Ir. Awang Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof
Bismillahirrahmanirrahim
Alhamdulillahi Rabbil ‘Alameen, Wassalatu Wassalamu ‘Ala Asyrafil Anbia’i Wal Mursaleen, Saidina Muhammadin Wa’ala Aalihi Wasahbihi Ajma’een.
Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi selaku Tetamu Kehormat Majlis Pelancaran Anugerah ICT Brunei (BICTA) 2026 pada pagi ini;
Yang Mulia Pengiran Sarimah bte Pengiran Haji Abdul Latif, Pengerusi Infocom Federation of Brunei selaku Pengerusi Bersama II Jawatankuasa Pandu BICTA 2026;
Yang Berhormat Dayang Chong Chin Yee, Ahli Majlis Mesyuarat Negara;
Yang Mulia Naib Canselor Naib Canselor, Raes, Setiausaha Tetap -Setiausaha Tetap, Timbalan Setiausaha Tetap -Timbalan Setiausaha Tetap, Ahli-ahli Jawatankuasa Pandu BICTA, Pegawai-pegawai Kanan, Ketua- ketua Eksekutif, Hakim-hakim BICTA, rakan-rakan industri, rakan- rakan media serta hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian.
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Pembuka kata
1. Alhamdulillah, bersyukur kitani ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan limpah kurnia serta izin-Nya jua, Majlis Pelancaran Anugerah ICT Brunei (BICTA 2026) dapat dilangsungkan pada pagi ini.
2. Terlebih dahulu, Peramba/saya bagi mewakili Jawatankuasa Pandu dan Jawatankuasa Kerja BICTA 2026, ingin menjunjung kasih kepada Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi di atas kesudian untuk hadir sebagai Tetamu Kehormat dan seterusnya melancarkan Anugerah ICT Brunei 2026 (BICTA 2026).
3. Majlis pada hari ini bukan sahaja menandakan bermulanya satu lagi edisi BICTA, tetapi juga melambangkan komitmen berterusan negara dalam memupuk inovasi digital, memperkasakan bakat tempatan, serta memperkukuh ekosistem teknologi di Negara Brunei Darussalam.
Prestasi, Momentum BICTA dan Penyertaan kepada APICTA
4. Sejak diperkenalkan pada tahun 2004, BICTA telah berkembang menjadi platform utama inovasi ICT negara, yang menghimpunkan penyertaan daripada sektor kerajaan, industri, akademia serta individu berbakat.
5. Dalam edisi terakhir pada tahun 2025, sebanyak 180 penyertaan telah diterima, meningkat 13 peratus berbanding tahun sebelumnya. Daripada jumlah tersebut, 128 penyertaan telah disenarai pendek, sekali gus mencerminkan peningkatan ketara dari segi kualiti idea, kematangan produk serta tahap inovasi digital tempatan.
6. Lebih membanggakan lagi, melalui platform ini inovasi tempatan juga telah berjaya mengharumkan nama Negara Brunei Darussalam di peringkat serantau menerusi penyertaan dalam Asia Pacific ICT Awards atau APICTA, termasuk pencapaian satu kemenangan dan dua anugerah merit pada tahun 2025.
7. Pencapaian ini jelas menunjukkan bahawa BICTA berperanan sebagai wadah penting dalam menggalakkan inovasi dan kreativiti dalam industri ICT dalam kalangan individu, pelajar serta organisasi awam dan swasta. Melalui pertandingan ini, bakat digital anak tempatan bukan sahaja berpotensi di peringkat negara, malah berupaya untuk menembusi dan bersaing di peringkat antarabangsa.
8. Seperti mana lazimnya, para pemenang dan penyertaan BICTA yang terpilih akan berpeluang mewakili Negara Brunei Darussalam ke APICTA Awards, dan seterusnya bersaing dengan peserta dari kalangan 14 ahli ekonomi APICTA, insya Allah pada penghujung tahun ini.
9. Sebagai tanda komitmen dalam mengangkat inovasi tempatan ke pentas antarabangsa, Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia melalui Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Kementerian Pendidikan beserta AITI turut menyediakan sokongan antaranya, (tertakluk kepada terma dan syarat,) kepada para pemenang BICTA yang akan mewakili Negara Brunei Darussalam ke APICTA Awards, berupa penajaan tiket penerbangan, tempat penginapan, elaun harian serta perlindungan insurans perjalanan.
10. Sehubungan itu, pada kesempatan ini saya ingin menggalakkan para pelajar, individu yang kreatif serta para pengusaha yang mempunyai inspirasi tinggi untuk menyertai BICTA 2026 dan menyahut cabaran dalam menghasilkan inovasi serta ciptaan baharu yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat dan negara.
Kerjasama Padu Ekosistem ICT di Negara Brunei Darussalam
11. Kejayaan berterusan BICTA selama lebih dua dekad ini adalah hasil kerjasama erat dan padu antara pelbagai pihak khususnya Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, AITI dan InfoCom Federation Brunei dengan sokongan penting daripada Kementerian Hal Ehwal Ugama, Kementerian Pendidikan, BEDB dan pihak-pihak berkepentingan industri ICT di Negara Brunei Darussalam.
12. Sinergi whole-of-government dan whole-of-ecosystem inilah yang terus memperkukuh BICTA sebagai platform yang menyatukan inovator, pembangun teknologi serta pemimpin digital negara.
