TEKS UCAPAN
Yang Mulia Awang Abdul Mutalib Bin POKSS DP Haji Mohd Yusof
Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Perhubungan
Selaku Pengerusi Majlis
Hari Sabtu, 6 Muharram 1430 bersamaan 3 Januari 2009
Dewan Amar Pahlawan, Bangunan Kementerian Perhubungan
BISMILLAHIR RAHMAN NIR RAHIM
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Yang Mulia, Dato Paduka Haji Yusoff bin Haji Abdul Hamid,
Pemangku Menteri Perhubungan,
Yang Mulia Haji Awang Alaihuddin bin Pehin Orang Kaya Digadong Seri Lela Dato Seri Utama Haji Awang Mohammad Taha,
Setiausaha Tetap Kementerian Perhubungan,
Yang Mulia Awang Mohammad Soffian bin Omar, Ketua Health, Safety, Environment and Security, Syarikat Minyak Shell Brunei Sdn. Bhd.,
Pengarah-pengarah, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan,
perwakilan eksekutif pihak swasta, tuan imam, hadirin dan hadirat yang di hormati sekalian.
Segala puji dan syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala yang telah mengurniakan rahmat Nya untuk kita dapat berkumpul petang ini dengan aman dan kebahagian. Selawat dan salam ke atas Junjungan dan Rasullullah Nabi Muhammad Salallahu Alaihi Wassalam, kaum keluarga, para sahabat dan pengikut-pengikut baginda yang terbilang hingga ke akhir zaman.
2. Terlebih dahulu, saya bagi mewakili Jawatankuasa Majlis Pelancaran Kempen Tahun 2009 sebagai Tahun Meningkatkan Keselamatan bagi Kementerian Perhubungan dan jabatan-jabatan dibawahnya, sukacita merakamkan ucapan setinggi tinggi penghargaan kepada Yang Mulia Dato Paduka Haji Yusoff bin Haji Abdul Hamid, Pemangku Menteri Perhubungan di atas kesudian Yang Mulia Dato untuk hadir selaku tetamu kehormat di majlis ini.
3. Bertepatan jua dengan hasrat Kementerian Perhubungan untuk meningkatkan keselamatan, satu Jawatankuasa Keselamatan Kementerian Perhubungan telah ditubuhkan dengan dipengerusikan sendiri oleh Yang Berhormat Menteri Perhubungan, dengan keahlian nya terdiri daripada semua ketua-ketua jabatan dibawah Kementerian Perhubungan. Antara objektif-objektif utama dalam penubuhan Jawatankuasa Keselamatan Kementerian Perhubungan ini adalah untuk:
· Meningkatkan tahap keselamatan dalam sektor pengangkutan dan perhubungan;
· Mengekalkan dan memelihara keyakinan awam terhadap keselamatan dalam sektor berkenaan; dan
· Membudayakan keselamatan bagi semua pegawai dan kakitangan di Kementerian Perhubungan dan jabatan-jabatan di bawahnya.
4. Dalam hal ini, tema yang telah dipilih bagi Tahun Meningkatkan Keselamatan ini ialah "Utamakan Keselamatan".
5. Pada petang ini, majlis ini akan diselajurkan dengan satu taklimat pengenalan ringkas bertajuk "Sistem Pengurusan Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar" yang akan disampaikan oleh Ketua Bahagian Kesihatan, Keselamatan, Alam Sekitar dan Sekuriti Syarikat Minyak Shell Brunei Sdn. Bhd. Satu 'mini expo' yang mempamerkan program-program keselamatan Kementerian Perhubungan dan jabatan-jabatan dibawahnya juga turut diadakan pada petang ini yang bertempat di ruang lobby kementerian ini.
6. Untuk mengakhiri ucapan saya pada petang ini, sekali lagi saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Mulia Dato Paduka Haji Yusoff bin Haji Abd Hamid, Pemangku Menteri Perhubungan di atas kesudian hadir di majlis ini dan seterusnya akan melancarkan 'Kempen Tahun 2009 sebagai Tahun Meningkatkan Keselamatan bagi Kementerian Perhubungan dan jabatan-jabatan dibawahnya.
7. Ucapan penghargaan dan terima kasih juga ditujukan kepada Yang Mulia Setiausaha Tetap Kementerian Perhubungan kerana turut hadir di majlis pada petang ini, pihak Syarikat Minyak Shell Brunei Sdn. Bhd., Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Jabatan Radio Televisyen Brunei, Jabatan Penerangan dan semua yang terlibat dalam menjayakan majlis ini. Mudah-mudahan sumbangan yang diberikan ke arah menjayakan majlis yang berkebajikan ini akan mendapat ganjaran yang setimpal dari Allah Subhanahu Wataala jua.
Sekian, wabillahi taufiq walhidayah. Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.