TEKS UCAPAN
Yang Berhormat
Pehin Orang Kaya Hamzah Pahlawan Dato Seri Setia
Awang Haji Abdullah Bin Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar
Menteri Perhubungan
Sesi
Dialog Bersama Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Penghulu Dan Ketua Kampong
Bagi Daerah Belait Dan Tutong Mengenai Dengan Cadangan Dasar TVRO Dan
Menara Telekomunikasi Bagi Negara Brunei Darussalam
Isnin, 24 Jamadilawal 1433H / 16 April 2012M
Dewan Persidangan Bandaran, Kuala Belait
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera
Alhamdulilahi
Rabbil ‘Alameen Wassalatu Wassalamu ‘Alaa Asyrafil Anbiya’I
Walmursaleen Sayyidina Muhammadin Wa’ala Alihie Wasahbihie Ajma’een.
Yang
Mulia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka
Haji Mohd Yusof, Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Perhubungan
Yang Mulia Haji Haris bin Mohd Othman, Pegawai Daerah Belait
Yang Mulia Haji Mohd Sufian bin Hj Bongsu, Pemangku Pegawai Daerah Tutong
Yang Mulia Awang Haji Yahkup bin Haji Menudin, Ketua Eksekutif AITI
Pegawai-Pegawai
Kanan Kerajaan, Penghulu-Penghulu, Ketua-Ketua Kampung, Ahli-Ahli
Media, Hadirin dan Hadirat yang peramba/ saya hormati sekalian.
Alhamdulillah
syukur Kehadarat Allah SWT kerana dengan limpah, rahmat dan izinnya
jua, kita telah dapat sama-sama menghadirkan diri dan berkumpul di sesi
dialog pada pagi ini.
2.
Sesi dialog pada pagi ini merupakan satu kesinambungan kepada dialog
minggu lepas. Pada sesi tersebut, Alhamdulillah Kementerian Perhubungan
telah menerima beberapa maklumbalas dari Ahli-Ahli Yang Berhormat,
Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan, Penghulu-Penghulu dan Ketua-Ketua
Kampung Daerah Brunei dan Muara dan Temburong mengenai cadangan dasar
penggunaan Sistem Television Receive Only (TVRO) atau yang biasa kita
kenali dengan nama parabola di Negara Brunei Darussalam. Hari ini, pihak
Kementerian Perhubungan ingin memberi peluang kepada Penghulu-Penghulu
dan Ketua-Ketua Kampung Daerah Belait dan Tutong untuk sama-sama
mendengar taklimat, serta bertukar-tukar fikiran dan seterusnya untuk
menerima maklum balas daripada biskita selaku wakil rakyat dan pemimpin
akar umbi di Negara Brunei Darussalam.
3.
Media mempunyai nilai yang sangat positif dalam perkembangan kehidupan
manusia dan selalu digunakan sebagai alat saluran. Tetapi media juga
boleh menyalurkan unsur-unsur yang kurang baik atau negatif.
4.
Media elektronik iaitu televisyen merupakan media yang menjadi
“favorite” semua lapisan masyarakat dari peringkat kanak-kanak, remaja,
belia dan warga tua. Televisyen memaparkan banyak perkara seperti
politik, ekonomi, sosial, sukan, hiburan dan pendidikan.
5.
Hasil daripada maklumat yang diperolehi oleh AITI melalui AITI Brunei
Darussalam ICT Survey, sebanyak 99.6% isi rumah (household) di negara
ini mempunyai set televisyen.
6.
Amalan-amalan terbaik antarabangsa pula sangat menitikberatkan akan
perlunya ada kawalan media memandangkan media boleh mempengaruhi
pemikiran dan tingkah laku seseorang secara langsung atau tidak
langsung.
7.
Bagi perkhidmatan ‘free-to-air’ (Rangkaian RTB) dan ‘pay-tv’ (Kristal
Astro) di Brunei Darussalam, tataamalan penyiaran telah disediakan dan
dipakai bagi memastikan program-program yang disiarkan adalah sesuai
untuk disiarkan. Walaubagaimanapun, rancangan-rancangan yang boleh
diterima melalui peralatan TVRO adalah di luar daripada kawalan pihak
Kementerian Perhubungan selaku pihak berkuasa (authority) ehwal
penyiaran Negara Brunei Darussalam. Sistem TVRO boleh menerima apa jua
siaran televisyen daripada pemancar-pemancar antarabangsa yang mempunyai
liputan satellite footprint termasuk Negara Brunei Darussalam.
8.
Ini bererti rancangan atau program yang disiarkan dalam TVRO tidak
dapat dikawal atau diolah untuk membantu kitani melihat kesesuaian
penyiaran. Sumber program program tersebut juga tidak diketahui
asal-usulnya dan terutama sekali tidak dapat dikawal isi kandungannya.
Dalam masa yang sama, program yang disiarkan melalui TVRO tidak dapat
menyumbang ke atas perkembangan industri penyiaran tempatan malahan
sebaliknya boleh menjadi saingan secara langsung kepada broadcaster
tempatan.
9.