Anugerah Penaung Diraja 2026
Yang Berhormat Pengiran Dato serta hadirin dan hadirat sekalian,
13. Seiring dengan perkembangan landskap digital negara, tema BICTA 2026 pada tahun ini, “Innovate for a Digital Brunei”, mencerminkan evolusi perjalanan digital negara daripada memberi tumpuan kepada transformasi, kepada memacu inovasi yang mampu menghasilkan impak yang lebih besar kepada masyarakat dan ekonomi negara.
14. Ini adalah juga seiring dengan pengenalan (dimasa yang terdekat) Digital Brunei Transformation Plan, yang akan berperanan sebagai pemangkin utama dalam menyokong usaha kepelbagaian ekonomi negara, memperkasa tenaga kerja dengan kemahiran digital, serta memastikan keterangkuman dan kepercayaan digital terus diperkukuhkan dalam kalangan masyarakat.
15. Melalui bengkel Digital Brunei Transformation Plan yang telah diadakan pada bulan Ogos 2025 lepas bersama perunding antarabangsa, Long Street Advisors, pelbagai pandangan strategik telah diketengahkan bagi memperkukuhkan ekosistem inovasi digital negara. Aspirasi ini sejajar dengan tema BICTA 2026, “Innovate for a Digital Brunei”, serta visi dan misi BICTA dalam menggalakkan pembangunan inovasi tempatan yang mampu memberi impak kepada masyarakat dan ekonomi negara. Hasil daripada bengkel tersebut juga akan dikongsikan sebentar sahaja lagi, dan diharapkan perkongsian ini sedikit sebanyak dapat dimanfaatkan oleh para peserta dalam menghasilkan inovasi yang berasaskan bidang-bidang keutamaan yang mendokong ke arah merealisasikan aspirasi Digital Brunei.
16. Tahun 2026 ini juga merupakan tahun yang amat istimewa bagi BICTA kerana sekali lagi akan berlangsungnya Anugerah Penaung Diraja BICTA, yang diadakan setiap dua tahun sebagai pengiktirafan tertinggi terhadap kecemerlangan inovasi ICT tempatan. Trofi Penaung Diraja akan dianugerahkan kepada pemenang keseluruhan terbaik daripada kesemua sepuluh (10) kategori pertandingan daripada individu, pelajar-pelajar dari peringkat rendah, menengah sehingga ke peringkat pengajian tinggi, syarikat-syarikat perniagaan, agensi-agensi Kerajaan dan organisasi-organisasi yang berminat.
17. Penganugerahan Anugerah Penaung Diraja BICTA, insya Allah, akan disempurnakan oleh Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri selaku Penaung Diraja Brunei ICT Awards.
18. Ini tentunya merupakan satu penghormatan besar dan pada masa yang sama meletakkan jangkaan yang tinggi terhadap mutu penyertaan, kualiti inovasi serta kejayaan keseluruhan penganjuran BICTA 2026.
19. Sehubungan itu, majlis pelancaran pada hari ini menandakan permulaan perjalanan menuju ke acara kemuncak tersebut. Seperti tahun-tahun yang lalu, BICTA turut disokong dengan beberapa inisiatif seperti program BICTA Plus Bootcamp, iaitu sebuah program bimbingan dan latihan khusus bagi para peserta untuk meningkatkan kemahiran serta memperkukuh keupayaan mereka sebelum pertandingan.
20. Inisiatif ini bertujuan mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi perkembangan kreativiti dan daya saing peserta, bukan sahaja semasa pertandingan berlangsung, malah bagi memastikan inovasi yang dihasilkan berpotensi untuk berkembang secara mampan dalam jangka masa panjang.
Penutup
21. Bagi mengakhiri ucapan alu-aluan ini, sekali lagi Peramba/saya menjunjung kasih/berterima kasih atas keberangkatan Yang Berhormat Pengiran Dato dan kehadiran semua tetamu ke majlis ini. Peramba/saya juga ingin sekali lagi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas sokongan padu dan penglibatan pihak Kementerian Hal Ehwal Ugama, Kementerian Pendidikan, BEDB, serta ahli-ahli Jawatankuasa Pandu yang lain dalam sama-sama menggerakkan BICTA selaras dengan perkembangan teknologi dan aliran semasa.
22. Adalah menjadi harapan kitani bersama agar BICTA akan terus menjadi platform yang mencungkil bakat, mencetus inovasi serta melahirkan penyelesaian digital tempatan yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi digital Negara Brunei Darussalam.
23. Sebagai penutup, Peramba/saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada semua hadirin dan hadirat sekalian. Marilah kita sambut bulan Syawal dengan penuh kegembiraan, semoga hari raya tahun ini membawa kesyukuran untuk kitani semua. [Izinkan saya mengakhiri dengan serangkap pantun.]
Hujung Ramadan syahdu ber teka teki
Teropong bulan keputusan dipinta
Mari beramai ramai berinovasi
Negara Brunei Digital tujuan BICTA
Berjaur moreh Let’s Raya bermotosikal,
Singgah Qiyam Masjid penuh Gen Z vibe,
Walau jari menari katik swipe skrin digital,
Silaturrahim tetap meriah penuh raya vibe.
Sekian,
Wabillahi Taufik Wal Hidayah,
Wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.