Ibu Pejabat Jabatan Pengangkutan Darat
Negara Brunei Darussalam
Hari Isnin, 4 Safar 1429 Bersamaan 11 Februari 2008
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Bismillahirahman nir rahim
Yang
Mulia Awang Mohammad Riza bin Dato Paduka Hj Mohd Yunos, Pemangku
Pengarah Pengangkutan Darat selaku Pengerusi Lembaga Melesen
Pengangkutan Bermotor,
Yang
Mulia Awang Haji Alaihuddin bin Pehin Orang Kaya Digadong Seri Lela
Dato Seri Utama Haji Awang Mohammad Taha, Setiausaha Tetap Kementerian
Perhubungan,
Yang Mulia Ahli-Ahli Lembaga Melesen Pengangkutan Bermotor,
Pengarah-Pengarah dan Pegawai-Pegawai Kanan yang dihormati sekalian.
Terlebih
dahulu saya sukacita mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua
ahli-ahli Lembaga Melesen Pengangkutan Bermotor yang baharu dilantik
bagi tempoh lantikan selama tiga tahun mulai 1 Januari 2008. Saya juga
menerusi kesempatan ini sukacita merakamkan ucapan terima kasih dan
setinggi-tinggi penghargaan kepada bekas Pengarah Pengangkutan Darat dan
ahli-ahli Lembaga Melesen Pengangkutan Bermotor yang tempoh lantikan
mereka baharu sahaja berakhir, diatas sumbangan mereka. Semoga segala
sumbangan mereka itu akan diterima oleh Allah Subhanhu Wata’ala sebagai
amal kebajikan jua.
Kepada
ahli-ahli Lembaga yang baharu dilantik, saya dengan ikhlas berharap
semoga ahli-ahli akan dapat melaksanakan tugas dan tanggong jawab ini
dengan adil, jujur dan amanah.
Lembaga
ini ditubuhkan dan dilantik dibawah peruntukan Road Traffic Act Chapter
68 dengan bidang tugas yang telah ditetapkan. Oleh yang demikian adalah
amat mustahak supaya Lembaga ini dalam menjalankan tugas dan tanggung
jawabnya melaksanakannya berasaskan kepada undang-undang dan peraturan.
Dalam membuat sesuatu pertimbangan, pertimbangan itu mestilah dibuat
berlandaskan kepada peraturan dan undang-undang dan dilaksanakan secara
saksama tanpa mengira latar belakang pemohon. Janganlah ragu-ragu dan
takut-takut untuk memberikan pandangan yang membina berasaskan
undang-undang, peraturan dan kebenaran.
Sektor
pengangkutan baik, udara, darat maupun maritim adalah sektor yang
penting dan salah satu sektor yang berkembang terutama di rantau Asia
Pasifik yang sekaligus boleh menyumbang kepada peningkatan dan kemajuan
ekonomi. Menyedari akan hakikat ini, maka Kebawah Duli Yang Maha Mulia
Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam
semasa sambutan Hari Keputeraan Baginda yang ke 56 tahun telah bertitah
supaya usaha-usaha dilaksanakan bagi mempelbagaikan ekonomi melalui
bidang pengangkutan darat di Negara ini dan memudahkan cara pengangkutan
barangan dan pengangkutan awam secara lintas batas di Negara ini dengan
Negara jiran.
Selaras
dengan ini Kementerian Perhubungan dalam Perancangan Strategik 2008 -
2017 telah meletakkan visinya bagi mengujudkan industri pengangkutan dan
komunikasi yang sentiasa berkembang dan berpanjangan (sustainable) dan
menyediakan Negara Brunei Darussalam sebagai hub yang kompetitif,
berkesan dan penting di rantau BIMP-EAGA.
Kearah
merealisasikan visi ini, Lembaga Melesen Pengangkutann Bermotor pula
telah memilih visinya untuk menyumbang kearah sistem kenderaan darat
yang berkesan, “sustainable” dan bersepadu melalui perlesenan kenderaan
awam yang efisien. Berasaskan visi ini Lembaga telah menentukan
matalamat atau objektifnya untuk “mengeluarkan permit dan franchise
perkhidmatan pengangkutan awam dan barangan dengan berkesan dan efisien
dari segi pelaksanaan permohonan di samping mengembangkan industri
pengangkutan” dengan selamat, manatap dan bersepadu.
