TEKS UCAPAN
YANG BERHORMAT PEHIN ORANG KAYA HAMZAH PAHLAWAN DATO SERI SETIA AWANG HAJI ABDULLAH BIN
BEGAWAN MUDIM DATO PADUKA HAJI BAKAR,
MENTERI PERHUBUNGAN
PADA HARI KHAMIS 29 RABIULAKHIR 1433 / 24 MAC 2012
BERTEMPAT DEWAN MAHLIGAI AIRPORT MALL BRUNEI DARUSSALAM
"Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarkatuh.
Bismillah Hir-Rahman Nir-Rahim.
Alhamdullilahi
Rabbil ‘Alameen Wasaalatu Wassalamu ‘Ala Asyrafil Ambiae Walmursaleen,
Saidina Muhammadin Wa’alaa Aalihiee Wasahbihee Ajama’een.
Yang
Mulia Dato Paduka Haji Awang Alaihuddin bin Pehin Orang Kaya Digadong
Seri Lela Dato Seri Utama Haji Awang Mohammad Taha, Setiausaha Tetap
Kementerian Perhubungan.
Yang
Mulia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka
Haji Mohd Yusof, Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Perhubungan.
Yang
Mulia Pengiran Haji Mohd Zain Bin Pengiran Haji Abd Razak Pemangku
Pengarah Penerbangan Awam, selaku Pengerusi majlis pelancaran Sambutan
Hari Kajicuaca Sedunia tahun 2012
Yang
Mulia Pengarah-pengarah, Ketua-ketua Jabatan, Timbalan-timbalan Ketua
Jabatan, Pegawai-pegawai kanan kerajaan, jemputan-jemputan khas serta
hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian.
Alhamdulillah,
segala puji-pujian bagi Allah Subahanahu Wataala, yang telah
mengizinkan kita berkumpul sekali lagi pada pagi ini di majlis
pelancaran sambutan hari kajicuaca sedunia bagi tahun 2011, selawat
serta salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad Sallahu ‘Alaihi
Wassalam, kaum kerabat dan para sahabat serta pengikut-pengikut Baginda
yang jujur lagi setia hingga ke akhir zaman.
Terlebih
dahulu saya sukacita mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada
Pemangku Pengarah Penerbangan Awam selaku pengerusi majlis atas daya
usaha mengadakan majlis yang berkebajikan ini dan kerana menjemput saya
selaku tetamu kehormat.
Tema Hari Kajicuaca Sedunia
Setiap
tahun, pada 23hb Mac, Pertubuhan Kajicuaca Sedunia (WMO) dan 189
negara-negara ahli komunitinya di seluruh dunia merayakan Hari Kajicuaca
Sedunia dengan memilih satu tema yang menjurus kepada keadaan ataupun
kesan cuaca dan iklim. Tema yang dipilih oleh Majlis Eksekutif WMO bagi
Hari Kajicuaca Sedunia bagi tahun 2012 ialah “Powering Our Future with
Weather, Climate and Water” ataupun “Kita Perkasakan Masa Depan Kita
dengan Cuaca, Iklim dan Air” .
Tema
ini amat bersesuaian sekali pada tahun ini kerana Kongress Kajicuaca
Sedunia kali ke-16 (the Sixteenth World Meteorological Congress) pada
tahun 2011 telah sebulat suara bersetuju untuk melancarkan satu Rangka
Kerja Global bagi Perkhidmatan Iklim (Global Framework for Climate
Services (GFCS)) pada tahun 2012, sebagai respon kepada mandat
Persidangan Iklim Sedunia kali ke-3 (Third World Climate Conference)
yang berlangsung pada musim panas tahun 2009 dan kesenimbungan kepada
dua persidangan bersejarah bagi Persidangan Iklim Sedunia yang diadakan
oleh WMO dengan beberapa rakan pertubuhan antarabangsa lain pada tahun
1979 dan 1990.
