Sign In
Mobirise Web Builder
Teks Ucapan Yang Berhormat Menteri Perhubungan Sempena Pelancaran Program Rintis Sistem Mata Demerit

TEKS UCAPAN

 

Yang Berhormat

Pehin Orang Kaya Hamzah Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Abdullah Bin Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar,

Menteri Perhubungan

 

Sempena

Pelancaran Program Rintis Sistem Mata Demerit

 

Khamis, 11 Jamadilakhir 1433 Bersamaan 3 Mei 2012, 2.30pm

Dewan Amar Pahlawan, Kementerian Perhubungan

 

 

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Alhamdullilahi Rabbil `Alameen Wasaalatu Wassalaamu `Ala Asyrafil Ambiae Walmursaleen, Saidina Muhammadin Wa’alaa Aalihiee Wasahbihee Ajama’een.

 

Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Alaihuddin bin Pehin Orang Kaya Digadong Seri Lela Dato Seri Utama Haji Awang Mohd Taha, Setiausaha Tetap Kementerian Perhubungan.

Yang Mulia Awang Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd Yusof, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Perhubungan. 

Yang Mulia Pengarah-pengarah Ketua-ketua Jabatan, Timbalan-timbalan Pengarah, Pegawai-pegawai Kanan, Hadirin dan Hadirat yang dihormati sekalian. 

