Sign In
Sembah Alu-Aluan Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi di Majlis Anugerah ICT Brunei 2026
Sembah Alu-Aluan 

Majlis Anugerah ICT Brunei (BICTA) 2026


​Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Mohammed Riza Bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos
Menteri Pengangkutan Dan Infokomunikasi

Pada

 

Hari Khamis, 14 Rabiulawal 1448H / 27 Ogos 2026

 

Semasa

 

Majlis Anugerah BICTA 2026

 

Bertempat di Dewan Plenari

Pusat Persidangan Antarabangsa




Bismillahir Rahmanir Rahim
Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wassalaatu Wassalaamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidinaa Muhammadin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een.
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

MENGADAP Kehadapan Majlis Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri selaku Penaung Diraja Brunei ICT Awards (BICTA).

Beribu ampun,
Alhamdulillah, abis hamba Duli Tuanku memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata‘ala kerana dengan izin dan limpah rahmat-Nya jua, Majlis Anugerah Brunei ICT Awards atau BICTA 2026 dapat diadakan pada pagi ini.

Hamba Duli Tuanku, bagi mewakili Ahli-Ahli Jawatankuasa Pandu dan Jawatankuasa Kerja BICTA 2026, dengan penuh hormat dan takzim menyembahkan setinggi-tinggi menjunjung kasih atas keberangkatan Duli Tuanku pada majlis ini, dan seterusnya berkenan menyempurnakan pengurniaan hadiah serta Anugerah Penaung Diraja BICTA.

Keberangkatan Duli Tuanku setentunya memberikan makna dan penghormatan yang amat besar kepada BICTA, khususnya kepada para peserta dan penerima anugerah yang diraikan pada pagi ini.

KOMITMEN MENTRANSFORMASIKAN INOVASI KEPADA IMPAK

Beribu Ampun,
Alhamdulillah, disembahkan bahawa BICTA 2026 telah menerima sebanyak 328 penyertaan, iaitu peningkatan sekitar 70 peratus berbanding tahun sebelumnya. Ini mencerminkan minat dan semangat penyertaan yang semakin meluas dalam bidang teknologi dan inovasi.

Fasa seterusnya ialah memastikan idea yang baik mempunyai laluan yang jelas untuk menghasilkan impak. Inovasi yang berjaya bukan hanya yang mendapat pengiktirafan, tetapi yang mampu menangani keperluan sebenar, meningkatkan produktiviti, memperbaiki penyampaian perkhidmatan serta menghasilkan nilai kepada masyarakat dan ekonomi.
Sehubungan itu, inovasi akan diterjemahkan sebagai penyelesaian yang boleh diguna pakai dan memberikan manfaat yang jelas, selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035 untuk membentuk ekonomi yang dinamik dan mampan, di samping melahirkan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya.

ASPIRASI INOVASI SEBAGAI TANGGUNGJAWAB BERSAMA

Beribu Ampun,
Membangunkan ekosistem inovasi memerlukan pendekatan whole-of-government dan whole-of-nation, dengan Kerajaan, industri, institusi pendidikan dan penyelidikan, perusahaan serta bakat tempatan memainkan peranan masing-masing.
- Kerajaan akan menyediakan dasar, peraturan, infrastruktur dan persekitaran yang kondusif. 
- Industri membawa keperluan pasaran dan keupayaan untuk mengkomersialkan serta memperluaskan penyelesaian. 
- Institusi pendidikan dan penyelidikan menyumbang kepakaran, penyelidikan dan pembangunan bakat, manakala bakat tempatan membawa idea dan penyelesaian baharu.

Apa yang penting disini ialah memastikan keupayaan tersebut diterjemahkan kepada penyelidikan, pembangunan dan inovasi bagi membangun negara.

Kerajaan dan industri juga boleh menjadi early adopters kepada penyelesaian tempatan yang berpotensi, dengan menyediakan ruang ujian dan peluang penggunaan awal bagi membuktikan keberkesanannya.

ASPIRASI KEUTAMAAN NEGARA MEMACU INOVASI

Beribu Ampun,
Bagi negara dengan skala seperti Negara Brunei Darussalam, kita mempunyai fokus yang jelas. Penyelidikan dan inovasi akan ditumpukan kepada bidang yang memberikan nilai strategik dan impak yang bermakna kepada negara.