Saya
difahamkan bahawa sasaran utama GFCS adalah untuk membolehkan
pengurusan risiko kepelbagaian dan perubahan iklim dan adaptasi kepada
perubahan iklim, melalui pembangunan dan penerapan maklumat dan ramalan
iklim berasaskan sains kepada perancangan, dasar dan amalan
peringkat global, serantau dan nasional. Ada empat teras keutamaan GFCS
meliputi pengurangan risiko bencana, air, kesihatan dan keselamatan
makanan. Negara Brunei Darussalam menyokong dan menyambut baik terhadap
usaha WMO dalam mengadakan Rangka Kerja Global bagi Perkhidmatan Iklim
ini.
Sememangnya
pengurangan risiko bencana sudah bertahun-tahun menjadi keutamaan bagi
WMO dan Perkhidmatan Kajicuaca dan Hidrologi Kebangsaan dan akan
berterusan menjadi demikian, terutama sejak komuniti yang terdedah di
seluruh dunia sedang berusaha keras untuk meningkatkan keberkesanan
mereka dalam mencegah atau mengurangkan kesan bencana alam. Pada tahun
2010 saja dianggarkan dunia mengalami kerugian sekitar US$108.5 billion
akibat dari kejadian bencana alam. Hampir 90 peratus sejak 50 tahun yang
lalu berkaitan dengan cuaca, iklim dan pencemaran dan kekurangan air.
Bilangan komuniti yang terdedah ini telah meningkat sejak sedekad yang
lalu disebabkan oleh peningkatan urbanisasi, peralihan peduduk ke
kawasan yang lebih rapuh, seperti pesisiran pantai, kawasan rendah,
kawasan kering, mega delta dan dataran banjir.
Isu
ini menjadi kritikal dengan peningkatan dalam kekerapan dan intensiti
beberapa peristiwa ekstrim yang dijangkakan berlaku seperti didalam
laporan Penilaian Keempat Panel Antara Kerajaan tentang Perubahan Iklim
(Inter-Governmental Panel on Climate Change (IPCC)). Sewajarnya, pembuat
keputusan dan pengurus tindak balas kecemasan akan semakin memerlukan
lebih banyak dan lebih baik maklumat cuaca dan air dan perkhidmatan
iklim untuk merumuskan pelan kontigensi yang paling sesuai.
Kaitan tema dengan Jabatan dan Kementerian
Kollaborasi
pembentukan satu rangka kerja antarabangsa baru tentang perkhidmatan
iklim (GFCS) kelolaan WMO dan akan dilancarkan pada tahun 2012 ini,
setentunya dapat memberikan banyak faedah kepada Perkhidmatan Kajicuaca
Kebangsaan di seluruh dunia sama ada dari negara-negara maju mahupun
negara-negara sedang membangun terutamanya dari segi penyebaran maklumat
dan ramalan iklim yang berasaskan sains dan mengikut kehendak
pelangan. Kita tahu fenomena cuaca dan iklim ekstrem tidak mengenal
garis sempadan sesebuah negara, oleh demikian kerjasama serantau dan
sejagat dalam sama-sama menangani hal-hal yang berkaitan cuaca dan iklim
merupakan satu keperluan dan langkah yang wajar.
Dalam
pada itu, Kementerian Perhubungan, melalui Bahagian Perkhidmatan
Kajicuaca, Jabatan Penerbangan Awam sememangnya mempunyai kepentingan
dan sumbangan yang amat penting dalam pemantauan, pemberian maklumat dan
ramalan cuaca dan iklim serta amaran kejadian cuaca ekstrem diperingkat
nasional kepada orang ramai dan pihak-pihak yang berkepentingan
termasuklah Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC), Jabatan Bomba
dan Penyelamat, Pejabat-pejabat Dearah dan Radio Televisyen Brunei
(RTB).