  1. Alhamdulillah dengan berkat dan izin Allah Subahanahu Wata’ala serta limpah dan kurnia-Nya jua, dapatlah kita berkumpul pada petang ini untuk menyaksikan perlancaran program rentis sistem mata demerit.
  2. Untuk makluman, rancangan untuk memperkenalkan sistem mata demerit ini telah lama ujud tetapi ianya tertangguh, antaranya disebabkan teknologi pengkalan data Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) belum bersedia untuk melaksanakan sistem tersebut. Alhamdullilah, pada masa ini pengkalan data JPD yang lebih dikenali dengan Sistem Pengangkutan Darat (SPD) telah pun beroperasi dengan baik dan juga telah mempunyai module asas bagi pelaksanaan sistem mata demerit.
  3. Selain kesediaan JPD dari aspek teknologi, kebimbangan terhadap senario kemalangan jalan raya di Negara ini terutama di dalam beberapa tahun kebelakangan ini menjadi keutamaan Kementerian Perhubungan untuk mempercepatkan pelaksanaan sistem mata demerit.
  4. Menurut statistik jumlah kemalangan jalan raya yang melibatkan kematian bagi tahun 2008 adalah sebanyak 29 kes, 2009 sebanyak 38 kes, 2010 sebanyak 26 kes dan 2011 sebanyak 47 kes. Manakala pada tahun ini sahaja, statistik kemalangan fatal hingga April adalah menjangkau 14 kes. Senario ini adalah merupakan suatu perkara yang sangat sangat membimbangkan dan perlu ditangani secara berkesan.
  5. Kebimbangan ini juga pernah disebut didalam titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar’ Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena menyambut ulang tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke – 28 pada 23 Februari 2012.
  6. Dalam situasi ini, pihak kementerian telah pun membuat beberapa langkah dan persiapan yang perlu bagi membolehkan program rentis sistem mata demerit dilancarkan hari ini.
  7. Walau bagaimanapun, pelancaran program ini sahaja tidak akan mencukupi sekiranya langkah-langkah susulan tidak dilaksanakan. Perkara utama yang perlu dilakukan ialah menyebarluaskan maklumat mengenai sistem ini kepada masyarakat di Negara ini samada melalui sesi jerayawara, media massa, bahan cetak dan media sosial. Ini adalah penting bagi memastikan setiap pemandu di Negara ini mengetahui dan memahami sistem ini dan tindakan yang akan di kenakan sekiranya pemandu membuat kesalahan lalulintas yang boleh membawa kepada penggantungan atau pembatalan lesen memandu.
  8. Dengan kesedaran terhadap denda-denda yang terdapat didalam pelaksanaan sistem ini, ianya akan dapat menjadikan pemandu-pemandu di Negara ini supaya lebih berwaspada dan berhati-hati semasa memandu. Dengan secara tidak langsung, sistem ini akan dapat membantu mengubah tabiat dan sikap pemandu-pemandu di Negara ini kepada lebih bertimbang rasa, berdisiplin dan berhemah semasa berada di jalan raya.
  9. Di samping itu, langkah-langkah seterusnya yang perlu dilaksanakan dalam mencapai matlamat sistem ini ialah untuk membuat kajian-kajian terperinci mengenai punca-punca kemalangan di negara ini. Kajian-kajian tersebut hendaklah mengambil kira elemen-elemen penting seperti faktor manusia, keselamatan kenderaan dan jalan raya termasuk persekitaran. Perkara ini adalah perlu bagi membolehkan pihak kerajaan mengenal pasti langkah-langkah pembaikan yang perlu untuk dilaksanakan dalam menghindar kemalangan jalanraya di negara ini secara komprensif dan lebih berkesan.
  10. Seterusnya, usaha kearah menanam sikap pemanduan berhemah di jalanraya dikalangan masyarakat di Negara ini hendaklah dilaksanakan dari awal lagi iaitu sebelum seseorang individu itu memiliki lesen memandu. Perkara ini perlu dilaksanakan melalui sistem pembelajaran di sekolah-sekolah memandu baik dari segi latihan teori maupun amali.
  11. Dalam hal ini, saya ingin menekankan lagi akan pentingnya tugas dan tanggongjawab setiap sekolah-sekolah memandu di Negara ini dalam memastikan sistem pembelajaran mereka sentiasa berkesan terutama dalam menerapkan budaya memandu yang berhemah termasuk memastikan pemandu-pemandu baru mempunyai kemahiran dan kecekapan melalui elemen ‘defensive driving’ .
  12. Penerapan nilai-nilai murni semasa memandu kepada bakal pemandu-pemandu baru juga perlu di lakukan seperti menanamkan sikap bertimbang rasa di jalanraya, bertanggongjawab terhadap keselamatan pengguna jalanraya yang lain dan mematuhi setiap undang-undang dan peraturan lalulintas dan jalanraya yang ada.
  13. Setiap bakal pemandu baru juga hendakah di fahamkan akan tujuan serta matlamat kenapa sistem mata demerit dilaksanakan di Negara ini.
  14. Selain daripada itu, sistem ini juga perlu dijadikan sebagai salah satu kurikulum pelajaran di sekolah-sekolah dan institusi-institusi pengajian di Negara ini. Ini adalah perlu bagi memupuk kesedaran awal terhadap pentingnya isu-isu keselamatan jalanraya dan pemanduan berhemah kepada murid-murid dan penuntut-penuntut sekolah.
  15. Dengan adanya kesedaran ini, ianya nanti akan dapat memudahkan penuntut-penuntut berkenaan untuk menjadi pemandu yang berdisplin dan berhemah apabila memiliki lesen memandu.
  16. Walau bagaimanapun, kejayaan pelaksanaan sistem ini masih tergantong kepada keberkesanan agensi-agensi penguatkuasa dalam melaksanakan penguatkuasaan undang-undang dan peraturan yang ada.
  17. Dalam pada yang sama, penyediaan peraturan dan undang-undang yang bertepatan dan berkesan dalam menangani isu-isu berkaitan keselamatan jalan raya juga penting untuk di beri perhatian serius dan keutamaan.
  18. Hanya dengan penguatkuasaan yang efektif sahaja, tujuan dan matlamat peraturan dan sistem yang diperkenalkan akan dapat dicapai seperti yang dihasratkan. Untuk ini, setakat yang terdaya kita akan meneliti mengikut keutamaan dan keupayaan dalam penyediaan dan pemasangan dan penggunaan alat-alat bantu teknologi terkini seperti CCTV, Speed Trap Camera dan Traffic Red Light Camera.
  19. Sehubungan dengan ini, saya berharap kerjasama dengan agensi-agensi penguatkuasa yang berkenaan supaya mengambil perkara ini secara serius dengan menyedari implikasi kepada Negara baik dari segi ekonomi dan sosial sekiranya pengkuatkuasaan tidak dilaksanakan seperti yang dihasratkan.

 

Sebelum mengakhiri ucapan, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan penghargaan kepada Setiausaha Tetap dan Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Perhubungan, Pengarah-pengarah, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan dan semua kakitangan yang terlibat dalam mengendalikan majlis pada petang ini.

 

Sekian wabillahi taufik walhidayah wasalamualaikum warahmatullah hi wabarakatuh​

Attachments
Speeches