Dalam
hubungan ini, Lembaga ini ditubuhkan bagi membantu Pengarah
Pengangkutan Darat, Jabatan Pengangkutan Darat dan Kementerian
Perhubungan untuk melaksanakan usaha-usaha kearah mencapai visi dan
matalamat Kementerian dan Jabatan dalam mengembangkan industri
pengangkutan supaya industri ini dapat menyumbang kepada perkembangan
dan kemajuan sektor-sektor lain dan dalam masa yang sama menyumbang
kepada pertumbuhan ekonomi Negara.
Kearah
ini Lembaga ini mempunyai cabaran-cabaran iaitu dari segi bagaimana
Lembaga ini akan dapat menjadi pemudahcara bagi mengembangkan industri
pengangkutan di Negara ini dengan mengambil kira aspek pelaksanaan yang
cekap, selamat, sustainable dan bersepadu.
Dalam
masa yang sama, saya juga berharap Lembaga ini tidak sahaja akan
membuat pertimbangan kepada perkara-perkara routine yakni menimbangkan
permohonan-permohonan permit dan franchise pada masa ini, tetapi
mestilah juga peka dengan perkembangan masa hadapan Negara ini di bidang
pengangkutan. Alhamdulillah dengan taraf hidup yang tinggi dan harga
kereta yang berpatutan, kita mempunyai ratio yang rendah dalam pemilikan
kereta iaitu 1:2, satu kenderaan bagi setiap dua orang penduduk.
Dengan jalanraya yang ada, jika trend ini berterusan tidak mustahil kita
akan menghadapi masalah kesesakan jalan raya. Pada waktu itu,
kemungkinan kita akan mengenakan peraturan-peraturan tertentu bagi tidak
menggalakkan kenderaan memasuki kawasan-kawasan tertentu pada
waktu-waktu tertentu. Sehubungan ini dan sebelum kita menghadapi keadaan
itu, kita mesti secara serius pada masa ini meneliti keperluan
mempertingkatkan perkhidmatan pengangkutan awam atau bas awam. Bagaimana
perkhidmatan awam akan dapat membantu mobility orang ramai dengan
cekap, efisien dan reliable. Ini bukan suatu yang baru. Di negara maju
sendiri masih meningkatkan usaha membaiki dan meningkatkan perkhidmatan
pengangkutan awam mereka.
Demikian
juga dalam membantu perkembangan industri pelancungan, kita masih
menghadapi masalah mengenai dengan teksi. Saya penuh berharap Lembaga
ini akan dapat menjadikan perkara ini sebagai agenda untuk diselesaikan.
Di
dalam kesempatan ini juga saya ingin mengongsikan hasil perundingan di
peringkat serantau yang telah dijalankan dimana negara-negara di rantau
BIMP-EAGA, Negara Brunei Darussalam, Malaysia, Indonesia dan Filipina
telah menandatangani “MOU on Cross-Border Movement of Commercial Buses
and Coaches” yang bertujuan untuk memudahcara perjalanan dan
pengangkutan penumpang bagi perjalanan lintas batas atau “cross-border”
menggunakan bas-bas komersial. Persefahaman ini akan membolehkan bas
dari Sabah, Sarawak dan Kalimantan memasuki Brunei Darussalam dengan
cara berjadual dan perkhidmatan pengangkutan penumpang dapat
dipertingkatkan.
Apa
yang ingin saya gariskan adalah persefahaman ini telah memberikan
laluan bagi membuka peluang-peluang dan potensi perniagaan di dalam
sektor ini. Dengan persafahaman ini juga, proses dan prosedur akan
menjadi lebih mudah dan setentunya akan turut melancarkan urusan para
pengendali operasi. Saya berharap pihak Lembaga Melesen Pengangkutan
Bermotor serta para pengusaha sekalian akan memainkan peranan
masing-masing dengan penuh rasa tanggungjawab serta semangat kerjasama
bersama rakan-rakan dari negara jiran.
Saya berharap kita akan dapat menjadikan ini satu priority supaya peluang ini tidak akan direbut oleh orang lain.
Hadirin dan hadirat sekalian,
Saya
ingin mengucapkan tahniah kepada ahli-ahli baru Lembaga Melesen
Pengangkutan Bermotor yang akan mula bersidang bagi Sesi Baru 2008-2010
pada hari ini. Saya penuh percaya dengan lantikan dan sumbangan para
ahli Lembaga sekalian, Lembaga Melesen Pengangkutan Bermotor akan
menjadi lebih cemerlang di dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab
yang diamanahkan.
Dengan
mendahulukan kalimah Bismillahir Rahmanir Rahim, saya sukacita
melancarkan Mesyuarat Lembaga Melesen Pengangkutan Bermotor Bagi Sesi
2008-2010.
Sekian, wabillahi taufik wal hidayah, wassalamu alaikum warahmatuLlahi wabarakatuh.