Sign In
Mobirise Web Builder
Majlis Penutupan Rasmi Musabaqah Tilawah Al-Quraan Pengajian Tinggi Serantau

Dewan Raya Radio Televisyen Brunei 

Hari Sabtu, 24 Muharram 1429 Bersamaan 2 Februari 2008

Bismillahi Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wassalaatu Wassalaamu ‘Ala Asyrafil Anbiyae Walmursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihiee Wasahbihee Ajma’een.

Yang Mulia Dr Hj Md Yusof bin Hj Awang Damit, Timbalan Rektor,

Yang Mulia Penasihat Akademik UNISSA,

Pengarah-Pengarah,

Dif-dif yang dihormati,

Peserta-peserta musabaqah, hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian.

Assalamu’alaikum WarahmatulLahi Wabarakatuh

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dengan izin dan limpah rahmatNya jua, kita semua dapat berkumpul pada malam ini bagi sama-sama meraikan majlis penyampaian hadiah dan penutupan rasmi musabaqah Tilawah Al-Quran Pengajian Tinggi Serantau yang diadakan khusus bersempena dengan Penubuhan Universiti Islam Sultan Sharif Ali.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pengerusi dan Ahli-ahli Jawatankuasa Musabaqah Tilawah Al-Quraan Pengajian Tinggi Serantau, Universiti Sultan Sharif Ali kerana mengambil inisiatif dalam mengungkayahkan majlis  musabaqah tilawah Al-Quraan bagi institusi Pengajian Tinggi serantau ini.  Inisiatif yang mulia ini perlu disanjung tinggi bagi menempatkan darjat Al-Quraan, kitab suci yang maha agung dan sumber segala ilmu pengetahuan ditempat yang selayaknya. Ini adalah selaras dengan peranan Universiti sebagai gedung ilmu pengetahuan dan penjana perkembangan dan kemajuan ilmu dunia dan akhirat.

Dalam masa yang sama usaha ini juga akan membuka laluan bagi UNISSA untuk memperkenalkan diri dan membina imej diri serta merapatkan hubungan silaturrahim dengan institusi-institusi pengajian tinggi di rantau ini sebagai langkah awal kearah membina hubungan kerjasama dalam pelbagai aktiviti akademik antara Universiti Islam Sultan Sharif Ali dengan universiti dan Pusat Pengajian Tinggi di rantau ini. Majlis seperti ini juga memberi kesempatan kepada kita untuk mendengar, membaca dan merenung ayat-ayat suci Al-Quraan yang ditilawahkan dan seterusnya menghayati ajaran-ajaran yang terkandung di dalamnya.

Hadirin dan hadirat sekalian,

Jika kita merujuk kepada Al-Quraan, kita akan mendapati banyak ayat-ayat yang merujuk kepada ilmu dan tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan dunia akademik.  Kedudukan ilmu dalam Islam begitu tinggi dan begitu jugalah dengan kedudukan orang-orang yang berilmu di mana ayat 11 dalam surah al-Mujadalah menegaskan:

 

Allah mengangkat orang-orang yang beriman dan berilmu pengetahuan beberapa darajaat ….. (beberapa tingkat melebih yang lain).

Dalam surah az-Zumar ayat 9 pula, Allah membuat pertanyaan tentang adakah orang-orang yang berpengetahuan itu sama dengan orang-orang yang tidak berpengetahuan.

 

Sehubungan dengan kepentingan ilmu itu, kita boleh mendapati bukan sedikit ayat-ayat Al-Quran yang mengajak manusia lebih-lebih lagi Umat Islam agar membaca, menulis, berfikir, merenung dan juga menganalisa.  Perkataan-perkataan seperti Iqra ( (اقرء bacalah, tidakkah kamu berakal? ( ) tidakkah kamu berfikir, dan ayat-ayat yang memuji Ulul-albab (mereka yang berpengetahuan setelah mereka membuat kajian)… semuanya menunjukkan betapa pentingnya pembelajaran dan pengkajian.

Sungguh pun Al Quraan memerintahkan manusia untuk membaca dan menekankan akan kepentingan membaca sebagai satu kemahiran, dan walaupun ayat ini telah diturunkan lebih 1400 tahun yang lalu, namun sekarang kita masih menyaksikan satu perlima dari penduduk dewasa dunia tidak tahu membaca dan menulis ataupun illiterate. Illiteracy masih lagi menjadi satu masaalah yang di hadapi bukan sahaja oleh Negara membangun tetapi juga oleh Negara-negara maju, dan tidak terkecuali Negara-negara Islam. UNESCO telah meminta Negara-negara menyediakan sejumlah  peruntukan bagi mengatasi masaalah ini.