Mengapa perkhidmatan TVRO ini dikenalkan pada awalnya adalah bagi
memberikan perkhidmatan alternatif kepada perkhidmatan media yang sedia
ada. Pada masa itu hanya ada dua (2) saluran rancangan yang disiarkan
dalam televisyen. Dengan adanya perkhidmatan ‘pay-tv’ bersama dengan
isu-isu TVRO yang timbul, adalah perlu bagi mengemaskinikan dasar
penyiaran di negara ini bagi memastikan kesesuaiannya masa kini.
10. Dari kajian yang dibuat, hanya Negara Brunei Darussalam sahaja yang mengamalkan dasar open skies policy dalam
pemancaran. Semua negara-negara antarabangsa mengenakan sekatan
(restriction) terhadap penyiaran dan penerimaan isi kandungan rancangan
televisyen yang disiarkan. Ini adalah bagi mengelakkan isi kandungan
atau content [yang bercanggah dengan kepentingan negara tersebut] yang
tidak diingini untuk mempengaruhi pengguna media tersebut.
11.
Dalam hal ini berasaskan kepada perkara-perkara di atas dan tanda aras
antarabangsa mengikut kesesuaian Negara Brunei Darussalam, Kementerian
Perhubungan dan AiTi berhasrat untuk menilai kembali penggunaan TVRO dan
jika perlu, mengenalkan satu dasar bagi penggunaan sistem TVRO di
Negara Brunei Darussalam.
12.
Apa yang diharapkan melalui dasar ini adalah untuk menjadikan industri
penyiaran di negara ini lebih teratur, kompetitif, dinamik, vibrant,
terkawal, mempunyai identity tersendiri, memenuhi citarasa awam
disamping dapat menyumbang kepada pertumbuhan industri tempatan. Dalam
masa yang sama, pihak Kementerian Perhubungan dan AITI sedang berusaha
untuk memperkembang majukan lagi industry penyiaran bagi mempastikan
kualiti yang tinggi bagi program-program yang disiarkan di Negara Brunei
Darussalam dari segi:
- Hiburan
- Informasi
- Pembentukan akhlak
Dengan
adanya kemajuan dan pembaikan ke arah industri penyiaran ini, barulah
ianya akan dapat menyumbang ke atas pertumbuhan ekonomi negara.
13.
Pada pagi ini juga, kita akan sama-sama mendengar taklimat daripada
pihak AITI dan pihak Penyedia, di mana mereka yang akan menerangkan:
- aspek teknikal mengenai menara,
- proses kebenaran membina menara yang melibatkan Jabatan-Jabatan Kerajaan, dan
- kepentingan menara telekomunikasi bagi tujuan perhubungan.
14.
Menara adalah infrastruktur telekomunikasi yang sangat penting bagi
penyediaan perkhidmatan telekomunikasi terutama sekali di
kawasan-kawasan pendalaman yang tidak mempunyai bangunan-bangunan yang
tinggi. Pada masa ini menara yang banyak dibangunkan oleh pihak penyedia
perkhidmatan adalah menara “monopol” bagi menempatkan sistem pemancaran
telefon bimbit seperti GSM dan 3G.
15.
Menara “monopol” ini selalunya dibangunkan di kawasan-kawasan perumahan
atau tanah persendirian dengan tujuan untuk menampung perkhidmatan di
kawasan tersebut. Memang terdapat banyak sudah menara yang dibangunkan,
walaubagaimanapun masih terdapat kawasan yang mempunyai masalah
rangkaian rendah dan taraf kualiti yang rendah. Ini adalah kerana
beberapa cabaran-cabaran yang dihadapi seperti “business viability”
untuk memberikan perkhidmatan di sesebuah kawasan, lingkungan penduduk
yang tinggal berjauhan, permukaan tanah yang tidak rata yang memberikan
kesukaran untuk merancang kedudukan menara, dan proses penempatan menara
yang agak lama.
16.
Perancangan telahpun dibuat daripada pihak penyedia perkhidmatan untuk
memberikan perkhidmatan yang lebih menyeluruh di kawasan Daerah Tutong
dan Belait. Dalam hal ini, saya mengharapkan kerjasama daripada Pejabat
Daerah, Penghulu dan Ketua Kampong bagi memastikan segala proses
kebenaran berjalan secara lancar sambil mengambil kira akan kebimbangan
penduduk kampung berkenaan dengan penempatan atau pembangunan menara.
Hadirin dan Hadirat yang dihormati,
17.
Sebelum mengakhiri ucapan pada pagi ini, saya ingin mengucapkan ribuan
terima kasih kepada Penghulu-Penghulu dan Ketua-ketua Kampong,
Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan dan para hadirin sekalian kerana
meluangkan masa untuk sama-sama hadir ke sesi dialog pada hari ini.
Kementerian Perhubungan mengambil berat akan pandangan abiskita semua
dan kehadiran biskita adalah sangat dihargai. Ini membuktikan bahawa
isu-isu yang akan disampaikan pada hari ini adalah isu yang
berhubungkait dengan kita semua. Semoga biskita semua akan mendapat
balasan dari Allah dalam membangun negara ini.
Saya sudahi dengan kalimah Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalamu Alaikum Warrahmatullahi Wabarakatuh
Terima kasih.