jangka panjang, selaras dengan skop perkhidmatan yang telah ditetapkan.
15. Selain itu, bagi projek ‘Smart Transportation System’ (STS), iaitu penyediaan platform digital pengangkutan awam yang bertujuan untuk mengoptimumkan pengurusan dan operasi rangkaian pengangkutan yang berasaskan teknologi, pemantauan dalam kenderaan serta perkhidmatan ‘on-demand’ transport (‘e-hailing’) akan dibukakan dokumen tawaran bagi projek tersebut akan dalam penggal kedua tahun ini.
Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara dan para hadirin sekalian,
16. Tahun 2025 menandakan tahun penutup bagi perlaksanaan beberapa pelan-pelan strategik dan tindakan di bawah MTIC. Dalam mengimbas pencapaian yang telah dilalui khususnya Pelan Strategik MTIC di sepanjang tahun 2020 hingga 2025. Bermula dengan Kadar Pertumbuhan iaitu ‘Growth Rate’ pada tahun 2024, di mana Sektor Pengangkutan dan Infokomunkasi masing-masing mencatatkan pertumbuhan sebanyak 6.6% dan 2.9%.
17. Manakala, dari segi sumbangan kedua-dua sektor kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sehingga suku ketiga (Q3) tahun 2025, masing-masing mencatatkan sejumlah BND$253.2 juta bagi sektor Pengangkutan, dan sejumlah BND$426.7 juta bagi sektor Infokomunikasi.
18. Beralih kepada tiga puluh empat (34) Petunjuk Prestasi Utama iaitu ‘Key Performance Indicators’ di bawah MTIC 2025. Pada keseluruhannya, status perlaksanaan menunjukkan sebanyak 42% KPI telah mencapai sasaran sementara 8% KPI telah menunjukkan perkembangan positif yang menuju ke arah sasaran yang ditetapkan.
19. Seiring dengan itu, beberapa pencapaian utama di sepanjang tahun 2020 hingga 2025 turut dirakamkan yang menggambarkan usaha, komitmen serta kerjasama erat antara semua Jabatan dan Pihak Berkuasa di bawah MTIC. Antaranya boleh dilihat dari segi perkara-perkara yang terkandung di bawah Hala Tuju Masa Depan (‘Future Outlook’) MTIC 2025 di mana sejumlah 15 inisiatif telahpun siap dilaksanakan.
20. Mengenai pendigitalan negara, setakat hujung Disember 2025, Kadar Pendigitalan Perkhidmatan Kerajaan adalah 35%, bersamaan dengan sejumlah 281 perkhidmatan Kerajaan yang telah didigitalkan. Insya Allah, dengan pengenalan Brunei ID ini ianya akan memudahkan lagi akses kepada perkhidmatan Kerajaan.
21. Penggunaan perkhidmatan Kerajaan secara dalam talian dalam penyampaian perkhidmatan kepada orang ramai juga sangat menggalakkan. Seperti contoh, melalui platform seperti Nomborku, yang disediakan oleh Jabatan Pengangkutan Darat (JPD), ianya telah menyumbang kepada 40 peratus (%) hasil kepada JPD. Ini menunjukkan bahawa penerimagunaan teknologi (technology adoption) adalah semakin meningkat di kalangan orang ramai.
22. Kesemua pencapaian yang dikongsikan sebentar tadi mencerminkan komitmen dan keupayaan negara untuk bergerak maju. Insya Allah, Peramba/Saya berharap pencapaian tersebut akan terus dipertingkatkan pada masa akan datang.
23. Dengan itu, Peramba/Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat, warga Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi serta semua pihak-pihak yang terlibat atas sokongan, panduan dan bimbingan yang berterusan dalam pelaksanaan Pelan Strategik MTIC 2025, dan juga dalam memastikan Kementerian ini kekal telus, bertanggungjawab dan responsif terhadap keperluan rakyat dan juga matlamat negara.