Sebagai sebuah universiti baharu, UNISSA mempunyai peluang dan kesempatan untuk membina tapak yang kukuh dan strategik sebagai asas perkembangan masa depan yang cemerlang. Dalam hubungan ini saya berharap UNISSA tidak sahaja akan menumpukan perhatian kepada memperkembangkan pengajian atau kursus undergraduate, tetapi dalam waktu yang sama terus membina pengajian pascaijazah dan memberikan tumpuan kepada penyelidikan.

Kecemerlangan sebuah universiti sering dikaitkan dengan kecemerlangan dalam penyelidikan. Kecemerlangan dalam penyelidikan pada lazimnya menjadi sukat-sukat untuk menentukan kedudukan sesebuah universiti sebagai sebuah universiti yang ternama dan mempunyai prestige. Pentingnya penyelidikan dan perkembangan (research and development) kepada sebuah universiti sudah dimaklumi. Sumbangan penyelidikan dan perkembangan kepada kemajuan Negara juga sudah dimaklumi. Penekanan kepada ilmu pengetahuan dan penyelidikan dalam Al-Quraan juga sudah diketahui.

Kerana itu adalah wajar sebagai sebuah universiti yang berteraskan kepada Islam dan Al-Quraan untuk kita memanfaatkan ilmu dari Al-Quraan bagi menuju kecemerlangan.  Bagi tujuan ini adalah amat penting untuk mengenal pasti akan bidang yang mempunyai kekuatan dan niche kepada kita di Negara ini untuk dipelopori, diteroka dan dimajukan.

Pada masa ini kita sedang menyaksikan kegigihan dan kesungguhan orang-orang bukan Islam mempelajari dan menyelidiki ilmu Islam seperti yang berkaitan dengan kewangan Islam. Jika kita alpa dan lalai dalam sama-sama mengejar ilmu ini, tidak mustahil pada suatu masa nanti ilmu ini akan dikuasai oleh orang bukan Islam sebagaimana juga dengan ilmu-ilmu yang lain yang pada  asalnya dipelopori oleh ahli ilmuan Islam. 

Janganlah kita selaku umat Islam hanya terus berbangga menjadi pemilik dan pewaris kepada kitab suci Al-Quraan yang mulia ini tetapi tidak memanfaatkan kandungannya.

Tradisi mengkaji dan kemudian menuangkan hasil kajian ke dalam tulisan yang diamalkan ulama-ulama Islam berabad-abad yang lalu menjadikan ilmu-ilmu Islam berkembang di seluruh dunia.  Tradisi seperti inilah yang perlu dihidupkan, dipupuk dan dikembang suburkan di kalangan mahasiswa dan mahasiswi institusi pengajian tinggi hari ini lebih-lebih lagi di negara kita agar institusi pengajian tinggi dapat melahirkan generasi berilmu dan pemikir.

Oleh itu saya menyeru semua pelajar lebih-lebih lagi siswa dan siswi institusi pengajian tinggi untuk lebih mendekatkan diri kepada Al-Quran, bukan sahaja untuk dibaca tetapi yang paling mustahak sekali untuk memahami isi kandungannya, menggali pengetahuan yang tersembunyi yang tersirat dari simpulan ayat-ayatnya yang indah.

Al-Quran merupakan sumber ilmu dan hikmah yang meskipun dibaca berulang-ulang kali senantiasa dapat mencetuskan bahan pemikiran yang baru. Ilmu pengetahuan yang terkandung di dalamnya mempunyai nilai yang terlalu tinggi dan jika saja setiap umat Islam dapat memanfaatkannya maka umat Islam akan menjadi lebih cemerlang dan kuat. Kerana itu sekali lagi saya tekankan jadikanlah Al-Quran sebagai sumber ilmu dan sumber berfikir, sebagai rujukan dalam semua perkara untuk mencapai kecemerlangan hidup di dunia dan di akhirat.

Bagi mengakhiri ucapan ini, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada semua peserta musabaqah yang telah tampil mewakili institusi pengajian masing-masing..

Kepada pihak penganjur sekali lagi saya mengucapkan tahniah atas kejayaan menjayakan menggendalikan musabaqah ini dan semoga usaha ini akan dapat diteruskan dari masa ke semasa bagi mengeratkan hubungan antara institusi pengajian di rantau ini.

Dengan mendahulukan kalimah Bismillahirahman nir rahim, saya rasmikan Majlis Penutupan Musabaqah Tilawah Al-Quraan Pengajian Tinggi Serantau ini.

Sekian, wabillahit Taufik Wal Hidayah Wassalam Mu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.​

Attachments
Speeches