TEKS UCAPAN
YANG BERHORMAT PEHIN ORANG KAYA HAMZAH PAHLAWAN
DATO SERI SETIA AWANG HAJI ABDULLAH
BIN BEGAWAN MUDIM DATO PADUKA HAJI BAKAR
MENTERI PERHUBUNGAN, NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
MAJLIS SAMBUTAN HARI KAJICUACA SEDUNIA 2013
HARI SABTU, 11 JAMADILAWAL 1434 BERSAMAAN 23 MAC 2013
JAM 2.15 PETANG
BERTEMPAT
THE MALL, GADONG
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
__________________________________________________________________________________
Alhamdullilahi
Rabbil `Alameen Wasaalatu Wassalaamu `Ala Asyrafil Ambiae Walmursaleen,
Saidina Muhammadin Wa’alaa Aalihiee Wasahbihee Ajama’een.
Yang Mulia Awg Hussaini bin Haji Aji, Ketua Bahagian Kajicuaca, Jabatan Penerbangan Awam selaku Pengerusi Majlis,Yang
Mulia Awang Abdul Mutalib Bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka
Haji Mohamad Yusof, Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Perhubungan, Yang Mulia Awang Haji Khalid bin Haji Mustafa, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Perhubungan,Yang Mulia, Pengarah-Pengarah, Ketua-Ketua Jabatan, Pegawai-pegawai Kanan, Hadirin dan Hadirat yang dihormati sekalian.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Alhamdulillah, Kita
bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala yang telah mengizinkan
kita berkumpul pada hari ini bagi Sambutan Hari Kajicuaca Sedunia 2013. Tahniah kepada Bahagian Kajicuaca, Jabatan Penerbangan Awam atas inisiatif mengadakan acara ini.
Seperti
yang dinyatakan oleh Pengerusi Majlis tadi, pada bulan Januari 2013,
Kementerian Perhubungan telah menerima permakluman mengenai kebenaran
bagi penubuhan Jabatan Kajicuaca. Dengan permakluman ini, saya percaya
perkhidmatan kajicuaca akan dapat dipertingkatkan lagi dengan meluaskan
skop, mandat dan pelaksanaan bidang tugasnya, selaras dengan
amalan-amalan terbaik serantau serta piawaian Pertubuhan Kajicuaca
Sedunia.
Bahagian
Perkhidmatan Kajicuaca adalah sebahagian daripada Jabatan Penerbangan
Awam sejak tahun 1966. Dengan peredaran masa dan teknologi masa kini,
kita dapat melihat kepentingan dan keperluan peranan perkhidmatan
kajicuaca yang semakin ketara. Maklumat mengenai cuaca, iklim, air dan
keadaan alam sekitar semakin diperlukan untuk aktiviti perekonomian di
pelbagai sektor seperti pertanian, perikanan, pembinaan, pengangkutan,
kesihatan dan pelancongan. Dari itu, pencerapan dan ramalan cuaca serta
penyaluran maklumat yang bertepatan pada masanya adalah sangat mustahak.
Dalam
hal ini, penubuhan Jabatan Kajicuaca merupakan langkah yang sangat
progresif kearah Wawasan 2035. Kepentingan perkhidmatan kajicuaca dalam
mendokong aktiviti-aktiviti perekonomian seperti pertanian, pembinaan
dan pengangkutan tidak dapat dinafikan. Perkara ini turut ditekankan
dalam tema Hari Kajicuaca Sedunia pada tahun ini, iaitu “Watching the weather to protect life and property”
atau “Memantau cuaca untuk melindungi kehidupan dan harta benda”. Tema
ini menggambarkan betapa pentingnya pencerapan dan penelitian cuaca ke
arah mengurangkan kehilangan nyawa dan kerosakan harta-benda dari bahaya
yang dikaitkan dengan cuaca.