Kejadian bencana di Negara Brunei Darussalam
Alhamdulillah
dari banyak segi Negara Brunei Darussalam pada dasarnya terlindung dari
kejadian-kejadian bencana alam yang besar seperti apa yang berlaku di
negara-negara jiran misalnya kejadian taufan, gempabumi, tsunami dan
banjir menyebabkan kehilangan banyak jiwa dan kerugian harta benda yang
meluas. Namun begitu ada beberapa kejadian cuaca ekstrem yang berprofil
tinggi pernah melanda negara yang membuktikan bahawa negara ini tidak
terkecuali dari mengalami becana alam seperti:-
1. Kemarau panjang berserta jerebu rentas sempadan dan kebakaran hutan pada 1997/98;
2. Angin kencang Daerah Brunei Muara pada 23 Julai 2007;
3. Banjir kilat dan tanah susur melibatkan banyak kawasan di negara ini pada 20-21 Januari 2009.
Berdasarkan
41 tahun data turunan hujan Stesen Pencerapan Kajicuaca Lapangan
Terbang Antarabangsa Brunei (1970-2011) bahawa kekerapan turunan hujan
lebat harian bernilai ≥40 mm menunjukkan tren meninggi. Pada tahun 2008,
2009 dan 2010 merekodkan kekerapan yang tertinggi iaitu 27, 26 dan 39
berbanding dengan purata jangka panjang 19 kekerapan. Statistik ini
memperlihatkan bahawa kekerapan kejadian hujan lebat yang membawa risiko
banjir kilat semakin kerap berlaku.
Kejadian-kejadian
seumpama ini memberikan ikthibar pada kita bahawa negara perlu
meningkatkan kapasiti sistem pemantauan dan amaran awal kejadian cuaca
ekstrem. Dalam hal ini saya mengambil maklum dan menghargai usaha-usaha
Jabatan Penerbangan Awam meningkatkan pasarana melalui projek-projek
yang menjurus kepada peningkatan kapasiti pemantauan dan amaran awal
kejadian cuaca ekstrem dibawah rancangan kemajuan negara 2007-2012
seperti penyediaan sistem-sistem baru khususnya Doppler Surveillance
Weather Radar (DSWR), System Wind Profiling and Echo Registering
(SWiPER) dan Low Level Wind Shear Alert System (LLWAS).
Keseluruhan
bagi ketiga-tiga projek ini bernilai B$19.5 juta ringgit. Dihasratkan
melalui ketiga-tiga sistem yang baru ini akan dapat meningkatkan lagi
kemampuan Perkhidmatan Kajicuaca, Jabatan Penerbangan Awam dalam
memantau kejadian-kejadian cuaca yang berbahaya seperti hujan lebat,
angin kencang, hujan berangin ribut dan ribut petir serta dapat
mengeluarkan amaran awal tentang kejadian cuaca ekstrem demi untuk
keselamatan operasi penerbangan, orang awam dan harta benda.
Kapasiti Sumber Tenaga Manusia
Pasarana
yang moden dan canggih ini perlulah ditangani oleh tenaga
Pegawai-pegawai yang berkemahiran tinggi. Kita tahu bahawa kejayaan dan
keberkesanan sesebuah organisasi saintifik banyak bergantung kepada dua
faktor utama iaitu sumber tenaga manusia dan pasarana yang mencukupi
serta kondusif.
Terbukti
bahawa sumber tenaga manusia yang berkemahiran tinggi, innovatif,
dinamik, progresif dan berdaya saing dalam sesebuah organisasi akan
dapat memacu kemajuan dan menangani arus cabaran era globalisasi dan
teknologi info-komunikasi (ICT) yang berpaksikan ilmu pengetahuan. Saya
difahamkan bahawa Perkhidmatan Kajicuaca, Jabatan Penerbangan Awam maseh
lagi kekurangan tenaga pakar dalam bidang-bidang tertentu seperti radar
dan satelit cuaca, ramalan cuaca berangka dan climate modelling. Dalam
hal ini saya menyeru supaya Perkhidmatan Kajicuaca, Jabatan Penerbangan
Awam mengandakan usaha dalam merealisasikan pelan strategik kearah
meningkatkan kapasiti sumber tenaga manusia yang berkemahiran tinggi
untuk jangka masa pendek, sederhana dan panjang.