PELAN INDUK DAN PELAN STRATEGIK AKAN DATANG
Ahli-Ahli Yang Berhormat dan para hadirin sekalian,
24. Selaras dengan Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Hari Keputeraan Baginda yang Ke-79 tahun 19 Muharram 1447 bersamaan 15 Julai 2025, pihak MTIC telah menyediakan Pelan Transformasi Digital Brunei (‘Digital Brunei Transformation Plan’) yang merupakan kesinambungan dan pembaharuan kepada Pelan Induk Ekonomi Digital (‘Digital Economy Masterplan’) 2025. Rangka kerja ini juga merupakan usaha berterusan dalam pendigitalan ke arah merealisasikan hasrat untuk menjadikan negara ini sebuah Negara Pintar (‘Smart Nation’). Pelan Transformasi tersebut, insya Allah akan dilancarkan pada masa yang terdekat.
25. MTIC juga dalam proses menyediakan strategi mengenai Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dengan kerjasama Pusat Kajian Strategi dan Dasar (CSPS) melalui penandatanganan perjanjian pada bulan Mei 2025 bagi menyediakan Rangka Kerja Strategi Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) Kebangsaan yang pertama bagi Negara Brunei Darussalam.
26. Tujuan rangka kerja ini adalah untuk menyediakan hala tuju strategik yang jelas bagi pembangunan STI di peringkat nasional, termasuk penentuan keutamaan dan tindakan yang diperlukan untuk membangunkan ekosistem STI yang lebih tersusun, kondusif dan berdaya saing. Strategi ini juga dihasratkan untuk memperkukuh sumbangan STI kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan sosio-ekonomi negara.
PELAN STRATEGIK MTIC 2026–2030 (MTIC 2030)
Ahli-Ahli Yang Berhormat dan para hadiran sekalian,
27. Dengan berakhirnya Pelan Strategik MTIC 2025, Kementerian kini berada di satu ‘critical point’ atau persimpangan yang amatlah penting untuk menilai semula hala tuju bagi sektor pengangkutan dan infokomunikasi dalam merangka pelan yang lebih bersedia menghadapi era kecerdasan (‘intelligent era’) dan teknologi baharu. Ini juga bertujuan untuk memacu lagi keterhubungan / ketersambungan dari segi pengangkutan dan infokomunikasi untuk semua secara inklusif serta menyahut keperluan dan jangkaan rakyat yang semakin berkembang.
28. Maka, dengan Titah Perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Peramba/Saya dengan penuh hormat dan takzim ingin memperkenalkan kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat, Pelan Strategik baharu Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi bagi tempoh lima tahun akan datang.
29. Penyediaan Pelan Strategik MTIC 2030 ini disusun dengan mengambil kira segala pencapaian, cabaran serta pengajaran, iaitu ‘lessons learnt’ daripada perlaksanaan pelan strategi terdahulu. Dengan itu, MTIC telah memperbaharui pendekatannya dengan matlamat yang lebih realistik dan bertujuan untuk terus mensejajarkan dengan matlamat dan sasaran jangka panjang seperti yang terkandung di dalam Wawasan Brunei 2035, Pelan Induk Negara iaitu ‘National Blueprints’ serta Pelan-Pelan Tindakan yang berkaitan.
30. Selain itu, MTIC 2030 turut melibatkan pandangan daripada pelbagai pihak berkepentingan bagi memahami dengan lebih mendalam akan isu dan keperluan rakyat dan negara yang sebenar. Pelan Strategik ini juga mengambil kira dari perbincangan serta cadangan-cadangan dan buah fikiran daripada Ahli-Ahli Yang Berhormat Mesyuarat Negara semasa permesyuaratan di Majlis Mesyuarat Negara yang lepas. Peramba/Saya berbanyak menjunjung dan berterima kasih di atas sumbangan Ahli-Ahli Yang Berhormat dalam perkara ini.
PELANCARAN PELAN STRATEGIK MTIC 2030
31. Bagi mengakhiri, dengan kalimah Bismillahir Rahmanir Rahim serta bertawakal kepada Allah Subhanahu Wata’ala dan juga selawat serta salam ke atas Junjungan Besar Nabi kita, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, maka Peramba/Saya dengan sukacitanya merasmikan pelancaran Pelan Strategik Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi 2026–2030 (iaitu MTIC 2030).
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
(VIDEO PELANCARAN MTIC 2030 AKAN DIMAINKAN)