National priorities must drive innovation.

Pada masa yang sama jua, agenda inovasi memerlukan ruang untuk ber-eksperimen secara bertanggungjawab. Idea akan terus dinilai dan diperbaiki berdasarkan bukti serta keperluan semasa.

ASPIRASI BICTA: DARIPADA PENGIKTIRAFAN KEPADA IMPAK

Beribu Ampun,
Dalam konteks ini, BICTA akan terus berkembang daripada sebuah platform pengiktirafan kepada sebuah platform yang membuka laluan kepada peluang seterusnya. Oleh itu,
- Penyelesaian yang mempunyai potensi akan diberi peluang untuk diuji; 
- Yang sudah terbukti berkesan akan diperkasa untuk dilaksanakan dengan lebih meluas; 
- manakala yang sudah matang akan dibantu menembusi pasaran yang lebih luas.

Kita mahu melihat inovasi tempatan bukan sahaja dipamerkan pada hari penganugerahan, bahkan digunakan dalam organisasi, perusahaan, perkhidmatan dan industri. Pada akhirnya, kemajuan teknologi dan inovasi negara akan diukur bukan sahaja melalui apa yang dapat dibangunkan, tetapi juga melalui sejauh mana penyelesaian tersebut digunakan dan memberikan hasil yang nyata.

Dalam pada itu, usaha membina masyarakat yang celik teknologi akan disokong melalui pengukuhan penyelidikan, pembangunan dan pembudayaan inovasi. Hal ini selaras dengan NKPI Wawasan Brunei 2035, termasuk sasaran perbelanjaan Penyelidikan dan Pembangunan sebanyak satu peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), serta peningkatan pengiktirafan dan anugerah yang diterima oleh warga tempatan di peringkat antarabangsa dalam bidang sains dan teknologi.

Bagi mencapai hasrat tersebut, MTIC akan terus komited memperkukuh keterhubungan digital yang berkualiti, menggalakkan penggunaan teknologi secara bertanggungjawab serta bekerjasama dengan kementerian dan agensi berkaitan bagi memastikan transformasi digital diterjemahkan kepada perkhidmatan yang lebih baik, dipercayai dan berpusatkan rakyat, insyaAllah.

Beribu Ampun,
Sebelum hamba Duli Tuanku menjunjung anugeraha berundur diri, hamba Duli Tuanku dengan penuh hormat dan takzim sekali lagi menyembahkan setinggi-tinggi menjunjung kasih atas keberangkatan Duli Tuanku ke Majlis Anugerah BICTA 2026 pada pagi ini.

Hamba Duli Tuanku menjunjung sabda perkenan untuk merakamkan penghargaan kepada Ahli-Ahli Jawatankuasa Pandu dan Jawatankuasa Kerja BICTA 2026, para hakim, penaja, institusi pendidikan, peserta serta semua pihak yang telah menjayakan BICTA pada tahun ini.

Kepada semua peserta dan penerima anugerah, tahniah atas usaha-usaha dan pencapaian masing-masing. Semoga pengiktirafan pada hari ini menjadi landasan kepada langkah seterusnya untuk menghasilkan penyelesaian yang memberikan manfaat kepada negara.

Hamba Duli Tuanku juga menjunjung perkenan untuk menzahirkan penghargaan dan terima kasih atas kehadiran Timbalan-Timbalan Menteri, ketua-ketua perwakilan negara-negara sahabat, pegawai-pegawai kanan serta semua yang hadir.

Pada mengakhiri sembah alu-aluan ini, hamba Duli Tuanku dengan penuh hormat dan takzim menyembahkan berbanyak-banyak menjunjung ampun sekiranya terdapat sebarang suruk langkah dan tutur kata yang kurang manis dalam sembah alu-aluan hamba Duli Tuanku dan sepanjang berlangsungnya majlis pada pagi ini.

Sekian.
Wabillahit Taufiq Wal-hidayah,
Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Hamba Duli Tuanku menjunjung anugeraha



Attachments
Speeches