Pengukuhan Struktur Organisasi Perkhidmatan Kajicuaca
Seiring
dengan perkembangan semasa dan peredaran zaman bahawa Perkhidmatan
Kajicuaca, Jabatan Penerbangan Awam juga mengalami pertambahan bidang
tugas dan tanggungjawab dan perkembangan melangkaui mandat asalnya.
Dalam era lewat 60an dan tahun 70an hanya memfokuskan kepada
perkhidmatan kajicuaca penerbangan (aeronautical meteorology) dan
bermula dari tahun 80an ianya telah diperluaskan untuk memenuhi kehendak
nasional meliputi perkhidmatan kajicuaca awam, perkhidmatan cuaca
marin, perkhidmatan klimatologi dan penyebaran maklumat dan ramalan
cuaca dan iklim yang dipacu oleh perkembangan applikasi teknologi
info-komunikasi.
Perkhidmatan Kajicuaca dan Stakeholders
Sepertimana
yang kita maklumi bahawa penyampaian perkhidmatan yang berkualiti dan
cemerlang itu adalah sesuatu yang berterusan dan dinamik dan ini tidak
terkecuali perkhidmatan dan ramalan cuaca yang diberikan oleh
Perkhidmatan Kajicuaca, Jabatan Penerbangan Awam kepada stakeholders dan
para pelangan. Jika tidak ada sebarang perubahan, maka sesuatu
organisasi itu akan statik, ketinggalan, tidak berdaya saing kerana
tidak mahu menerima realiti akan kehendak perubahan semasa. Jesteru itu
kita tidak boleh bersifat leka dengan apa yang telah kita laksanakan
atau yang telah kita capai dengan tidak menyedari perubahan persekitaran
yang berlaku di sekeliling kita.
Dalam
hal ini saya menyeru supaya apa jua jenis perkhidmatan yang diberikan
oleh Perkhidmatan Kajicuaca, Jabatan Penerbangan Awam, sama ada
perkhidmatan cuaca untuk penerbangan, perkhidmatan cuaca awam,
perkhidmatan cuaca marin, perkhidmatan klimatologi serta nasihat dan
amaran kejadian cuaca ekstrim mestilah berorientasikan kepada kehendak
stakeholders dan para pelangan dan mendokong kepada kepentingan dan
aspirasi wawasan Brunei 2035 yang menekankan kearah mempelbagaikan dan
meningkatkan kedayatahan ekonomi negara dan mempertahankan keselamatan
nyawa, harta benda dan penjagaan alam sekitar.
Cabaran dan peluang
Sememangnya
peluang dan cabaran dari aspek applikasi sains meteorologi dan
klimatologi untuk pelbagai sektor dan lebih-lebih lagi dari aspek
keselamatan penduduk dan harta benda dalam abad ini setentunya semakin
meningkat, seiringan dengan peningkatan kualiti penduduk, arus
pembangunan fizikal, sosio-ekonomi, arus globalisasi, arus serantau dan
kepesatan teknologi info-komunikasi mengikut perkembangan zaman. Dalam
hubungan ini saya menyarankan supaya Perkhidmatan Kajicuaca, Jabatan
Penerbangan Awam supaya lebih pro-aktif lagi dalam meneroka dan
membangunkan applikasi sains meteorologi untuk kegunaan pelbagai sektor
seperti pengangkutan, pengurusan dan mitigasi bencana, pertanian,
pengurusan sumber air dan pengurusan tenaga.
Penutup
Buat
mengakhiri ucapan saya ini, sama-samalah kita berdoa semoga segala niat
dan usaha yang kita kendalikan itu akan mendapat rahmat dan keberkatan
daripada allah subhanahu waatala serta mendapat hasil yang dihajati.
Dengan
mendahulukan kalimat ‘Bismillah Hirrahman Nirrahim’ dan dengan
bertawakal kepada Allah serta selawat dan salam ke atas junjungan besar
nabi muhammad s.a.w., saya sukacita merasmikan Sambutan Hari Kajicuaca
Sedunia 2012 dengan tema Kita Perkasakan Masa Depan dengan Cuaca, Iklim
dan Air.
Sekian Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh."