UCAPAN
YANG
BERHORMAT PEHIN ORANG KAYA HAMZAH PAHLAWAN DATO SERI SETIA AWANG HAJI
ABDULLAH BIN BEGAWAN MUDIM DATO PADUKA HAJI BAKAR MENTERI PERHUBUNGAN
SEMPENA
MAJLIS PERASMIAN PUSAT PEMERIKSAAN KENDERAAN BAGI CAWANGAN JABATAN PENGANGKUTAN DARAT DAERAH TUTONG NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
TARIKH: SELASA, 30 OKTOBER 2012
Alhamdullilahi
Rabbil `Alameen Wasaalatu Wassalaamu `Ala Asyrafil Ambiae Walmursaleen,
Saidina Muhammadin Wa’alaa Aalihiee Wasahbihee Ajama’een.
Yang
Mulia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka
Haji Mohd Yusof, Pemangku Setiausaha Tetap, Kementerian Perhubungan
Yang Mulia Awang Haji Khalid bin Haji Mustapa, Pengarah Pengangkutan Darat selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerja Majlis
Yang Berhormat………………………………, Ahli Majlis Mesyuarat Negara
Yang Mulia, Awang Haji Shamsul Bahrin Pemangku Pegawai Daerah Tutong
Yang
Mulia Pengarah-pengarah, Ketua-ketua Jabatan, Pegawai-pegawai dan
kakitangan Kementerian Perhubungan serta Jabatan Pengangkutan Darat,
hadirin dan hadirat sekalian.
Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh
1. Alhamdulillah
dengan berkat dan izin Allah Subahanahu Wata’ala serta limpah dan
kurnia-Nya jua, dapatlah kita berkumpul pada pagi ini di Majlis
perasmian Pusat Pemeriksaan Kenderaan atau Vehicle Inspection Centre
(VIC) bagi Cawangan Jabatan Pengangkutan Darat Daerah Tutong.
2. Saya
ingin mengucapkan terima kasih dan syabas kepada Jabatan Pengangkutan
Darat atas usaha dan inisiatif merasmikan Pusat Pemeriksaan Kenderaan
ini. Pelancaran VIC Daerah Tutong ini adalah selaras dengan Pelan
Strategik Kementerian Perhubungan yang menekankan keperluan kita untuk
menambah baik lagi tahap keselamatan, sekuriti dan seterusnya memajukan
industri pengangkutan darat yang lebih selamat, terjamin dan efisien
bagi orang ramai.
Hadirin dan hadirat sekalian,
3. Saya
ingin mengongsikan beberapa statistik penting dari pemerhatian yang
dibuat keatas pengangkutan darat di Negara Brunei Darussalam.
Pertama
– Mengikut statistik Jabatan Pengangkutan Darat, sejak 5 tahun
kebelakangan ini, secara purata sebanyak 15,000 buah kenderaan baru
didaftarkan setiap tahun. 95% dari jumlah ini adalah kenderaan
persendirian;
Kedua
– secara terkumpul, pada tahun 2011, lebih kurang 140,000 buah
kenderaan telah berdaftar dalam Sistem Pengangkutan Darat (SPD) di JPD.
Jumlah ini termasuk kenderaan yang didaftarkan semula bagi membaharui
lesen dan pendaftaran kereta baru (“renew and new”).
Ketiga
– Pada tahun ini, dalam jangkamasa 8 bulan dari bulan Januari hingga
Ogos 2012, hampir 13,000 buah kenderaan telah didaftarkan; dan dari
jumlah ini, secara purata 1,600 buah kenderaan didaftarkan setiap bulan;
Keempat
– Jika jumlah purata ini berlanjutan, kita menjangkakan pendaftaran
kenderaan baru akan mencecah kepada lebih kurang 19,000 buah pada
penghujung tahun 2012; yang bermakna jumlah terkumpul kenderaan yang
akan berdaftar pada penghujung tahun 2012 akan mencecah kepada lebih
daripada 160,000 buah kenderaan kesemuanya.
Kelima
- Berdasarkan jumlah penduduk Negara seramai lebih kurang 400,000
orang, jumlah rumah (household) sebanyak 68,000 buah dan jumlah
kenderaan yang berdaftar pada tahun 2011, nisbah pemilik kenderaan di
negara ini adalah hampir 3 orang setiap sebuah kenderaan dan 2 kenderaan
bagi setiap buah rumah.
4.
Kalau kita amat-amati nisbah pemilik kenderaan yang tinggi ini, ianya
menunjukkan kemampuan kita untuk memiliki kereta persendirian. Tidak
dinafikan untuk membeli sebuah kereta persendirian di Negara Brunei
Darussalam adalah mudah. Institusi kewangan menawarkan perkhidmatan dan
akses kewangan yang mudah untuk membeli kereta. Pakej yang ditawarkan
oleh penjual-penjual kereta juga sangat menarik dan semakin kompetitif
setiap tahun.
5. Selain
dari harga kenderaan yang kita miliki, pernahkah kita mengira berapakah
kos sebenar untuk memiliki dan juga membiayai sebuah kenderaan itu
supaya ia sentiasa dapat digunakan dalam keadaan selamat dan selesa?
Saya percaya pembelian kereta adalah satu kos pembelian yang besar
selepas kos pembelian rumah atau pembayaran sewa rumah di negara ini.
Ini belum lagi mengambil kira kos yang perlu kita tanggung untuk
membiayai pembelian minyak kereta dan kadar cukai kenderaan. Kita
perlulah bersyukur kerana harga minyak masih lagi mendapat subsidi
Kerajaan KDYMM, kadar cukai kenderaan masih lagi pada tahap yang rendah
dan Negara ini belum lagi mengadakan kadar cukai karbon seperti yang
diamalkan oleh negara-negara lain.
6. Saya
percaya biskita pasti bersetuju bahawa untuk memiliki kereta
persendirian samada yang baru atau terpakai, kalau kita anggar jumlah
keseluruhan dari mula kita membeli kereta berkenaan sehinggalah kepada
pembelian minyak, kos operasi seperti bayaran letak kereta, cukai jalan
dan insuran tahunan, kos pemeliharaan dan pembelian alat ganti jika
ianya rosak, ia akan memerlukan kos atau perbelanjaan yang lebih tinggi
dari apa yang kita sangkakan.
7. Perbelanjaan
tambahan seperti pengubahsuaian kereta juga adalah satu kos tambahan.
Apa yang membimbangkan kita pada masa ini ialah mereka yang berbelanja
lebih untuk mengubahsuai kereta yang membahayakan dan tidak menepati
ciri-ciri keselamatan yang membahayakan pengguna jalanraya yang lain.
Beberapa contoh yang boleh kita kaitkan dengan pengubahsuaian ini ialah
penggunaan lampu depan berwarna merah, ‘headlight’ berwarna putih yang
tidak menepati piawaian atau kesesuaian kereta berkenaan dan memasang
aksesori dalam kereta yang belebihan sehingga menjejaskan penglihatan
atau mengelirukan pemandu kereta yang lain. Dalam beberapa kemalangan
kebelakangan ini, pengubahsuaian warna lampu yang saya sebutkan tadi
telah didapati menjadi antara punca kemalangan jalanraya di negara ini.
8. Sehubungan
ini, satu kajian dalam Penyediaan satu Roadmap dan Draft Pelan Induk
Sistem Pengangkutan Darat yang Berdayatahan (Review and Formulation of
Roadmap and Draft Masterplan for a Sustainable Land Transportation
System) sedang giat dijalankan oleh Pusat Kajian Strategik dan Polisi
(CSPS) dengan kerjasama Kementerian Perhubungan dan Kementerian
Pembangunan. Saya telah difahamkan bahawa kajian ini antara lain akan
membuat perkiraan mengenai kos sebenar memiliki sebuah kereta di negara
ini bagi kegunaan pembikinan dasar dan strategi pengangkutan darat
secara jangkamasa panjang. Kajian ini juga antaralainnya akan meneliti
perkara-perkara utama kearah rangkaian pengangkutan awam yang lebih
baik, bersepadu, berdayatahan dan effisien, mengenalpasti isu-isu
kesesakan lalu lintas yang semakin meningkat serta meningkatkan lagi
tahap keselamatan jalanraya di Negara ini.
Hadirin dan hadirat sekalian,
9.
Menyentuh mengenai dengan sistem pengangkutan awam ini, Kementerian
Perhubungan menyedari kekurangan yang perlu ditangani dalam memperbaiki
sistem pengangkutan awam di Negara Brunei Darussalam. Saya percaya,
dengan adanya sistem pengangkutan awam yang lebih mantap serta mampu
memberikan pilihan kepada orang ramai, ia adalah antara langkah yang
boleh mengurangkan kos perbelanjaan kita seharian tanpa bergantung
sepenuhnya dengan kereta persendirian.
10. Dari
itu, Kementerian Perhubungan akan sentiasa berusaha untuk
mempertingkatkan kualiti perkhidmatan serta memajukan lagi industri
pengangkutan awam di negara ini. Sementara menunggu hasil dari kajian
pihak CSPS, Kementerian Perhubungan telah mengorak langkah bagi
memastikan pengangkutan awam akan dapat menarik lebih ramai lagi
penumpang-penumpang (ridership) bagi bas-bas awam melalui pengenalan
sistem bas francais baru dimasa yang terdekat ini. Pihak kementerian
berhasrat untuk sama-sama mempromosikan sistem francais baru ini nanti
dengan pengusaha-pengusaha bas yang terlibat supaya ia akan dapat
diterima sebagai salah satu pilihan pengangkutan darat bagi orang ramai
selain daripada penggunaan kenderaan sendiri.
11. Sistem
pengangkutan teksi juga akan diteliti lagi dengan sedalam-dalamnya
supaya ia juga akan menjadi salah satu sistem pengangkutan awam pilihan
dengan pakej dan harga tambang yang berpatutan bagi orang ramai dan
pengunjung dinegara ini.
Hadirin dan hadirat sekalian,
12.
Perasmian pusat pemeriksaan kenderaan di Daerah Tutong pada pagi ini
merupakan tambahan kepada pusat-pusat VIC yang sedia ada pada masa
ini. Pada awal ucapan saya tadi, saya mengongsikan statistik kenderaan
di Negara Brunei Darussalam. Dengan jumlah kenderaan sebanyak lebih
daripada 140,000 buah yang telah berdaftar, sudah tentu Pusat VIC di
Beribi, Gadong tidak akan mampu menampung kapasiti ini. Dengan adanya
fasiliti VIC di Daerah Tutong ini, adalah dihasratkan bagi pemeriksaan
kenderaan akan menjadi lebih mudah dan cepat. Dari perspektif
pengangkutan darat, pemeriksaan kenderaan memainkan peranan yang sangat
penting untuk membantu kenderaan-kenderaan yang digunakan di rangkaian
jalan raya di negara ini adalah di tahap yang selamat (roadworthiness).
Walaupun tahap keselamatan atau roadworthiness ini bukannya menjanjikan
tahap selamat yang seratus peratus, saya yakin Pusat VIC Daerah Tutong
ini akan menyumbang kepada perkhidmatan pengangkutan yang selamat,
cekap, mudah dan memuaskan.
13.
Untuk mencapai tahap perkhidmatan pemeriksaan yang lebih berkualiti,
Kementerian Perhubungan telah mengenalpasti perkhidmatan pemeriksaan
kenderaan sebagai perkhidmatan yang akan dikomersialkan. Ini
termasuklah rancangan untuk mempertimbangkan peluang bagi VIC
dikendalikan oleh syarikat-syarikat swasta (samada ia berbentuk
“outsourcing” atau konsep Public Private Partnership - PPP) dengan
pengiktirafan (accreditation) dan ketetapan piawaian keselamatan (safety
standards) dari pihak Kerajaan. Seterusnya, langkah ini akan dapat
membuka peluang perniagaan kepada sektor swasta serta peluang pekerjaan
kepada anak-anak tempatan.
14. Langkah
ini juga adalah selaras dengan amalan-amalan terbaik serantau dan
antarabangsa. Dalam hal ini, Kementerian Perhubungan dan Jabatan
Pengangkutan Darat telah meneliti pelaksanaan pemeriksaan kenderaan oleh
pihak swasta serta turut mempertimbangkan kesesuaiannya untuk
dijalankan di Negara Brunei Darussalam.
Hadirin dan hadirat sekalian,
15. Kita
perlu sama-sama mengingati bahawa kenderaan yang berkeadaan baik dan
selamat tidak jua semestinya menjamin perjalanan yang lancar dan
selamat. Penguatkuasaan yang efekti keatas peraturan dan undang-undang
yang bertepatan dan berkesan adalah beberapa “inti” penting untuk
mencapai tahap keselamatan jalan raya yang dihasratkan. Salah satu
contoh ialah pengenalan Sistem Mata Demerit yang saya percaya abiskita
sudah pernah mendengar mengenainya. Dengan pemandu yang cekap,
berdisiplin dan berwaspada, ditambah lagi dengan kenderaan yang
berkeadaan baik dari segi teknikalnya, InsyaAllah, saya yakin akan
menjadikan jalanraya di negara ini lebih selamat.
16.
Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan setinggi penghargaan diatas
sokongan dan kerjasama biskita dalam mempromosikan keselamatan jalan
raya di negara ini. Saya juga ingin menyeru agar kita sama-sama berazam
dan berikrar mengenai kesedaran keselamatan jalan raya. Sokongan semua
pihak, baik dari Kerajaan, pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan
(NGOs), masyarakat dan setiap individu dalam menjadikan jalan raya di
Negara Brunei Darussalam lebih selamat adalah sangat saya hargai.
17. Akhir
sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih dan syabas kepada Ahli
Jawatankuasa Majlis dalam menjayakan majlis ini. Usaha biskita
menunjukkan kesungguhan dan sumbangan biskita dalam menanai
tanggungjawab mendokong visi kearah pengangkutan yang selamat, terjamin
dan efisien.
Sekian wabillahi taufik walhidayah wasalamualaikum warahmatullah hi wabarakatuh.