Hadirin dan hadirat sekalian,
Impak
kerosakan dan kehilangan jiwa dari fenomena cuaca bukanlah perkara yang
boleh dipandang remeh. Menurut Pertubuhan Kajicuaca Sedunia, dalam
tempoh masa 30 tahun yang lalu, bencana alam telah mengorbankan lebih 2
juta orang dan menyebabkan kerugian ekonomi dianggarkan lebih $1.5
trillion dolar Amerika. Hampir 90% daripada bencana dan hampir 80%
daripada kerugian ekonomi adalah disebabkan oleh bahaya yang berkaitan
dengan cuaca, iklim dan air seperti taufan tropika, ribut, panas
melampau, kemarau, banjir atau berkaitan dengan wabak penyakit.
Kita
di Negara Brunei Darussalam juga pernah mengalami bencana alam yang
mengorbankan jiwa dan merosakkan harta benda. Antaranya adalah kejadian
cuaca ekstrem seperti kejadian banjir dan tanah susur di Daerah Brunei
dan Muara pada bulan Januari 2009, banjir kilat di Daerah Temburong pada
bulan Februari 2008 dan angin kencang pada bulan Julai 2007 yang
menyebabkan atap lebih 200 buah rumah di Kampong Ayer mengalami
kerosakan.
Kesan
dari kejadian bencana alam boleh dikurangkan melalui pencerapan yang
teliti. Pemerhatian dan pelaksanaan sistem amaran awal boleh memberi
peluang bagi tindakan menyelamatkan diri dan harta benda pada
waktu-waktu genting. Sebagai contoh, pada 11 Mac 2011 di Jepun, sistem
amaran gempa bumi telah dikeluarkan beberapa saat selepas gegaran
pertama mula dikesan oleh alat seismometer berdekatan epicenter gempa bumi tersebut. Melalui Area Mail Disaster Information Service, amaran yang dikeluarkan oleh Japan Meteorological Agency ini
disebarkan ke sekolah-sekolah, kilang-kilang, stesyen TV dan radio
serta melalui telefon-telefon bimbit. Sembilan minit selepas amaran
gempa bumi ini, sistem amaran awal tsunami telah dikeluarkan yang
memberikan ruang selama 15 minit bagi penduduk di kawasan yang terjejas
untuk mengambil tindakan segera. Pada saat-saat kritikal seperti ini,
setiap minit adalah berharga untuk menyelamatkan nyawa dan harta benda.
Selain
itu, perkhidmatan kajicuaca juga memainkan peranan yang penting dalam
memastikan keselamatan perjalanan udara. Peranan ini adalah sangat
kritikal khususnya ketika fasa kapalterbang sedang bertolak (takeoff) dan mendarat (landing). Dalam
hal ini, Bahagian Perkhidmatan Kajicuaca, Jabatan Penerbangan Awam
menjalankan pemantauan setiap masa, 24 jam sehari, 7 hari seminggu, 365
hari setahun. Sebarang maklumat
cuaca dan amaran cuaca berbahaya disalurkan kepada juruterbang melalui
Pegawai Yang Menguasai Lalulintas Udara di Pusat Kawalan Lalulintas
Udara.
Kejadian
dan peranan yang dinyatakan tadi menunjukkan keperluan bagi
perkhidmatan kajicuaca untuk sentiasa peka dalam mengikuti secara dekat
sebarang aktiviti klimatologi dan meteorologi. Perkhidmatan kajicuaca
juga perlu memanfaatkan teknologi bagi mencapai tahap kepekaan dan
penelitian yang maksimum. Penggunaan teknologi juga perlu ditekankan
dalam memastikan maklumat boleh diperolehi secara meluas dan segera.
Dalam hal ini, Brunei Weather mobile app yang dilancarkan pada bulan
November 2012 adalah sangat-sangat dihargai. Selain itu, sumber tenaga
manusia serta kepakaran dalam bidang ini harus dipertingkatkan.
Sehubungan ini, saya sukacita mengumumkan bahawa Jabatan Kajicuaca akan beroperasi sepenuhnya mulai 1 April 2013.
Sebagai persiapan kearah tarikh ini, saya difahamkan kerja-kerja
persediaan dari segi pemindahan kakitangan, aset dan pentadbiran bagi
Jabatan Kajicuaca beroperasi sepenuhnya sedang giat dilaksanakan. Dalam
membuat persediaan ini,saya ingin
menekankan kepada Bahagian Kajicuaca untuk meningkatkan kerjasama yang
sedia ada dengan pihak-pihak yang berkepentingan baik dari dalam negeri
mahupun dengan dari luar negara.
Kerjasama
ini adalah penting dalam menangani isu-isu yang saling berhubung kait
(cross cutting issues) mengenai cuaca, iklim dan air. Dari kerjasama ini
juga, tahap persediaan kita dalam menghadapi kejadian bencana alam,
pencerapan dan penyaluran amaran awal kejadian cuaca ekstrem, impak
perubahan iklim, kemarau, jerebu rentas sempadan akan dapat dilaksanakan
dengan baik. Hasil perancangan strategic dan kerjasama ini juga,
mudah-mudahan kita akan dapat meningkatkan keselamatan dan kesejahteraan
rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam, Insya Allah. saya
percaya inisiatif dan perancangan strategic selaras dengan keperluan
ini akan dapat digerakkan dengan lebih proaktif dan teratur.
Sebagai
sebuah Jabatan yang akan beroperasi nanti, perancangan yang teliti dari
segi operasi, pentadbiran dan pengurusan perlu dibuat. Dalam hal ini,
Bahagian Kajicuaca harus memberi perhatian yang khusus dalam aspek
perubahan organisasi, ‘business re-modelling’, penyediaan visi, misi dan
nilai-nilai bagi menjalankan peranan Jabatan baru ini nanti. Ini
termasuklah memastikan dokumen-dokumen pentadbiran, pengurusan dan
operasi kerja adalah terjamin, sentiasa dijaga dan dikemaskinikan dengan
rapi dan betul.
Sehubungan ini, saya ingin mengucapkan syabas atas inisiatif Bahagian Kajicuaca, Jabatan Penerbangan Awam untuk menerbitkan Manual
Prosedur Kerja (MPK) Jilid Pertama, berkaitan Operasi Pencerapan Cuaca
di Lapangan Terbangan Antarabangsa Brunei mengikut garispandu WMO Doc-49
dan ICAO Annex 3. Saya difahamkan penerbitan Manual Prosedur Kerja yang
diusahakan sempena Hari Kajicuaca Sedunia ini akan dijadikan sebagai
sumber rujukan asas bagi setiap warga Jabatan Kajicuaca nanti. Ianya
juga adalah bahan latihan kursus yang akan diberikan kepada kakitangan
teknikal yang baru berkhidmat. Saya berharap inisiatif seumpama ini akan
dapat dipertingkatkan bagi merangkumi aspek kajicuaca dengan lebih
meluas lagi.
Untuk
mengakhiri ucapan saya ini, sekali lagi saya ingin mengucapkan syabas
kepada Bahagian Kajicuaca, Jabatan Penerbangan Awam atas acara yang
diadakan dan penerbitan Manual Prosedur Kerja yang akan dilancarkan ini.
Dalam mengorak langkah kearah pengurusan sebuah Jabatan nanti, saya
harap akan ada pembaharuan diperkenalkan dalam perkhidmatan yang pernah
dan sedang diberikan. Saya percaya kita akan dapat melihat inisiatif-inisiatif baru yang akan dilaksanakan nanti. Saya
juga berharap dengan pengurusan Jabatan Kajicuaca ini nanti, para warga
Jabatan Kajicuaca akan lebih bersemangat dan komited untuk memberikan
perkhidmatan yang lebih innovatif.
Dengan kalimah Bismillahirrahmannirrahim dan bertawakal
kepada Allah serta selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi
Muhammad s.a.w., saya sukacita merasmikan Sambutan Hari Kajicuaca
Sedunia 2013 dengan tema “Watching the weather to protect life and property” ataupun “Memantau cuaca untuk melindungi kehidupan dan harta benda” dan meramikan ‘Buku Manual Prosedur Kerja - Pencerapan Cuaca, Jilid 1, Edisi 2013’.
Sekian. Wabillahitaufik Walhidayah, Wassalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.